Wednesday, July 31, 2013

Sampul Raya 2013

Setiap tahun pasti aku membuat sampul Raya.  Memang dah menjadi tradisi bagiku kerana semua muridku pasti mendapat 'ang pau '.  Memanglah nak menggembirakan hati kanak-kanak sempena Hari Raya tambahan pula , mereka tidak akan datang ke rumahku kerana jauhnya dari sekolah 60.5 km.
Sementelah aku pula beraya di Melaka.
  Tahun ini, aku buat sampulnya besar sedikit.  Sehelai kertas pembalut hadiah itu dilipat empat memanjang, kemudian ku potong tiga. Jadi, dapatlah 12 sampul dengan harga sekeping kertas RM0.60.  Untuk memberi ucapan "Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan Maaf Zahir Batin" ku cetakkan dan tampal di atas sampul itu.  Kan dah, jimat.  Kalau beli sampul yang dah siap di pasaran harga RM2.00 tiga puluh keping tetapi amat kecil.  Dengan buat sendiri sampul ini aku berpuas hati....hehehe...Moga-moga Allah memberikan aku kesempatan lagi pada tahun depan meraikan Hari Raya Aidil Fitri.




Episod di MayBank Sungai Besar 31/7 /2013

Hari ini aku terkejut melihat ramainya orang berkumpul di hadapan MayBank Sungai Besar. Kelihatan seorang perempuan tua sedang menangis dikerumuni beberapa anggota polis bantuan.
  Kulihat makcik itu kelihatan seperti hendak pengsan tetapi dipapah oleh mereka.  Kemudian dipujuk oleh mereka.  Salah seorang daripada 4 orang polis tersebut sedang menelefon, tak tahulah mungkin menghubungi saudara-mara atau anak mak cik tersebut.  Kasihan, aku melihatnya!.  Rupa-rupanya, dia ditipu . Dia kehilangan RM10 000 setelah ditepuk bahunya oleh seseorang.  Tak tahulah lelaki atau perempuan dan berbangsa apa.  Selalunya yang membuat kerja ini orang Indonesia tetapi aku tak pasti.  Aku masih ingat lagi pada suatu hari, aku pernah ditegur oleh seseorang Indonesia di hadapan bank yang sama bertanya tentang stesen bas, setelah ku beritahu arahnya, ku lihat dia berpatah balik.  Kemudian aku meneruskan perjalanan kehadapan kaki lima bank itu,  terjumpa pula seorang perempuan Indonesia , masih menggunakan taktik yang sama, bertanya atentang pejabat pos pula sedangkan pejabat pos itu hanya berjalan kaki di belakang bangunan bank itu. ..Hai, hai, manusia pandai juga korang berlakon untuk menipu ya!.  Aku yang teringat akan peristiwamenipu  ini cepat-cepat beredar, kalau layan pun jawab sepatah dan terus berlalu.  Aku bersyukur kerana selama ini aku masih terhindar daripada masalah ini.  Semoga Allah melindungiku dan peringatan kepada semua orang agar tidak melayan serta berhati-hati agar tidak tertipu dengan taktik mereka.
  Suatu yangpeliknya, mungkin mereka ini jadi pengintip di bank-bank atau pegawai bank/ orang dalam beri maklumat kot...bagaimana diketahui mak cik ini mengeluarkan duit sebanyak itu? Selalunya kes ini berlaku kepada mereka yang mengeluarkan wang yang banyak seorang diri.

