Thursday, May 30, 2013

pentingnya GPS bagiku

Dulu semasa di sekolah aku tak suka geografi. Kenapa? Pertama Cikgunya...sampaikan masa tingkatan 4 ,aku ambil subjek sejarah kerana di sekolah terpaksa buat pilihan.  Nak kata minat sejarah tak pun aku dapat cemerlang.  Entahlah.
  Oleh sebab itu sampai sekarang apabila memandu kereta aku gagal mengingati tempat-tempat atau lokasi tertentu, walaupun dah beberapa kali berulang-alik.  Contohnya dari Melaka ke Pulau Pinang selama 12 tahun begitu juga dari Melaka ke Kuala Lumpur. Kini dari Melaka ke Sabak Bernam dan sebaliknya,  Entah mengapa aku gagal mengingat jalan-jalannya dan lokasi-lokasi tertentu.
  Sahlah memang gagal kalau tidak ada bantuan GPS.  Hari ini aku memandu dari Sabak Bernam singgah di Kampung Kerinchi ambil ibuku untuk balik ke kampung.  Kami berempat sahaja.  Dengan kemudahan GPS sampai  jugalah, dari rumah pukul 3.00 petang sampai ke Kampung Kerinchi pukul 6.00 petang setelah berpusing-pusing akibat terlepas simpang dan jalan ditutup , ku pusing lagi.
  Akhirnya ,aku sampai juga ke rumahku di Alor Gajah , Melaka pukul 7.50 petang.  Syukurlah kalau tidak ada GPS, mungkin aku tidak dapat memandu untuk jarak jauh sementelah aku seorang penakut.  Semenjak suamiku berpindah ke Sabah pada tahun 2010, barulah aku berani membawa kereta ke KLIA , ke UiTM Shah Alam itupun kerana terpaksa. Kalau tidak lesen keretaku hanya sekitar bandar Melaka dan perpindahanku ke SK Sungai Sireh mungkin inilah hikmahnya yang menjadikan aku berani membawa kereta untuk jarak jauh.....hanya Allah sahaja yang Mengetahui rahsia perpindahan ini....waallahu'alam bissawab.

Tuesday, May 28, 2013

Sambal kering

Kalau malas nak masak atau  turun ke dapur selalu, buatlah sambal kering,  Sambal kering ini nak buat pun bukanlah mudah. Berjam-jam nak jadi sampai kering, salah-salah hangus, siapa rajin nak  menunggu !
   Sudah lama aku tidak buat sambal kering ini.  Seingat aku, semasa aku duduk asrama , aku rajin buat sambal kering ini kerana di asrama tahu-tahulah lauknya bukanlah sedap. Kekadang kuahnya cair kekadang hanyir terutama ikan yang dimasak berkawah-kawah.
  Ikan bilis ini aku beli semasa sebelum balik ke sini, beli di Tawau. Cili pula ku blender sahaja sehingga hancur.  Ada orang blender cili, biji cili timbul, tetapi aku rebus cili dan blender hingga biji cili hancur kerana berbahaya nanti dek kerana biji cili terkena apendiks pula .  Ikan bilis pula mestilah digoreng garing-garing.  Aku guna bawang besar dan bawang putih dikisar kasar dan digoreng hingga garing baru masukkan cili yang dicampur sedikit belacan dan goreng cili tersebut hingga garing.  Agak-gak cili dah garing ,baru masukkan ikan bilis.  Jangan terlalu awal masukkan ikan bilis kerana ikan bilis itu akan lemau (tidak garing) .  Cili dan ikan bilis agak-agak sepadan - jangan pula terlalu banyak ikan bilis sedang cili keringnya sedikit.
 
Sambal ini boleh disimpan lama selagi tidak berkulat. Labih sedap kalau dimakan dengan nasi yang masih panas dan sesuai untuk dibawa berkelah atau  perjalanan yang jauh.

Dadih

cuti-cuti ni teringin nak makan dadih pula.   Sebelum cuti hari itu dan Hari Guru aku telah membeli tiga bungkus dadih instant, susu cair dan bekas dadih.
2 bungkus dah selamat dibuat kenduri Hari Guru. Hari ini buatlah untuk makanan sendiri di rumah.
  Dadih instant/ readymade sahaja. Perlukan Tepung dadih perasa jagung, 1 tin susu cair, gula pasir 100 gram. Bekas dadih pula 38 sahaja bagi satu bungkus.
Sedap dadih ini tapi dah lupa jenamanya.

dadih disejukkan dahulu sebelum ditutup dalam bekasnya dan dimasukkan ke dalam peti ais.

Musim panas begini sesuailah dimakan sebagai pencuci mulut, memang tak manis pun.

GPS vs GPS tulen

Beli GPS diambil sianak.  Maka gunakanlah GPS telefon bimbit, nak ke mana? nak  Kampung Belia 1, Sungai Besar. Nak pergi ziarah orang baru, cikgu sekolah Ustazah Norehan bersalin.
  Kira-kira dah sampai di Sekolah Kebangsaan Binjai Jaya, ikut GPS dari Sabak Bernam , hilang tujuan pula . Telefon si ustazah, gelak sakan dia.  Mana tidaknya, dia kata susah jalan berbelok-belok.  Jadi tunggu sahajalah di simpang kat depan masjid.
  Sementara menunggu , aku pun bertanya kepada pemilik kedai runcit dan adalah seorang  pelanggan di kedai tersebut.  Berdasarkan maklumat, maka pelanggan tersebut sudi menunjukkan rumah emak mertua ustazah tersebut.  Bukankah senang GPS mulut dan tulen ini.  Terima kasihlah kerana sudi menawarkan perkhidmatan membantu aku.  Bukan tak sudi kerana dah berjanji menunggu suaminya datang,  Sebentar kemudian datanglah si suami, maka si pemilik kedai itu pun berkata itupun Hafiz , suami Norehan.
  Akhirnya, dapat juga aku bertemu dengan si orang baru, bayi perempuan yang diidamkan setelah kedua-dua anaknya lelaki.  Syukurlah dari jauh ku datang sampai juga hajat melihat orang baru.  Pada aku kalau rumah jauh terperosok di hujung hutan, kalau mahu cari pasti jumpa  cuma dengan niat hendak atau tidak....syukurlah GPS vs GPS tulen....pentingnya ringan mulut sengan bertanya sesat jalan"

