Wednesday, October 30, 2013

Sauna Omizu

Sauna ini ku beli pada 1/2/2007 dari promosi yang diadakan di Giant.  Harganya pada masa itu dengan sauna, mesin urut belakang dan mesin family doctor ialah RM 1999, menurut penjual itu harga sebenarnya RM3000.
  Untuk menjaga kesihatan dan aku rasanya sauna ini penting, maka aku pun meminta berkongsi dengan suamiku.  Setelah ditelefon, agen Omizu ini datang ke rumahku dan membuat demo.  Aku dan suamiku mencubanya selama 20 minit .  Aku kira eloklah untuk mencairkan lemak dalam badan kerana pada saat umur meningkat senja perlulah menjaga kesihatan.
  Tambahan pula, aku mendapat tahu aku rakan sejawatku yang pergi ke spa sekali perkhidmatan RM50.
Dengan itu aku pun bersetuju membelinya.  Pada awalnya, banyak bahan-bahan yang ku isi dalam periuk sauna ini.  Oleh kerana banyak muatannya seperti daun pandan, dan serai, maka airnya melimpah dan terkeluar dari periuk itu, maka periuk itu rosak.  Sukar juga aku mencari agen tersebut berdasarkan telefon dan alamat kerana semasa itu aku tinggal di Melaka sedangkan agen tersebut di Perak.
  Jadi puaslah aku mencari kedai elektrik untuk membaikinya.  Aku bernasib baik kerana  ada sebuah kedai elektrik di Masjid Tanah boleh membaiknya.  Aku hanya perlu bayar RM50.00.  Atas kejadian tersebut, aku mula membaca dan meneliti cara-cara menggunakan periuk itu, rupa-rupanya hanya berat 50 gram sahaja yang boleh ditambah air  bersama di dalam  periuk itu.
  Semenjak kejadian itu, aku memberi ramuan mencairkan lemak, mencantikkan kulit dan melegakan kesakitan setiap kali bersauna dari produk Sendayu Tinggi.. Aku pun jarang-jarang membuat sauna, kalau rajin 3 kali sebulan atau sekali sebulan.  Kalau  aku rasa letih dan rasa tidak bersemangat , barulah aku bersauna.  Semoga aku diberi kesihatan yang baik.  Jom kita kaum perempuan bersauna untuk menjaga kesihatan.


                   Sekotak ramuan untk mencairkan lemak ini harganya Rm35.70 harga ahli
Sekotak ramuan untuk mencantikkan kulit RM35.70 untuk ahli Sendayu Tinggi.

urut kaki - Family Doctor

Hari ini 30/10/2013, ada ada agen atau pekerja Omizu , suatu produk yang menitik beratkan kesihatan datang ke sekolahku . Aku sebenarnya ada kad ahli omizu ini kerana membeli set sauna dengan pakej percuma mesin urut untuk belakang dan urut untuk seluruh badan pada 1/2/2007.
  Oleh sebab hadirnya ke sekolah hari ini untukmengetahui tahap kesihatan, aku pun mengambil kesempatan untuk mencubanya..  Untuk mengetahui penyakit kencing manis, ada  ujian tahap gula dalam darah, bayaran RM5.00, yang lain percuma.  Syukurlah daripada 14 ujian , hanya 3 sahaja yang sangkut atau ada masalah.  Usus besar, usus kecil dan satu lagi sku dah lupa.  Pekerja tersebut menyarankan aku agar membuat urutan kaki iaitu akupuntur. Dia tidak menjual produk di sekolah setakat menguji tahap kesihatan.  Ramai guru yang menguji tahap kesihatan mereka.
     Jadi hari ini, aku nak kongsi urut kaki mesin family doktor ini.  Kalau dahulu , mesin ini menggunakan 2 pad, sepasang berharga RM20 tetapi setelah sukar untuk mendapatkan pad ini, aku menukarkannya dengan selipar.  Seingatku, selipar ini aku beli di SK Sahabat 4 di Sabah, pada tahun 2011 kot, aku pun dah lupa semasa agen Omizu datang ke sekolah itu. Harganya RM100 setelah ditawar.  harga sebenar RM120.00.
   Jadi , berdasarkan 3 aspek tadi, aku perlu membuat uratan kaki ini.  Dalam mesin ini ada beberapa fungsi urutan seperti hammering, acupunture, cupping, scraping, message dan naprapathy.  Setiap fungsi berdurasi  selama 15 minit.  Tujuannya adalah untuk merawat lowering blood pressure, leg, shoulder, waist dan body shaping.  Cuba-cubalah mesin ini utnuk kesihatan kita,

