Wednesday, January 30, 2013

membuat sepanduk sempena maulidur rasul 1434 H

Petang ini, aku ponteng kokurikulum kerana nak buat sepanduk.  Kononnya bawa semua peralatan ke sekolah untuk menunggu waktu kokum tetapi beralih rancangan pula. Jadi aku balik awal untuk siapkan sepanduk di rumah.
   Di sekolah , semua guru kelas akan dibantu oleh murid-muridnya untuk membuat sepanduk, malangnya muridku bukanlah senang hendak kawal kerana ramai lelaki tambahan pula mereka bukanlah jenis yang pandai melukis.  Aku takut nanti sepanduk tak siap asyik nak mengawal mereka.
  Jadi, aku menyiapkannya di rumah.  Selepas masak, lebih kurang pukul 7.00 petang , aku mula fotostat untuk besarkan tulisan jawi dan tajuk maulidurrasul tahun ini," Wasatiyah tonggak kesatuan ummah" dan sambutan maulidurrasul 1434 H. Agak lama jugalah memikirkan warnan dan perisian sepanduk ini,  Aku yang tak berapa pandai agak-agak sahajalah.  Tambahan pula hendak siapkan dengan cepat, buat ringkas sahaja.
   Selepas menekap huruf dan perkataan, akhirnya aku meminta bantuan anak sulungku supaya cepat siap.  Lambat jugalah, selepas sembahyang maghrib , aku terus mewarnakan kain putih ini sehinggalah pukul 12.00 tengah malam.
Syukurlah dah siap, hari Jumaat nanti boleh pasang sepanduk untk perarakan.

  Inilah hasilnya walaupun tak cantik kira , aku ingin menambah lagi, tapi apa yang harusku tambah sebab nampak kain putihnya tak penuh...nantilah ku fikirkan...kalau ada idea pasti ku tambah....wassalam.

Tuesday, January 29, 2013

cenderamata dari Lost World of Tambun

Selepas berjalan-jalan di sekitar "Petting Zoo" , kami pun pergi ke kedai cenderamata.  Banyak cenderamata yang cantik-cantik lagi mahal.  Dari yang kecil sehinggalah bersaiz besar.
  Aku berminat membeli 'beautiful bird dan bekas pensel yang bertulis 'Happy Every Day' , manakala anakku membeli "key chain' .  Ada banyak anak patung yang berbagai rupa haiwan dari bersaiz kecil sehinggalah besar.dan dari yang kecil nilai harganya hingga beratus ringgit.  Oleh kerana barang-barang ini berupa haiwan kurang minatku untuk membelinya, cuma aku tertarik akan bunyi 'beautiful bird ' ini .  Apa tidaknya, sekiranya bersin yang kuat atau benda-benda terjatuh ke lantai , ia akan berbunyi sendiri.  Ia menggunakan bateri .  Selain bunyi , ia juga boleh digunakan sebagai tempat letak pensel atau pen.


    Memang banyak yang cantik-cantik tetapi inilah yang ku beli..........

Monday, January 28, 2013

membuat bakul - anyaman

Telah beberapa tahun aku mengajar Pendidikan Seni.  Semasa mengajar di SKDNlah paling banyak aku belajar kerana banyak bahan bantu yang diperoleh daripada wang PCG.
  Anyaman bakul ini ku peroleh daripada carta Pendidikan Seni Visual .  Aku simpan masternya sehingga kini.  Aku telah mengajarkan kepada murid-murid Tahun 6 dan murid-murid Tahun 4.
  Bahan-bahan yang diperlukan 2 kertas berlainan warna, gam, gunting atau cutter dan steppler.  Kalau hendak hasil yang cantik, mestilah gunakan sugar paper warna hitam dan " fluorescent paper' yang berwarna cerah dan menarik.  Bahan asas atau dasar bakul mestilah bulat dan ada jejari sebanyak 16.  Saiz bulatan bergaris pusat 6 1/2 cm dan panjang jejari 6 cm.  Hanya perlukan 6 jalur kertas warna untuk anyaman bakul dan tangkainya.



                         Masternya adalah sugar paper warna hitam.
                             Tegakkan jejarinya supaya mudah untuk mengayam



                      Dah siap pun bakulnya!  tahniah memang kamu berminat.