Kisah 4 Jaya 29/7/2013

Walaupun dah mengajar hampir 29 tahun, aku masih mencari kaedah dan teknik  yang terbaik untuk anak didikku.  Mengapa? Kerana setiap kali murid-,muridku ini berbeza, kalau dahulu di sekolah lama, aku dapat mendidik mereka dari tahun 4 -6, jadi mudah menyambung tugas pembelajaran dan pengajaran sebab dah memang kenal karenah mereka.
  Tahukah dah 7 bulan bersama mereka, masih lagi bersifat keanak-anakan.  Mereka perlu pujian dan ganjaran.  Walaupun kekadang agak melucukan sifat keanak-anakan mereka, namun terselit kepandaian yang tak perlu diajar.
  Berlainan dari hari biasa, 29/7/2013 aku hanya menyuruh setiap murid membaca seperenggan demi seperenggan.  Kemudian , aku minta mereka terangkan maksudnya, kalau tidak faham aku akan bantu mereka. Mereka pun pelik. Mengapa? kerana aku tidak menulis sebarang perkataan di papan putih.  Dengan tidak disangka-sangka tetiba terpacul keluar pertanyaan. " Hari ini membaca sahaja , cikgu", kata salah seorang yang bermulut murai.
   "Yalah, sebab kamu masih belum dapat membaca dengan lancar". Tambahan pula terlalu banyak kesalahan perkataan yang kawan-kawan klamu sebut.  Akhirnya sebelum tamat pelajaran baharulah aku mula menulis di papan putih seperti biasa kerana anak muridku ini hanya pandai menyalin jawapan sahaja,  Kalau tidak alamat tak belajarlah.

Sunday, July 28, 2013

Bebanan Guru

Tugas guru kini bukan sahaja mengajar tetapi dibebani dengan pelbagai kehendak sukatan pelajaran, kehendak pentadbir Kurikulum, kokurikulum dan HEM- Hal ehwal murid, di samping memenuhi arahan PPD , dan KPM.  Tidaklah sempurna kerja kita sekiranya  diupdate' kan.  Semakin lama bertugas di bidang perguruan ini semakin rumit dirasakan.
  Diulit  dengan karenah murid, karenah ibu bapa dan rakan sejawat .  Sebagai guru yang dikatakan "yang menurut perintah", sukar untuk kita mengungkapkan , kadang-kadang terasa lemas dengan pembaharuan yang dilakukan oleh pihak atas tambahan pula dengan kehadiran KSSR,  linus, PROTIM, SAPS, dan kehadiran web yang perlu dipenuhi semuanya dengan rangkaian internet.  Mana-mana guru yang tidak mempunyai internet di rumah pasti akan mengeluh dan terkejar-kejar untuk memenuhi segala borang secara online terutama pemarkahan, data  murid  SMM dan sebagainya.  Contohnya tahun 2010, sebanyak 4 kali aku mengisi markah -SAPS- rasa nak menangis apabila markah yang diisi tidak ada atau hilang tambahan pula line lembab terpaksa mengisi markah pukul 3 atau 4 pagi.
  Kini satu bebanan pula timbul.  Borang pemeriksaan buku yang diselaraskan di sekolah baruku. Borang itu perlu dilengkap siap dengan tarikh, kelas, bila hantar, bila pulangkan, tajuk/kemahiran serta catatan/hasil kerja murid/mutu.  borang ini seperti tidak percaya akan kerja guru memeriksa buku murid .  kenapa perlu terlalu rigid hingga mengambil masa untuk mencatat/melengkapkan borang tersebut sedangkan masa itu diperlukan untuk memanggil murid untuk menerangkan kesalahan mereka atau membimbing mereka.  Adakah wajar borang itu diwujudkan?  Kasihanlah kami guru-guru yang sekarang ini terasa amat terbeban.
 

Jualan Bunga di SK Sahabat 4 2010

Migrasiku ke SK Sahabat 4, 19 April 2010, banyak kenangan suka duka yang terlakar di sini.  Antara aktiiviti di sekolah sempena Hari Guru, kami mengadakan jualan hadiah untuk guru-guru.  Murid-murid digalakkan membeli cenderamata untuk guru mereka.
  Oleh itu, kami menjual cenderamata seperti bunga, kad ucapan Hari Guru, rantai kunci, pensel yang unik dan sebagainya. Antara kenangan yang ku catatkan di sini ialah jualan bunga yang dikira insan kerana memandangkan latar belakang ekonomi ibu bapa murid di sekolah ini.  Bunga yang dijual hanyalah berharga dua ringgit dikepilkan kad ucapan kecil.
   Hanya gambar ini menjadi buah tangan kenangan bagiku di sekolah ini.

