Thursday, May 29, 2014

mana boleh tahan!

Kekadang kita tak mahu ianya berlaku.  Tetapi takdir Allah siapa yang tahu? Kukisahkan tentang ibuku.  Aku pun tak tahu sejauh mana betul atau salah.  Mungkin hidup tertekan atau buatan orang ataupun saka.  Kalau buatan orang dah berpuluh-puluh dukun dari arwah datuk, nenek dan abangku. Kemudian mendapatkan rawatan di hodpital sahaja yang dikategorikan sebagai psikiatri.
  Umurnya dah 80 tahun. Kekadang bercakap sendiri.  Yang menjadi kepelikan atau keanehanku ialah asyik-asyik orang tu suruh. Hari ini ibuku masak 4 cawan beras sukatan periuk elektrik.  Lembiknya nasi, siapa nak makan? Kebetulan musim mangga dan di rumah banyak mangga, hari-hari makan mangga...kulit mangga bersepah umpan lalat datang.  Katanya pasang kertas lalat.
Ada sahaja yang dijawabnya. Kekadang semua buku-buku dimasukkan ke dalam beg plastik.  Habis buku-buku anakku dan buku-buku aku dicampur adukkan. Kemudian kerjanya menyusun semua buku-buku di atas meja, di atas sofa dan macam-macam dibuatnya. Kadang kala menulis , habis diconteng dalam kertas,buku atau apa-apa sahaja yang dia dapati.
   Kalau diberi makan ubat penenang tidur sahaja  dan batuk-batuk pula. Kasihan juga. Jadi di mana tahap kesabaranku...Ya Allah kau berikan aku kesihatan dan kesabaran yang tinggi untuk kuhadapi semua ini.


Tuesday, May 27, 2014

beraninya!

Kali pertama mengajar Tahun 1, dapat murid yang aktif bercakap, kekadang sakit kepala dibuatnya.
Terlalu aktif dan tidak takut guru menyebabkan mereka semakin mua.  Sekali ditegur senyap seketika, kemudian bercakap sambil membuat kerja.
  Sesetangah daripada murid-muridku ada cantik tulisannya.  Ada yang malas hendak menulis.  Alasannya hendak mengasah pensel.  Bukan seorang sahaja yang mengasah pensel, 4-5 orang mengasah pensel sambil berbual. Entah mengapa, aku pun tak tahu.  Selalu ,aku memarahi mereka dan terdengar rungutan mereka garangnya cikgu. Tegur dan cakap  elok-elok bukan diperdulikan.
  Hai, boleh terbalik sekolah kalau dibiarkan mereka ini!.  Hari ini, aku mengajar rajah tukar ganti.
Ajar mereka menyebut frasa atau perkataan  dan membaca ayat tersebut.  Sangkaan mereka satu gambar satu permainan ....seperti gambar di bawah..jadi ada 4 ayat sahaja.. Dikatakan aku salah mengajar.  Jadi kuterangkan satu persatu, barulah mereka faham.  Ada seorang muridku berkata satu persatu..mulanya Anas, selepas itu Tawi, kemudian Ravin dan akhirnya Kok Meng. Ha, barulah mereka faham...adakah kita yang bersalah?
   Banyak cakap sahaja mereka ini. Bukan hendak mendengar arah kita. Ku suruh salin 4 ayat sahaja, ada juga kesalahan yang dibuatnya contohnya: badminton ditulis badmiton.  Ada lain yang diajar dan disuruh menyalin seperti angkat sebelah kaki disalinnya angkat sebelas kaki....kalau cikgu dulu-dulu mesti kata , "Alah budak-budak." Tetapi bagiku kalau asyik budak-budak bila mereka akan jadi matang berdasarkan peringkat  umurnya.



Apabila aku meminta mereka membaca:
Anas main hoki.
          Anas main bola tampar.
       Anas main badminton.
    Anas main pingpong.

Anas main hoki.
          Anas main bola tampar.
       Anas main badminton.
    Anas main pingpong.

Ravin main hoki.
         Ravin main bola tampar.
       Ravin main badminton.
    Ravin main pingpong.

Kok Meng main hoki.
          Kok Meng main bola tampar.
       Kok Meng main badminton.
    Kok Meng main pingpong.

HAi, nasiblah dapat murid yang aktif bercakap tetapi perlu didisiplinkan mereka agar kurangkan bercakap dan teliti ketika menulis. Murid aktif memang perlu supaya mereka sentiasa cergas tetapi yang tak tahan tu, asyik bising sahaja..pot..pet...pot pet..... di mana silapnya pendidikan sekarang suka murid yang berkerampilan tetapi trampil mereka kalau berani bercakap untuk pembelajaran seperti bercerita, berlakon, berdialog atau sebagainya ok jugalah!... ni tak memekakkan telinga sahaja! tak pernah nak baca buku ..belum ada budaya buat persediaan sebelum cikgu masuk kelas atau membaca sesuatu sementara ada kelapangan .













Saturday, May 24, 2014

Tanam saja!

Berbunga hati kembali apabila dapat mendiami rumah sendiri walaupun menyimpan seribu persoalan.  Kembali bercerita menanam pokok buah-buahan.  Kemarau yang panjang telah menyebabkan 2 batang pokok durianku mati. Pokok mangga yang paling sedap dan buahnya besar-besar belaka seberat 2.3 kg dan kali pertama berbuah selebat-lebatnya , mati pula akhirnya.
  Kini ku bercerita tentang pokok-pokok mangga yang ku tanam di sekeliling rumah. Dua batang di belakang dapur rumah berbuah sulung.  Pada mulanya, hendak ku tebang sahaja .  Tetapi suamiku menghalang ,katanya buat peneduh dapur.
  Kemudian pokok mangga dekat dengan ruang tamuku, hendak juga kutebang kerana pokoknya besar dan berdaun lebat tetapi apabila berbuah hampeh, terlalu sedikit. Setealh ditebang beberapa dahan, pada tahun ini berbuah agak lebat juga.
  Manakala pokok mangga yang kubeli ditanam di bawah tanah yang tak bertambak pun bserbuah sulung.  Aku biarkan sahaja buah-buah itu. Namun aku agak terkejut apabila hendak memetik buah itu , rupa-rupanya pokok kuinin.  Syukurlah...berhasil juga berkat berbudi kepada tanah.  Hari ini semasa kelas tambahan tahun 6, ku berikan murid-muridku makan buah tersebut...sedap dan manis rasanya buah tersebut.