Sunday, January 27, 2013

Lost World of Tambun

  27/01/2013 sempat ke Lost World of Tambun, bergerak dari rumah SBPI BSabak Bernam pukul 9.45 pagi ,sampai pukul 11, 58 pagi.  Tiket masuk dewasa RM45 seorang, kanak-kanak bawah 10 tahun percuma, kanak-kanak atas 12 tahun RM38 seorang. Kanak-kanak yang tingginya bawah 90cm adalah percuma.
  Aku sekeluarga berempat sahaja pergi, anak kedua tidak ikut serta kerana ke Pulau Pangkor.  Tempatnya menarik tetapi ada perkara yang tidak disukai oleh ku kerana tidak dibenarkan membawa makanan dan minuman walaupun sedikit.  Hanya boleh bawa air mineral sahaja.
  Kalau hendak pergi ke Lost World of Tambun ni kenalah seharian sebab dahlah harga tiket masuk mahal dan tidak dibenarkan bawa makanan, harga makanan pula mahal.  Nasi lemak ayam goreng  dalam bekas sedikit sahaja harganya RM8.50, air mineral 300 ml harganya RM3.00  .
  Walaupun harga tiket mahal namun kami bepuas hati dapat berjalan-jalan sambil menikmati keindahan semula jadi , melihat binatang, 'Petting Zoo', menaiki permainan dan  menaiki trem.  Ada pertunjukan memberi makanan kepada haiwan tersebut.  Apa yang menariknya mereka melatih haiwan  , memanggil dan memberi makanan berserta dengan irama lagunya.  Apabila lagu 'Chicken Dance' dimainkan , 5 ekor ayam keluar berderet meniti tebing sambil mengepak keluar, begitu juga burung merpati .







 Kanak-kanak tentu gembira dapat bermain air di taman tema yang pelbagai di sini.  terdapat pelbagai bentuk kolam dan gaya di taman tema air ini.  Kami yang dah berusia ni adak malu sedikit kerana peraturannya terpaksa memakai baju renang, kalau tidak kena sewalah.  Jadi kami jalan-jalan sahaja, tupun dah penat dan keletihan.
    Akhirnya pukul 5 petang kami pun beredar untuk sembahyang dan beransur pulang ke SBPI, Sabak Bernam.  Kami sembahyang dan makan d Hentian batu 8. Harga agak mahal juga berbanding tempat lain yang kami makan.

Saturday, January 26, 2013

koleksi 848

 Entah mengapa ketika membeli kereta , suamiku tiba-tiba ingin nombor pendaftaran kereta yang sama dengan keretaku.  Kini anakku juga mengikut langkah yang sama.
  Walaupun tak dapat semuanya sama namun tapi dapatlah memenuhi impiannya. Tengoklah nombor pendaftaran ini.


 Nombor pendaftaran keretaku unik sedikit kerana dibeli di Sabah, SD plate Lahad Datu , selalu orang akan tanya. 5848 , anakku 6848 sementara suamiku pula 9848, sayangnya kalau ada turutan 7848 , tunggulah kereta anak keduaku kalau dia juga hendak mengikut langkah suamiku, maka akan jadilah keluarga plate kereta 848....hehehe...anda bagaimana adakah ada keinginan seperti kami?

Friday, January 25, 2013

kos Keceriaan kelas 4 Jaya

Telah tiga kali aku membeli mesin laminate.  Pertama, ingin ku guna sendiri.  Mesin itu ku beli di Melaka semasa mengajar di SK Sahabat 4.  Namun pihak sekolah hendak membelinya.  Jadi, ku jualkan tanpa mengambil sesen pun keuntungan, janji tolong.
    Kemudian seorang rakan meminta aku membelikannya mesin laminate itu.  Maih ku ingat brand mesin laminate itu Arora.  Mesin laminate yang pertama lebih besar sedikit manakala yang kedua lebih kecil.  Tak apalah janji tolong belikan.
  Kemudian, sibuk-sibuk nazir nak datang ni, ku minta tolong kawan belikan.  Brand cap ayam , Takawachi.  Harganya lebih murah RM98.00 dan lebih kecil serta ringan.  Aku ni sebenarnya banyak menghabiskan duit untuk membeli peralatan dan barang-barang untuk membuat ABM dan menghias kelas.
  Rel langsir dan langsir lama rumahku dah jimat duit.  Beli tikar getah RM130, beli mangga dan enselnya RM10, Cat dan berus RM59.00, kain hijau untuk skirting dan papan kenyataan RM55.00 , lapik meja RM26.00 dan lain-lain yang tidak terkira seperti kertas warna, banding tape, pengantung kad RMT, dsb. Anggarannya hampir RM 350 sahaja setakat bulan Januari ini.
   Aku berharap agar pihak sekolah dapatlah membantu guru kelas mengurangi perbelanjaan ini kerana keceriaan kelas akan membangkitkan semangat murid untuk ke sekolah dan mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi menarik minat murid belajar.