 Gerai jualan hanyalah kecil setakat 3 buah meja ,disusun bunga-bunga dan diadakan di Dewan ILTIZAM .  Gambar kenangan bersama seorang rakan, Ustazah Juwaida bt Juwahir.  Rencamnya tugas  guru zaman kini.

Friday, July 26, 2013

Parut kelapa

Sejak berpindah-randah,dari Sabah ke Sabak Bernam masalah hendak memasak menjadi masalah utama kepadaku.  Sekiranya di Felda Sahabat, di hadapan rumah sewaku ada  sebatang pokok kelapa yang berbuah lebat .
Aku terpaksa menjolok buah kelapa tersebut untuk mendapatkannya.
  Kini, di Sabak pula terutama di Sungai Lang , Sungai Air Tawar dan Parit baru pula berlambak-lambak buah kelapa, maklumlah negeri pengeluar kelapa . Aku sebenarnya lebih suka memerah kelapa untuk mendapatkan santan.  Oleh kerana tidak ada mesin kelapa, jadi aku terpaksa gunakan parut kelapa tradisi ini.  Bukannya susah kerana aku memang  biasa dengan parut kelapa ini .  Semasa hidup susah dulu, zaman kanak-kanak sekitar umur 8-14 tahun, selalu aku memarut kelapa sehingga berpuluh biji untuk membuatkan minyak masak.  Selalunya santan yang diperah diambil kepala santannya lalu dimasak sehingga terbit menjadi minyak .
  Kini, perkara yang sama diulang.  sekiranya aku hendak memasak menggunakan santan, aku lebih suka memarut kelapa.  Istimewanyanya parut ini ku beli di pekan Cenderawasih , Lahad datu, Sabah dan bangkunya kubuat sendiri daripada papan meja sekolah SK Sahabat 4 yang telah dilupuskan manakala gergaji pula ku pinjam dari Ustazah Arbayah, yang tinggal  bersebelahan rumah sewaku, juga merupakan rakan sejawat .  Sungguh banyak nostalgianya parut ini.
     Terima kasih tidak terhingga kepada Ustazah Arbayah Suwandi dan keluarganya kerana budi baik dan sentiasa menolongku ketika aku kesusahan semasa di Felda Sahabat dan menumpangkan aku ke sekolah sebelum aku membeli kereta pada bulan Mac 2011.






Labuk Bay Probosis Monkey Sanctuary

Selepas berlegar-legar di sekitar Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, kami beralih ke Labuk Bay Probosis Monkey Sactuary.  Untuk mencari  destinasi ini, agak sukar juga kepada kami.
   Agaknya 2-3 kali kami berpusing-pusing mencari papan tanda menuju ke destinasinya.  Kekadang kami lihat papan tanda , kemudian terlepas pula simpang jalan menuju ke kampung itu. Kampung Samawang di Labuk Bay, Sandakan merupakan jalan gravel, berdebu.  Akhirnya , kami sampai juga pada pukul 12.30 tengah hari.  Kawasannya luas dengan hutan bakau.  Terdapat tayangan filem tetapi oleh kerana tidak kesempatan, kami hanya melihat monyet probosis sahaja.  Keadaan lebih kurang sama dengan tempat pemulihan orang utan Sepilok.  Masalah utama kalau makan angin di Sabah ini tidak cukup sehari kerana tempat pelancongannya jauh antara satu tempat ke satu tempat.  Sekiranya anda ingin melancong, anda memerlukan beberapa hari untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat.