                                            buah kuinin- sedap rasanya- manis
                                                     mangga harum manis
                 Tinggi pokoknya mencecah bumbung rumah agak lebat juga buahnya
Pokok kuinin ini berbuah sulung
Mangga epal- lambat dipetik akan busuk . Ada dua batang pokok ini. Tak tahu pokok  mana yang berbuah manis , yang mana berbuah masam. Ramai yang menyatakan buah ini sedap tetapi aku selalunya dapat yang masam sahaja, orang lain dapat buah yang manis.

Syukurlah tahun ini dapat makan mangga epal, mangga harum manis dan kuinin. Nak harapkan pokok durian nampaknya hampa,  tak berbuah pula.  Pokok rambutan dah ku buangkan dahannya berbuah setiap tahun tetapi semut terlalu banyak.  Oleh itu, buah itu  masak ranum dan busuk , akhirnya terbiar sahaja. Semut terlalu banyak entah bagaimana untuk mengatasinya....aku masih mencari jawapannya...


Friday, May 23, 2014

Ke mana gajiku!

Beberapa tahun yang lalu bermula tahun 2000, aku suka menanam pokok buah-buahan dan pokok bunga.  Entah berapa ribu duitku habis ,aku sendiri tidak tahu.  Aku membuat pagar di sekeliling kebunku yang tak seberapa tetapi dek kerana kebunku berkembar dengan kakak dan abangku , aku pagarkan sekali..  Kali pertama hampir RM6000. Oleh kerana harapkan orang, pagar tak menjadi.
  Aku beli pula pokok buah-buahan hampir RM2000. Upah orang tanam, tak menjadi juga.  Kemudian buat pagar dawai pula dan korek longkang, RM7500 pula.  Nasib tanah ku tanah rendah, mudah dilanda banjir.
Oleh sebab itu semasa hendak membina rumah, aku terpaksa menghabiskan hampir RM20,000 untuk menambak tanah dan pembentung untuk laluan air..
 Aku dah tanam 32 batang pokok kelapa, namun gangguan babi hutan pula.  Habis dicabutnya pokok kelapa itu.  Kata orang, ambil rambut letakkan di pagar atau taburkan berhampiran dengan pokok kelapa, namun tidak diendahkan babi hutan itu.
     Adalah pokok petai yang ku beli, dah beberapa tahun hidup, habis disodok oleh penyewa kebun.  Begitu juga 5 batang pokok rambutan,dan pokok cempedakku habis disodoknya. Beginilah cabaran hidup apabila kita tidak sempat memantau kebun sementelah aku hidup di perantauan. Wang gaji habis ditaburkan di tengah-tengah perjalanan balik ke kampung .  Semasa tinggal di Sabah, terpaksa berulang balik kerana ada dua orang anakku di Selangor.
  Rumah juga perlu diselenggara dan dipelihara. Kemudian berpindah  ke Selangor pula, kos belanja perjalanan ke sekolah sejauh 121km dua hala, memenatkan.Syukurlah dapat berpindah balik ke Melaka dan menginap di rumah kediamanku sendiri.  Tetapi masalah lain pula yang timbul.  Berapa lama harus ku tempuhi cabaran ini...antara kerjaya, suami dan rumah.....semoga Allah memperkenankan doaku...aamiin.

Wednesday, May 21, 2014

LINUS , OH, LINUS!

Dah banyak kali agaknya aku ke PPD Alor Gajah.  Kalau dulu nak pindahkah anak ke sekolah di Melaka ini, terpaksa ke PPD Alor Gajah.  Kali ini asyik ke PPD berkaitan dengan LINUS.
  Hari ini 21/5/2014 ambil modul LINUS pula.  Nasib baik tak perlu menghadiri kursus. Pergi jengok saja, ambil modul Lierasi  dan NUmerasi Guru dan Murid serta menyentil pula buku Kokurikulum Hoki .  Apa-apa pun dah selamat ambil buku modul guru dan murid.  Selepas ini , tugas guru pula menggunakan modul tersebut.
  Semakin canggih zaman persekolahan, semakin banyak juga kerja guru.  Mesyuarat, jalankan  pdp, merekod, menganalisis dan menjalankan pemulihan murid LINUS tegar dan murid LINUS.  Mengapa zaaman persekolahan kita tidak ada guru pemulihan dan guru bimbingan, teruk sangatkah murid sekarang ini?
  Pada aku, memang kot.  Sebab itu, murid-murid tak kisah akan kepincangan diri sendiri, pergi sekolah penat-penat guru mengajar, hasilnya tak seberapa, umpama memasukkan air ke dalam botol yang bocor.
aku pun memang amat cetek atau dangkal tantang LINUS.  Tetapi sebagai guru terpaksa akur segala perancangan yang telah ditetapkan KPM.  Namun timbul keraguan kepadakui sebagai pendidik.  Mungkin bocor pendidikan di rumah dan mungkin juga di sekolah.  Namun begitu aku sebagai guru perlu menjadi menjadi lebih tabah menghadapi sesetengah  murid tahun 1 ku  yang suka bercakap dan tidak pernah membaca atau bersedia untuk belajar....di mana silapku? Mungkin mereka akan menguasai kemahiran membaca dan menulis di tahun 1 atau masih lagi seperti muridku tahun 6 seramai 3 orang yang masih belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan menaakul...alahai muridku di SKMT.

Monday, May 19, 2014

hadiah Hari Guru 2014

Bertukar-tukar hadiah lagi, kali ini aku masih menggunakan kupon Cosway untuk membeli hadiah pertukaran hari guru.  Tahun ini tidak banyak hadiah yang ku dapati.  Manakan tidak , aku bukan guru yang popular dan agak baru di sini malahan mengajar pun hanya dua kelas, Tahun 6 Bestari dan 1 Arif.
  Aku masih membeli pembakar roti untuk 4 keping. Harga sebebanr tak ku ketahui.  Dengan 20 kupon aku hanya membayar RM49.00 dan 2 keping pembalut dengan harga RM1.00.  Jumlahnya RM50 ku beli setelah balik dari pertandingan Sahibba Ayer Keroh D'Village Resort.
 Daripada murid tahun 6 ku dapati hadiah dua batang pen, mug dan kerongsang serta bahan hiasan.  Daripada murid Tahun 1 , aku mendapat coklat dan tempat meletak pensel.  Manakala daripada badan kebajikan guru, sebatang pen Allan D'Lious dan mug tertera lencana SKMT dan badan kebajikan  manakala pertukaran hadian mendapat tupperware.

Berlalu sudah sambutan Hari Guru , semua guru, pekerja dan warga SKMT ,memakai baju pemberian Pn Hjh Fasehah yang telah bersara.....Terima kasih cikgu....semoga pemberianmu memberi berkat....aamiin.