PPD Kuala Selangor

 Walaupun dah 2 tahun menjadi guru cemerlang, namun gajiku masih lagi memangku .  Dah hampir setahun di SKSS , gaji masih pada takuk lama. Hairannya, Kalau nak potong gaji berdesup, cepat dan terkini.
  Apabila hendak mengira pergerakan gaji DG 44 pula macam semut. Tunggu surat kenaikan gaji tahunan.  Kemudian tunggu buku rekod servis.  Aku pun dah naik jemu . Mengadu kepada KPM , jawapannya positif, emel kat kpm, JPS dan PPD Kuala Selangor.  Akhirnya hampeh juga. Jawapannya kami siasat dan hubungi sendiri PT sekolah anda.
  Lantaran itu , aku ke PPD Kuala Selangor pada 24 Disember 2012, Aku berjumpa dengan Ketua kerani, bahagian perkhidmatan. Pertama hendak tengok BRP buku rekod perkhidmatan, dah 'update' ke belum.  Kedua, aku beri semua salinan surat-surat dari mula dilantik sehingga surat pengesahan yang diterima serta slip gaji dari 2010 hingga 2012 yang kukumpulkan dan failkan.
  Hari ini 25/01/13,  harapan ku kecewa lagi, sebulan sudah berlalu. Aku mengadap ketua kerani dan dia minta tangguh lagi kerana katanya BRP tidak lengkap.  Manakan nak lengkap? pindah ke Sabah, Melaka perap setahun.  Di Sabah pula kerani tidur kot, katanya nak "update" hampeh.
  Ketua kerani minta tangguh sebab katanya pening tak tahu punca.  Akhirnya dia meminta kerani sekolah lama menghantar semua kew 8 yang dibuatnya. Jawapannya sekarang , kalau aku masih berdiam diri, apa akan jadi?  Tunggulah sehingga 31 Januari 2013 ini.  Semoga aku diberikan jawapan yang menggembirakan.  Ya, Allah kau bukakanlah hati-hati kerani ini untuk membuat kiraan gajiku sebelum panas hatiku untuk melangkah pergi.  Inilah dugaan pada akhir sedekad perkhidmatanku.

  PPD Melaka, PPD Sabah, PPD Selangor, dan kerani-kerani yang menjaga buku rekod perkhidmatan,  PT, Oh , PT....kiranya terkena batang hidungmu bagaimana?

Thursday, January 24, 2013

merentas Desa SKSS

Telah dua kali latihan , kini merentas desa peringkat sekolahku bermula pada 25/01/2013.  Aku tak pernah mengikuti murid-murid ini merentas desa tetapi di Sekolah Dato 'Naning, Melaka, aku pernah mengikutinya.  Mungkin kalau mengikuti mereka, aku akan kepenatan kerana aku terpaksa memandu balik ke rumah sejauh 60.5 km.  Sudahlah awal pagi bergerak pukul 6.00 pagi dari rumah SBPI Sabak Bernam.
   Tidak ku ketahui  berapa jarak lariannya, cuma aku bertugas menjaga check point 1.  Yanga pastinya ramai murid mengambil bahagian lelaki dan perempuan termasuk murid Pendidikan Khas.
  Lihatlah meriahnya acara merentas desa ini.  Di hadapan pintu pagar sedia menanti hakim memberikan nombor kemenangan kepada peserta.  Di hadapan tapak perhimpunan , tersedia pencatat untuk merekod kemenangan peserta. Semoga SKSS dapat melahirkan murid yang berbakat dalam acara larian jarak jauh dan mencungkil bakat olahraga.