Kami berpuas hati , walaupun 2 tahun di Sabah, sempat makan angin atau bersiar-siar di beberapa tempat pelancongan yang menarik seperti GUa batu Tulug, Labuk Bay Probosis Monkey Sanctuary, orang Utan Sepilok, tempat matahari terbenam di Simpang Magayau, Rumah Panjang Rungus, kolam Air panas di Ranau dan Muzium Negeri Sabah.
  Walaupun tinggal jauh di hujung dunia, Felda Sahabat sampai juga kami ke Kota Kinabalu , Sandakan dan Tawau.  Cuma terkilan tidak dapat mendaki Gunung Kinabalu, sempat singgah di kaki Gunung Kinabalu dan melihat gunung itu di pekan Nabalu.
 Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary menawarkan satu lagi kawasan pemeliharaan Monyet Belanda (Proboscis Monkey) untuk pelancong yang ingin melihat haiwan ini secara dekat tanpa perlu pergi lebih jauh lagi. Santuari ini terletak di tengah-tengah hutan bakau di sepanjang kawasan berdekatan Kampung Samawang di Labuk Bay, Sandakan. Ia terletak sejauh 38 km dari Lapangan Terbang Sandakan dan mengambil masa lebih kurang sejam untuk sampai ke pusat ini. Separuh daripada jalan tersebut adalah jalan gravel. Bagi sesiapa yang suka melihat haiwan unik ini, ini adalah suatu kemestian untuk melawat tempat ini. Jadual waktu pemerhatian ialah pada 11.30 pagi - 1.30 petang dan 4.30 petang - 6.00 petang. 

Pusat Pemuliharan Orang Hutan Sepilok, Sandakan

Sambil meraikan hari keluarga SMK Desa Kencana di Sandakan, kami tidak melepaskan peluang makan angin . Antara, destinasinya ialah melihat keindahan alam semula jadi Pusat Pemuliharaan Orang hutan di Sepilok.
  Kami sampai ke situ pada awal pagi lebih kurang pukul 10.00 pagi. Harga tiket RM7.00 seorang, kami bertiga sahaja, aku, suamiku dan anak bongsuku.
Semasa di pintu masuk, kami dilarang memberi makanan kepada orang utan.
  Walaupun masih awal tetapisudah ramai pengunjung. Untuk melihat orang utan itu , kami terpaksa berjalan kaki di atas lantai kayu yang disediakan. Ada beberapa tempat hentian yang disediakan khas untuk melihat orang utan diberi makan.  Terdapat stesen-stesen dan tali bergantungan khas untuk orang utan bergayut dan sampai ke stesen untuk menjamu seleranya. Kami lihat betik, pisang, jambu adalah makanan orang utan.
 
                                                        laluan lantai kayu
                                tetiba kami disergah seekor orang utan, garangnya!
                                                Waktu makan orang utan
PUSAT PEMULIHARAAN ORANG UTAN SEPILOK

  Pusat Pemuliharaan Orang-Utan Sepilok yang terletak 25 kilometer dari Bandar Sandakan, mempunyai keluasan 43 kilometer persegi.  Pusat Pemuliharan Orang Utan Sepilok merupakan sebuah hutan asli yang terpelihara.  Orang ramai dapat melihat Orang-Utan (Wild Red Apes) di tempat asal semulajadi mereka iaitu di hutan hujan tropika ini.  Tujuan utama Pusat Pemuliharaan Orang-Utan ini adalah untuk mendidik anak-anak orang-utan yang terpisah dari ibunya untuk berdikari di dalam hutan. 

 Pada tahun 1957, pembalakan telah diharamkan dan pasukan simpanan telah dilantik untuk membuat penyelidikan. Dalam tahun 1963 semasa Sabah merdeka dalam Malaysia, Jabatan Perhutanan telah menbentuk satu Cawangan Penjaga Binatang Perburuan (Game Branch).  

    Pada masa itu, dipercayai bahawa orang-utan ialah binatang yang susah didapati dan makin berkurangan. Musim itu juga anak-anak orang-utan sangat terkenal sebagai binatang perliharaan di kalangan rakyat Sabah dan di tempat lain. Anak-anak orang-utan biasanya di tangkap semasa pembalakan dan pembersihan hutan. Dengan adanya Cawangan Penjaga Bintang Perburuan ini, satu undang-undang baru telah dikeluarkan iaitu ‘Dilarang menangkap dan memelihara orang-utan’. Oleh itu Sepilok telah dipilih sebagai sebuah pusat pemuliharaan orang utan. Pelawat-pelawat boleh ke pelantar untuk melihat orang-orang utan datang dari dalam hutan untuk mendapatkan makanan dua kali sehari mereka iaitu susu dan pisang. Masa-masa memberi makan setiap hari ialah pada pukul 10:00 pagi dan 3:00 petang.