Sunday, May 26, 2013

Muridku VS diriku

   Memang pelik seorang muridku ini.  Kehadirannya 14/90. Telah diberitahu melalui telefon kepada kedua-dua ibu bapanya. Telah diberi surat amaran pertama, datanglah ke sekolah lebih kurang 5 hari setelah menerima bantuan persekolahan RM100.  Selepas itu, ghaib lagi sebelum cuti penggal pertengahan pertama sehinggalah ke cuti penggal pertama ini.
  Surat amaran kedua telah dihantar sendiri olehku dan 2 kali telah kulawati rumahnya.  Anehnya dan senangnya kedua ibu bapanya menyatakan generasinya anaknya memang begitu sebab kakaknya pun sama .  Adakah kita sebagai orang tua akan menyerahkan kepada takdir atau Qada' dan Qadar?  Menurut cerita ibu bapanya, si polan ini takut kepada guru yang mengajar Jawi dan Al Quran , guru Bahasa Inggeris dan mungkin aku kot sebab suaraku memang garang.  Tetapi segarang-garang cikgu pun , tak makan orang, tak mencederakan orang. Semasa tahun 1, tahun 2 dan tahun 3 pun sama  hampir setahun tak datang.  Mungkin dah sedap tak datang ke sekolah, main-main di sawah padi.
   Ada lagi yang tidak disukainya seperti perhimpunan pada hari Isnin, penat nak berdiri,  Apalah banyak sangat kerenah si polan ni!. Aku dulu darjah satu masih ingat lagi,  Cikgu Hashim (arwah) rotan aku sebab tulis angka 2 terbalik, sakit tahu! aku masih ingat raut wajahnya sehingga sekarang.  Semasa darjah 6 , aku kena berdiri atas kerusi selama 1 jam sebab tidak bawa peralatan melukis, pernah kena denda dan marah tetapi masih pergi ke sekolah juga.
  Aku anak yatim sejak dilahirkan dan ibuku janda muda 27 tahun hingga sekarang.  Pernah ibuku meminta aku berhenti sekolah semasa aku darjah 2.  Mengalir air matanya meminta aku berhenti sekolah kerana ibuku menyatakan kami hidup susah.
  Aku terpaksa berjalan kaki sejauh 800 meter pergi dan balik, melalui jalan raya  dan sawah padi, terpaksa berpanas dan berhujan.  Aku ke sekolah hanya berbekalkan sebuku roti ban kosong .  Walaupun aku tiga beradik anak yatim tak pernah pun dapat bantuan seperti sekarang susu 1 Malaysia, KWAMP, RMT dan sebagainya.  Balik dari sekolah,  biasanya aku campak beg, dan pergi memancing, mengambil upah menanam padi,(mengubah), menanam sayur di kebun orang Cina atau mengikat pokok timun/petola yang menjalar.  Penatnya Allah sahaja yang tahu, turun ke sawah dari pukul 2- 6 petang, dapat upah sekadar RM1.20.  Tetapi syukurlah ,aku sekarang menjadi seorang guru.
  Tengoklah anak muridku ini dia mempunyai banyak kelebihan, ke sekolah ibu atau bapanya boleh hantar, rumahnya agak besar juga, kiranya sederhanalah, tidak sepertiku yang serba kekurangan.......tak tahu nak buat macam mana kalau tuan diri sendiri tak ada kesedaran...atau mahu hidup senang...bak kata orang berakit-rakit dahulu berenang-renang kemudian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian......wallahu 'alam bissawab.

Saturday, May 25, 2013

Hadiah Istimewa Hari Guru 2013

Hari  Guru SK Sungai Sireh disambut pada 23 Mei 2013, hari terakhir sebelum cuti sekolah pada hari sudah basi di mana sekolah-sekolah lain telah sambut.  Namun kepada aku pada tahun ini , peristiwa ini membuat aku terfikir sejenak.
   Mengapa? Dalam banyak hadiah, terdapat lencana yang memaparkan lambang senyuman dan ketawa.  Lantas, aku pun bertanya kepada muridku itu sendiri, dia hanya tersenyum, dan aku lantas ketawa....hanya sekadar lawak

  Tahun ini mengumpul tipuware lagi seperti biasalah.  Kalau di sekolah lamaku, pasti ada cenderamata daripada badan kebajikan guru seperti mug, tuala bersulamkan nama sekolah, tupperware yang kecil, dan sebagainya, tetapi di SKSS berlainan pula lebih kepada hari keluarga dan aktiviti kemasyarakatan.
 
Hari Guru tahun ini lebih meriah kerana aktivitinya dapat ditonton bersama kerana aktiviti individu dan aktiviti berkumpulan. Aktiviti itu pula berpusat.  Jadi mula semua guru dan murid dapat menyaksikan dan malangnya tidak ada aktiviti bersama murid.  Cuma aktiviti murid semasa di dewan iaitu persembahan nyanyian, sajak, dan lakonan .
 
Aktiviti-aktiiviti guru perempuan secara individu ialah meniup belon, melempar bola ping pong,  berkumpulan pula melempar pundi kacang ke dalam bakul dan kereta api - menyusun barang yang ada sedia ada pada kita.  Manakala guru lelaki pula individu menyumpit dengan penyedut minuman - putik kapas , melontar peluru, acara berkumpulan pula -mengisi air dalam botol dengan sponge dan tarik tali.


    Hadiah  istimewa - melambangkan aku seorang guru yang kurang senyum kot kurang mesra kepada murid-murid, mana tidaknya dapat murid pasif ditanya, guru jawab sendiri dan di kelasku sendiri lain ditanya lain dijawab.  Hari-hari kerjanya mengadu, macam -macam kes, bukannya nak belajar, buat sampah, bergaduh, patahkan pembaris, tali kebenaran keluar kelas entah berapa kali putus, .....pening kepalaku dapat murid lelaki ramai , murid perempuan 5 orang sahaja.
      Teringat aku semasa aku mengajar di SK Paya Keladi, Pulau Pinang pada tahun 1996 , seorang muridku mengajukan soalan kepadaku mengapa cikgu garang di sekolah, sedangkan di rumah tidak kerana aku juga mengajar murid yang sama   kelas bimbingan di rumah.  Aku hanya membiarkan soalan itu tergantung.......!.