Wednesday, January 23, 2013

Terlerai sudah penantian

  Selasa, 23/01/2013 terlerai sudahpenantian kehadiran Nazir untuk baiah SKSS.
Mereka datang bertiga, seorang lelaki dan dua orang perempuan. Tn Ismail, Dr Mahanum dan Pn Tam adalah nazir yang bertugas memantau untuk baiah ini.
  Kehadirannya dari pukul 8.30 pagi hingga 3.30 petang.  Banyak yang dilihat, diperhati, dipantau dan ditanya melalui lisan serta diselidik.  Dari pondok pengawal keselamatan, RMT, fail-fail, dan pemantauan dari bidang kurikulum iaitu pengajaran dan pembelajaran.  Mereka memilih guru-guru yang telah mendapat APC dan Guru Cemerlang termasuklah aku.  Kini penantian telahpun berakhir dan terjawab.  Aku dipantau dari pukul 10.50  hingga pukul 11.50 pagi.  Aku terkilan kerana tidak dapat berjumpa dengan Tn Ismail selepas pemantauan itu.  Perbincangan tidak dapat dilakukan kerana aku ada kelas 4 Jaya selepas itu.  Maka hampalah hasratku ingin mengetahui keputusan pemantauan atau seliaan p d p itu.
   Yang pastinya, setiap persediaan mengajar diteliti, dilihat  berterusan dari awal minggu pertama hingga minggu ini.  Buku murid diselak satu persatu.  Memang aku ada buat komen dan membetulkan kesalahan murid.  Pengayaan kad ucapan Hari Bapa atau Ibu pun dibelek di papan kenyataan.
Aku pasti semuanya diteliti .  Cuma aku kecewa tak dapat feedback daripadanya.

Apa-apapun sudah selesai satu episod.  Diharapkan SKSS berjaya mendapat baiah tersebut.  sekiranya berjaya , bekas guru besar, En Adnan bin  Othman dan guru-guru akan mendapat habuannya.....Insya-Allah.

Program PMIG di SKSS

 Sepanjang minggu ini program PMIG telah berlangsung.  Bermula dari hari Selasa hingga Jumaat bertarikh 15 hingga 18 Januari 2013. Pada aku program ini adalah perancangan dari guru kaunseling sepatutnya kami guru-guru hanya sebagai fasilitator atau pemudah bicara.  Tetapi masalahnya 100% diserahkan kepada guru-guru untuk melaksanakannya.
   Ini bagus untuk berkongsi ilmu dan semua guru mengetahui matlamat dan onjektif yang hendak dicapai oleh murid utnuk membina insan yang gemilang.  Tetapi sepatutnya guru-guru diberi pendedahan untuk melaksanakan pgoram ini.  Lantaran kelemahan pengurusan ini, mungkin banyak masa terbuang dan kurang berkesan.
  PMIG adalah program motivasi untuk membina insan gemilang.  Adakah tercapai atau sekadar memenuhi waktu guru .  Wahai kaunselor atau guru bimbingan janganlah biarkankami terkapai-kapai, buat persediaan bahan/fotosat. jadual.
  Antara tajuk yang aku dapat melaksanakan iakah Goreng Pisang, Si Kuning Kunyit, Senangnya hatiku, Saya insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang, To be A Millione, Semerbak mewangi lebah madu .  Beginilah aktiviti dan gelagat muridku.





  


Tuesday, January 22, 2013

Sandakan

Selama hampir 2 tahun mengajar di Sabah, aku telah 3 kali ke Sandakan.  Pertama, "dinner ' anjuran SMK Desa , Kencana.  Kami pergi bertiga dengan suami, aku dan anak bongsuku pada 2-3 November 2010.
  Kami menginap di hotel, di tepi laut.  Untungnya , aku mengajar di sana kerana berpeluang menginap di hotel.  Kalau di semenanjung , hanya jalan-jalan jauh seperti ke Terengganu atau ke Langkawi sahaja.
  Pemandangan di tepi laut amat indah tambahan pula pantainya bersih dan air lautnya kebiru-biruan terutama pada waktu tengah hari. Aku terkilan tidak dapat pergi ke pulau Sipadan atau ke Semporna.  Mungkin ada hikmahnya .  Tetapi yang pastinya , aku hanya sampai di Taman Buaya, Orang Hutan Sepilok, Monyet Probosis atau monyet Hidung panjang.
  Nasib baik kedua-dua anakku dapat terbang ke Felda Sahabat dan sempat menjadi guru ganti di SK Sahabat 4.  Sesungguhnya banyak kenangan di bumi bertuah ini.  Syukurlah dapat juga aku menjejak kaki di negeri bawah angin ini.




monyet probosis/hidung panjang di Sandakan.  Tinggal kenangan, terima kasih kepada penjaga taman haiwan ini yang sudi mengambil gambar kami sekeluarga.

Penantian ...! Bila akan berakhir?