Thursday, July 18, 2013

Gua Batu Tulug

Setelah menetap di Felda Sahabat, 120 km dari Lahad Datu, aku mengambil kesempatan menziarahi beberapa tempat menarik di Sabah.  Antaranya, Gua Batu Tuluq iaitu gua batu kapur yang berusia 20-25 tahun dahulu.
   Kali kedua, aku mendaki gua ini bersama-sama dengan anak-anakku.  Suamiku hanya mendaki separuh daripada gua batu kapur ini.
Mendaki gua batu kapur ini memanglah memenatkan tambahan pula kami dari jauh, bertolak dari rumah pukul 8.30 pagi dan tiba di gua batu kapur ini pukul 12.30 tengah hari.  Di kala matahari terik memancar , kami gagahi juga sampai ke puncak gua ini untuk bersantai di wakaf .
 
     akhirnya sampai juga aku dan anakku di wakaf di puncak gua batu kapur.
                                     laluan lantai kayu menuju ke wakaf
keterangan di muka hadapan gua batu tulug
 keranda yang berukir dengan kepala monyet, buaya, dan sebagainya.

      berhenti di tengah-tengah wakaf setelah penat mendaki
     
           tangga kayu laluan naik ke puncak gua batu kapur
pemandangan dari atas gua

      MUZIUM BATU TULUG terletak di Kampung Batu Putih dengan jarak kira 41 KM dari perbandaran Kinabatangan. Agop Batu Tulug merupakan batu kapur curam yang berketinggian 39 meter. Ianya terbentuk sebahagian daripada pembentukan batu kapur Labang 20-25 tahun dahulu. Dalam bahasa sungai "Agop" bermaksud gua. Oleh itu, dalam bahasa melayunya "Gua Batu Tulug".

Gua Batu Tulug ini telah diisytiharkan sebagai muzium sejak tahun 1996 oleh JabatanMuzium Sabah dan secara rasminya dekenali sebagai "Muzium Arkeologi Batu Tulug""Batu Tulug Archaeological Museum". Muzium Batu Tulug mempunyai beberapa kemudahan untuk pengunjung seperti pusat maklumat untuk memberi penjelasan kepada pengunjung tentang gua tersebut serta kepentingannya. Tempat ini juga dilengkapi kira-kira 200 tangga untuk ke atas bukit dan pintu gua. Dari sini, pengunjung dapat menikmati keindahan persekitaran termasuk sungai Kinabatangan, kampung-kampung serta hutan disekililingnya. Pengunjung yang bertuah akan melihat beberapa hidupan liar seperti Orang Utan dan burung Kenyalang. 

Pada dasarnya, Gua Batu Tulung mempunyai empat buah gua iaitu:
1) Agop Suriba (rendah) di lantai hutan
2)Agop Lintaga (tengah) dan
3) Agop sawat (atas) antara 12-15m tinggi
4) Agop Dimunduk

     Agop Suriba didiami oleh kelawar dan burung layang-layang. Manakala Agop Lintangaadalah gua terbesar dengan ketinggian siling 12 - 15 meter. Kawasan sekitarnya dilindungi dengan hutan kecuali kampung Batu Putih.

    Sawat Lintanga Agop dan Agop Sawat (gua pertengahan dan atasan) mengandungilebih daripada satu ratus keranda diukir kira-kira 200 - 250 tahun yang lalu. Keranda initelah dibuat daripada kayu keras, 'belian' Eusideroxylon zwager dan dihiasi dengan ukirankepala kerbau, buaya, cicak rumah dan ular.

