Sunday, February 20, 2011

Muridku 2009

 Kesimbungan tugasku pada tahun 2009 pula, aku masih lagi mengajar tahun 6 Mawar. Menurut guru besarku, murid tahun ini lebih bijak dari murid tahun 2008.  Padaku itu tidak menjadi hal tetapi yang lebih menarik kali ini muridku termasuk anak bongsuku . Memang keputusan Peperiksaan Akhir Tahun mereka lebih baik daripada  kumpulan yang lepas sementelah mereka kebanyakannya terdiri daripada anak-anak guru tak terkecuali  Sekolah Kebangsaan Dato' Naning, Sekolah Menengah Dol Said dan sekolah yang berdekatan.
   Sebenarnya murid yang boleh dibanggakan hanya seorang, yang mana dia berjaya membolot hadiah mata pelajaran yang paling banyak.  Aku tidak nafikan, walaupun dia bukan Melayu tetapi dia berjaya mengatasi kertas 2 Penulisan daripada budak-budak Melayu.  Aku dapati budak-budak Melayu ini sebenarnya bukanlah tidak pandai tetapi usaha mereka sedikit berbanding dengan yang seorang itu.  Dia tidak berkawan walaupun ada murid yang sebangsa dengannya.
  Sikapnya ego, walaupun seorang pengawas tetapi selalu datang lewat ke sekolah terutama pada hari Jumaat kerana Bacaan Yasin.  Sebenarnya, di sekolahku, pada masa Bacaan Yasin, murid yang bukan Islam dipantau oleh guru yang sebangsa dengan mereka.  Panas darahku melihat keegoannya.  Seorang pengawas yang tidak mendengar arahanku, tidak hadir kokurikulum dan jika ada majlis sukan atau acara-acara yang melibatkan sekolah .
  Namun, aku sebagai guru kelas hanya melaporkan sahaja.  Ketidakhadirannya membuatkan aku membakar semangat murid-murid lain agar dapat mengatasinya kepandaiannya. Rupa-rupanya keatidakhadirannya ke sekolah, dia belajar  sendiri. Menurut ibunya, anaknya memang pandai .  Pada aku kalau dipaksa dari kecil tentulah pandai.  Bagaimana pula interaksinya dengan murid lain?  Kekadang aku kasihan melihatnya, dia tidak membawa wang, makan bekalan yang dibawa.  Aku marah sebab dia pengawas makan di hadapan bilik komputer, alasannya agar sempat belajar nanti. Menurut cerita murid yang tinggal berdekatan dengan rumahnya, dia mesti dapat markah tertinggi, kalau tidak siaplah...... kena denda.
  Berbalik kepada kisahku tadi, muridku ini ada yang tidak sedar diri.  Mereka ingat duduk di Kelas 6 Mawar tidak payah belajar kerana mereka tergolong dalam murid pandai.  Bukan kelas yang menentukan kepandaian sebaliknya usaha.  Sesetengah mereka ada yang culas, tidak buat kerja.  Bilaku nak masuk kelas dari jauh ada tukang beritahu maka mereka pun berpura-pura membaca buku atau membuat kerja. Anakku sendiri masih ingat lagi kataku,"Janganlah hipokrit, cikgu tahu ". Murid-muridku ini agaknya dah remaja cepat kot, ada yang ramai makwe kalau lelaki dan yang perempuan ada pakwelah.  Pakaian ke kelas tambahan malam kalah aku, bajunya berkilat,gemerlapan dan kasut bertumit.
  Kalau tahun 2008 muridku seramai 30 orang, tahun 2009 bertambah ramai pula 34 orang.  Pernah aku naik angin kerana mereka tidak membuat kerjaku terutama murid lelaki. Aku tinggalkan kelas dan ku perhatikan dari jauh. Bukannya mereka takut.  Terkejut aku apabila mereka yang terdiri daripada ketua pengawas dan beberapa orang murid lelaki mencari aku di Bilik Guru . Dengan linangan  air mata , mereka meminta maaf namun aku buat tak tahu.  Semua guru terpinga-pinga.  Rasakan mereka bagaimana kalau cikgu buat tak tahu.  Semenjak hari itu, mereka baru serius untuk belajar namun ada segelintir yang masih tidak sedar lagi.  Di akhir cerita,  hanya 31 orang sahaja berjaya mendapat A dalam kedua-dua kertas Bahasa Melayu UPSR.  Aku sebenarnya dapat mengesan lebih awal namun mereka tidak berubah, apa nak buat.  Kepada murid yang berjaya mendapat 5A syabas dan kepada yang  tidak,  harap usaha lagi.  Perjalananmu masih jauh ke hadapan. Moralnya terimalah teguran guru anda kerana seseorang guru akan berpuas hati apabila muridnya dapat mengubah sikap .