Friday, May 16, 2014

kamus digitalku

Sekarang ni banyak sangat kemudahan . Salah satunya kemudahan kamus digital.  Kamus ini kubeli pada 28/06/2009 semasa menghadiri mesyuarat Agung Koperasi Guru KOGUMA.  Banyak gunanya dan telah banyak berjasa kepadaku. Kamus ini jenama Apple TREE , Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi 4.
  Sebagai guru , aku galakkan murid merujuk kamus Dewan Bahasa Edisi 4.  Semasa aku mengajar, aku gunakan kamus ini terutama sekali mengenai topik simpulan bahasa, peribahasa dan makna perkataan yang sukar hendak diungkapkan atau menerangkan maksud perkataan tersebut,  Selalunya , muridku salah sangka , dikatakan telefon bimbit.
  Mudah bukan tak perlu membuka kamus yang seberat dan setebal Kamus Dewan Bahasa Edisi ke-4.Hanya taip perkataan dan tekan enter sahaja.  Pasti dapat jawapan.  Semasa pertandingan sahibba, aku berikan muridku pinjam kamus ini sementara menunggu giliran .
  Semoga kamus ini akan memberi khidmat kepadaku. Walaupun chargernya dah rosak, namun aku masih menggunakan charger lain.  Syukur Alhamdulillah...dah 5 tahun dia berkhidmat kepadaku.....tetapi sayangnya pennya dah hilang tahun lepas...2013.

Selamat Hari Guru 2014

Sempena Hari Guru , aku mengucapkan selamat hari guru kepada semua guru terutama suamiku, sahabat-sahabat, rakan seperjuangan  .  Tidak lupa kepana semua mantan guruku sama ada di Sekolah rendah, menengah , pensyarah maktab dan universiti Sains Mal;aysia.
  Tanpa guru siapalah kita.  Tentu banyak nostalgia yang menggamit memori ketika.zaman persekolahan kita.  Tahun ini kali pertama menyambut Hari Guru di SKMT, sambutan Hari Guru disambut dengan sederhana.  Semua aktiviti diadakan di  dalam dewan, Semua perutusan telah dibaca dan satu kepincangan yang dapat dilihat ialah tidak ada ucapan daripada wakil murid dan tidak ada ucapan selamat hari Guru daripada murid-murid.  Nampaknya majlis ini lebih bertumpu kepada guru.  Nampaknya guru sambut HAri Guru sendiri  walaupun ada murid-murid dan penghargaan murid kepada guru tidak dapat dilihat dengan jelas. Sekolah suatu peristiwa istimewa ialah kehadiran YB Masjid Tanah Mas Emerieyati ke sekolah pertama sempena Hari Guru dengan membawa kek.
  Setelah semua perutusan dan persembahan daripada guru dan murid, kami menyertai sukaneka yang mengkehendaki meniup dan memecahkan belon, mencucuk manik ke dalam benang dan memasukkan getah ke dalam botol.  Kemudian jamuan dan akhirnya pertukaran hadiah antara guru.

                                                   guru besar menyanyi lagu "Mawarku"
                                                                    kek dari Bank Rakyat



                                                               Backdrop Hari Guru
 Syukurlah dapat juga menikmati bermacam jenis kek dan nasi beriani, murid-murid pula dapat makan aiskrim percuma.  Selesai sudah majlis Hari Guru dan selamat HAri Guru kepada semua guru sahabat dan  rakan seperjuangan ...Semoga menjadi guru yang dapat merealisasikan impian dan harapan bangsa dan negara menjadi insan yang gemilang di dunia dan akhirat....aamiin.

Thursday, May 15, 2014

pertandingan Sahibba peringkat negeri Melaka

15/05/2014 -  Susahnya aku mencari Ayer Keroh D"Village Resort - sampai terpaksa bertanya kepada seorang lelaki dan penjaga pam petrol di Petronas.  Nasib baik aku pergi lebih awal.  Maklumlah sebenarnya fikiran ku  masih berserabut walaupun memang dah tahu kedudukan Resort tersebut.
  Aku membawa peserta sekolahku Mohd Saifuddin bin Khairuddin yang berjaya ke peringkat negeri.  Memang dia seorang yang pandai.  Pusingan pertama, mendapat tempat pertama dengan markah 402 dengan peserta dari SK (P) Methodist 2, SK Merlimau,  Kemudian ke pusingan kedua, masih tempat pertama dengan markah 292 bertemu dengan peserta Sk Methodist 2,SK Bukit  Beringin dan SK Tun Syed Ahmad Shabudin .  Pusingan ketiga juga tempat pertama, 330, SK Serkan Darat, SK Bukit Beringin, SK Berisu.
  Pusingan keempat terpaksa bertembung dengan peserta SK Paya Rumput, SK Gangsa, dan SK Bukit Beringin, dia mendapat tempat kedua.  Pusingan akhir , bertembung dengan peserta SK Simpang Empat, SK Krubong dan SK Paya Rumput.  Syukurlah sekurang-kurangnya dapat juga tempat ketiga peringkat negeri Melaka. Hadiah  bagi johan RM200 , Naib johan RM150 dan tempat ketiga RM100, piala dan sijil manakala saguhati 1- 10 , hadiahnya RM50,dan sijil.
  Untuk mendapat keputusan akhir, kamin terpaksa menunggu dari pukul 9.10 pagi hinggalah pukul 5.15 petang.  Banyaknya pusingan hingga ke-5 .  Yang pastinya melewatkan pertandingan ini kerana peserta dari SK Kampung Tun Razak tidak hadir kerana terlibat dengan pemantun.
  Dalam pertandingan ini aku berjumpa dengan Kashmir , Mohd Akashah, Radziah bt Musa dan emak Rabiatul'Adawiyah, guru pelatih yang menjalani praktikum di SKMT. Guru-guru yang bertugas sebagai juruteknik dan pengadil turut ku kenali iaitu Pn Mariam bt Jantan dari SMK Talib Karim, Pn Shamsinah btHj Jamil dari Sekolah Alor Gajah 1.
 Syukurlah akhirnya aku selamat sampai menghantar Saifuddin ke rumah dan aku sampai ke rumah pada pukul 6.45 petang setelah singgah di Cosway Masjid Tanah membeli hadiah untuk Hari Guru 2014.
                                                       pusingan pertama
                                            berjumpa kawan lama MPKTBR - Radziah Musa
                                                      Pusingan keempat
                                      Pusingan kelima -menentukan tempat johan, naib johan dan sagu hati

                           Menerima piala, hadiah wang Tunai RM100 dan sijil - tempat ketiga
  Dalam ucapan Tn  Jasmi , wakil pengarah JPN menegaskan agar pertandingan sahibba dijadikan sebagai pdp didik hibur sambil belajar.