Friday, October 25, 2013

Kerja berpasukan menambah pengetahuan dan pengalaman

 Aku bertuah pada tahun ini kerana dapat menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman.  Walaupun telah berkhidmat hampir 29tahun, namun aku masih mencari ilmu.  Ilmu kekadang dipelajari secara tidak langsung, kekadang pula secara formal.
  Aku berasa bagai orang asing mengajar semenjak di Selangor kerana tidak ada kawan atau sahabat karib.  Kenalan rakan guru hanya di SKSS, kalau di sekolah lain tidak ada.  Untuk menambah kenalan atau kawan-kawan dari sekolah lain kita mestilah mencarinya.  Melalui program ini, aku dapat menambah kenalan melalui kerja berpasukan dan ilmu pengetahuan serta pengalaman .
  Seramai 10 orang dan seorang ketua, kami berkumpul di PKG, SK Jeram Batu 20.  Selama 5 hari sahaja aku bertugas kerana aku salah seorang daripada guru daripada pasukan ini.  Sudah 3 tahun aku tidak bertugas melakukan perkhidamatan seperti ini.  Oleh itu aku ingat-ingat lupa, namun dengan bantuan rakan-rakan akhirnya siap juga misiku.
  Untuk ke sekolah ini, aku terpaksa memandu sejauh 91km pergi dan 91km balik.  Agak penat juga.  Namun disebabkan semangat dan keinginan , aku perlu mengharungi tugas ini demi memberikan perkhidmatan yang tidak ternilai harganya dengan tenaga yang kuberikan.  Syukurlah dapat juga aku memenuhi khidmat yang tidak seberapa ini.  Apa yang penting ialah kerja berpasukan dan dapat berkerjasama menyelesaikan tugasan di samping dapat menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman.
 



Misi menabur Jasa Guru Bahasa Melayu ke Satun , Thailand

Aku bernasib baik dapat mengikuti misi ini yang akan dilaksanakan pada 29 November 2013 hingga 8 Disember 2013.  Seramai 40 orang guru besar, guru-guru , seorang pegawai JPN dan PPD, Kuala Selangor.
   Sebelum bertolak ke Satun, kami menyediakan beberapa persiapan seperti memohon kebenaran ke luar negeri, memperbaharui passport dan bengkel membuat modul pengajaran dan pembelajran.
  Pada 10 Oktober, perjumpaan dan sesi perbincangan di SK Tanjung Keramat.  Kemudian, diikuti perbengkelan untuk membuat modul selama 3 hari, iaitu pada 22- 24 Oktober 2013.
  Selama 3 hari, banyak pengetahuan dan pengalaman dikongsi bersama.  Guru-guru bersemangat membuat powerpoint dan word untuk persembahan dan bahan pengajaran ke sana kelak.
  Kami juga sibuk membincangkan pakaian seragam supaya membawa imej yang baik semasa mengajar di sana. telah diputuskan menempah baju korporat dan tudung bagi perempuan manakala cendera hati kepada keluarga angkat dianggarkan bernilai RM 50 setiap individu.
  Di sebalik perjumpaan  dan rancangannya ini berlangsung,  dapatlah aku berkenalan dengan guru-guru Bahasa Melayu, Guru besar dan beberapa pegawai PPD Daerah Kuala Selangor.
    Perjumpaan pada 10/10/2013, Tuan Hjjh Zaiton bt Selamat , Pegawai Pendidikan Daerah hadir bersama di SK Tanjong Keramat.
   
                        Tiga hari berturut-turut bebengkel membuat modul PdP dan pembentangan setiap kumpulan dengan ketetapan tajuk iaitu kata nama, kata kerja, kata tanya, kata ganti nama dan penjodoh bilangan.
Semoga misi kami akan berjaya pergi dan selamat ......aamiin. Insya-Allah.
                                    berbengkel di Bilik Seminar , SK BandarBaru Kuala Selangor
cerianya bilik seminar dan sekolah ini.

