Thursday, February 28, 2013

jimat! Jimat!

Perbelanjaan majlis perkahwinan sekarang ini semakin  melambung tinggi.  Bayangkanlah kalau semua pernbelanjaan catering, mak andam dan pelamin serta kos fotografi mencecah puluhan ribu ringgit, bukankah itu suatu pembaziran.  Tetapi apa nak buat, kebanyakan orang tua atau psangan pengantin berkata sekali seumur hidup dan peluang itu adalah detik sejarah bagi pengantin.
  Untuk menjimatkan kos majlis perkahwinan terutama memasak sendiri bukanlah mudah.  kalau dahulu, saudara-mara berkumpul duit daging, bermesyuarat ajk dan orang kampung, tetapi kini berbeza seiring dengan arus kemodenan yang dikira order sahaja atau 'ambil pesanan' semuanya atas kesanggupan menyediakan wang. Manakala saudara-mara pula datang berkunjung pada hari langsungnya majlis perkahwinan itu kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya atau bekerja tambahan pula tinggal berjauhan.
  Jadi bijak berbelanja, adalah lebih mudah jika majlis perkahwinan itu digabungkan jika ada anak-anak kahwin serentak dalam tahun yang sama.  Malangnya kekadang anak-anak tidak berpuas hati kerana masing-masing ada kehendak sendiri .
  Aku dan abangku mengadakan majlis perkahwinan serentak kerana untuk menjimatkan perbelanjaan tambahan pula kami memang anak yatim sejak kecil lagi.  Memang hasratku tercapai, namun aku terpaksa melukakan hati seseorang kerana bukan semua kehendak kita tercapai.
 Baru-baru ini, ibu saudaraku juga membuat majlis menyambut menantu perempuan serentak.  Istimewanya menantu perempuannya adalah rakan sekolah, menjadi biras.....ops, beras , kata seniman arwahyarham Datuk P. Ramlee.

 Jimat ni, pelamin tak dihias dengan kilauan lampu neon dan bunga-bungaan, cuma pinjam kerusi mak andam kerana nak andam saudara sendiri.
 

Wednesday, February 27, 2013

Cermin Diri

Murid sekarang berbeza dengan murid dahulu.  Mengapa? Peristiwa ini menyebabkan aku terkedu.  Seperti tahun lalu, aku mengajar 2 kelas murid tahun empat.   28 orang murd sederhana dan 25 orang murid dalam kategori kelas hujung.
  Oleh kerana tidak berpuas hati terhadap tulisan mereka, maka aku rendahkan tahap pengajaran kerana mahu  mereka menulis dengan  teknik menulis  yang betul dan mengenali huruf  abjad dengan betul , fokusnya huruf besar dan huruf kecil.
  Dalam pada memeriksa kertas latihan yang diberikan itu, terkejut aku apabila ternampak " Kalsom Bodoh!!! ".
   Aku pun bersemuka dengan murid tersebut. Aku pasti bukan dia yang menulisnya.  Daripada bentuk tulisan itu , aku pasti  tulisan itu tulisan orang dewasa, sama ada abang, ibu atau ayahnya.  Aku terus mendesaknya agar memberitahu hal sebenar.  telah dua kali dia memberitahu abangnya yang menulis.  Dengan marahnya , aku katakan, kalau cikgu bodoh, abang kamu itu 2 kali lebih bodoh. Mengapa dia pula boleh berkata begitu, bukan dia yang menulis huruf abjad itu.  Mungkin dalam hatinya latihan itu sesuai untuk murid tahun satu.  Aku sebenarnya hendak melatih murid menulis dengan tulisan yang cantik dan teknik menulis dengan betul.
  Aku berbuat begitu kerana sesetengah muridku menulis dengan cara atau teknik yang salah tambahan pula ada sesetengah pula suka menulis rapat-rapat di antara satu perkataan dengan perkataaan dan tulisan terlalu kecil , kesilapan b dan d , huruf y , serta kesilapan membezakan huruf besar dan huruf kecil. Berdasarkan tulisan mereka yang tidak memuaskan hatiku itulah , maka aku meminta mereka menyalin semula huruf abjad dan ayat mengikut buku garis 3 .  Maka siapakah yang bodoh aku atau muridku?........... terpulanglah kepada kebijaksanaan guru untuk memulihkan tulisan murid dan berharap agar latih tubi tulisan tersebut memberi manfaat kepada mereka.

