Thursday, July 31, 2014

Aidil Fitri 2014

Tahun ini Aidil Fitri 1435H adalah tahun yang paling meriah.  Ramai saudara -mara berkunjung di rumahku,  Keluarga kakakku dan juga kakak ipar, keluarga sebelah suamiku menginap 2 malam di rumahku.
    Selepas sembahyang raya, kami menziarahi kubur atau pusara arwah ayah dan mertuaku.  Ada  sedikir kesilapanku yang lalu,  menyebabkan aku merasai kehilangan dan kegagalan aku sebagai anak, menziarahi pusara ayahku sendiri.di tanah perkuburan Ayer Pa'abas.  Memang kesilapan terbesar dan kelemahan anak perempuan apabila tidak menzirahi pusara ayah sendiri.  Bukan aku melupakan tetapi dek kerana merantau dan beranggapan pusara itu tidak akan hilang tandanya kerana ada batu nisan.  Masalahnya tanah perkuburan itu sudah berubah dan pusara itu di bawah bukit, sudah dua kali aku mencari pokok besar itu ,namun pokok besar telah tiada dan batu nisan bergelimpangan dibawa arus air kerana kubur tersebut tidak berkepung dengan simen, akhirya batu nisan juga tidak dijumpai.  Menyesal pun tidak berguna, nasi dah jadi bubur hanya aku selalu berdoa agar arwah tenang di sana dan Allah menerima doaku.
  Berbalik kepada Hari Raya, hari yang mengeratkan silaturahim, kunjung mengunjungi ke rumah saudara-mara adalah satu kemestian, supaya anak-anak mengenali saudara-mara mereka.  Malang, kami sekeluarga terputus hubungan mungkin disebabkan kami berada lama di perantauan , kami beraya pun sekejap sahaja. Kini , aku umpama sireh pulang ke ganggang, balik ke rumah sendiri namun suamiku masih di perantauan. Cuti seminggu ini , mesti digunakan sepenuhnya.
  Hari Raya pertama, kami menerima kunjungan daripada keluarga abangku .  Kemudian raya kedua, kami menerima kunjungan daripada  adik suamiku seterusnya kami ke Kluang .  Sepanjang jalan dalam  perjalanan , kami melihat berderet-deret kereta menuju ke Utara, kesesakan yang teruk.  Kami singgah di R & R Ayer Keroh untuk menunaikan  hajat, malangnya terpaksa beratur selama 20 minit.  Ramainya orang sedang menuju ke destinasi masing-masing mungkin bercuti atau beraya ke rumah keluarga atau saudara-mara .  Di mana-mana pun ramai orang sama ada  di stesen minyakdi Petron, Shell atau Petronas.
  Hari Raya ketiga , lagi ramai saudara-rama yang berkunjung  ke rumahku, terutama anak-anak mok tehku serta adik bongsu emakku dan anak-anaknya. Kemudian sepupu suamiku anak -beranak.  Kini giliranku pula hendak beraya ke Kuala Lumpur untuk menziarahi pak cikku iaitu adik emakku dan sepupuku.

                                          Sayangnya si anak kedua beraya bersama-sama kawan-kawannya.


keluarga sebelah suamiku dan juga kakakku.
Semoga Aidil Fitri ini memberikan sinar kebahagiaan dan hubungan kekeluargaan akan bertambah erat .  Kepada semua keluarga ,saudara-mara, kenalan , pembaca dan saudara seagama muslimin dan muslimat , saya memohon maaf zahir dan batin atas segala kesalahan dan kesilapan yang menyinggung perasaan serta terkasar tingkahlaku....................SELAMAT HARI RAYA DAN MAAF ZAHIR BATIN.

 