Kolej Kini Sahabat, Cenderawasih, Lahad Datu

Kini giliranku memberi ceramah teknik menjawab soalan Bahasa Melayu kertas 2 UPSR di kolej Kini  di bawah anjuran Felda Wilayah Sahabat.  Calon-calon UPSR adalah dari pelbagai sekolah yang terlibat dengan Skim Tuisyen Felda (STF).   Antara sekolah  tersebut ialah SK Anjung Teduh, SK sahabat 4, SK Sahabat 16 dan SK Umas.
   Pada 20 Ogos - 22 Ogos 2010 adalah tarikh kem kecemerlangan tersebut.  Aku diberi slot pagi Sabtu .  Murid-muridku gembira apabila aku muncul sebagai penceramah.  Masuk ke dalam dewan berhawa dingin , kali pertama terasa amat sejuk pula tetapi selesa.

  Aku diperhati dan disaksikan oleh guru-guru sekolah murid-murid tersebut dan ada di antara mereka yang ingin menyedut bahan ceramahku.  Aku tak kisah. Agak lumayan juga bayaran yang kudapati, maklumlah Feldakan. Anehnya, selalunya aku buat teknik menjawab kertas 2 tetapi kali ini bersama kertas 1. 
  Semasa teknik menjawab kertas 2, ada juga murid yang pandai menjawab dan memenuhi kehendak soalan.  Apa tidaknya kerana murid-murid ini adalah murid yang terpilih jugalah. Kebetulan pula, soalan yang ku berikan keluar pula dalam peperiksaan sebenar....syukurlah.
  Sijil penghargaannya pula aku dapat setelah aku berpindah ke semenanjung dan diposkan pada 6/2/2013.....apa-apa pun ada juga kenangan dari Felda Sahabat selain daripada tuala yang bersulamkan Felda , beg dan mug....FELDA WILAYAH SABAH.....kenangan selama 2 tahun berkhidmat di situ.

Sekolah Kebangsaan Fajar Harapan, Sabah

7  Ogos, 2010 pula aku dijemput menyampaikan ceramah di SK Fajar Harapan. Aku dijemput oleh guru sekolah tersebut kerana masih tidak mempunyai kereta.
Sepanjang perjalanan, aku lalui hutan kelapa sawit dan kawasan perkampungan di pedalaman.
  Keadaan di sekeliling agak menyedihkan kerana kekurangan penduduk.  Menurut guru yang mengajar di sekolah ini, ketika cuti sekolah mereka akan balik ke kampung mereka , maka akan berlaku kecurian.  Selalu kes-kes kecurian di Felda Sahabat termasuk rakan guru di SK Sahabat 4 yang setiap kali cuti terpaksa mengangkut baju dan barang berharga  kerana ditakuti dicuri.  Pantang lepa dan tinggalkan rumah, maka dimasuki pencuri, seolah-olah kegiatan mereka ini dirancang dan diintip ketika cuti sekolah.
  Berbalik kepada teknik menjawab soalan Bahasa Melayu Kertas 2 UPSR ini, ku lihat murid-muridnya oklah sedikit.  Memandangkan fizikal sekolahnya, adalah suasana hendak periksa UPSR, ku lihat banner bergantungan memberi motivasi dan galakan kepada calon UPSR .  Cantik juga sekolahnya.
   Malangnya  , sedang aku memberi ceramah terputus bekalan elektrik, lama jugalah sehingga 1 jam.  Nasib baik aku ada bawa softcopy dan hardcopy kalau tidak merapu merabanlah aku.  Jadi, sebagai penceramah kita sepatutnya bersedia membawa 'payung sebelum hujan' .
    Sebelum balik aku dijamu di bilik sumber atau perpustakaaan sekolah.  Sempat jugalah berkenalan dengan guru-guru di sekolah ini dan berbincang sedikit tentang kertas penulisan kerana aku dapati di Lahad Datu , tidak ada seorang pun guru yang berpengalaman jadi pemeriksa kertas Bahasa Melayu atau Guru Cemerlang Bahasa Melayu.

Sekolah Kebangsaan Tanjung Labian, Sabah

 SK Tanjung Labian melakar sejarah buatku kerana aku pernah memberi ceramah teknik menjawab soalah UPSR kertas 2 Bahasa Melayu dan sekolah ini telah diserang pengganas Kiram setelah setahun aku meninggalkan Sabah.
  Pada 30 Julai 2010, jam 2.00 petang hingga 5.00 petang.  Oleh kerana aku tidak ada kenderaan, maka aku diambil dan dihantar balik oleh guru sekolah tersebut yang kebetulan tinggal di Felda Sahabat dan isterinya mengajar di SK Sahabat 4.
  Malangnya aku tidak sempat merakam gambar ketika ceramah di sekolah ini.     Oleh kerana sekolah ini kecil, maka digabungkan tiga sekolah dan aku tidak berapa ingat berapa jumlah calon UPSR yang terlibat. Oleh kerana sekolah ini di tepi laut dan angin tiba-tiba bertiup kencang, layar skrin yang dipasang terbalik  dan nasib balik tak menimpa kepadaku.  LCD dan laptop serta bekalan elektrik nasib baik tak terputus.
  Peristiwa yang tidak dapat kulupakan ialah aku diberikan seekor ikan segar, sehelai kain ela dan beg duit.  Menurut guru tersebut, mungkin dilihat reaksi roman mukaku , macam tak suka sahaja menerima ikan segar sahaja.  Aku sebenarnya tak kisah.  Ikan segar ditangkap oleh nelayan di tepi laut memang sedap kalau dibakar atau digoreng kunyit dan garam sahaja.