Wednesday, October 23, 2013

Kenangan di SK SAHABAT 4. Lahad Datu, Sabah

Koleksi gambar-gambar kenangan semasa mengajar di Sabah. Tarikh mula bermula dalam surat perpin dahan ialah 16 Mac tetapi aku mula mengajar di SK Sahabat 4 pada 19 April 2010. Mengapa terjadi begini? Semuanya gara-gara menunggu surat rasmi daripada Jabatan Pendidikan Sabah.
   Sebenarnya, guru besar SK Dato' Naning sibuk menyuruh aku segera ke Sabah memandangkan tarikh 16 Mac sedangkan aku masih menunggu surat.  Akhirnya aku menelefon Jabatan Pendidikan Melaka,, nak tahu katanya tidak perlu tunggu surat , terus pergi ke Sabah. Mana sekolah nak dituju? Kemudian aku dapat panggilan telefon daripada Jabatan pendidikan Sabah, bertanya suami, kerja apa? Seterusnya menerima telefon daripada Pejabat Daerah Pendidikan Lahad Datu.   Akhirnya,  aku ditempatkan ke SK Sahabat 4.
  Maka , aku kemudiannya ke Jabatan Pendidikan Melaka mohon dibelikan tiket namun aku diberitahu tidak ada peruntukan sebab suamiku sudah beli tiket dan barang-barang kargo telah diuruskan.  Dengan hati yang hampa, aku beredar.  Kemudian suamiku menempah tiket untuk aku dan anak bongsuku ke Tawau dengan biaya sendiri. Akhirnya, kami terbang dengan Air Asia di LCCT ada awal pagi pukul 7.20.  Aku bertolak dari rumah kakakku di Taman Bukit Angkasa , Pantai Dalam pada pukul 5.00pagi , check in sebelum pukul 6.40 pagi.
  Setelah mengajar di SK Sahabat 4 dari 19 April 2010 hingga 1 Februari 2012, permohonan pertukaran diluluskan,  aku menangguhkan lagi kerana menunggu surat rasmi dari Jabatan Pendidikan Sabah.  Kabatan Pendidikan Sabah masih lambat lagi , terpaksa menelefon, akhirnya pada 1 Mac 2012, aku meninggalkan Sabah.  Suamiku datang ke Sabah untuk untuk menguruskan kereta  , maklumlah aku seorang perempuan dan agak kekok apabila hendak menguruskan semua itu.  Tiket ditempah pada 1 Mac, tetapi aku meninggalkan SK Sahabat 4 pada 26 Februari 2012, bermalam sehari di Hotel Dynasti Silam , Lahad Datu .  Pada 28/1/2012 menuju ke Kota Kinabalu untuk menguruskan kereta. Kami bersiar-siar di Pulau Penyu, Menumbuk dan Beaufort sebelum kereta diambil pada 29 Februari untuk dihantar ke kargo dengan kapal laut, bayaran untuk kargo RM1900.
  Tepat pukul 11.20 pagi , kami meninggalkan Hotel Gaya menuju ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada 1 Mac dan terbang ke LCCT dengan Air Asia pada pukul 12.40 tengah hari akhirnya kami tiba .  Mahalnya parking kereta RM 200 di LCCT selama 4 hari.
  Syukurlah selamat kembali ke Semenanjung.  Banyak sungguh belanja semasa aku pergi dan balik dengan biaya sendiri.  Untuk dapatkan claim daripada Jabatan Pendidikan tidak boleh kerana syarat-syarat yang telah ditetapkan , dapat pula kita suami-isteri penjawat awam.
 
Bergambar dengan murid-murid tahun 6 selepas UPSR 2011
                                                       Hari penyampaian Hadiah 2010
                                    Jamuan kesyukuran kerana mendapat keputusan Guru Cemerlang 2010
Doa kesyukuran.
Jamuan di Bilik Gerakan, SK Sahabat 4

Saturday, October 19, 2013

Perkhemahan tahun 6 SKSS di Homestay Sungai Sireh

  Perkhemahan semua murid Tahun 6 SKSS bermula pada 18/10 hingga 19/10/2013.  Setiap tahun inilah acara wajib yang akan dijalankan setelah selesai UPSR.
  Perkhemahan wajib ini diadakan di Homestay Sungai Sireh.   Memang  inilah lokasi yang sesuai dijadikan tempat perkhemahan kerana dilengkapi pelbagai kemudahan seperti surau, bilik air, dewan serta tempat berkhemah di bawah pokok kelapa sawit.  Ada juga kemudahan lain , yang disediakan seperti berkayak, permainan tradisional dan perkhidmatan bot enjin  sangkut.  Keistimewaan di sini ialah kehidupan bersawah padi, kelapa sawit serta keindahan hidup di kampung nelayan.
  Aktiviti yang biasa dilakukan oleh semua murid ialah mendirikan khemah, masakan rimba, berjalan malam, jungle tracking. berkayak dan aktiviti senaman serta motivasi diri.  Semoga semua murid dapat menimba pengetahuan dan pengalaman hidup di hutan dan melatih murid bekerjasama dalam kumpulan serta berdikari.

