Thursday, October 18, 2012

SMS ku tidak dibalas, rupa-rupanya.....

   Ketika aku berada di Sabah, aku selalu teringat akan kenangan lama bersama group perbincangan semasa PJJ - belajar secara jarak jauh.  Ahli kumpulanku terdiri daripada aku, Norizah, Kak Idah (Faridah) dan Kak (Hasnah).      Aku paling rapat dengan Norizah Bt Hashim kerana mungkin dia orang Negeri Sembilan berdekatan dengan Melaka manakala kak Idah an kak Hasnah orang Pulau Pinang.   Dua orang lagi rakan karib PJJ ialah Fatimah bt Musa dan Normazidah bt Majid . Kedua-dua orang ini masih aku hubungi namun sejak dilantik skim siswazah , kami jarang berhubung.
    Kini hubunganku dengan Norizah juga dah terputus mungkin dia menukar nombor telefon. Aku pula selalu menghubungi kak Idah.  Namun kini semuanya dah jadi kenangan.
   Peristiwa ini ku ketahui apabila sms yang ku hantar tak dijawab sebaliknya aku mendapat panggilan telefon daripada seseorang yang pekat loghat Kedahnya sehingga aku benar-benar tak  faham akan butiran pertuturannya.
   Aku pun meminta suamiku membalas panggilan itu. Alangkah terkejutnya aku apabilaku dapat tahu .....rupa-rupanya ..kak Idah kini dah jadi arwah....Innalillah...semoga Arwah ditempatkan ke dalam golongan orang yang beriman.
   Aku menyesal kerana pada cuti penghujung tahun 2010 aku ada menelefon beliau.  Ketika itu beliau sedang sakit kerana paru-paru berair dan batuk-batuk .  Arwah terpaksa ditahan di wad selama beberapa minggu.  Arwah selalu bertanya bila aku hendak datang ke rumah barunya di Kampung C Permatang Tinggi, Kepala Batas , Pulau Pinang,  Aku sebenarnya amat rindu sekali hendak pergi dan menjejaki Pulau Pinang kerana di situ banyaknya terpahat kenangan yang indah, kenangan kami berempat berkongsi kereta, berbincang, makan bersama-sama ketika kuliah dan segala memori indah bersama suka dan duka ketika membuat PJJ.
     Bagi aku pula sudah tentu banyak kenangan mengimbau kembali kerana aku telah menetap di sana selama 12 tahun sejak dari bulan Disember 1989 hingga Disember 2001.

Wednesday, October 17, 2012

tali pinggang

Berbicara tentang tali pinggang, siapa pernah dikompaun kerana tidak memakai tali pinggang keledar ketika memandu?  Aku pula dalam sejarah 2 kali didenda kerananya.  Mungkin ada hikmahnya.
  Pertama mendapat surat saman , aku bagaikan tak percaya.  Mengapa? Ini adalah disebabkan pada ketika itu aku mengajar di sekolah.  Saman dikenakan pada pukul 12.05 tengah hari waktu persekolah. Mana mungkin aku keluar dari sekolah. Semak punya semak barulah dapat dikesan bahawa pada ketika itu aku menghantar anak bongsuku pulang ke rumah kerana aku akan menghadiri mesyuarat.  Aku juga baru teringat apabila  sebuah kereta polis tiba-tiba memotong keretaku ketika aku memandu di jalan Kampung Paku agak lama juga dia mengekori ku dari Simpang Empat, rupa-rupanya mahu menyaman aku.
  Kali kedua pula jarak antara bank dengan pasar lebih kurang 500 meter sahaja tetapi oleh kerana melalui jalan lain di lampu trafik, aku tiba-tiba ditahan polis trafik, apalagi dapat surat samanlah.  Ingatkan  dekat sahaja, tak payah pakai tali pinggang. Peristiwa itu mengingatkan aku agar sentiasa memakai tali pinggang.
   Aku bernasib baik kerana ketika kemalangan yang berlaku menuju 2 km  ke pekan Cenderawasih , di Sabah pada 25 Oktober 2011 itu , aku memakai tali pinggang.  Sekiranya  tidak , aku tidak tahu bagaimana nasibku.  Syukur Alhamdulillan kerana  kedua-dua saman itu memberi pengajaran dan meninggalkan kesan yang mendalam di hatiku dan aku berharap agar pemandu-pemandu serta penumpang lain memakai tali pinggang keledar.