Friday, July 25, 2014

Bunga telur jangan dibuang

Kebanyakan orang Melayu suka menggunakan bunga telur sebagai bunga pahar yang menghiasi pelamin ketika majlis perkahwinan.  Setelah digunakan sebagai buah tangan kepada tetamu atau sahabat handai, bunga telur tersebut janganlah dibuang.  Bunga telur itu boleh digunakan sebagai bunga hiasan di atas meja.
  Bagiku bunga telur itu banyak kegunaannya.  Semasa di SKDN, aku gunakan bunga telur itu untuk melekatkan kata-kata ucapan sempena Sambutan Kemerdekaan Malayisa .  Murid-murid menulis kata-kata ucapan di atas kertas , kertas tersebut diikatkan kepada bunga telur tersebut.Kemudian cucukkan bunga telur tersebut di atas batang pisang dan pamerkan di sudut-sudut laluan murid-murid di sekolah supaya murid-murid dapat membaca dan menghayati hasil kerja mereka.
 Bunga telur tersebut boleh juga digunakan sebagai BBM.  Aku  mengikatkan simpulan bahasa bersama-sama dengan maksudnya untuk menarik minat murid membaca dan mengingati beberapa simpulan bahasa.  Baru-baru ini sekolahku SKMT telah mengadakan majlis khatam Quran, Untuk membeli bunga telur yang baharu tentulah memerlukan wang, jadi kumpullah bunga telur yang telah digunakan dengan syarat bunga telur tersebut  masih lagi cantik dan elok.  Aku sebenarnya  meminta  bunga telur tersebut daripada kakakku, kebetulan dia suka mengumpul dan rajin menghadiri majlis perkahwinan, jadi banyaklah bunga telur yang dikumpulkan dan disimpannya.
Aku telah memberikan bunga telur tersebut sempena majlis khatam Quran sebagai buah tangan kepada murid-murid SKMT .  Bunga telur khas untuk murid-murid dan guru dihadiahkan oleh seorang guru sebanyak 50 batang harganya RM29.90 .  Jadi dapat jimatlah wang untuk membeli bunga telur untuk murid-murid lain iaitu murid prasekolah, murid tahun 1 hingga 5.

                              sibuk guru-guru pelatih mengisi telur dan menyusun bunga pahar

                      walaupun pelbagai warna dan bentuk tetap cantik setelah disusun di atas bekas telur.
bergambar dengan Ustazah Hjh. Salwa bt Hj Abu

Sunday, July 20, 2014

Kursus Motivasi SKMT 2014

Kursus Motivasi bagi murid-murid tahun 5 dan 6 telah diadakan oleh TAPEM  di SKMT pada 17/7/2014.  Aku tidak ingat nama penceramah itu.  tetapi pada aku ada suatu yang tersirat perlu dipelajari daripada peristiwa itu.
   Aku tidak dapat menghadiri sepenuh masa ceramah motivasi itu kerana aku ada kelas tahun 1 Arif dari pukul 8.45 - 10.15 pagi.  Aku hanya menghadiri ceramah itu pada pukul 10.35 sehinggalah pukul 1.45 petang. Aku mengikuti elemen bersikap jujur yang meminta murid-murid mengaku apa yang telah dibuat berdasarkan kesalahan dan kesilapan yang mereka lakukan. Pertama , Sesiapa yang pernah merokok dan menonton video lucah,maka murid yang berkenaan diminta mengaku dan keluar berbaris di hadapan. Si penceramah akan menemu-bual mereka...rokok apa yang dhisap, di mana?. Begitu video, di mana ditonton atau pengaruh siapa? Seterusnya bercakap kasar atau mencarut dan akhirnya siapa yang mengutuk guru atau mengajuk guru.
  Episod inilah yang menggambarkan perlakuan dan sikap murid .  Aku tidak tahu mengapa murid-murid sampai ke tahap membenci guru sehingga ada guru yang berkecil hati.  Padaku aku tak kisah dah jemu dengan kelakuan dan tingkahlaku murid.  Di mana-mana pun aku kita ketahui memang ada murid yang mempunyai perasaan antiguru terutama guru yang selalu menegur kesalahan dan kesilapan murid.    Kebanyakan murid tidak suka padaku kerana aku seroang guru yang bersikap benar tidak menyembunyikan perangai dan tingkahlaku mereka yang kurang elok.  Bagiku adalah lebih baik ku tegur sekarang kerana mereka masih lagi 'rebung belum jadi buluh' dan kalau orang tua-tua dahulu tentu akan mengatakan mereka masih lagi'budak-budak belum matang'. Malangnya murid-murid sekarang tidak mahu cermin diri, mencari kesalahan orang lain nombor satu.
   Kemudian sesi ikrar akan berkelakuan baik.  Seterusnya acara memohon maaf kepada guru-guru atas kesalahan yang telah mereka lakukan.  Syukurlah, semoga semua murid dapat manfaat dan keinsafan serta memperbaiki diri sendiri.  Bagiku semua anggapanku terhadap murid -murid khususnya murid Tahun 6 Bestari kini terserlah betul...bagikun kebenaran tetap akan terungkai.  Tugas seorang guru bukan hanya mengajar tetapi mendidik , begitulah sukar kita hendak membetulkan yang bengkok menjadi lurus tetapi sekurang-kurangnya kita telah berusaha.
                                                   pengakuan secara jujur
                    berbaris meminta maaf kepada guru-guru atas kesilapan yang pernah dilakukan.