Tuesday, February 26, 2013

masinnya mulutku

Menghadiri mesyuarat Agung Persatuan Pandu Puteri Malaysia daerah Kuala Selangor pada 26/2/2013  di Dewan PPD Lama Kuala Selangor telah memahat kenangan kepadaku.
  Apa tidaknya, dahlah aku tak pernah sampai ke situ! .Lambat pula bertolak dari SKSS sedangkan mesyuarat itu  pukul 2.30 petang.  Sedang aku asyik berehat di surau sekolah,  jam dah menunjukkan pukul 1.45 petang.  Aku belum lagi sembahyang zohor.  Selepas sembahyang, aku mandi dan salin  uniform Tunas Puteri. Asyik mengemas barang, baru aku teringat minyak keretaku dah tinggal 2 bar dari rumahku di Sabak Bernam.  Lebih kurang pukul 2.30 petang aku bertolak dari sekolah dan singgah mengisi minyak di Petronas Tanjung Karang.
  Setibanya aku di PPD Baru, aku keliru simpang mana nak tuju seperti penerangan dari Cikgu Norsam, berdasarkan pelan aku masih ingat tetapi keliru apabila sampai di situ.  Jadi aku teruskan perjalanan sehingga sampai ke jalan menuju Hotel De Palma. Aku masuk simpang mengekori sebuah kereta yang dipandu oleh seorang perempuan.  Berdasarkan maklumatnya,aku mesti berpatah balik sehingga aku masuk ke satu simpang yang berpagar. Malangnya tersilap simpang juga.  Aku bertanya lagi kepada seorang lelaki di situ.  Akhirnya aku berjaya menjejaki PPD Lama pada pukul 2.58 petang.
  Sukar jugalah penerangan melalui lisan tak sama dengan keadaan sebenar. Aku bersyukur akhirnya sampai juga .  Begitulah masinnya mulutku apabila  Cikgu Norli kata, nanti kakak lambat. Dengan selambanya aku menjawab, "katakan sesat, Nah, amek kau , memang benar-benar aku sesat!".


   Mesyuarat dimulakan pada pukul 3.00 petang dan tamat pada pukul 5.45 petang.  Akhirnya aku sampai ke rumah pada pukul 6.15 petang.

Saturday, February 23, 2013

Keselamatan dan pemakanan sihat di sekolah

Pada 21/2/2013 menghadiri taklimat keselamatan dan pemakanan sihat di SMK Kuala Selangor.  Taklimat ini dihadiri oleh guru sekolah rendah dan menengah.  Aku tak pasti berapa orang yang menghadirinya, namun yang penting kehadiran taklimat ini mengkehendaki guru Kantin membuat penilaian kendiri terhadap keselamatan dan pemakanan sihat  di sekolah.
  Memang baik untuk diterapkan pemakanan yang sihat terhadap murid/pelajar di sekolah tetapi setakat mana keberkesanannya.  Di sekolah, kita nasihatkan jangan mengambil makanan yang mengandungi banyak gula, snak dan air bergas/berkarbonat. Bagaimana pula di rumah atau di luar waktu persekolahan.  Kalau nak diikutkan penjual /pengusaha akan tutup kantin kerana yang boleh dijual air mineral, perasa original dan makanan segar ,manakala makanan yang telah dimasak tidak boleh dijual jika  tidak melebihi 4 jam, ditakuti keracunan makanan.
  Taklimat ini memerlukan guru kantin membuat penilaian kendiri terhadap kantin seminggu sekali akan menambah beban guru kerana selain guru kantin, guru akan bertugas semasa RMT, pemberian vitamin  dan  susu 1 Malaysia .  Kantin juga perlulah diceriakan dan akan dinilai oleh pegawai pemakanan di Kuala Selangor. Aduhai! kekadang tak sanggup dibebani kerja-kerja begini kerana pengajaran dan pembelajaran sudah menjadi sampingan pula, pada hal ia adalah cobusiness.