Wednesday, May 14, 2014

Sakit kepala pula

Semalam sibuk membuat BBM dan hari ini melekatkan bahan-bahan di sudut LINUS di kelas Tahun 1Arif , sakit kepala pula dah.  Konvo anak dan sibuk mencari anak kunci, terimalah padahnya.  Memang boleh sakit kalau berterusan begini.  Entah mengapa, semakin berserabut dalam kepalaku.
  Pertama, perpindahan ke sekolah baru.  Kedua, gelagat ibuku.  Ketiga, semuanya terpaksa ku lakukan seorang diri.  Aku tak tahu bagaimana suamiku menghadapi hari-hari tanpa aku dan anak-anak.  Aku redha sahaja.  Aku terpaksa memikul tanggungjawab ini kerana inilah pilihan dan keputusanku.
  Kalau dulu penat memandu kereta ke sekolah 121km dua hala, kini pula terbeban dengan tugas dan tanggungjawab baru.  Melihatkan keadaan rumahku yang semakin memerlukan penyelenggaraan dan penjagaan, lain pula halnya.
  Semoga Allah memberikan aku kekuatan dalam mengharungi hidup ini.  Penatnya aku sebagai perantau meninggalkan kampung halaman demi mencari rezeki di bumi ini. Harapanku semoga kami dapat melalui hidup bersama-sama ahli keluarga terutama suamiku . Cepatlah minta tukar balik ke Melaka dan ingatlah kita bukannya muda lagi di kala usia melewati senja. .....Semoga kita dapat menginap di rumah sendiri...aamiin

Tuesday, May 13, 2014

Didik Hibur di Sudut LINUS

Dah lama nak meletakkan dan menceriakan sudut LINUS di kelas 1 Arif.  Ikutkan hatiku,  mahu saja aku biarkan mereka.  Memang naluri kanak-kanak begitu kot. Murid-muridku ini agak aktif dan suka  bercakap.  Aku memang naik angin kalau terlambat sedikit masuk ke kelas, mereka asyik keluar kelas.  Pantang lambat sedikit bergaduh sahaja.  Maklumlah kelasku tahun 6 di bangunan C manakala mereka di bangunan A, perlu mengambil masa untuk turun ke tingkat bawah dan naik tangga ke bangunan  kelas mereka   di atas bukit.
  Maka,  hari ini sempena cuti Hari Wesak, 13/5/2014 , aku sibuk menyiapkan peralatan BBM untuk murid LINUS tegar dan LINUS.  Daripada 28 orang hanya 18 sahaja yang lulus LINUS.  4 orang LINUS tegar dan 6 orang LINUS. Seorang murid peempuan di kelas ku pula lambat daftar masuk kelas tahun satu dan tak pernah bersekolah tadika, namun ada kemahuan nak belajar. Seorang murid lelaki  baru pula dari Besut lagi memeningkan kepalaku.  Dia tak mengenal huruf vokal dan konsonan.  Entah apa yang dipelajari di sekolahnya, aku pun tak tahu.  Memang tuturkatanya pekat loghat /daerah Terengganu. Buku tulis Bahasa Melayu pula langsung tak bertulis, cikgunya tampal dan tulis perkataan sahaja.  Maklumlah murid-murid ini perlu diteliti  dan dikenal pasti supaya  tidak lupa membawa buku....selalunya ada 3 orang murid di kelasku perangainya sama seperti murid baru ini.
       Aku telah menghabiskan duit di Pasar Raya Ten-Ten dengan membeli alat memancing dan huruf abjad .  Peralatan memancing aku beli 6 set sebab ada diskaun separuh harga .  Begitu juga huruf abjad 2 set. Harganya adalah dalam lingkungan RM50.00.  Bukan apa,  nak menarik minat murid dan mereka boleh lakukan aktiviti ini sambil bermain secara didik hibur.  Tetapi yang menjadi masalahnya, aku bimbang mereka akan  membawa pulang alat mainan ini.   Maka bagaimana harus ku awasi mereka? Masalah penyimpan juga berlaku kerana di kelas mereka tidak ada almari berkunci.
  Nasiblah aku serahkan sahaja kepada murid-murid yang agak pandai sebagai rakan pembimbing dan mengawasi peralatan tersebut. Semoga bahan-bahan ini dapat membantu mereka dalam pembelajaran.
  Aku terpaksa membuat senarai check list dan peraturan agar mereka dapat mematuhi peraaturan dan menjaga peralatan tersebut.  Semoga usaha ku ini berbaloi...aamiin.


             huruf besar yang ada magnet - dengan menggunakan pancing, murid mengambil huruf dan menyebut
  
 Ikan-ikan plastik yang boleh dipancing kerana ada magnet - murid sebut dan mengeja ikan serta menceritakan perihal ikan.
                                                     Joran untuk mengail ikan


                     Ku simpan di dalam kotak supaya alatan ini tidak bertaburan
                                huruf-huruf daripada polistrin - murid susun dan bentuk perkataan
                                    ada 6 joran boleh buat pertandingan memancing huruf dan ikan
                                                              Siap sudah papan tanda sudut LINUS

Ada beberapa bahan bacaan yang ku letakkan di sudut bacaan seperti gambar-gambar dan perkataan yang ku ambil daripada KCA - Koleksi Cikgu Anis, Norainin Dream dan Cikgu Tice Su...Terima kasih atas perkongsian ilmu.   Semoga usaha murni  cikgu-cikgu ini memberi manfaat kepada murid-muridku.

Monday, May 12, 2014

kejutan pula!