Sek Keb Tungku, Sabah

27 Julai 2011, tahun kedua aku mendapat jemputan memberi ceramah teknik menjawab soalan Bahasa Melayu kertas 2.UPSR.  Aku memenuhi jemputan itu bertemankan  anak sulungku yang kebetulan bercuti di Sabah.
  Sekolah tersebut jauh di pedalaman dan lokasinya di tepi laut.  Nasib baik aku ada teman, kalau tidak alamat tidak dapatlah aku memenuhi jemputan tersebut.  Sebenarnya, aku banyak mendapat jemputan di sekolah di bandar-bandar , memandangkan aku tidak ada kenderaan dan masih lagi asing dengan keadaan di Lahad Datu maka terpaksalah aku tolak .
  Perjalanan yang jauh 120km dari felda Sahabat ke Lahad Datu menyebabkan aku berat hati memenuhi jemputan tersebut. Aku sebenarnya ingin juga mengetahui keadaan sekolah di Sabah ini maklumlah sambil menyelam minum air.
  Selama 2 jam, bermula dengan penerangan format dan tata cara menjawab soalan, kemudian perbincangan cara menjawab soalan dan lain-lain soalan atau pertanyaan.  Sayangnya murid di sekolah ini kurang aktif sedikit almaklumlah mereka kurang terdedah dengan bahan bacaan dan kekurangan kemudahan seperti bekalan elektrik, internet, dan bahan-bahan bacaan yang hanya terdapat di bandar serta berbeza latar belakang ekonomi, sosial dan budaya berbanding dengan murid-murid di semenanjung.

 



















Sunday, May 19, 2013

IBU MERDEKA

Selama 8 tahun bertugas di Sekolah Kebangsaan Dato' Naning , Melaka (SKDN)  bermula dari 1 April 2002 hingga 16 April 20120, banyak kenangan suka dan dukaku lalui di sekolah itu.  Namun kemuncaknya pada penghujung tahun sebelum aku berpindah mengikut suamiku ke Sabah, aku pun tidak menyangka akan perkara ini, aku mendapat  APC dan GC.  Syukur , alhamdulillah.
    Khabar angin ,  kalau aku tidak berpindah pun, aku akan dipindahkan ke sekolah baru , SK Lesung Batu. Kenangan yang tidak akan ku lupakan ialah gelaran "IBU MERDEKA " buatku.  Pada mula-mulanya, benci juga aku pada gelaran itu kerana selama 8 tahun aku memegang jawatan Ketua Panitia dan setiausaha Bulan  Kemerdekaan.  Selama itulah tugasku merancang dan memastikan semua program dan aktiviti berjalan dengan jayanya bersama dengan unit kokurikulum , unit HEM dan unit Kurikulum. Tugas itu bukanlah mudah kerana aku sebagai perancang dan sebagai pelapor kepada semua aktiviti yang telah dibuat dengan kata lain 'pendokumentasi'.

     Dalam kesibukan mengajar tahun 6, kelas tambahan, kelas bimbingan
 dan kadang-kadang kelas malam menyebabkan aku selalu tertinggal kunci kereta, hilang dalam simpanan dan terambil kunci kereta kerani di sekolahku kerana keretanya sama dengan keretaku.
  KIni, setelah 4 tahun berpindah-randah, aku terasa penat walaupun tidak lagi memegang banyak jawatan.  Hanya guru kelas , setiausaha Kantin, susu 1 Malaysia dan RMT, tetapi terasa teramat penat kerana sekolahku jauh dari rumah. Semuanya tinggal kenangan....rindu juga dengan gelaran itu kerana gelaran itu juga menambah nilai membantu aku me ndapat gelaran ' Guru Cemerlang '...terima kasih kepada semua guru yang menyokongku terutama guru besar Pn Asiah bt Mad Sab , Pn.  Salamah bt Ahmad, Pn Rosni (arwah), Pn Rozita, En. Razak, dan Pn Hjh Nor Ainon dan semua guru SKDN yang memberi kerjasama semasa ceria merdeka sehingga sekolah kita mendapat kemenangan ke peringkat Negeri dan Daerah .
   Jasa kalian tetap dalam kenangan.....dan sentiasa dihargai di sepanjang hayat....


8 bukub laporan yang ku buat , hanya 3 sahaja yang ku buat salinan sebagai kenangan.

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
      Hancur badan dikandung tanah,
Budi baik dikenang juga.

Kalau ada jarum yang patah,
jangan disimpan di dlam peti,
kalau ada silap dan salah,
Minta maaf,jangan dibawa sampai ke mati.

Saturday, May 18, 2013

Tukar-tukar Hadiah- Selamat Hari Guru

Hari guru datang lagi setiap 16 Mei.  Tahun ini aku dah beri duit kepada anak bongsuku , pandai-pandailah dia mencari hadiah untuk gurunya.
  Tahun kedua di SKSS dan kali kedua acara tukar-tukar hadiah.  Kali ini hadiahnya masih berharga RM30 ke atas.  Aku dah beli hadiahnya yang dalam lingkungan  +++. Nasiblah siapa yang bertuah, alamatlah makan......setiap hari kalau rajin, kalau tidak jadilah seperti di rumahku umpama 'gajah putih'.
  Barangan itu bukanlah aku beli tetapi hadiah sempena pertukaranku ke Sabah.  Hadiah yang ku beli ini adalah percuma kerana aku banyak membeli barangan Cosway, jadi kupon terkumpul itu kutebus.  Tengoklah nanti siapa yang bertuah.....harap-harap sesiapa yang dapat berpuas hati...hehehe.
  Aku keluarkan duit RM2 sahaja untuk membeli pembalut hadiah.  Dah siap kubalut untuk sambutan Hari Guru pada hari Khamis , 23 Mei 2013 nanti sebelum cuti sekolah....akhirnya...SELAMAT HARI GURU kepada semua yang bergelar guru agar menjadi insan yang terpuji dan menjadi idola kepada anak didik dan kepada anak didik hormati guru dan amalkanlah segala ajaran guru yang amat berguna itu demi kebaikan dan kesejahteraan hidup kamu......marah guru, bebelan guru , teguran guru bukan bererti benci tetapi sayang dan ingin melihat kamu berubah menjadi insan yang cemerlang .....aamiin.