Profesion Perguruan kini!

Bidang/profesion perguruan  zaman sekarang amat berbeza dengan sekarang.   Pernagajaran dan pembelajaran bukan lagi menjadi tonggak utama .  Banyak kerja lain yang ditokok tambah sehingga guru-guru terbeban dengan kerja-kerja perkeranian dan lain-lain bidang yang saling bergayut di bahu guru.
  Menangani isu-isu semasa yang berkait rapat dengan kehidupan seperti keselamatan jalan raya, Rancangan Makanan Tambahan, Susu 1 Malaysia, Bantuan persekolahan 1 Malaysia, Keselamatan dan pemakanan sihat, 1 Murid 1 sukan dan segala macam rancangan yang terbeban menambah berat tanggungjawab guru sehingga tekanan dan beban tersebut mengakibatkan ramai guru yang stress, murung atau sakit mental.
  Tambahan pula sikap ibu bapa yang memuakan anak menyebabkan hilangnya rasa hormat murid kepada guru.  Murid-murid tidak lagi menjadikan sekolah dan guru sebagai institusi yang mulia iaitu tempat menimba ilmu,
  Aku tidak tahu mengapa keadaan begini berlaku?  Adakah dunia semakin maju, maka semakin menjadi-jadi perangai dan kelakuan murid atau pelajar kini.  Memang tidak dapat dinafikan sesetengah mereka berbudi perkerti mulia tetapi sikap ini semakin berkurangan.

Wednesday, February 20, 2013

Terapi Ion Elektrik - terapi321.blogspot.com: Kisah SATAY & TIMUN..

Terapi Ion Elektrik - terapi321.blogspot.com: Kisah SATAY & TIMUN..: 5 FAKTA UNTUK ANDA PERCAYA ATAU TIDAK 1. Jika anda makan SATAY, jangan pula lupa timunnya, sebabnya memakan satay bersama karbon yang...

Berfungsikan BR1M /Bantuan Persekolahan?

   2013 tahun kedua murid-murid dan pelajar dapat bantuan persekolahan RM100.  Adakah kesemua wang itu benar-benar dimanfaatkan untuk persekolahan?
  Ketika aku di Felda Sahabat , SK Sahabat 4, Sabah, aku ditanya oleh seorang penjaga, " Cikgu bila nak dapat RM100 ni, tahun ni hasil kelapa sawit berkurang? Terkejut aku ditanyakan dengan soalan itu. Mengapa? Kerana aku sebagai guru mata pelajaran Bahasa Melayu mengajar anaknya terlalu kerap tidah hadir.  Boleh dikira kehadiran setahun 23 hari. Bagaimana agaknya perasaan anda jika kehadiran anak tidak diutamakan, kalau bab duit tak segan pula ."
   Tahun ini 2013 sekali lagi terkejut beruk aku.  Apa tidaknya, kehadiran anaknya  5/28 hari. Hadir sekolah hanya 5 hari, tetapi apabila bantuan persekolahan diberi tetiba muncullah sipenjaga mengambil wang RM100 .  Sempat juga aku meminta agar si ibu menyuruh anak hadir ke sekolah.
  Hai, dalam dunia ini macam-macam, semuanya hendak tetapi tidak mahu menjadikan pelajaran /ilmu itu sebagai tuntutan hidup.  Sebagai anak kecil haruslah ibu bapa memastikan anak mereka menuntut ilmu seperti sabda Nabi Muhammad s.a.w,"tuntutlah ilmu walaupun sehingga ke negeri China".  Wahai, anak-anak belajarlah semasa muda agar tidak ketinggalan kerana ilmu itu adalah penyuluh  hidup!.