Sempena Hari Ibu 11/05/2014, aku menerima kejutan.  Mengapa? Sibuk-sibuk nak menyambut  konvo si anak sulung, maka aku dikejutkan pula dengan kehadiran pizza.  Anak buahku menyambut hari ibu untuk ibunya dan aku.  Banyaknya pizza yang dibeli , set pizza , roti bawang, roti halia dan 2 jenis pizza yang berlainan isinya, pizza umpama lempeng yang dicampur dengan daging, mayonis, keju, bawang atau  buah-buahan.  Aku suka pizza perasa Thai....sebab rasa masam-masam dan pedas contoh pizza tomyam.,
  Oleh kerana banyaknya pizza yang dibeli, makanan untuk kami sekeluarga dan ibuku, kami seramai 6 orang dan keluarga kakakku 4 orang , jadi jumlahnya 10 orang.  Kami makan di Restoran Amin Thai Seksyen 7.  Oleh kerana sesetengah daripada kami yang lapar terutama si anak sulung dan 5 orang termasuk ibuku , mereka memesan untuk set 3 orang makan , menu ialah seekor siakap masam manis, sayur kailan ikan masin, semangkuk tomyan dan telur dadar ,harganya RM70.00 , kami memesan 2 nasi tambah, kami berdua tidak makan  (aku dan anak bongsuku) kerana kenyang dah makan roti sosej . suamiku pesan mi rebus dan abang iparku memesan nasi goreng ayam.
   Sementara menunggu pesanan makanan tiba, kami makan pizza tersebut.  Walaupun dah sejuk, kami makan juga. Alangkah baiknya kalau makan panas-panas, namun syukurlah ada orang yang  belanja makan. Ada lebihan, kami bawa balik ke Melaka. Terima kasih kepada anak buahku kerana belanja makan pizza...Farhan Ahnmad, semoga murah rezeki dan boleh belanja lagi pada tahun hadapan.  Kepada semua ibu, selamat HARI IBU , semoga menjadi ibu yang baik dan ibu mithali....aamiin.







Konvo kali kedua..2014

Hari ini 11/05/2014 hari konvo anak sulung kali kedua. Pertama, tamat diploma 2011, kedua tamat degree pula. Majlis  bermula pukul 2.00 petang sesi kedua.  Namun , kami perlu bertolak lebih  awal dari rumah. Kami bertolak pukul 9.40 pagi dari  Lendu menuju ke UiTM Shah Alam.  Kami sampai pukul 11.00 pagi.
  Kemudian , aku terus pergi ke kedai Pearl Haya mencari tudung, kononnya nak padankan  dengan baju baru.  Namun tidak ada padanan warna yang sesuai.  Maka ku pilih tudung warna biru muda pekedot dan ungu untuk dipadankan dengan baju Hari Guru dan baju sutera Thai. Kemudian , aku membeli hadiah kecil yang berharga RM12 untuk anakku.
  Tepat pukul 1.30 petang, kami berdua masuk ke Dewan Agung Canselor UiTM.  Mengantuknya Allah sahaja yang tahu.  Mana tidaknya, penat mencari kunci dan sibuk mengemas.  Nasib baik, giliran anakku sesi pertama dan giliran ke -60.  Duduk dalam dewan berhawa dingin ,mengantuk pula dan terasa nak ke tandas pula.  Akhirnya pukul 3.30 petang kami keluar.
  Duduk di luar pula terlalu panas, maka kami duduk di bawah khemah berdekatan dengan kipas.  Aku terasa haus.  Maka kuajak anak bongsu membeli minuman dan kami makan roti sosej. Aku sibuk mencari suamiku manakala anak kedua sibuk mencari kami berdua.  Kemudian kami berkumpul Cuaca memang amat panas, berpeluh-peluh.  Nasib baik majlis cepat habis,  lebih kurang pukul 5.00 petang.  Kalau konvo pertama dulu habis pukul 6.00 petang.
  Kami masih menunggu keluarga kakakku pula bersama-sama dengan ibuku tiba dari Kampung Kerinchi.  Kami buat temu janji berjumpa di kedai gambar konvo pertama dulu.  Akhirnya , kami berkumpul di situ.  Masing-masing sibuk bergambar dengan menggunakan monopod.  Sambil menyelam minum air, sambil bergambar di kedai gambar masing-masing merakam gambar menggunakan kamera telefon bimbit....\
  Syukurlah dapat meraikan hari konvo anak sulung dengan Anugerah Hadiah Dekan...kali kedua...Syukur Alhamdulillah....aamiin.










Selepas sesi bergambar kami makan di Restoran Amin Thai Seksyen 7.  Lebih kurang pukul 8.45 malam kami meninggalkan Shah Alam menuju balik ke rumah.  kami singgah di R & R Dengkil untuk sembahyang jamak dan selamat sampai ke rumah pukul 10.30 malam.  Kami bernasib baik tidak menempuh kesesakan di lebuhraya sedangkan lebuh raya di sebelah kanan kami menuju ke Utara mengalami kesesakan mungkin mereka yang balik kampung dari Selatan menuju ke bandar raya atau ke utara.

Ibuku juga!

Petang Sabtu, dia sibuk mengankat kain baju di ampaian.  Anak kunci yang masih melekat di pintu diambilnya.  Pada waktu malam semasa hendak mengunci pintu dapur itu, dah tak boleh, Mengapa, mencari kunci keliling rumah tak jumpa. Entah mana diletakkannya?
   Kebetulan pada hari Ahad, ada majlis konvokesyen anak sulung, maka kunci itu penting bagiku.  Penat mencari di dalam rumah, cari pula di luar rumah, malam-malam mana hendak nampak, pasang lampu keliling rumah.  Disuruh si anak cari.  Di telefon kakakku , meminta tanya kepada emak.  Emak ikut kakak balik Kuala Lumpur sehari sahaja.  Penat dia memujuknya.  Katanya ada tersangkut di belakang pintu bilik air. Mencari-carilah aku di bilik air dan di dalam biliknya dan di atas katil sebab itulah kali terakhir aku melihatnya selepas mengangkat kain baju.
   Sehingga pagi , Sabtu sebelum bergerak ke UiTM Shah Alam, aku masih  mencari kunci itu lagi.  Habis ku kumbah kain baju dan mencari  di dalam beg-beg plastik.  Maka teringat beg kertas kecil yang telah ku buang.  Ku minta anak sulungku mencari dalam tong sampah, namun tak jumpa.  Maka kami pun bertolak Ke UiTM, Shah Alam.
  Hari ini, sebelum balik ke Sabak Bernam, suamiku beri cadangan beli sahaja yang baru. Tetapi macam mana? Sememangnya si bongsu mempunyai akal yang tajam, masih ingat nombor kedua-dua kunci pintu dapur itu, maka ku catatkan untuk membeli di pekan Masjid Tanah.  Tetapi intuisi  atau gerak hatiku , aku harus mencarinya sekali lagi dengan harapan dapat jumpa kunci itu.  Entah bagaimana terdetik di hati, cari di katil, tak ada , bawah katil pula, pun tak ada.  Tiba-tiba teringat belakang pintu tempat sangkut baju.  Syukurlah jumpa juga kunci itu yang disangkut di belakang pintu bilik anakku tetapi ditutupi dengan baju.  Alhamdulillah selesai satu episod kehilangan kunci.
  Entahlah berdosakah aku? Emakku ini memang aktif , ada sahaja perkara pelik yang dibuatnya.  Telah ku tegah jangan ambil apa-apa barang atau alih-alihkan barang, namun dibuat apa yang disukainya.  Hari-hari kena marah, mana taknya pening kepala dibuatnya...esok entah apa pula cerita atau episod kehidupan yang dilakarnya.  Cuma berharap aku berdoa  agar Allah memberikan aku kekuatan iman dan kesihatan untuk menghadapi masa-masa akan datang hidup bersama-sama dengannya....aamiin.