Saturday, February 19, 2011

maafkan cikgu

Tatkala teringat tahun 2008, aku pada masa itu mengajar murid-murid Kelas 6 Mawar.  Menurut kekawan hampir semua murid di kelas itu pandai. Tambahan pula sahabatku yang memang rajin dan berdedikasi telah menjadi guru kelas murid tersebut. Oleh kerana , kami guru-guru Tahun Enam yang asyik bergilir-gilir menjadi guru kelas agak keberatan, bukan apa, penat sebenarnya kami.  Namun kata pemutus tetap di tangan guru besar kami.
    Maka tibalah giliranku mengajar murid dari kelas yang  agak cerdik ini.  Bagiku tidaklah menjadi kudis, bagilah mana-mana murid dari kelas  yang lemah, sederhana dan pandai.  Terpulanglah kepada aku untuk mencanainya. Dalam kelas 6 Mawar itu terdapat seorang murid lelaki dan seorang murid perempuan yang selalu tidak membuat kerja yang kuberikan. Oleh kerana muridku seramai 30 0rang sahaja, maka aku berpeluang untuk mendekati mereka secara individu itupun jika sempat.  Dengan masa yang terhad, aku selalu menggunakan LCD, laptop dan  perisian  yang telah aku sediakan lebih awal, maka aku ada masa menegur mereka semasa mereka membuat kerja bertulis.
   Aku dapati kedua-dua murid ini selalu tidak menyiapkan kerja. Hari demi hari ku mendekati kedua-duanya, Jika ditanya mengapa kerja taidak siap , yang pastinya tiada jawapan.  Makin tambah menyinga aku.  Walaupun subjek Bahasa Melayu bahasa ibunda, namun kelemahan murid Melayu menganggapnya mata pelajaran yang paling mudah , jadi tidak payah membaca dan membuat karangan.
   Akhirnya, terkeluarlah ayat, cikgu tak pernah jumpa seorang murid perempuan dan lelaki yang pemalas macam kamu.  Selepas itu aku tidak lagi bertanya kepada mereka.  Hanya sesekali darahku meluap-luap kalau mereka tidak meyiapkan kerja mereka.  Aku terus mengajar murid-murid ini.  Sememangnya murid-murid di kelas ini agak pandai termasuk seorang anak cikgu di sekolahku ini.  Ibunya memang tidak pernah berpuas hati dengan pemberian markah kertas 2 Bahasa Melayu.  Aku sebagai pemeriksa kertas terpaksa mengikut skema pemarkahan.  Perkara inilah yang sebenarnya guru-guru lain menolak untuk mengajar mereka.
  Aku tidak peduli semua itu.  Yang pastinya tugasku mengajar.  Bebudak itu sebenarnya pandai mengambil hati.  Mereka pandai menggunakan masa terluang berbincang dan membuat kerja sendiri.  Sebelum masuk ke kelas mereka dah bersedia untuk belajar.  Mereka  tetap pendirian.  Tiba suatu ketika, aku agak terkejut mereka mempersoalkan jawapan yang diberikan.  Pada mereka konsep bongkok sabut dan bongkok udang diterjemahkan mengikut mengikut umur, pada hal dalam kehidupan  nyata ada juga yang tak terkecuali.
Setelah ku terangkan beberapa kali akhirnya mereka berkata, yalah cikgu aje yang betul.  Tak mahu mengalah lak tu,  tengoklah gambar orang dalam soalan itu.
  Sebaik-baik sahaja keputusanm UPSR keluar, aku tidak sangka bahawa semua muridku berjaya mendapat A dalam kedua-dua kertas.  Lebih terkejut lagi kedua-dua orang budak yang selalu kumarah dan tegur itu mendapat 5A tersenarai sebagai pelajar cemerlang yang tak diduga. Mereka juga agak tak percaya termasuk guru-guru lain.  Sememangnya keputusan UPSR tahun itu amat membanggakan pihak sekolah.  Kepada semua muridku, fahamilah cikgu bukan niat untuk menyakiti hati kamu, jika terkasar maafkanlah cikgu.  Semoga kamu semua akan berjaya kelak.