   Cikgu-cikgu sibuk memasak makan untuk makan tengah hari 19/10/2013, membakar ayam dan sosej untuk makanan guru, sayur campur dan daging kambing masak kicap.

                                                   Murid-murid memasak ayam masak merah
                                                      Murid menggoreng telur dadar

murid saling bekerjasama memasak untuk pertandingan masakan rimba.  Mereka menggunakan kayu api dan buluh sebagai bahan bakar yang ada di sekitar tapak perkhemahan.

Jom berkayak

Sejak berpindah ke SKSS, aku berpeluang mengikuti perkhemahan tahun 6.  Tahun lepas, aku bertugas pada waktu petang sebagai pendaftaran dan membantu memasak, pukul 6.00 petang bertolak ke rumah di SBPI, Sabak Bernam.
 Tahun 2013 ini, 19/10 pula bertugas untuk mengawasi murid-murid untuk masakan rimba. Aku hadir awal pagi pada pukul 9.45 pagi terus ke jeti untuk melihat murid-murid belajar asas berkayak.  Teringin pula nak berkayak. Pada mulanya melihat semua murid berkayak. Ada 25  kayak, mrid berpasangan , hanya 24 kayak digunakan dan satu kayak yang lain digunakan oleh seorang guru untuk mengawasi murid yang terlibat. Seramai 4 orang guru yang lain mengawasi mereka selain sebuah bot enjin sangkut digunakan untuk mengawasi semua murid.
  Cikgu lelaki yang mengawasi ialah Tn Hj Hanafi, Shaminan, Hakimi, Muzairi selain guru perempuan Pn Halizah, Siti Saniah dan Pn Kamariah. Aku dan beberapa orang guru perempuan yang lain turut menyibuk sahaja.  Aku naik bot enjin sangkut 2 kali.
   Setelah  semua murid seramai 70 orang yang berkayak, aku ikut serta kumpulan ketiga.  Baru nak belajar berkayak dah berusia begini agak susah juga.  Tetapi tak apalah pengalaman mesti dibuat mengikut pengetahuan.  Cuba-cuba ajalah....berkayak dengan anak Cikgu Halizah yang berusia 8 tahun.  Kayak pergi ke kiri dan ke kanan. Kemudian mengundur ke belakang, nak maju ke hadapan tak tahu pula, tersangkut pula ke tebing, terpaksa dibantu oleh Tn Hj Hanafi.  Tak lama pun cuma sekadar suka-suka sahaja.        Syukurlah ada pengalaman berkayak di sungai .
          Menurut pemandu enjin bot sangkut itu, dia membawa penumpang dari Sungai Sireh ke Sungai Dusun , Hulu langat Selangor selama 4 jam.  Ramai pelancong dari luar negara seperti Jepun berkayak di sini.  Di Homestay Sungai Sireh ini ada kemudahan dewan, surau, tempat berkhemah dan bilik air. Ada kemudahan berkayak dan perkhidmatan bot enjin sangkut dan bot , selain memberi pengetahuan tentang kehidupan di kampung seperti bersawah padi, memancing , permainan tradisional dan sebagainya.
   Semua murid tahun 6  SKSungai Sireh berpeluang melengkapkan diri dengan aktiviti perkhemahan dan berkayak.
                              semua murid dah sampai ke garisan penamat, 2 kilometer dua hala
                                                  Semua murid dengan pendayung kayak
                               Bersama cikgu-cikgu Pn.Norlisham, Pn. Nur Falida dan Pn Halizah


                               Sempat ergambar bersama  dengan  Jurulatih berkayak Tn Hj Hanafi
                                         baru nak belajar berkayak pada usia ini....hehehe

                                               kayak ditolak oleh jurulatih, baru nak mula....





Thursday, October 17, 2013

Mangga, Oh, Mangga!