Ibuku

Hari-hari melewati usia emas ibuku pelbagai cerita yang dilakarkan.  Kalau semalam aku sibuk mencari kunci yang diambilnmya dan disimpan di tempat lain, kali ini tak mahu makan nasi lemak yang diberikan secara percuma kepadaku.
  Semalam sibuk seharian konvokesyen anak sulung di UiTM Shah Alam, aku pun membeli ayam dan singgah sebentar di kedai jualan nasi lemak.  Sesaja nak tanya cari orang untuk pemasangan plug, tetapi ditawarkan nasi lemak, maka diberikan aku 3 bungkus nasi lemak percuma.  Maka kuambil dan bawa balik.  Sesampai di rumah ku rebus 3 biji telur.  Aku pun mempelawanya makan. Tak ingin dimakannya.  Terpaksalah aku masak lauk ikan terubuk masak asam dan masak nasi.  Emak , Oh, mak, mengapa selalu buat cerita....tak baik menghina makanan! Syukurlah ada orang yang hendak memberi nasi lemak, kak Yam yang beri kepada emak...

Thursday, May 8, 2014

cabaran memasukkan data LINUS -2014

Tahun pertama mengajar tahun 1 terasa terbeban. mengapa? Selama 29 tahun, belum pernah mengajar tahun 1.  Persekitaran baru , sekolah baru, murid pun baru tetapi cikgu lama, itulah aku.  Memang terasa kelainan dengan keadaan dan iklim sekolah baru.  Sepanjang perkhidmatanku inilah baru ku jumpa murid-murid tahun 1 yang tak takut cikgu.  Entah mengapa? Aku tak tahu di mana silapnya!.
   Sudah selesai tugasku membuat Saringan bacaan dan menulis bagi tahun 1 Arif satu-satunya kelas tahun 1.  Sejak awal telah kuasingkan mereka setelah selama 4 bulan aku mengajar mereka.  Nampaknya tak berjaya mereka kuasai kemahiran membaca dan menulis.  Hanya 18 daripada 28 orang murid yang melepasi saringan 1.  Ada empat orang LINUS tegar dan 6 orang LINUS kelas biasa.  Aku tak tahu bagaimana lagi harus ku dekati mereka.  Gagalkah aku sebagai guru?  Di mana silapku, aku pun tak tahu?.
  Hari ini, 8/05/2014 aku memasukkan data mereka ke Portal NKRA, LINUSMBA0001.  Agak amat perlahan, aku dah mula menelusuri web ini pada malam tadi tetapi tak berjaya membuka lamannya , hanya berjaya memerhatikan maklumat di  webnya sahaja. Setelah berjaya membukanya, pada pukul 10.35 pagi, hanya 4 orang sahaja berjaya dimasukkan data dalam masa setengah jam, alangkah perlahannya.  Maka aku cuba pula di bilik GPK, katanya line internetnya , agak laju namun serupa juga.  Maka aku gunakan masa free sehinggalah pukul 11.35 pagi, selepas itu , aku mengajar semula sambil membawa laptop ke kelasku. Akhirnya siap jugalah sehingga pukul 1.20 petang. Nasib baik muridku hanya 28 orang.  Zaman sekarang guru perlu menggunakan masa sepenuhnya untuk mengejar masa ibarat sambil menyelam minum air, aku takut juga kalau lemas .  Muridku tahun 6, ada 3 orang yang membaca merangkak-rangkak, sempat juga bagi soalan membaca L:INUS, penatnya aku menunggu sambil mengisi data LINUS.  Syukurlah dapat juga aku menyiapkannya sambil mendengar dia membaca.

Saturday, May 3, 2014

bubur caca

Dah lama teringin pula nak makan bubur caca.  Aku ni jenis nak makan tetapi kalau makan tak sekat atau tak kawal alamat berat badan akan bertambah.  Memang sejak berpindah ke Melaka selalu lalu di pasar dan di kedai-kedai.  Mudah nak menghabiskan wang tetapi malas nak masak.  Selalunya makan buah-buahan segar sahaja.
  Semalam 3/5/2014 balik dari sekolah singgahlah di pasar .  Beli sedikit ikan dan sayur-sayuran, ternampaklah kelapa parut, nak beli pati santan tak pandai nak masak, selalunya kalau guna pati santan RM3.00 pastinya gulaiku cair, dah beberapa kali cuba tak berjaya.  Akhirnya terpaksa beli kelapa parut sebiji, kemudan perah santannya.
  Justeru , aku pun beli kelapa parut sebiji dengan harga RM2.50, keledek Jepun sekilo RM10.00, nampak macam layu sahaja tetapi dek kerana nak campur dalam bubur caca, ku beli juga 3 ketul kecil,  beras bubur caca RM4.00 .  Aku tak beli sagu mata ikan kerana di rumah adalah  4 camca sudu besar.
  Jadi petangnya, ku buatlah bubur caca, malangnya daun pandan pula tak ada.  Pokok pandan dah 2 kali kuambil dan tanam, malangnya dah mati, tak mahu hidup, musim panas kan. Sekarang dah siap dapat sebelanga untuk makan 3 orang, hingga ke hari ini , dah tinggal sedikit.  Syukurlah dapat juga makan bubur caca,....alhamdulillah...

Friday, May 2, 2014

peraturan di pondok LINUS

Setelah menyiapkan pondok LINUS, sibuk pula membuat peraturan penggunaannya.  Buku log penggunaan telahpun ku siapkan iaitu penggunaan murid dan guru.  Kini sibuk memikirkan peraturan penggunaannya dan beberapa arahan yang perlu diletakkan supaya semua pengguna dapat memelihara keceriaan dan keselamatan bahan-bahan bacaan yang terdapat di pondok LINUS ini.
  Ada juga ideaku agar beberapa orang pengawas dapat bertugas di pondok ini. Inginku dapatkan beberapa orang pelajar agar menjadi kakak atau abang sebagai mentor yang boleh membimbing adik-adik LINUS.
Berikut adalah peraturan yang telah ku tetapkan agar penggunaan pondok LINUS ini berkesan dan tetap terpelihara dengan baik.  Diharap semua pengguna dapat menjaga bahan-bahan bacaan yang dipamerkan dan menjaga kebersihan pondok LINUS ini.
  Peraturan Penggunaan Pondok LINUS
1. Sila tanggalkan kasut dan   susun dengan teratur.