Tuesday, February 19, 2013

sebentar di Kelantan

Selepas membeli keropok di Kampong Losong, kami bertolak ke Kelantan dan menginap di Hotel Wakaf Che Yeh. Kami menginap malam Selasa 12/2/2013.  Memang ramai pengunjung sempena cuti Tahun Baru Cina.
  Hotel ini terletak di lokasi strategik kerana dekat dengan pusat beli-belah dan pasar Che Yeh serta dilengkapi kebanyakan  bank.  Aku menginap di bilik no.3 bersama anak bongsuku dan Pn Nor Falida , salah seorang daripada guru SKSS.
Sepanjang perjalanan petang itu hingga ke malam hujan turun dengan lebatnya.
  Lebih kurang pukul  10.00 pagi, kami menaiki bas menuju ke Pasar Kadijah .  Kami membeli-belah hingga pukul 12.30 tengah hari.  Keadaan pasar ini masih seperti dahulu cuma banyak bangunan baru dibina dan pertambahan pusat beli-belah.  Aku menjelajahi setiap kedai di tingkat dua . Aku membeli telekung dari Vietnam, kata orang kain telekung ini sejuk.  Memang di Sabah dulu , aku ada membeli telekung ini daripada kawan dari Kelantan dengan harga RM80.  Rupa-rupanya di pasar ini harganya lebih murah cuma RM45 sepasang. Maka kubeli 3 pasang dan 3 helai baju kedahsetelah puas merayau-rayau.
  Berkenan juga tudung tetapi memandangkan pitih ( duit) dah banyak dibelanjakan , maka ku pendamkan sahaja.  Aku membeli keropok siap goreng    dan dodol.
  Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Bazar Tok Guru dan destinasi terakhir di Rantau Panjang.  Aku membeli sehelai blaus, beg tangan untuk si bongsu, buah mangga dan kacang cerdik.
  Syukurlah , kami selamat bertolak dari Rantau Panjang ke sekolah .  Kami tiba pada pukul 5.49 pagi Rabu 13/2/2013.  Cuma kami terkilan kerana ketika menginap di hotel wakaf Che Yeh itu, pakaian berupa baju dan kain sutera telah dicuri , beg pakaian ditoreh tetapi keropok tidak pula dicuri.  Anggaran kerugian dalam lingkungan RM1000.

 

Sebentar di Terengganu

Percutian Tahun Baru Cina, aku mengambil kesempatan mengikuti rombongan SKSS ke Terengganu dan Kelantan.  Kami bertolak dari SKSS pada malam Isnin pukul11.00 malam pada 10 /2/2013 dan sampai di Pasar Marang pada pukul 8.00 pagi. Melewati bandar Kuala Terengganu mengingatkan aku peristiwa 28 tahun yang lalu kerana aku pernah mendapat latihan perguruan di Maktab Perguruan Kuala Terengganu Batu Rakit pada tahun 1982 -1984.  Tidak banyak berbeza, cuma banyak bangunan yang didirikan dan pusat beli -belah.
   Singgah di Pasar Payang buat kali kedua selepas  tamat latihan perguruan.  Tahun 2008, aku pergi dengan keluarga.  Kami singgah di Muzium Negeri, Pantai Batu Buruk, Pasar Payang dan Kampung Losong. Maktabku juga dah banyak berubah. Ku susuri pantai Mengabang Teliput, kehidupan nelayan yang tidak banyak berubah cuma banyak gerai makan .
   Kalau pergi ke Pasar Payang masih seperti dahulu, cuma ramai pengunjung  sempena  cuti sekolah. Sistem perniagaan masih lama, tidak ada master atau kad kredit, semuanya secara tunai. Mungkin juga kerana takut terlibat dengan riba kerana melibatkan bank.
   Kami singgah juga ke Arfah Batik.  Perniagaannya semakin berkembang kerana kini tersergam bangunan yang indah dan unik dengan ukiran dan bilik-bilik pameran serta demonstrasi mencanting batik, kristal dan menenun batik.
  Kemudian kami singgah di Pantai Batu Buruk untuk makan tengah hari dan berehat sambil santai menaiki kereta kuda dengan bayaran RM5 seorang.