Ukiran pada keranda mencerminkan mitos dan legenda rakyat Kinabatangan, contohnya,buaya yang berkaitan dengan kematian dan kegelapan kuasa manakala burung bugang, anjing, ayam jantan dan rusa adalah kawan-kawan wira atau hero mereka.

Asal-usul aktiviti perkuburan masih misteri. Ada yang berpendapat bahawa gua ini adalahbekas tapak perkuburan orang Cina yang mempunyai urusan di Kinabatangan. Bentukkeranda diukir menyerupai orang-orang  yang telah digunakan oleh komuniti OrangSungai dahulu seperti yang ditemui di Masias Agop.

Tulang-tulang manusia juga ditemui dalam keranda bersama-sama dengan nombor jika ianya  gong, sumpitan, lembing, artifak Cina, seramik dan perhiasan  peribadi.

    Satu lagi gua yang lebih kecil, Agop Dimunduk. Agop Dimunduk terletak berhampiran dengan  tebing puncak di sepanjang cerun bukit. 
Agop Batu Tulug telah digunakan sebagai perkuburan keranda purba sejak kira-kira 500900 tahun lalu.Amalan pengkebumian keranda ini adalah sesuatu yang lazim di Sabah. 

Gua-gua di sini (Agog sawat, Lintanga dan Dimunduk) mengandungi lebih daripada 125 keranda purba, menjadikannya warisan unik budaya Sabah.

Tuesday, July 16, 2013

Pencerapan lagi bagi tahun 2013

Walaupun dah mengajar tahun ke-29 , masih lagi dicerap.  Pencerapanku dilakukan oleh guru besar SKSS.  Ini merupakan kali pertama pencerapan buatku setelah 2 hampir 2 tahun di sekoah ini dan kali kedua setelah dicerap oleh nazir dari Perak , En Ismail,  nazir Bahasa Melayu.
  Aku sebenarnya dah lam berfikir untuk menjadikan lagu " Ayam" oleh penyanyi Jalil Hamid ini.  Menariknya sarikata lagu ini banyak mengandungi simpulan bahasa/peribahasa/perumpamaan.  Daripada lagu ini, aku minta murid mendengar lagu dan menyenaraikan simpulan bahasa yang terkandung  dalam lagu ini.  
  Murid-muridku begitu aktif hendak mencabut kertas undi apabila aku sediakan kotak beracun bagi memilih murid untuk menyebutkan simpulan bahasa yang diketahui atau yang telah dipelajari. Kemuncaknya seperti yang kujanjikan sesiapa yang berjaya menyenaraikan simpulan bahasa akan mendapat hadiah.  Hadiahnya adalah cenderamata yang ku beli dari Sabah.








Penggunaan BBM seperti laptop, speaker, lagu Ayam yang didownload, skrin , word, senarai nama dalam kotak beracun, hadiah rantai kunci atau kerongsang di dalam kotak berwarna emas atau warna perak.
   Dapat ucapan 'tahniah ' daripada guru besar dan markah cemerlang bagi pencerapan ini. ...aku sebebarnya tak kisah dicerap oleh sesiapa , cuma nak fikirkan  bahan dan tajuk p & p, aktiviti yang sesuai untuk murid dan tahap kebolehan mereka.

Sunday, July 14, 2013

Kem Bestari Solat ke-2 2013

Hari ini, 13/7/2013  sekolah , ganti cuti Isnin   7/7/2013 sebab jerebu.  Kalau cuti berganti tentulah ramai murid yang ponteng.  Kelasku 4 Jaya, 10 orang murid ponteng, tinggallah 16 orang.
  Jadual dipenuhi dengan ceramah dan kem bestari solat.  Sebelum itu, masa Bahasa Melayu aku adakan pertandingan kuiz murid 4 Tekun lawan Murid 4 Usaha.  Oleh kerana , murid kurang bersedia aku benarkan mereka merujuk buku.  Soalan berkisar kepada simpulan bahasa, peribahasa, ejaan, kata Nama Am, kata Nama Khas dan sebagainya.
  Selepas itu ceramah agama oleh En Mohd Asmawi bin Mohd Hamidi. Kem Bestari Solat bermula pada pukul 10.40 hingga pukul 12,40 tengah hari.  Kami guru tahun 4 berkumpul di makmal komputer.  Maklumlah 3 kelas, agak sukar juga hendak mengawalnya kerana murid-murid lelakinya agak nakal dan suka bercakap.
  Syukurlah dapatlah juga membantu guru JQAF ini.  Semoga anak-anak kita terutama yang beragama Islam ini menunaikan solat.