Kalau tinggal di kampung dan mempunyai tanah , usahakanlah sama ada hendak bercucuk tanam atau menternak binatang.  Tanahku yang sekangkang kera itu, selain ku bina rumah sendiri dengan pinjaman kerajaan, aku juga bercucuk tanam.
  Pokok yang menjadi hanyalah sedikit.  Banyak halangannya untuk terus hidup, usahlah aku ceritakan.  Namun pada tahun ini, sku bersyukur kerana pokok durianku telah berbuah sebelum Hari Raya Puasa.
  Kini tanpa diduga, sebatang pokok manggaku  telah berbuah.  Bertahun aku menunggunya.  Buahnya pula besar-besar.  Ada yang beratnya sekilo lebih, setelah ku timbang ada 1kg 400g dan ada 1kg 600g.  Banyaknya buah, kami petik anak-beranak kerana untuk memetiknya memerlukan ketelitian. Oleh kerana pokoknya tinggi, kami terpaksa menggunakan tangga, baldi dan galah untuk menadah buah mangga itu, kalau jatuh ke tanah, ia akan pecah. Teknik yang paling berkesan ialah dengan mengait buah mangga tersebut dan menadahnya dengan kain yang direntangkan . Kain yang direntangkan memerlukan dua orang supaya dapat mangga itu jatuh ke atas kain itu.
  Nah, inilah hasilnya !.  Buahnya sedap, isinya halus dan manis.  Isi yang masak akan berwarna kuning.  Syukur Alhamdulillah dapatlah mengagihkan kepada beberapa orang jiran dan saudara -mara.  Sempat jugalah aku membawanya ke SKSS untuk rakan sejawatku merasai mangga itu. Semoga pokok ini terus membuahkan hasilnya.


 

Untuk memetik mangga ini memerlukan 4 orang, seorang pegang tangga, seorang mengait buat dan 2 orang menadah buah mangga yang dikait dengan kain yang direntangkan.

Monday, October 14, 2013

Puasku Mencari

Hari ini aku hendak memperbaharui passport antarabangsa. Puas ku berpusing-pusing di Sungai Besar mencari bangunan Pejabat Daerah . Pertama kali ke kedai gambar untuk mengambil gambar, nasib baik , Cina kedai itu memberitahuku dan biasa dengan peraturan membuat passport.
  Selepas itu ,aku terpaksa berpusing semula dari Sungai Besar ke pejabat daerah.  Sekali pusing terlepas simpang.  Kali kedua pusing , sibuk-sibuk mencari hanya ternampak Majlis Perbandaran Daerah pula, terlepas lagi.  Pusing kali ketiga dan masuk simpang salah pula,  Mana bangunan pejabat daerah ini?. Terus aku jalan ke hadapan lagi, barulah jumpa bangunan kerajaan itu.  Rupa-rupanya di situlah berkumpulnya pejabat-pejabat kerajaan seperti Pemadam, pejabat pertanian, pejabat pendaftaran dan majistret daerah.
  Selepas masuk ke situ pula, timbul masalah lagi.  Tak nampak pun pejabat pendafaran atau jabatan imegresen. Kemudian aku berjumpa seorang lelaki Cina, katanya di blok F.  Aku nampak blok F dari jauh , tetapi apabila menghampir blok itu aku tidak nampak pun jabatan pendaftaran.  Kemudian aku bertanya kepada kerani di pejabat pertanian di situ.  Dia menyuruh ku ikut laluan di tepi bangunan itu kemudian menyuruh aku bertanya kepada sesiapa yang ada di bangunan tersebut. Lecehnya, tanya kepada orang yang tidak memberi maklumat dengan betul.
  Kemudian aku pun beredar.  Aku pun ke blok itu, yang nampak ialah pemadam. Aku terjumpa seorang lelaki Cina yang kebetulan hendak membuat kad pengenalan.  Dia pun mengajakku mencari sama.  Kemudian kami jumpa papan tanda kecil sahaja: pejabat pendaftaran di lorong kecil masuk di belakang papan tanda pemadam yang begitu besar.  Aduh, susahnya nak mencari pejabat pendaftaran.
   Namun aku bersyukur kerana pergi ke pejabat tersebut pada 7/10/2013.  Passport ku siap tiga hari iaitu pada 9/10/2013,manakala pada 10/10/2013 pejabat pendaftaran itu ditutup , sesiapa yang hendak berurusan terpaksa ke Kuala Selangor atau ke Teluk Intan.  Nasib baik aku berpusing-pusing daripada terpaksa ke Kuala Selangor atau ke Teluk Intan.  Syukur Alhamdulillah.....taklah aku tergesa-gesa nanti hendak ke Thailand untuk pertukaran guru-guru Bahasa Melayu Daerah Kuala Selangor, semoga Allah memberkati segala usahaku.....aamiin.