Teringat kisah Surat dan Setem

   Zaman teknologi manusia kurang menggunakan media untuk berhubung terutama melalui surat.  Dengan adanya medium, media seperti telefon, sms, internet - chatting dan Facebook menyebabkan peranan surat-menyurat semakin berkurangan.
  Oleh itu, adakah wajar lagi kita sebagai guru mengajar murid menulis surat tidak rasmi dan surat rasmi.  Tentulah kita menjawabnya, wajar. Mengapa?
Keadaan ini adalah disebabkan kita masih lagi menggunakan surat sebagai media untuk berhubung terutamanya semasa hendak memohon pekerjaan ataupun semasa hendak menghantar emel kepada kawan kita terutama hal-hal yang berhubung dengan tugas rasmi kecualilah hal-hal peribadi atau hal keluarga.
  Sekiranya kita mengirim bungkusan atau mengirim surat tentulah menggunakan setem.  Perkara inilah yang menyebabkan aku terkejut kerana anak muridku tidak kenal setem.  Maka, dengan itu aku terpaksa menerangkan di mana hendak membeli setem dan mengapa perlu melekatkan setem di sampul surat apabila mengirim surat. almaklumlah muridku ini kurang membaca dan membaca pun merangkak-rangkak.
   Hendak mengajar format menulis surat pun sukar bagiku.  Aku beri contoh surat  supaya mereka salin ikut contoh , jangan ubah.  Malangnya mereka ubah tulis alamat sebaris panjang disambung.....pening kepalaku.  Aku terangkan kali kedua dan suruh salin semula betul-betul dan terangkan kenapa perlu tulis yang benar dan tanda tangan serta terangkan tanda baca dan baris demi baris di mana perlu ditulis, kalau tidak dihentam salin ikut suka hati mereka.
  Aku terpaksa beli setem yang baru sebab kalau tunjuk contoh setem yang sudah dipakai dan dicap nanti jadi seperti aku dahulu yang melukis setem sendiri dan siap letak harga 20 sen.  Mungkin pada masa itu cikguku tidak menerangkan keadaan sebenar, aku masih ingat lagi, nenekku terpaksa pergi ke pejabat pos untuk membayar berganda harga setem sebagai denda dan barulah dapat surat yang kuposkan dari Kuala Lumpur...itulah kisahku dengan surat.  Aku tidak mahu perkara ini berulang kepada muridku khasnya yang tidak pernah melihat setem.
 
              setem Malaysia 60 sen...sekarang ini bukan lagi 30 sen atau 50 sen....naik harga sudah! kalau lebih berat atau tebal sedikit  tentulah RM1.

Kad-kad, menjimatkan?

Baru tahun kedua aku menggunakan kad mesra ini.  Sejak berulang alik ke Sekolah Kebangsaan sungai Sireh dari bulan Mac 2012  sehingga kini sudah 3 kali aku servis kereta Viosku .
 Sekali perjalanan dari rumah ke sekolah sejauh 121km pergi dan balik.  Duit minyaknya pula RM70 selama 3 hari.  Aku isi setiap kali tinggal 1 bar sahaja.  Dengan menggunakan kad mesra ini selama setahun lebih di Petronas i ni barulah kali ini aku menebus mata bonusnya. Tebusan pertama dapatlah RM28.57 untuk minyak petrol, dapatlah jimat sedikit.
  Tak apalah yang penting berjimatkan.....walaupun sedikit dan memakan masa yang lama untuk mengumpul mata bonusnya.  Hai, macam-macam kad aku ada...kad cosway, kad Pearl Haya, kad Avon dan bermacam kad lagi..almaklumlah zaman dah berubah..dunia perniagaan masing-masing berlumba-lumba mencari pelanggan dan menarik hati pelanggan untuk menambah jualan........kalau belajar ekonomi penawaran dan permintaan.........anda bagaimana, jom kita kongsi kad untuk jimatkan perbelanjaan!

Buat hal lagi si Vios ni!

Minggu lepas buat hal pula. Entah mengapa semasa memandu keretaku, berbunyi berdesit-desit.  Sudah 3 hari bunyi itu kedengaran.  Tetapi aku biarkan sahaja.  Hari Selasa, 7/5 semasa hendak ke sekolah, bunyi itu semakin kuat. Semakin laju aku memandu semakin kuat bunyinya.  Aku ingatkan tayar keretaku pancit.
  Dalam hatiku berfikir, kalau tayar mestilah stering  lari atau bergegar.  Aku terus memandu.  Apabila memandu perlahan , bunyi tayar hadapan di sebelah kiri semakin perlahan.  Aku masih meneruskan perjalanan sehinggalah sampai ke Petronas Hj Dorani.  Aku berhenti di situ.  Keaddan masih gelap lagi.
  Aku ingatkan tayar keretaku kempis.  Rupa-rupanya,  tidak.  Mudguardnya dah tercabut, sebab itu bergesel dengan tayar dan berbunyi.  Hendakku potongkan yang separuh tertanggal tidak boleh kerana aku tidak mempunyai pisau.  maka aku menelefon suamiku.  Senang sahaja jawabnya, pergi ke sekolah dahulu.
    Sampai di sekolah kulihat dah terjulur "mudguard' itu dan apabila aku di selekoh semakin kuat bunyi geselannya.  Aku pun risau juga , bertanyakan anak buahku berapakah agaknya kos mudguard itu.  Harga anggaran dalam RM50 dan upah pasang mungkin bawah RM100.
     Sebelum balik sekolah sekali lagi bunyinya semakin kuat, aku ambil keputusan potong sahaja bahagian yang terjulur itu dengan bantuan pengawal keselamatan di sekolahku.
     Aku pun jenis malas nak berurusan dengan kedai spare part atau alat ganti terus ke kedai pemasangan alat ganti seperti ganti cermin sisi keretaku di Sungai Besar.
 Kedegilanku membawa musibah.  Tauke Cina itu salah order mudguard kerana keretaku tahun 2011 sedangkan mudguard itu tahun 2008.
   Maka terpaksa ku tunggu 3 hari lagi.  Malangnya, Cina kedai itu kata harganya RM200 lebih, jadi hendak tak hendak terpaksa guna mudguard itu dengan   ubahsuai dan entah berapa skru ditambah dicuping badan kereta  sebelah kiri .
   Terbang jugalah duitku, baru dapat tunggakan , diturap dengan mudguard RM75 tetapi tauke Cina itu minta RM85....buat-buat lupa pula....nasib baik ku peringatkan dia...janji RM75...