Pasti debaran menunggu Nazir dari KPM datang untuk pemantauan sebagai calon tunggal Kuala Selangor untuk dibaiah kerana SKSS - Sekolah Kebangsaan Sungai Sireh telah dua tahun berturut-turut meningkat prestasi pencapaian UPSR.  Tahun 2011 dapat lonjakan saujana, tahun 2012 meningkat lagi keputusan UPSR, tahun 2013 didoakan meningkat terus supaya mendapat gelaran Sekolah Berprestasi tinggi...insya-Allah.
  Telah dua hari menunggu, semua guru sibuk menyiapkan dokumentasi  fail-fail baik dari kokurikulum , kurikulum, KSSR, guru penyayang, dan segala-galanya.  Aku pula dah tiga Sabtu ke sekolah menghias kelas, menyiapkan fail-fail dan lain-lain.  Agak penat juga ke sekolah seawal sebelum pukul 6.00 pagi supaya sampai ke sekolah sebelum pukul 6.40 pagi.  Sembahyang Subuh di surau Petronas Hj Dorani. kemudian meneruskan perjalanan menuju ke Sungai Sireh dari SabaK Bernam SBPI.  Mula-mula agak takut juga keluar gelap-gelap sebelum Subuh kendera di jalan raya sedikit, mudahlah nak memandu 120-140 km, agak cuak juga di hati.
   Entah bila agaknya Nazir ni nak datang.  Hari ini, pemantauan dari JPS - Jabatan pelajaran Selangor , memantau Pendidikan Khas, guru penyayang dan KSSR.  Semua guru yang mengajar KSSR telah berkumpul dan menyiapkan keperluan untuk esok, 23/1/2013.  Tunggu sahajalah apa kata mereka...komplen atau memberi bimbingan.......adakah sekolah anda juga akan dipantau?  ......tunggu sahajalah, yang pastinya esok 23/1/2013 pasti aku tepaksa ke sekolah lebih awal......bersambung.

Sunday, January 20, 2013

Pemantauan ?

Tahun ini adalah tahun ke -29 aku mengajar.  Sebanyak 8 buah sekolah di 4 buah negeri telah ku lalui.  Mungkin tahun ini akan dipantau lagi?  Seingatku , biasalah kalau dipantau oleh rakan sekerja atau guru besar.  Pemantauan oleh Nazir yang akan ke SKSS pada Isnin atau Rabu minggu ini 21 atau 23 Januari, siapakah guru terpilih?.
  Di Sekolah Pinang Tunggal telah 2 kali  aku dipantau oleh Nazir , subjek Kajian Tempatan dan Matematik sekitar tahun 1990 atau 1991, aku tidak ingat . kemudian di Sekolah Paya Keladi seramai 10-12 Nazir berkampung kerana prestasi UPSR , nasib baik aku pergi berkursus , selamatlah.
 Selepas itu aku berpindah ke Melaka pula, di Sekolah Kebangsaan Lendu, nazir pun hendak datang.  Aku diperli oleh guru besar, " ada orang nazir nak datang, dia tak ada", kata-kata itu ditujukan kepadaku kerana aku akan jalani praktikum mengajar di Sekolah Menengah Tun Tijah selama sebulan bermula daripada 14 Mac hingga 14 April 2002. Selamatlah juga aku.
 Permohonan guru cemerlang, aku dipantau dan ditemu duga oleh Timbalan Jemaah Nazir Jaminan kualiti  Negeri Melaka iaitu Tn Zamani dan Tn Mansor  , aku pun dah lupa nama penuh mereka.  Terima kasih, walaupun ada yang tak berpuas hati kerana dikatakan aku tidak garang mendisiplin murid.  Memang rasa-rasanya hendak ku rotan sahaja murid-murid 5 Mawar 2010 tu! Mereka banyak cakap dan berani komplen depan-depan.  Hari itu mereka mengatakan aku tak garang kepada ustazah Muniroh.  Syukurlah aku berjaya mendapat jawatan Guru Cemerlang walaupun ketika itu aku sibuk hendak berpindah ke Sabah mengikut suami.
  Di Sabah pula, keputusan UPSR merosot, sedang aku sibuk-sibuk hendak berpindah ke Selangor, datang lagi Nazir dari Kota Kinabalu. Terlepaslah aku kerana aku sudah balik ke Semenanjung.  Aku pun tak kisah kerana subjek BM meningkat 2.8 % Pemahaman dan 12.4 peratus Penulisan sedangkan yang lain-lain subjek merosot.
  Kini aku di Selangor, tak boleh lari atau mengelak.  Alnasiblah, aku tak kuasa.  Aku dah mula mengecat kelas, mengalas meja untuk keceriaan kelasku, dan lain-lain kerja.  Cuma ada sedikit kerja yang belum langsai....tunggulah sahajalah..dan tawakal sahaja.