Saturday, October 13, 2012

Takdir atau Kebetulan -Lawatan ke RTM

Lawatan kami, Tunas Puteri Daerah Kuala Selangor ke Angkasapuri pada 3 Julai 2012 amat berbaloi atau bertuah.  Walaupun kami terpaksa menunggu hampir 2 jam di kaunter hadapan tanpa disambut oleh pegawai yang berkenaan namun kami bernasib baik kerana dapat bertemu dengan wanita pertama "First Lady" Datin Sri Rosmah bt Mansor, isteri PM kita yang kebetulan ada acara bertemu belia di situ.
   Kami sempat bersalaman sambil beliau mengutarakan pertanyaan dah lama sampai ke RTM ini.  Kami berbaris di atas permaidani merah sambil bersalaman seorang demi seorang.  Pertemuan itu adalah kali pertama aku dapat bersalam dan bertemu muka dengan isteri PM.
  selepas itu barulah kami dibawa oleh penyambut tetamu dan pegawai yang menjadi penunjuk arah atau lokasi serta penerang segala aktiviti yang dilawati.















Lebih kurang 3 jam , setelah melawat ke studio Generasi Y, bilik-bilik atau studio -studio rakaman, bilik persalinan, kami pun beralih ke destinasi kedua , iaitu ke Karangkraf.  Sebelum itu, kami memenuhi kekosongan perut yang berkeroncong di kantin Angkasapuri.  Makanannya sedap dan harganya pula berpatutan.

Lawatan Tunas Puteri Ke Karangkraf

   Pada pukul 2.30 petang , 3 Julai 2012 ,kami, Persatuan Pandu Puteri Malaysia berangkat dari Masjid Sultan Sallehuddin Abdul Aziz , Shah Alam menuju ke Karangkraf , kilang percetakan buku dan majalah.  Bangunan kilang ini besar dan lokasinya diapit oleh kilang-kilang besar yang mengeksport kereta  ke luar negara.
  Luasnya kawan kilang percetakan ini.  Sakit juga kaki melawat ke setiap bangunan setelah diberi penerangan dari pihak tuan. Aku mengagumi pihak pengurusan kerana inilah satu-satunya syarikat bumiputra yang mampu berdiri megah selama 33 tahun yang bermula dari perniagaan kecil-kecilan.
  Banyak majalah, surat khabar , brosur-brosur dan iklan-iklan dari syarikat perniagaan yang besar-besar mendapatkan khidmatnya di sini termasuk Tesco, Jaya Jusco , Avon dan sebagai.  Banyak buku ilmiah, fiksyen, novel dipamerkan  dan tidak ketinggalan juga untuk melanggan.
kejayaan usahawan bumiputera ini bolehlah dijadikan sebagai ikon kepada generasi muda.
  Setelah lebih kurang 2 jam lebih, kami dijamu dengan hidangan kuih seri muka dan bihun.  kemudian kami bertukar cenderamata.  Sebelum pulang sempat kami mencari buku , majalah dan sebagainya sebagai tanda kenangan.  Kami juga diberi majalah percuma sebagai buah tangan.  Lebih kurang pukul 6.00 petang kami bertolak pulang . Aku sampai ke Sabak Bernam pukul 8.00 malam setelah keluar dari rumah pukul 6.30 pagi menuju ke sekolah dan seterusnya menaiki bas di Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Selangor.

Thursday, October 4, 2012

zaman dah berubah

 Zaman sekarang banyak yang dah berubah.  Kalau dahulu majlis pertunangan dibuat secara kecil-kecilan.  Tetapi kini, majlis pertunangan umpama majlis perkahwinan. Mengapa? kerana pakejnya kini orang yang bertunang akan mengambil mak andam dengan pelaminnya.
  Kulihat semacam dah trend sekarang ni, mana-mana pergi sama sahaja. hantaran pula tak macam zaman kita dahulu.  Mungkin barang-barang dah mahal harganya dan tidak ada orang yang sukarela nak masak makanan seperti dahulu, saudara-mara bergotong-royong semasa majlis perkahwinan atau sesuatu majlis.Ada pekerjaan khusus pula seperti mak andam dan catering termasuk khemah dan pinggan mangkuk.
   Hantaran pula berpuluh ribu.  Bagaimana agaknya handak menyediakan hantaran, persediaan perkahwinan , rumah dan sebagainya. Oleh itu, anak-anak muda bersiap sedialah anda untuk menghadapi alam rumah tangga.  Gunakanlah kebijaksanaan anda untuk merancang masa depan anda.
  Kepada yang bertunang diharap menjaga tatasusila dan keagamaan agar tidak terpesong .  Harap-harap peliharalah keagamaan dan mendapat berkat dalam perkahwinan.
                                   Pelamin pertunangan
                                  beberapa dulang hantaran
                                             wakil pihak lelaki
hantaran sebelah perempuan dan lelaki