 


Monday, July 8, 2013

Maafkanlah daku

Kekadang kita tak perasaan.  Malam itu , semasa melalui lebuh raya sebelum sampai ke Simpang Empat , Alor Gajah, tetiba kereta di hadapan membrek.  Apalagi aku pun membreklah.  Kasihan, ibuku tidak memakai tali pinggang, dia duduk di belakang, agak terperosok.  aku tidak tahu bagaimana dia terperosok sebab malam, keadaannya gelap pula.
   Sampai di rumah, dia mengadu kesakitan tetapi masih sempat mengeluarkan baju-baju dari almari.  Masih lagi aktif berjalan.  Aku pula kepenatan terus tidur kerana memandu dari Sabak Bernam dari pukul 6.30 petang , singgah di Kuala Lumpur  terus  memandu sehingga sampai ke rumah di Melaka pada pukul 11.30 malam.
  Paginya, ibuku terus mengadu kesakitan.  Tak tahu apa nak ku tolong.  Akhirnya Sabtu malam itu , aku bawanya  berurut.  Menurut ibu saudarak,u, lengan tidak patah dan boleh diangkat sedikit.  Akupun diam sahaja.  Ibuku masih lagi mengaduh kesakitan.  Apabila kusebut hendak membawanya ke hospital, ditengkingnya.  Marahnya membuak-buak, entah mengapa bencinya kepada hospital.
  Nasib baik aku bawa ibuku ke rumah kakakku sementelah cuti anak keduaku pun dah habis.  Tanpa berlengah kakakku pun menipu ibuku dan membawanya ke hospital.  Di hospital pula, doktor menyoal kakakku kenapa biarkan tangan ibuku ? Sebenarnya tangannya telah terkeluar dari tulang belikatnya sebab itu dia mengaduh kesakitan.  Akhirnya dimasukkan semula, terpaksa dibius dan kalau tidak berjaya terpaks dibedah.  Ya, Allah betapa berdosanya aku.
    Kesilapan dan kecuaian itu membuatkan aku rasa bersalah.  Patutlah ibuku tak senang duduk, mengaduh kesakitan, aku pula menyuruhnya banyakkan beristifar kerana dia asyik mengungkit peristiwa lama tangannya dihimpit indik.
  Ya, Allah kau perkenankan doaku agar sembuhkanlah tangan ibuku seperti sediakala. Tarikh 12/7/2013 adalah tarikh penentuan untuk melihat tangannya seperti sediakala.  Sebenarnya aku teringat dahulu, pernah tangannya disimen, tetapi sehari sahaja.  Simen ditanggalkan sendiri dan anduh dibuang.  Aku terpaksa membawanya  semula ke hospital.  Nasib baik pembantu doktor itu tidak marah kerana aku telah sedia maklumkan keadaan ibuku.  Hanya kami sahaja yang tahu.........ibu,..oh ibu!

 

Rumah itu kosong lagi!