 Kami sembahyang di Masjid Kristal di tepi laut yang dikenali sebagai masjid terapung ,  berdekatan dengan Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man.

Saturday, February 9, 2013

Bantuan Persekolahan BRIM

Sabtu, 9/2/2013 tiba ke sekolah pada pukul 12.15 untuk mengisi wang bantuan persekolahan Murid 4 Jaya .  Semua guru kelas sibuk mengisi wang tersebut, kami stepplekan ke sampul surat agar kelak tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku.
  SKSS membuat 2 acara serentak iaitu mesyuarat Agung PIBG dan penyampaian wang tersebut dan dirasmikan oleh YB Hj Datuk Noh bin Hj Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia.
  Majlis penyampaian kupon dilakukan oleh guru kelas kepada setiap ibu/bapa/penjaga di Kelas 4 Jaya.  Maka ramailah ibu bapa yang datang tambahan pula sekolah kami bergabung dengan Sekolah Kebangsaan Segambut.  Puaslah kami menunggu dari pukul 2.15 hinggalah pukul 5.00 petang.
  Mesyuarat Agung PIBG kali ke-39 bermula pukul 3.00 petang dan berakhir pukul 5.00 petang.  Pukul 5.15 petang barulah ketibaan YB Datuk Hj Noh bin Hj Omar berserta tetamu kehormatyang lain.  Aku pula asyik melihat jam di tangan, almaklumlah rumahku jauh, kalau menunggu majlis penyerahan bantuan persekolahan RM100 itu, bila agaknya majlis itu tamat.







  Tanpa melengahkan masa , aku pun beredar dan sampai di rumah pukul 6.15 petang.
  Ibu bapa atau penjaga dapat wang RM100, guru pula dibebani kerja mencatat  nama murid, penjaga , mengisi wang dalam sampul serta menjaga kaunter penyerahan kupon manakala sekolah pula terpaksa membiayai perbelanjaan jamuan untuk ibu bapa dan tetamu kehormat.  Bayangkanlah kalau sekolah itu kecil dan tidak ada wang, mana nak cari duit....?  hehehe... bersyukur ibu bapa yang mendapat wang RM100.  Doakanlah agar negara kita aman , maju dan makmur sepanjang masa.
  Ada juga yang berfikiran sempit, tak mahu duit itu , kononnya duit UMNO, yang bersekolah di sekolah bantuan kerajaan tu apa namanya...?  Dah diberi, dipersoalkan kalau tak beri merungut, apalah dibuat salah tak buat pun salah!.

Friday, February 8, 2013

35 tahun ....? Adakah anda amanah?

Kisah ini berlaku pada tahun 1977 di mana salah seorang saudara sebelah ayahku menawarkan bantuan bayaran yuran Sijil Pelajaran Malaysia kepada kakakku.  Dia telah membayar sebanyak RM105 untuk membolehkan kakakku mengambil peperiksaan pada tahun itu.
  Pada masa yang sama, dia telah meminjam acuan kuih bahulu peninggalan ayahku ini.  Kemudian kami pun meminta semula acuan ini.  Mungkin pada masa itu dia sibuk dan sudah terlupa. Katanya tidak ada.
  Entah macam mana agaknya pada tahun 2012 ini, dia telah mengemaskan rumahnya dan terjumpa acuan kuih bahulu tembaga ini.  Dia pun memulangkan kepadaku. Sesungguhnya kita tidak boleh menyimpan hak orang lain.  Kesimpulan daripada cerita ini , walaupun aku telah lama berpindah -randah dari tinggal di Sungai Udang Melaka, kemudian ke Terengganu, Selangor , Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan kini di Sabak Bernam, namun kalau telah ditakdirkan barang itu kepunyaan kita , tetap akan kembali kepada kita.  Hendak tahu berapa tahun disimpannya acuan kuih bahulu itu, kalau dikira dari umur kakakku 17 tahun hingga 52 tahun ialah 35 tahun.  kalau ada jadi seperti dia, adakah anda masih mahu memulangkannya?  Tanyalah kepada hati anda!