Rumah Panjang Rungus

  Kami meneruskan perjalanan menuju ke Rumah Panjang Rungus.  Perjalanan yang jauh selama tiga jam, hujan sepanjang perjalanan, jalan yang berselekoh dan berlubang-lubang menyebabkan kami lewat sampai ke destinasi  yang dituju.  Kami merasa lapar ,kami nak singgah makan tetapi kami was-was, tempatnya agak di pedalaman.  Menurut suamiku, penduduk di sepanjang kampung itu kebanyakannya menganut Kristian atau agama datuk nenek mereka, jadi kami tak berani nak singgah.  Kami terus menuju ke Kudat, Di bandar lama Kudat , aku melihat sebuah feri sedia menunggu. Destinasinya ke Banggi, Filipina kalau tak salahlah.
    Ada juga nelayan yang sedang menjual ikan kepada pemborong.  Ikan-ikannya sangat besar dan segar. Di sebelah jeti itu pula, kulihat kapal-kapal  dan bot nelayan.   Kemudian kami berpusing-pusingken bandar baru  mencari restoran.  Almaklumlah , pertama kali tiba, agak kekok juga  nak cari restoran orang Islam. Ternampak pula pekerja-pekerja restoran memakai tudung, yang pastinya mereka Islam. Jadi,kami singgah dan pesan makanan. Menunya memang tak kena dengan seleraku.  Tetapi memandangkan kelaparan, makan ajelah.
   Kemudian berpatah balik menuju ke destinasi. Dalam perjalanan,  , kulihat beberapa orang pelancong Barat sedang posing mengambil gambar di papan tanda menunjukkan 'Tip of Borneo'.  Ingatkan nak singgah, tapi tak jadi kerana kalau nak tengok matahari terbenam, kena lihat cuaca dulu, ni sepanjang jalan hujan mana ada matahari.  Oleh itu kami terus aje ke Rumah Panjang Rungus. Sampai di simpang tu, agak jauh ke dalam lebih kurang 2.5km.  Agak tersorok juga, takut nanti kami bertiga aje pergi ke situ.
   Sebaik kami sampai, kami membeli tiket , dewasa RM3.00 dan kanak-kanak RM2.00 seorang.  Kami dipelawa masuk ke rumah panjang itu.  Alahai takutnya, orang Sabah kurus-kurus, lantai agak menakutkan kerana nampak macam tak kukuh. Lantai buluh walaupun ada kayu beroti yang menampung lantai buluh tersebut.  Bilik-bilik berkunci, kami hanya dapat melihat dindingnya sahaja yang diperbuat daripada kulit pokok. Atapnya pula atap nipah. Seingat kudulu, ibuku juga pandai membuat atap nipah dan menganyam tikar.  Aku pun  masa itu pandai menganyam tikar, sekarang jangan tanya, aku dah lupa kemahiran itu kerana   dah lama kutinggalkan.
    Tidak ada penerangan atau pemandu pelancong.  Yang ada hanya buku kehadiran atau catatan pelancong.
Ada beberapa orang perempuan yang duduk di rumah panjang itu menjual kraftangan yang diperbuat daripada manik.  Antara barangan tersebut termasuklah key chain 'pemegang kunci', bakul-bakul kecil berbagai-bagai  bentuk , gelang, rantai kaki dan sebagainya. Kami belil hiasan untuk digantung di hadapan kereta, pemegang kunci dan hiasan untuk di gantung di beg.