Monday, January 14, 2013

Pemantauan Nazir sebelum Raya China

Semenjak mengajar 28 tahun, telah beberapa kali Nazir datang memantau.  Kini SKSS dicalonkan sebagai sekolah berprestasi tinggi , satu-satunya sekolah calon tunggal di Kuala Selangor.  Mungkin sebabnya 2 tahun berturut-turut berjaya melonjakkan prestasi dalam UPSR dan kegiatan kokurikulm.
  Sekarang ini bikin panas semua guru.  Bukanlah takut sangat tetapi banyak perkara yang akan dipantau terutama sekali fail-fail. bilik-bilik khas dan perjalanan serta sistem pengurusan sekolah.
 Daripada pihak guru pula mungkin persediaan mengajar dan sukatan pelajaran serta pengurusan kelas dan alatan pengajaran dan pembelajaran.
Memang mudah   mencari kelemahan tetapi sukar untuk mempamerkan kelengkapan sistem pengurusan dan pentadbiran sekolah.
  Aku dah biasa tetapi gentar juga kalau dapat nazir yang memantau tu kaki komplen dan tidak mahu membimbing.  Ku berharap kehadiran mereka dapat memberi garis panduan untuk menambah baik pdp dan sistem pengurusan serta pentadbiran sekolah.  Nampaknya tak boleh gembira nak bercuti terpaksa menyiapkan pendokumentasi fail-fail .
  Semoga SKSS bertambah cemerlang, gemilang dan terbilang.  Diharap semua warga sekolah akan bekerjasama untuk menerima baiah tersebut. Semoga sukses...aamiin.

Saturday, January 12, 2013

Sibuk --sibuk permulaan sekolah

 Minggu lepas sibuk mengecat kelas, minggu ini 12/1/2013 Sabtu sibuk pula memasang alas meja.  Mengapa aku perlu bersusah payah untuk mengalas meja murid ini?  Bukan apa , murid-,muridku suka membuang sampah dalam lubang di hadapan meja mereka sendiri.  Oleh sebab terlalu buruk sangat meja ini aku mengambil keputusan mengalasnya.

   Hari itu memasang langsir hijau dan cat kelas warna hijau 'green tea'.  Entah mengapa takut pula bermain warna hijau ni.  Adalah lebih baik mencari alas meja warna kuning.  Bertolah dari rumah pukul 10.30 pagi, singgah di Sungai Besar membeli dawai, paku, mengga pintu dan 'lock'.  Aku juga membeli kain jersi yang berwarna hijau untuk dipasang di papan kenyataan. Perbelanjaan kali ini RM46.00 .  Manakala tikar getah yang kubeli segulung berharga RM130.

Masa yang diambil menutup lubang di meja itu dan mengalas meja dari pukul 11.30 pagi hingga pukul 5.00 petang.  Masih banyak lagi kerja yang perlu disiapkan untuk melengkapkan kelasku ini.  Di samping itu kerja-kerja menyelesaikan Borang-borang RMT dan papan kenyataan masih bertangguh lagi.  Semalan mengecap borang pun mengambil masa yang panjang. Hampir 2 jam dan menyiapkan papan kenyataan , sedar tak sedar Jumaat itu aku balik pukul 2.00 petang.  Memang susah kalau sekolah jauh dari rumah , perjalanan pergi dan balik lebih kurang 2 jam.


      Sibuk mengecap kod sekolah, nama sekolah dan nama guru besar.  Lain sekolah lain pula ragamnya sebab inilah kali pertama aku dilantik jadi setiausaha RMT.  Walau apa pun syukurlah beransur-ansur kerja siap.
   Sepatutnya meja dan kerusi plastik ini sudah dihapus kira , tetapi inilah kali pertama aku melihat kerusi dan meja yang agak kukuh digunakan berbanding dengan kerusi meja zaman sekarang.
  Terima kasih kepada kedua-dua anakku kerana sudi membantu menyiapkan kerja-kerja keceriaan kelasku........Terima kasih !