2. Pelajar tidak dibenarkan   masuk tanpa guru atau pengawas yang bertugas.
3.    Tidak dibenarkan merosakkan bahan-bahan yang dipamerkan.

3. Letakkan  semula bahan-bahan yang telah dibaca di tempat asalnya.
4. Bahan -bahan bacaan  tidak boleh dibawa keluar dari pondok LINUS .

5. Semua bahan bacaan  yang telah dibaca  hendaklah dicatat di dalam           penggunaan buku LINUS yang disediakan .

6.  Sebarang kerosakan   bahan-bahan      bacaan seperti tertanggal atau dirosakkan hendaklah dilaporkan kepada pengawas atau guru yang bertugas.


7. Tutup kipas selepas digunakan. Pastikan suis ditutup.
8. Murid-murid tidak dibenarkan membawa beg sekolah ke dalam pondok      LINUS.
9. Makanan dan minuman tidak dibenarkan dibawa masuk ke Pondok LINUS.
10. Sebelum meninggalkan  Pondok LINUS pastikan kebersihannya dijaga, tidak ada sebarang sampah atau kertas yang ditinggalkan.
11. Terima kasih keranan  mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. 
12. Semoga penggunaan Pondok LINUS dapat dimanfaatkan demi meningkatkan pembelajaran dan pengajaran. 

Thursday, May 1, 2014

lagu tahun 1

Dasar MBMMBI menyebabkan aku terpaksa menyalin senikata lagu untuk didik hibur ini.  Walaupun aku buta muzik atau bukan kaki karaoke, aku terpaksa menyanyi untuk mengikut arus pdp murid-murid tahun 1.
  Lagu a e i o u sudah pun dihafal oleh muridku.  Kali ini lagu suku kata terbuka pula dari huruf abjad B hingga W pula memerlukan aku mengikuti rentak/melodi  lagu ini.  Kemudian terpaksa menyalin semula supaya murid-muridku dapat membaca dan menghayati senikata lagu ini.
  Penat jugalah dan banyak masa juga aku perlukan untuk mengulang dan menyalin serta menaip senikata ini.


 Lagu a e i o u

a e i o u

a e i ou


a e i o u

Abu Era baru berjumpa

Ita Obo Uda

Mereka hidup bahagia

Satu Malaysia

Ulang


Lagu
Baba ada bola.
Bola Baba baru.
Baba ada bola biru.

Caca suka cili.
Caca suka ceri.
Caca suka cili padi.


Dali suka Didi.
Dali suka duku.
Dali beri Didi duku.

Fazu suka Fifi.
Fifi suka feri.
Fifi ada foto feri.

Gani ada gigi.
Guru suka Gani.
Gani suka cuci gigi.

Hadi garu dahi.
Hadi garu bahu.
Hadi garu dahi bahu.

Jaja suka Jiji.
Jaja ada jeli.
Jaja beri Jiji jeli.

Kaki kiri kuda.
Kena cuci kuku.
Mari bawa kuda kota.

Lada sama cili.
Lupa beli lidi.
Lori pula kena curi.
  
Mama suka Mimi.
Muka mama sama.
Mimi suka sama mama.

Nani ada nona.
Noni suka Nina.
Nani beri Nina nona.

Papa ada pili.
Papa cuci peti.
Papa cuci peti besi.

Ragu suka Rita.
Rudi ada roti.
Rudi suka roti kari.

Sani suka Sita.
Sita suka susu.
Sita suka susu soya.

Tati suka tebu.
Tati ada topi.
Tati ada tiga topi.

Wawa suka sawi.
Wawa suka Wira.
Wawa beri Wira sawi.

Yati suka Yuna.
Yati ada yoyo.
Yati beri Yuna yoyo.

Zali suka Zila.
Zila suka Zeti.
Zeti mahu cari zoo.

rujukan lagu suku kata terbuka CD MBMMBI tahun 1.  Semoga murid-murid tahun 1 suka akan lagu ini dan berminat untuk belajar serta dapat menambah kosa kata mereka....aamiin.


permohonan Guru Cemerlang 2014

Tahun 2014, terdapat kekosongan jawatan guru cemerlang sekolah rendah DG 48 .  Oleh kerana ada kekosongan dan memenuhi tawaran jawatan tersebut, aku tidak melepaskan peluang untuk memohonnya.  Memang dari Tahun 2010 , aku sudah mengumpul semua bahan-bahan pdp dan segala-gala yang berkaitan karier sebagai guru sama ada sumbangan , aktiviti-aktiviti  atau instrumen-instrumen yang diperlukan.

  Tahun 2010 , aku memohon guru cemerlang.  memang banyak cabarannya, Pertama, menghantar borang tepat pada waktunya.  Apabila disemak, terdapat pula kekurangan maklumat, maka aku meminta tempoh untuk menghantar dokumen tersebut.  Syukurlah , permintaanku dipenuhi. Tetapi dalam pada itu, terdapat kesilapan teknik atau penyampai maklumat, dimarahi oleh Jemaah Nazir dan berbagai cerita yang tak sepatutnya aku ceritakan di sini.  Namun, akhirnya, aku berjaya juga mendapat gelaran Guru Cemerlang DG 44 (KUP).
  Aku bersyukur tak sesia aku membuat kajian tindakan.  Sebenarnya , dalam pdp ,. banyak yang boleh dibuat kajian tindakan tetapi memandangkan kesuntukan masa dan banyak pula komitmen yang lain , maka kajian dan penyelidikan dipandang sepi.  Syukurlah selama menjadi guru cemerlang, banyak juga menerima jemputan  ceramah teknik menjawab     Soalan  kertas 2 (Penulisan UPSR).  Semasa berkhidmat di Sabah ,ramai yang sibuk bertanya mengapa aku tidak memohon guru cemerlang.  Aku pendamkan sahaja.  Kemudian barulah dapat surat kenaikan pangkat guru cemerlang. Masing-masing terdiam.  Bukan mudah? terpaksa tahan telinga dan menerima sebarang cabaran.