Angkara lori lagi!

 Jumaat 17/5/2013, bergerak dari  sekolah jam 6.35 petang menyebabkan aku terburu-buru memandu.  Entah mengapa di sepanjang jalan Sungai Sireh itu, kira-kira baru 600 meter, tiba-tiba aku bertembung dengan lori di sebelah kananku sedangkan aku di sebelah kiri.  Pemandu lori itu memakan jalan, jadi aku ke kiri lagi .
  Malangnya ke kiri jalan tar itu tajam, maklumlah jalan itu tinggi sebelah dan tukang buat jalan pula semacam tak berperasaan.  Oleh kerana malang tak berbau maka tetiba, pemanduanku terganggu.  Bunyi tayar kempis dan rim bergesel dengan tar.  Memang sahlah kali ini tayar keretaku pecah dan pancit.
  Aku pun berhenti di gerai buah yang selalu aku beli buah itu.  Gerai Apai namanya, gelaran orang kampung atau nama singkatnya.  Aku meminta bantuan daripadanya.  Dia pula meminta bantuan daripada rakannya.  Kebetulan isteri kawan tersebut bernama Kalsum bt Lat, salah seorang ajk PIBG sekolahku.  Kebetulan pula, bernasib baiklah aku kiranya.  Barulah aku tahu bahawa dia  membuka kedai jahit di sebelah kedai buah itu walaupun dah dua tahun aku berulang -alik ke sekolah.
   Syukurlah dapat juga aku pulang dengan selamat.  Aku  sempat menghulurkan   sedikit wang sebagai upah  penat lelah menggantikan tayar keretaku tetapi dia enggan.  Dia pula menyatakan kita hidup saling bantu membantu.  Terima kasih atas bantuan, kalau tidak tentu aku menelefon cikgu SKSS atau pun suamiku.
  Sabtu 18/5, aku dan suamiku ke kedai mengganti tayar dengan harga RM230 sebiji ....terbanglah duit lagi baru dapat tunggakan dan diturap dengan tayar kereta.   Geram di hatiku kerana ini kali kedua aku terkena akibat lori.  Apa-apa pun syukurlah sampai juga aku ke rumah tepat pukul 8.00 malam.

        hodohnya, tayar spare,  tapi nasib baik kalau tidak tak sampai ke rumah.
                                             ke kedai, ganti tayar baru
                                 

Perkhemahan lagi 17-18/5 2013

Perkhemahan ini merupakan kali ketiga tetapi kali pertama buat semua murid Tahap Dua tahun 4.5 dan 6 bagi unit beruniform TKRS, PBSM, Pengakap, Tunas Puteri dan Puteri Islam.  Tujuannya adalah untuk kenaikan pangkat, pentauliahan mengikut unit uniform masing-masing.
  Murid-murid menginap di sekolah selama sehari semalam bermula dari jam 5.00 petang Jumaat hingga  6.00 petang Sabtu.  Slot menarik ialah acara masakan rimba, kawad kaki, senam robik, ikatan dan acara yang berkaitan dengan aktiviti badan uniform masing-masing.
  Ada acara keagamaan iaitu sembahyang berjemaah dan qiamulai dan solat hajat. Tentulah meriah majlis ini kerana semua guru berkumpul dan masing-masing rewang bersama untuk aktiviti memasak dan menyediakan makanan.
  Beruntunglah sekolah SKSS kerana ada ketua chef masakan dan guru-guru yang ringan tulang bekerjasama menjayakan program ini.  Bukan mudah untuk mendapat suasana begini kecuali di kampung-kampung tradisi.  Aku pun pernah menyertai  perkhemahan begini di beberapa buah sekolah di SK Pinang Tunggal, SK Paya Keladi, SK Dato'Naning yang mempunyai guru-guru berkemahiran memasak. Senario berlainan pula di SK Sahabat 4, di mana aktiviti perkhemahan peringkat sekolah selaras   tetapi makanan  disediakan oleh guru pemimpin masing-masing. Kedua-duanya mempunyai kebaikan dan kelebihan tersendiri.
 
                 Majlis perasmian oleh guru besar, Encik Abdul Majid bin Ismail, di dewan sementara , SKSS
            seronoknya mereka membakar jagung, kentang, ubi kayu
          Entah masak, entah tidak! Hitam adalah kena api bukan bara..hehehe

                                Saja-saja mengacau budak-budak ni!

Tuesday, May 14, 2013

Generasi tidak mahu ke sekolah

Ingatkan zaman IT ini dan serba moden ini kanak-kanak akan gembira ke sekolah tetapi ada juga yang culas.  Tahun 2013 ini cabaran bagiku.  Nak tahu cerita, muridku ini hanya hadir 14/75 hari. Surat amaran pertama telah diberi. Disusuli telefon beberapa kali, kemudian hadirlah 5 hari dan terus bercuti.
  Minggu lepas 3/5 aku telah pergi ke rumahnya.  Dia berjanji akan datang ke sekolah.  Kini surat amaran kedua kuiringi dan kali kedua ku pergi ke rumahnya pada 14/5/2013.  Menurut ibunya memang anak-anaknya satu generasi kaki ponteng, tak mahu ke sekolah, nanti tahun 6 baru hendak ke sekolah, pelikkan!.
  Ada juga ibu bapa macam itu.  Teringat aku dahulu, kalau diikutkan kata ibuku, memang tak jadi cikgulah aku sebab masa aku darjah dua, ibu minta aku berhenti sekolah kerana hidup aku susah.  Ayahku meninggal dunia ketika aku 3 bulan dlam kandungan.  Ibuku janda muda 27 tahun hingga sekarang.  Ibu terpaksa menoreh getah menyara hidup kami tiga beradik. Namun kami 3 beradik dapat meneruskan pelajaran hingga ke tingkatan 5 dan aku sahaja hingga ke tingkatan 6.
  Aku pun pelik dengan budak ni. Emak dan bapanya ada motosikal, boleh hantar ke sekolah sedangkan aku dahulu berjalan kaki ke sekolah yang jaraknya lebih kurang 800 meter. Kami tidak  mampu hendak beli basikal.  Jalan kaki adik beradik melalui jalan raya yang panas terutama ketika balik dari sekolah. Kami terpaksa berhujan dan berpanas.
  Budak-budak sekarang ini manja lebih, tidak ada kesedaran bahawa pelajaran itu penting sebab itu jadi macam itu.  Lagi pelik tidak menghargai nasihat guru , ibu bapa, kakak dan masyarakat di sekelilingnya.
  Inilah keindahan kampung di kawasan tempat tinggalnya.