Tahun 2012, aku tertarik hati dengan sajak bertajuk " Rumah itu Kosong lagi" yang membawa maksud semua penghuni SBPI Sabak Bernam mengharapkan kehadiran seorang bapa iaitu pengetua baru.  Pengetua lama bersara sejak bulan Oktober.   Kehadiran suamiku dinanti-nantikan.  Walaupun tarikh pertukarannya 1 Oktober, namun beliau menangguhkannya.
  Tambahan pula bukanlah mudah untuk menguruskan pertukaranku dan pertukaran sekolah anak bongsuku.  Untuk menguruskan pertukaranku pula, aku terlibat dengan kemalangan pada 25 Oktober, maka bertambahlah penat lagi mana nak uruskan membaiki kereta dengan agen insuran dan barang-barang kargo. Maka secepatnya beliau melaporkan diri pada 6 Disember 2011, maka dengan ini rumah pengetua tidak kosong lagi.
  Tetapi bagaimana dengan rumah kami?. Rumah kami tetap kosong lagi.  Rumah itu kami tinggalkan pada 2010 , ada penghuninya iaitu anak sulungku bersama dengan kawan-kawannya tetapi selepas bulan November 2011 rumah itu kosong sehingga kini.  Hilang seri rumahku.  Sesekali , aku balik mengemas rumah pada setiap cuti penggal atau cuti persekolahan. Aku tidak tahu , entah berapa lama lagi rumah itu akan kosong, sekosong hatiku walaupun aku berada di Sabak Bernam.  Aku bermohon agar Allah memperkenankan doaku agar  dapatlah aku pulang semula ke rumahku sendiri, setelah penatku merantau dan duduk menyewa di rumah orang atau di kuarters guru rumah pengetua ini.

Tak Terliur juga akhirnya!

Kalau penghujung cuti sekolah pada 7/6/2013, pokok durianku berbuah sulung, dalam hatiku dapatkah aku merasai kenikmatannya?.  Itu baru dua batang berbuah, ada lagi 5 batang lagi yang belum berbuah.
  Aku bersyukur kerana penantianku berakhir juga.  Dapatlah melihat hasil tanaman tanganku sendiri.  Kiraan kutepat kalau seminggu yang lepas ku ajak kedua-dua anakku dan ibuku balik ke kampung untuk membalut cempedak dan berhasil mendapat sebiji durian kecil yang hanya mempunyai 2 ulas durian, syukurlah dapat juga melihat isi durian yang cantik dan merasai kelazatannya.
  Pada 29/6/2013 ,aku balik ke kampung lagi untuk melihat buah cempedak dan buah durian.  Buah durian pokok pertama dah habis dikebas orang.  Pokok kedua pun kulihat dah bertaburan kulitnya di bawah pokok.  Sudah kukira ada 32 biji.  Kalau dikira kulit ada 8 biji bekas lama dan baru. Ada 4 biji baru gugur dan 12 biji dah lama gugur kerana si pencuri tak berani nak bawa keluar dari kebun itu takut dilihat dek orang,maka dimakan di bawah pokok .  Anehnya, lengkap dengan sebuah kerusi untukl duduk di bawah pokok.
   Sebelum balik ke Sabak , ada 3 biji lagi di atas pokok.  Ku lihat buah itu mungkin dah cukup masak, tetapi menunggu masa untuk gugur, jadi ku jolok sahaja 2 biji, ku tinggalkan sebiji kerana masih kecil atau belum cukup matang.  Betulkah kalau buah durian kita jolok akan merajuk, mungkin buah akan datang takkan gugur? Minta-minta janganlah begitu.
 Sykurlah dapat juga kami merasa isi durian buah sulung ini, maka dapat juga diberikan kepada kakakku di Kuala Lumpur, dibawa balik ke Sabak Bernam dan diberikan kepada anak sulungku yang berada di Shah Alam.
  Tinggal buah cempedak sahaja, entah dapat makan entah tidak atau rezeki siapa?...Itulah nasibku sebagai perantau...ada kampung ditinggalkan, , ada rumah ditinggalkan...Entah bila akan berakhir , pulang semula ke kampung halaman umpama si gagak pulang ke benua atau sireh pulang ke gagang.



 Pada tahun berikutnya pokok ini tidak berbuah sehinggalah tahun 2018, pokok durian berbunga banyak tetapi yang menjadi adalah 3 biji dan sebiji   pokok yang sebatang lagi. Memang sedap isinya.