Acuan kuih bahulu tembaga ini terdiri 8 bentukacuan rama-rama, ikan, bahulu cermai, udang dan seperti dalam gambar di atas.

Thursday, February 7, 2013

buku rekod Perkhidmatan/RS/buku Kenyataan Perkhidmatan

Semua guru yang berkhidmat dengan kerajaan mesti mempunyai rekod perkhidmatan atau RS (Record Service)  atau nama baru 'Buku Kenyataan Perkhidmatan'.  Begitu juga aku seorang guru yang telah berkhidmat selama 28 tahun.  Sepanjang perkhidmatan suka duka ku lalui. Sepatutnya buku rekod perkhidmatan ini akan mengikut pergerakan atau pertukaran guru.  Buku rekod ini dahulu dipegang dan disimpan di Jabatan Pelajaran Negeri tetapi sekarang Pejabat Pelajaran Daerah yang menyimpan dan merekodkan pergerakan gaji, cuti dan hal-hal yang berkaitan dengan perkhidmatan. 

  Pertukaranku dahulu dari Selangor 1989 telah menyebabkan aku tidak dibayar gaji selama 9 bulan gara-gara buku ini.  Entah mengapa kerani Jabatan Pelajaran Selangor tidur agaknya.  Ketiadaan gaji menyebabkan kemudahanku tersekat tetapi tak mengapalah sebab sekolahku dekat dan perbelanjaan tidak melibatkan kewangan yang besar.  Namun kesukaran itu kulalui dengan kesabaran.
  Kemudian pertukaranku dari Melaka ke Sabah, kerani PPD pula menyimpan sehingga setahun aku berada di sana.  Suamiku sendiri membawa buku itu.  Petugas tersebut meminta maaf kepadaku kerana dia hanya menjaga tidak mencatat . 
  Kini pertukaran ku dari Sabah, kerani PPD pula yang tidur, asyik dapat yang tidak amanah sahaja. Disebabkan buku ini kenaikan gajiku tahun 2013 tidak naik, Sebarang perubahan dalam perkhidmatanku tidak dicatat.  Kecewanya aku.
  Walaupun telah 2 tahun memangku DG 44, gaji masih di takuk lama sehingga Januari 2013.  Entah siapa harus  dipersalahkan.  Aku berharap petugas yang menjaga buku rekod ini bekerjalah dengan berhemah tanpa perlu 'dijolok' ditelefon atau diarah seperti budak mentah.  Berkenaan dengan gaji telah 3 kali aku berulang-alik ke PPD .  Jumpa CC ketua kerani  dan orang yang bertanggungjawab.  Kalau dicungkil tentu semua tak mengaku salah siapa : umpama lagu 'Bangau , Oh, Bangau'. Tetapi aku mesti redha apa yang berlaku mungkin ada hikmah-Nya disebalik kejadian ini.........wallah'ualam bissawab. 
  