                                 upacara menyarung cincin pertunangan
                     
 

episod 3 - Naluri Seorang Ibu

   Sebaik tiba di rumah kudapati anakku masih lagi belum bersiap ke Hospital, masih lagi tidur.  Apalagi membebellah aku.  Mana tidaknya dahlah aku ke sekolah, mengejar masa.
  Setelah bersiap , aku pun ke Hospital Alor Gajah, lebih kurang 6 km dari rumah. Dia diperiksa darah dan platletnya 175.  Menurut pembantu doktor tersebut  ,sekarang ini musim demam denggi. Dia menasihatkan agar minum b 100 plus dan air masak banyak-banyak.  Esoknya anakku terpaksa ke hospital lagi, kalau platlet darahnya turun, dia terpaksa ditahan di wad.
   Aku pun membeli beberapa botol 100 plus.  Aku ingat sepeningalanku ke sekolah, anakku minum air 100 plus itu tetapi air itu tak berusik pun.  Malahan kerjanya tidur sahaja. Pada keesokan harinya, kami ke hospital Alor Gajah lagi.  Kali ini platlet darahnya turun hingga 100. Jadi dia terpaksa ditahan di wad dengan serta-merta.
    Suamiku pula kebetulan akan berkursus ke Johor, tetapi sebelum itu sempat mencari ketam untuk dibuat sup.  Pada petang itu, sempatlah aku memberinya minum sup ketam dan dia menceritakan pesakit di sebelah katilnya meninggal dunia kerana demam denggi.  Sebaik balik dari hospital, pukul 7.00 petang itu, aku mendapat panggilan telefon mengatakan dia terpaksa dihantar ke Hospital Besar Melaka kerana bimbang platlet darahnya turun lagi dan bintik-bintik kecil merah sudah mula kelihatan.
  Aku bernasib baik kerana anak sulungku pada masa itu sedang menunggu keputusan SPM, maka dia boleh membantuku.  Oleh kerana kesuntukan masa, maka aku benarkan anakku pergi ke hospital Besar Melaka dengan menaiki ambulans sementara aku susuli dengan kereta .  Kuberitahu suamiku yang ketika itu akan pulang dari berkursus terus singgah ke Hospital Melaka.
  Sebelum mendapat surat GL , anakku ditempatkan di Wad kecemasan.  Sebenarnya pihak terlibat sepatutnya meminta GL daripadaku.  Oleh kerana surat itu, aku terpaksa berulang -alik 2 kali ke Hospitalpada petang dan malam itu, penatnya Allah sahaja yang mengetahui.  Suamiku pula menanti dari pukul 5.00 petang hingga 9.00 malam baru dapat katil di wad kelas pertama.
  Sebaik sahaja mendapat tempat, katil itu  terus dipasang kelambu.  Maka tinggallah dia di dalam kelambu.  Malam itu dia ditemani kakaknya.  Aku berpesan agar minum air 100 plus banyak-banyak dan sup ketam. Selama tiga hari dua malam, disuapkan sup ketam, sup cendawan , 100 plus serta masuk air entah berapa botol aku pun tak tahu , akhirnya terurailah demam dengginya hingga beberapa orang doktor datang bertanya apakah rahsianya.
   Dalam pada itu, untuk mengelakkan daripada merebaknya demam denggi, sepasukan kesihatan telah datang ke rumahku menyembur di sekeliling rumah dan juga di KISAS - Kolej Islam Alam Shah.
  Impak daripada peristiwa itu, rupa-rupanya barulah ku ketahui bahawa orang yang mengidap demam denggi rupanya lemah dan tak berdaya, sebab itu anakku tidur sahaja.  Sekiranya demam berpanjangan, berjumpalah doktor takut-takut diserang demam denggi berdarah sekiranya lambat diubati akibatnya boleh membawa maut.  Seperkara lagi diingatkan kepada warden atau mana-mana penjaga agar ambil berat terhadap kesihatan anak-anak .  Kepada suamiku, hakikatnya itulah naluriku sebagai seorang ibu .  Anakku juga popular apabila balik ke asrama KISAS  dengan gelaran "Budak Denggi".