                                                        Acara penutup pada pukul 1.30 petang
                                     Ucapan GPK 1 , Pn HJh. Zainon bt Suboh, GPK 1 SKMT.
                                       






Friday, July 11, 2014

Melengkapi Pondok LINUS dan penggunaannya

Dah lama ku tinggalkan Pondok LINUS.  sebagai setiausaha, penggunaan pondok LINUS agak menyedihkan atau mendukacitakan.  Bekas pondok usang diberi wajah baru...dipasang tikar getah, berdindingkan banner yang tidak digunakan lagi, di atasnya dilekatkan gambar-gambar dan alat bantuan mengajar sebagai pameran atau sebagai rujukan kepada murid-murid selain  menarik minat untuk membaca.
  Kini, LINUS bersuara lagi.  Pihak sekolah mendapat surat, pemantauan untuk  pertandingan tersebut akan diadakan pada 14-25 Julai 2014. Kami  baru sahaja mengadakan perjumpaaan ibu bapa/waris murid-murid tersebut . Aku pula membuat laporan ringkas dan membuat persediaan untuk pemantauan.
   Huruf-huruf dan peraturan yang telah ku sediakan belum lagi diusik. Semalam, aku meminta AJK LINUS menyiapkannya.  Aku memberikan idea dan terpaksa menyiapkan pada hari ini 11/7/2014.  Sambil mengajar aku melekatkan bahan-bahan dan gambar-gambar semasa aktiviti LINUS. Untuk memasang peraturan-peraturan yang sepatutnya dipasang di pondok LINUS, aku meminta bantuan Ustaz Mohd Rais untuk memakukan pada kayu di situ manakala En Mohd Nasreen ku minta melekatkan semua bahan-bahan yang tertanggal seperti turutan huruf abjad. Pn Asiah pula ku minta melaminatekan bahan-bahan laporan dan maklumat terkini untuk dipamerkan di papan kenyataan. Pn  Maya menyiapkan satu papan tanda "JOM BACA'" - MEMBACA ASPIRASI KEJAYAAN" .  Papan tanda itu belum lagi siap. Insha-Allah pada hari Isnin 14 Julai , siaplah dan boleh dipasang sebagai motivasi kepada murid-murid.
  Syukurlah sudah ada sedikit catatan penggunaan pondok LINUS.  Akan ku baiki sedikit demi sedikit prosedur untuk menarik hari si pemantau LINUS .  Semoga Allah memberkati usaha kami demi mempertingkatkan prestasi pembelajaran murid -murid SKMT.
                                      murid-murid membaca di pondok LINUS
                                 bahan-bahan bacaan yang terdapat di Pondok LINUS
                                           Meminta murid mencatatkan bahan bacaan mereka

                                           Pelbagai gaya pembelajaran di pondok LINUS -
                                   meminta rakan mereka mengeja atau menyebut atau membatang perkataan
                                      Peraturan-peraturan yang perlu dilengkapkan


                                      Aktiviti mengira sambil bersantai seamasa pembelajaran Matematik di pondok LINUS
                                                          Pembilang daripada kulit siput
                                        pengajaran dan pemudah bicara yang menggantikan pdp

Sunday, July 6, 2014

Pengalaman Pemantauan Nazir GC 2014

Aku mendapat panggilan telefon pada masa sibuk persiapan hari sukan sekolah.  Ketika itu, aku di padang.  Panggilan telefon hendakku jawab,namun terputus. Kemudian aku biarkan ia berlalu.  Dalam hatiku mungkin berkenaan dengan permohonanku untuk Guru Cemerlang DG 48.

  Kemudian aku mendapat sms pada hari Isnin, 30 Julai 2014.  Aku belum membuat ringkasan mengajar dan fail-fail yang telah kususun semenjak tahun 2011 serta dokumen-dokumen berkenaan pdp dan sebagainya belum kulabel.Walaupun aku dah siapkan ,namun aku masih lagi bertangguh melabel fail-fail tersebut.