Saturday, February 2, 2013

Maulidur rasul SKSS 2013



 Kali pertama menyambut Maulidur rasul di SK Sungai Sireh bagi tahun 2013 atau 1434 H.  Majlis ini dilaksanakan pada hari Jumaat :1/2/2013. Semua murid  mula berkumpul pukul 8.00 pagi dan berselawat serta taklimat, maka perarakan pun bermula.  Anak-anak muridku ini lain sedikit, agak aktif. Asyik-asyik berebut-rebut nak bawa sepanduk dan bunga manggar.
  Tengoklah telatah mereka.  Mungkin ini kali pertama mereka memasang bunga manggar.  Sepanduk ini aku buat sendiri dibantu oleh anak sulungku.  Pening juga nak siapkan murid yang seramai 25 orang ni.  Perempuan ada 5 orang sahaja, sibuk nak pakai kain batik.  Semasa berjalan separuh perjalanan, kain batik dah nak 'terbarai'  nasib baik ada pakai seluar track, kalau tidak aku tak tahulah apa nak jadi.
  Perarakan berakhir lebih kurang pukul 9.45 pagi.  Kemudian rehat dan seterusnya ceramah maulidir Rasul pada pukul 10.30 hinggalah 11.50 pagi. Syukur majlis dapat dilaksanakan seperti dirancang.




 




mesyuarat Agung PIBG Munshi Abdullah

Pada 31/1/2013 aku menghadiri majlis Mesyuarat Agung PIBG SMK Munshi Abdullah.  Kehadiran tetamu VIP yang lambat menyebabkan majlis berjalan lambat.  Kehadiran VIP dan ada persembahan pelajar menyebabkan majlis mesyuarat sehingga pukul 6.30 petang masih belum tamat, jadi aku pun meninggalkan majlis tersebut.
  Aku amat kasihan kepada pihak sekolah kerana dalam mesyuarat tersebut , apa-apa usul yang membawa kepada pembaharuan dan cadangan yang baik dipertikaikan oleh ibu bapa.  Handak sahaja aku bangun dan menjawab persoalan tersebut, takut juga aku orang luar melanggar budaya mereka.
  Usul berkenaan bayaran kelas tambahan setahun RM60 pun dipertikaikan kerana mereka mempertikaikan adakah 100% berjaya melonjakkan prestasi sekolah dan cara pihak sekolah  menahan murid daripada balik ke rumah untuk menghadiri kelas tambahan. Mereka ibu bapa sepatutnya bersyukur pihak sekolah menyediakan kemudahan , makanan (mungkin bayar sedikit) dan mengajar anak mereka untuk menjadi pandai.  Mereka sepatutnya bersyukur mungkin kalau anak hadir ke sekolah dapat mengelakkan anaknya daripada gejala yang tidak sihat .
  Pelik, mungkin mereka tak pernah keluar daripada kepompong asyik duk nak mengungkit percuma, nak bayar RM3 pun dipertikaikaikan untuk memotong pelajar yang rambut panjang , semua mesti bersurat .  Kalau aku senang sahaja, dah potong kena bayar .
  Ayuh, bangsaku berubahlah dan hulurkanlah wang untuk pendidikan anak-anak, zaman sekarang banyak yang dah berubah.  Janganlah berharap sangat bantuan semata-mata seperti kata YB Nooriah semakin dibantu semakin banyak pula miskin.  Matlamat kerajaan membantu untuk membasmi kemiskinan tetapi sebaliknya dari data banyak lagi yang miskin.  Aku berharap masyarakat dan bangsaku bangunlah melihat transfomasi keadaan di sekeliling, pendatang asing berlumba-lumba menggalidan mendapatkan  kekayaan negara kita sedangkan kita kurang usaha mungkin kerana kemudahan yang terlonggok di depan mata.  Janganlah kita nanti jadi seperti itik mati kelemasan di dalam air.



   Satu pembaharuan yang belum aku jumpai dalam mesyuarat ini ialah penghargaan kepada ibu bapa bagi murid cemerlang akademik dan kokurikulum.  Ibu bapa meraikan sama kejayaan anak-anak, semoga perkara ini menjadi ikon kepada pelajar dan ibu bapa yang lain.