  Kini  2014 ,aku mohon lagi.  Masih menunggu jawapan sama ada berpeluang atau tercalon.  Semua persiapan dokumen telahku lengkapkan.  Aku poskan dokumen tersebut dengan pos laju.  Aku lengkapkan semua dokumen yang diperlukan. Suamiku tolong mencetak gambar pasport yang diperlukan.  Memang kalau tak ada sokongan daripada guru besar dan GPK 1 serta suami , tentu aku tak mohon.  Bukan kurang percaya pada diri sendiri tetapi banyak cabarannya, namun ku teguhkan  hati jua.

 Doakan aku berjaya menjadi calon dan seterusnya berjaya dalam permohonan ini.  Semoga aku menjadi lebih tabah menghadapi ujian pada usia yang semakin meningkat.  Aku kekadang merasa semakin penat apabila dalam tempoh 2010-2014 , 3 buah sekolah aku berkhidmat - Sek Keb Sahabat 4, Sabah, Sek Keb Sungai Sireh, Selangor dan Sek Keb Masjid Tanah, Melaka.  Memang penat dan perlukan ketahanan mental dan fizikal dalam menyesuaikan diri dan iklim  persekitaran di tempat yang baru.  Bagiku suka atau tidak mesti kuharungi juga kerana selagi bergelar guru di situlah rezeki dan amanah yang perlu ku perlunaskan.  Syukurlah Allah memberikan aku kesihatan yang baik...amiin.

 Setelah menyiapkan borang permohonan, aku menyiapkan pula fail-fail untuk dokumentasi.  Tiba-tiba aku mendapt panggilan telefon, namun disebabkan kesibukan di padang untuk majlis sukan tahunan ke-43, panggilan takku jawab.  Pada hari Isnin, hari kedua berpuasa 30/6/2014, aku mendapat sms. akan dipantau pada hari Selasa atau sepanjang minggu  itu.  Maka pada hari Rabu 2/7/2014 aku telah dipantau dan diselia untuk permohonan Guru Cemerlang  Sekolah Rendah Bahasa Melayu DG 48 .Pemantauan dibahagikan kepada dua sesi iaitu sesi pemantauan pembelajaran dan pemudahcaraan dan sesi temuduga. Agak kepenatan juga apabila seharian otakku atau mindaku  berfikir dan melengkapkan keperluan pemantauan itu.
       Hari Isnin aku menyiapkan fail dan ringkasan mengajar. Hari Selasa pula , aku sibuk dengan melabel sudut Bacaan di kelas 6 Bestari, petang itu ada pula kelas tambahan dari pukul 2.00-3.30 petang dan memeriksa buku latihan.
   Penatnya dan malamnya pula sibuk membuat ringkasan mengajar dan mencari bahan-bahan, maklumlah aku memang zero pengetahuan dan pengalaman dalam pdp untuk murid Tahun 1 dan paling membimbangkan aku tentang disiplin dan kawalan kelas.  Perkara ini  memang selalu aku suarakan namun pihak pentadbir dan guru-guru lain pun sama seperti aku.
  Sesi temudugalah yang paling menyulitkan.  Aku bukan kaki membaca dan pengetahuan   am tentang pendidikan amat sedikit . Oleh kerana minda berkecamuk, melalut aku menjawab soalan-soalanya terutama isu-isu semasa. Visi dan Misi KPM, peranan TIMSS dan PISA.  Aku pun tak tahu sebenarnya apa maksud dan peranan kedua-dua akronim itu.  TIMSS stand for Trend In Math and Science Study. PISA Program of International Student Assessment.  Kedudukan Malaysia 1/3 bawah. Nak dipendekkan cerita jawapan , buat lawak pula penilai iaitu JNJK , kalau tak tahu simpan jawapan tersebut. Sistem penilai atau piawai yang digunakan untuk menilai /pengukur kualiti pendidikan di negara kita. Soalan spot yang ku pinta daripada suamiku sepatutnya dapat membantu aku, entahlah....hanya doa sahaja ku panjatkan ke Hadrat Illahi.

  Akhirnya penilai Nazir JNJK menemuduga guru besar dan ketua panatia Bahasa Melayu kerana aku memohon GC Bahasa Melayu.  Segala usaha telah ku buat sehabis baik.....sekarang terpulanglah kepada jemaah Nazir dan lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran.....semoga usahaku akan diberkati Allah s.w.t....amiin.
  Jemaah Nazir KPM iaitu Dr Hamid bin Idris  Nazir (Sekolah) dan Tn Hussin Abu Bakar ,(Nazir Kanan) JNJK (Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti dari Johor , Tn Hj Othman bin Ahmad ,guru besar Cemerlang DG 44 dan En Md Isha bin Bakar GC, guru-guru SKMT dan semua yang terlibat, terima kasih semua.....jasamu akan dikenang.  Allah sahaja yang membalasnya.
 




Gaji lagi....

Episod sejarah gaji bagiku berulang lagi.  Setiap kali berpindah , masalah gaiji timbul lagi.  Kalau perpindahan ku dari Sabah ke Selangor, gaji bulan April dipotong sehingga sifar, kini lain pula ceritanya  di Melaka.
 Hendak marah pun tak guna.  Sebenarnya telitilah dan berhati-hati ketika membuat kerja.  Kalau guru membuat salah heboh satu dunia.  Kalau AG atau CC buat salah di mana kesabaran kita?  Kali ini, perpindahan dari Selangor , colanya RM150 , di Melaka bertambah pula  RM250.  Gaji di Selangor setakat bulan Mac.  Maka adalah tunggakan dari Jan hingga Mac.  Malangnya, apabila slip gaji dicetak, tertera bahagian potongan perumahanku menjadi tajuk lain pula....Bila masanya aku perlu membayar kepada Lembaga Kemajuan Johor Tenggara.  Macam-macam hallah pula.  Apa kan jadi dengan potongan perumahan?
  Dengan rasa tidak puas hati, aku pun mendapatkan kerani.  Katanya dia tersilap tekan kod nombor.  Oh, begitu mudahnya tanpa memberitahu aku. Dia menerangkan AG Melaka sudah dapat kesan kesilapan itu, nasib baik belum masuk akaun Lembaga Kemajuan Johor Tenggara.  Duit itu akan dipulangkan melalui cek dan potongan perumahan untuk bulan Mei akan jadi dua kali ganda.  Syukurlah , dan tahniah kerana berjaya dapat mengesannya lebih awal.
  Apa-apapun aku bersyukur kerana tidak ada masalah dalam pembayaran gaji ......Syukur Alhamdulillah....nanti perlu  memeriksa akaun bank pula dan slip gaji setiap bulan.