 Teringatku pada zaman kecil, memancing ikan dan mencari padi yang lebihan di sawah untuk dipungut dan dibawa balik dan ditumbuk dijadikan beras. Alangkah sukarnya kehidupan kami.  Syukurlah kepada Allah yang telah memberikan nikmat-Nya sehingga aku berjaya menjadi guru hingga ke hari ini.

Thursday, May 9, 2013

Guru -Penyelesai masalah

Hari ini menyirap darahku.  Manakan tidak, muridku 4 Jaya suka berkelahi macam 'anjing dengan kucing', pantang cikgu tidak ada, almaklumlah sekarang ini ramai guru yang berkursus, jadi mereka menunjukkan bakat 'hero' masing-masing.
   Memang seorang muridku ini agak kasar orangnya.  Suka memerintah rakan yang lain dan suka bertumbuk atau berkelahi.  Ada pula agendanya ke sekolah, berniaga. Oleh kerana perniagaannya tahun lepas yang tak diselesaikan maka dibawanya ke tahun ini.  Kira memaksa rakannya membeli jam yang berharga RM10 , katanya RM50.  Mana betul, mana salah , aku pun bigung jadinya.  Kes ini belum selesai lagi walaupun dah buat aduan kepada GPK HEM dan guru disiplin.
  Kini kes lain pula timbul. Sudah ditumbuk kawannya seorang di perut sebanyak 2 kali, menangis si mangsa.  Kes 2 pula, melempang kawan yang lain , kononnya nak bergurau, menangis pula si mangsa.  Geram betul aku jadinya, maka ku telefon ayahnya sendiri meminta datang ke sekolah untuk menceritakan kenakalan anaknya. Hari-hari ada sahaja aduan mengenai kenakalannya.
  Malam ini, si emak pula menelefon aku.  Terus terang dia menceritakan perihal anaknya yang menjual cicak berekor dengan harga RM50.  Pihak sekolah tidak tahu.  Patutlah dia nak jual jam tangan itu dengan harga RM50, barulah terbongkar rahsia!. Aku pun ceritakan serba sedikit perangai dan kelakuan anaknya. Perangai anaknya yang tidak mahu berfikir dan hendak kerja mudah dan belajar di kelas pemulihan sedangkan dia boleh membaca dan menulis sekiranya rajin dan lebih tekun.
     Akhirnya sekali, kupinta ayahnya datang ke sekolah untuk menyelesaikan masalah anaknya, semoga janjinya ditepati,.....semoga Allah memberikannya sinar untuk berubah ke arah kebaikan....In Sha Allah. 

Wednesday, May 8, 2013

Guru-juru ukur-juru jual

Kini tiba musim sukan skolah pula. Maka sibuk-sibuk semua guru kelas memastikan semua muridnya membeli baju sukan sesuai dengan saiz badannya.  Tiba musim, murid mencuba saiz baju sukan pula.
  Setiap tahun semacam acara wajib pula setipa murid mesti membeli baju sukan.  Aku baru tahun kedua di sekolah ini.  Berbagai ragam dan berlainan rentak di setiap sekolah,maka sebagai guru kita terpaksa mengikut sahaja.  Oleh itu ini kali kedua , aku terpaksa memastikan muridku membeli saiz baju yang sesuai dengan mereka.  Baju sukan lengan pendek harganya RM14.00 dan lengan panjang RM15.00.  
  Masalah muridku ini , mereka ingatkan macam beli baju di kedai atau di pasar raya .  Hari ini bayar duit, dapat baju serta -merta. Oleh itu, sabarlah murid-murid baju yang kamu hendak beli ini terpaksa ditempah mengikut bilangan warna ikut rumah sukan dan saiznya.   Untuk mendapatkannya bukanlah mudah kerana terpaksa disiapkan mengikut bilangan murid di sekolah kamu seramai 577 orang. 
 

Ingat senangkah nak tempah lencana dan mencetak  nama sekolah di belakang t-Shirt sukan ini?

Jadi Jururawat pula!

Sudah beberapa hari, aku mengambil masa beberapa jam untuk mengukur tinggi dan menimbang berat badan bagi murid-murid tahun 4  Jaya.  Memang tugas guru kelas yang sebenarnya tugas jururawat tetapi apa boleh buat sekarang ni bemacam-macam tugas diletakkan di atas bahu guru kelas.
  Setelah habis mencatat ukuran tinggi dan berat badan murid, kini mengira BMI murid pula.  Diberi formula BMI = berat(KG) / tinggi X tinggi (M).  Selepas itu terpaksa merekodkan graf pula serta membuat intepretasi pula.  Macam-macam tugas perkeranian yang mengambil banyak masa juga, jadi terpaksa aku membawa balik buku rekod kesihatan ini dan menyiapkannya di rumah.  Kerja ini belum siap lagi kerana aku belum membuat ujian mata sebelah kanan dan sebelah kiri dengan kaca mata atau tanpa kaca mata.  Ha..hahaha...entah bila agaknya dapat pembantu guru untuk meringankan kerja guru kelas....Wassallambissawab.
 



Friday, May 3, 2013

Akhirnya, ku jejaki rumahnya.!