Sunday, February 6, 2011

Monsopiad Cultural Village

Monsopiad tempat yang dicari untuk dilawati sempena cuti Tahun Baru Cina.       Aku, suami dan anak bongsuku ikut sama bercuti manakala dua lagi anakku  di Semenanjung.  Agak terkilan juga bercuti tanpa mereka namun apakah dayaku.  Segala-galanya berubah apabila suamiku ditukarkan ke Sabah.  Aku dan anak bongsuku sahaja berhijrah ke sini.
    Maka, kami bertiga mencari di mana lokasinya pada hari Jumaat 4 Februari.  Sambil memandu, mata suamiku melilau mencari jalan, katanya jalan Kilang 1, tidak jauh dari bandar Kota Kinabalu.  fikiranku masih kelabu, memang tidak ada perkataan itu dalam mindaku.  Apalah yang menariknya dengan Monsopiad itu.  Namun dalam hatiku ingin juga mengetahuinya. Puas keliling di kawasan sekitar tetapi hampa.  Esoknya aku mencari maklumat dalam internet.  Barulah kujumpa. Tapi tak jelas, di mana lokasinya.  Yang kutahu Monsopiad di tepi sungai.  Tempat yang disebut dalam internet ialah Bonggongan dan Penampang .
       Oleh kerana takut terkilan alang-alang dah sampai KK, kami  cari juga kalau tak percuma saja, penat.  Almaklumlah kami dari Felda Sahabat lebih kurang 112 km dari bandar Lahad Datu, dari LD pula lebih  kurang 320 km ke KK.  Kami bergerak dari rumah pada pukul 9.00 pagi dengan menaiki kereta Unser dan sampai ke KK pukul 5.30 petang.  Perjalanan yang jauh , jalan yang berselekoh, naik turun bukit dan  diuliti dengan kesukaran jalan licin kerana hujan di sepanjang jalan serta diserabuti kabus. Akhirnya kami berjaya menjejaki Monsopiad  pada 5 Februari, itupun setelah bertanya kepada manager di stesen minyak Petronas.
     Kami orang pertama sampai.  Harga tiket masuk RM45 untuk dewasa .  Tetapi kami pergi untuk sekejap saja , sekadar jalan-jalan dan mengintai-intai selama 1 jam , tanpa penerangan dan pertunjukan kebudayaan  kami dikenakan RM25 seorang. Sekadar melihat-lihat persekitaran dan menyeberang sungai dengan jambatan gantung ini, aku merasa gayat atau takut.  Bayangkanlah kalau putus , kami semua mesti tenggelam dalam sungai  sebab tak tahu berenang. Bahan-bahan binaan rumah ini mengingatkan aku , rumah ibuku masa dahulu.  Rumah papan , atap nipah dan dapur rumahku dibuat tinggi.  Lantainya dibuat daripada batang pinang yang dibelah.  Susahnyanya, lantai cepat reput dan atap rumah selalu bocor.  Kalau hujan, lantai rumah basah dan licin. Bekalan elektrik tidak ada. Kami guna pelita minyak tanah.  Umurku pada masa itu 7- 8 tahun.
       Memang aku anak yatim seperti nabi Muhammad s.a.w.  Bapaku meninggal dunia ketika ibuku mengandungkan aku tiga bulan.  Sememangnya aku tidak mengenal bapaku kerana zaman dulu susah hendak mengambil gambar dan harganya mahal.  Hanya orang kaya sahaja yang mampu mengupah orang Cina mengambil gambar.  Teringat pula , kerana hendak cepat bapa saudaraku tidak sempat memakai seluar, jadi ambil gambar berbaju sahaja, nasib baik bajunya labuh, kalau tidak..... fikirlah sendiri.
    Marilah kita lihat panorama di Monsopiad iaitu rumah kebudayaan orang Kadazan , KampungKuai Kandazon Penampang. Pertunjukan kebudayaaan 9.30, 11.00, 2.00 dan 4.00 petang.  Rumah kebudayaan ini dibuka pada pukul 9.00 pagi-5.00 petang



                                              alat-alat muzik
                                                               Jambatan gantung
                                        Kepala musuh sebanyak 42 tengkorak yang digantung

                                          Pintu gerbang di perkampungan Monsopiad
                                        Rumah berlantaikan kayu, buluh dan beratapkan rumbia
                Peralatan untuk menanam padi, seperti tenggala, bajak, dan sikat digantung di dinding.
                Lesung berkembar dan  antan digunakan untuk menumbuk padi.  Nyiru pula digunakan untuk
                menampi padi yang telah ditumbuk.  Tujuannya untuk mengasingkan kulit padi daripada beras.
                                                       Pengisar dan pengangin padi

                                                           Alat-alat muzik orang Kadazan

Saturday, February 5, 2011

Terkenang

Sepanjang perjalanan dari   Kota Kinabalu ke Kudat , aku melalui panorama bandar dan kampung,  keindahan kehidupan masyarakat di sini seperti zaman persekolahan awal tahun 1970-an.  Keindahan sawah padi. Ada pesawah yang dah menyabit padi, ada pula  padi baru berbuah , ada yang baru hendak ditanam dan ada yang baru masak.  Ada pokok  padi dan pulut hitam yang ditanam.  Ku lihat ada orang-orangan di tengah sawah dan dangau atau pondok kecil buat tempat berteduh setelah memerah keringat.  Dari jauh, ku lihat pemandangan yang nyaman jauh dari kesibukan lalu lintas.  Sesungguhnya kehadiran ku di sini, di Sabah mengingati akan daku kehidupan zaman silam.
     Aku anak yatim. Aku tiga beradik sibuk mengerjakan sawah.  Yang tua, abangku terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.  Ibuku , seorang janda  sejak berumur 27 tahun hingga kini.  Oleh itu kami adik beradik terpaksa memerah keringat menanam padi, petola dan  timun. Padi yang ditanam untuk makanan  sementara petola dan timun untuk dijual.  Susahnya zaman dulu untuk mencari rezeki ketika itu kami sendiri memegang tanggungjawab sebagai pelajar.  Masih ku ingati lagi, ketika kekawan bercuti untuk Ujian Lisan Penilaian Sijil Rendah Pelajaran, aku berada di dalam kebun getah, menoreh pokok getah. Alangkah senangnya anak-anak sekarang , tidak pernah memikirkan susah senang mencari rezeki, duduk depan komputer dan menikmati  kemudahan yang ada seperti televisyen, internet, tuisyen dan sebagainya.  Oleh itu anak-anak ingatlah bagaimana nasibmu nanti tanpa pelajaran atau tanpa usaha, berjayakah kamu?