Sepanjang pengalaman mengajar selama 28 tahun, belum pernah mendapat murid yang hanya hadir 12/75 hari.  Surat amaran pertama sudahku berikan.  Aku sebagai guru kelas telah memaklumkan kepada GPK HEM.  GPK HEM telah menelefon dua kali kepada ibu bapa murid tersebut. Pertama GPK HEM kena marah.
  Setelah menunggu sehingga bulan Mei, dan memberitahu guru kaunseling . Seperti biasa aku memohon izin kepada GPK HEM melawat murid ini ke rumahnya ingin bertanya khabar.
  Maka pada 3 Mei, aku dan Pekerja PAR pun ke rumahnya. Aku dapat bertemu dengan kedua ibu bapa dan murid tersebut.  Kedatangan ku disambut baik.  Seperti biasa, penyakit orang Melayu, biasalah, anak-anak saya memang macam itu, dari kecil susah nak pergi ke sekolah.  Darjah enam baru nak ke sekolah.  Maka, jawabku, janganlah macam itu, nanti banyak ketinggalan dalam pelajaran .  Galakkan dia pergi ke sekolah , sekurang-kurangnya dapat pelajaran, kemahiran asas untuk memudahkan mendapat kerja.
   Katanya, dia takut dengan cikgu A dan cikgu B dan tidak suka perhimpunan. Maka jawabku, dalam hidup ini kita tidak boleh memilih sama ada kita suka atau tidak, kita mesti lakukan asalkan tidak bertentangan dengan undang-undang dan peraturan Allah. Dia berjanji akan datang ke sekolah.  Semoga janjinya akan ditunaikan.  Kepada anak-anak, pergilah ke sekolah , tuntutlah ilmu, marah cikgu, denda cikgu bukanlah tandanya benci, tandanya sayang agar kamu belajar.....agar kamu pandai.....,,,jumpa lagi...

benar rupanya mimpiku ini!

Sebelum balik ke kampung untuk mengundi, aku telah bermimpi.  Mimpiku bumbung rumahku telah terbuka. boleh dilihat kayu alangnya. Malangnya bumbung rumah separuh ada, separuh  tiada.  Puas ku termenung seketika.

Kini, jelas terbukti, tangki air yang terletak di bilik tidur anakku , pam airnya tidak berfungsi.  Melelehlah air keluar . Kali ketiga , sudah air melimpah di biliknya.  Habis basah tilam, bantal  dan plug.  Nasib baik tak banjir sampai ke ruang tamu seperti dahulu.  Mungkin baru dua atau tiga hari sahaja perkara ini berlaku. Aku takut kalau lebih lama reput kayu alang bumbung bilik itu dan mungkin silingnya akan runtuh.
   Memang terdetik di hatiku kerana baru hari khamis 2 Mei,2013 aku berbual dengan suamiku, kalau tak dapat tukar ke sekolah yang terdekat, aku nak pindah balik Melaka sahaja.  Dia diam , tak menjawab.  Kekadang bengang juga aku asyik menyewa rumah orang atau rumah kerajaan sedangkan rumah sendiri ku tinggalkan.
   Lagipun aku sudah jemu berpindah- randah penat sementelah pada usia semakin senja.  Sepatutnya, kami dapat berkhidmat di negeri sendiri, mendidik anak tempatan dan dapatlah menabung sedikit .
   Setiap kali balik ke rumah, setiap kali terpaksa menyapu dan membersihkan rumah yang berhabuk dan berdebu.   Rinduku pada suasana sendiri.   Entah bila nasib aku sebagai perantau akan berakhir.....semoga Allah memperkenan doaku......aamiin

Wednesday, May 1, 2013

terlerai kemelut Gaji 2010-2013

Perpindahanku ke Sabah mencoret suka -duka perjalanan hidup sebagai seorang guru mendekati sedekad umur persaraan.  Suka -duka kujalani dengan penuh gelombang yang harus kutempuhi.  Pertama, pertukaran melepasi permohonan guru cemerlang .  Kemudian melepasi fasa menunggu jawapan. Setahun berlalu. Setelah mendapat jawapan pula menunggu pengesahan.
  Semasa menunggu pengesahan selama setahun , aku pula sudah bertukar ke  Selangor.  Maka haru-biru di mana Buku Rekod Perkhidmatan/Buku Kenyataan Perkhidmatan tidak dikemas-kini.  Kalau di Sabah, buku di Melaka, kalau di Selangor, buku di Sabah...begitulah nampaknya.
   Seperkara lagi susahnya nak bertukar ke Selangor, 2 kali surat pertukaran tak sampai ke destinasi, terpaksa urus sendiri, naik BPSM di Putrajaya, JPNS dan faks ke JPN Sabah...semuanya ku urus sendiri hinggalah terlibat dengan kemalangan.  Kemudian tragis lagi, PT buat gaji salah, PT Selangor marahkan aku pula, kenapa cikgu ni biarkan gajinya diterima salah? Berdesing telingaku! . 2 bulan elaun hidup susah , intensif wilayah, dan elaun perumahan di Sabah ditambah dengan lebihan gaji selama 19 bulan 24 hari sebanyak RM 9268.80. Tambah sadis dan terhentak jiwaku apabila gajiku dipotong untuk bayaran balik  sehingga sifar bulan pertama bertukar di Selangor, sudahlah kesukaran menghambat jiwa dengan perjalanan yang jauh 121km dua hala dari rumah di Sabak Bernam.
  Selama 6 bulan gaji dipotong berdesap-desup sehingga habis tetapi hendak menunggu kenaikan gaji DG 44 bukanlah mudah terpaksa menunggu sehingga setahun 2 bulan daripada surat pengesahan yang bertarikh 13/1/2012 yang  backdated 24 Ogos 2010 .
      Selama hampir 2 tahun 7 bulan aku memangku DG 41 akhirnya pada bulan April  2013 barulah terlerai kenaikan gaji DG 44 setelah bertemu muka dengan ketua kerani di PPD, ketua kerani bahagian sekolah dan   aduan eduweb kpm pada tahun lepas bulan April 2012 serentak gajiku dipotong sesifar semangatku jatuh terhentak.
    Syukurlah  terlerai sudah. Semoga episod ini menjadi pengajaran kepada guru lain jika anda berpindah -randah sepertiku.  Ingatlah Buku Kenyataan Perkhidmatan penting untuk dikemaskinikan dan surat-surat pelantikan, pengesahan perlu dikepilkan sebagai bukti kerana bukan semua kerani mencatatkan kenyataan tersebut.  Kita sendiri perlu peka....... Tahun 1990 pun perkara ini pernah terjadi kepadaku 9 bulan tak dapat gaji kerana buku ini juga .  Perpindahan dari Selangor ke Pulau Pinang.....sejarah berulang!