   Sikap suka bertangguh menyebabkan banyak kerja yang terbengkalai. Kan dah terperangkap apabila nazir datang nak memantau.  Aku hanya diberi masa tak sampai sehari . Dalam sms itu dikatakan aku akan dipantau mulai hari Selasa dan di sepanjang minggu itu.  Aku dah gelabah ,mana tidaknya melabel fail dari pukul 2.00 petang hingga ke malam.  Malam itu aku tidak boleh tidur, kusiapkan persediaan mengajar,
  Pada pagi Selasa, aku ke sekolah lebih awal, mencari data-data dan perancangan  sekolah tentang UPSR dan target .  Pada hari Selasa itu pula,  ada kelas tambahan hingga pukul 3.30 petang.  Aku pula sibuk mengumpul buku untuk disemak,  buku-buku murid  Tahun 1 dan Tahun 6.  Aku juga menggantungkan label "SUDUT BACAAN - JOM  BACA di kelasku  6 BESTARI dan melengkapkan maklumat di Sudut LINUS.

  Kehadiran kedua-dua orang Nazir tersebut pada hari Rabu, 2 Julai 2014 pada pukul 8.30 pagi  Aku diberitahu melalui telefon dan secara  lisan oleh  kedua-dua orang guru SKMT.  Aku kemudian dipanggil ke pejabat.  Setelah berjumpa dengan guru besar dan nazir tersebut, aku diminta menunjukkan bahan-bahan bukti semasa memohon jawatan tersebut.  Borang permohonan dan profil guru cemerlang yang kulengkapi itu ada di tangan mereka. Mereka memberitahu penilaian hanya 30% sahaja
.
  Sebenar banyak bukti, namun aku yang agak kekalutan banyak yang terlupa.  Guru besar hanya memberitahu nazir bahawa aku baru berpindah ke sekolah ini genap 6 bulan aku berkhidmat. Kemudian , mereka meminta aku membuat fotokopi/salinan keputusan ujian kedua-dua kelas Tahun 1 dan 6.  Aku dipantau selama 1 jam 30 minit untuk tahun 1 Arif.  Aku sebenarnya dah tawakal sahaja kerana murid tahun 1 ku ini lain sedikit. Mereka sukar dikawal , tidak takut guru atau sesiapa sahaja , suka main dan keluar kelas ke tandas kerana ingin membuang air kecil.

  Kemudian aku diminta memberikan   borang profil biodataku  kepada guru besar untuk dilengkapkan dan mengkehendaki borang tersebut sebelum mereka pulang. Kemudian aku ke Makmal Komputer untuk sesi temu ramah atau sesi dialog.  Aku tawakal sahaja kerana soalan-soalan mesti berdasarkan pendidikan dan isu-isu semasa. Tetapi aku tak kisah, samalah seperti aku ditemuduga semasa memohon GC DG44 dahulu..  Sebenarnya ada soalan spot yang aku jangkakan akan keluar tetapi aku ini jenis tak boleh dipaksa dan agak tertekan pada masa itu, jadi jawapanku melalut sahaja. Biarlah itu sahaja yang aku mampu ku lakukan  kerana aku ingatkan aku gagal mendapat peluang ini.  Apabila berlaku seperti ini, aku agak terkilan juga. Namun satu kenangan abadi yang tidak dapat kulupakan apabila nazir yang menggungkapkan "simpan " kalau tak dapat jawab soalan dan mereka tidak akan menyatakan betul atau salah jawapan yang ku berikan.

  Aku lupa tentang apa yang ku buat  dan kusumbangkan di sekolah baruku.  Aku menceriakan kelas 6 Bestari, membuat sudut LINUS di Tahun 1 Arif,  mewujudkan Pondok LINUS dan berjaya dalam   pertandingan Sahibba peringkat negeri Melaka dan  mendapat kedudukan tempat ketiga bagi Negeri Melaka. Aku mengajar kelas tambahan petang , hari Sabtu dan Malam untuk meningkatkan prestasi UPSR.  Segala-galanya yang ku buat , kulupa untuk mempromosikan kerja atau khidmat yang telah aku lakukan.  Seperkara lagi lupa nak ku tunjukkan facebookku dengan jaringan lain seperti program pengantarabangsaan guru-guru Bahasa Melayu, dan blogku BAHTERA 11 serta jaringan lain atau web lain yang  disertai.
  Walaubagaimanapun semuanya telah berlalu.  Semoga Allah memberkati segala usahaku....Insha-Allah...aamiin.

  Pengajaran daripada peristiwa ini ialah janganlah kita menangguhkan kerja apabila tertekan maka segala kerja akan dibuat tergesa-gesa dan fikiran serta minda kita akan berserabut. Redha sahajalah..kalau ada rezeki takkan ke mana!

  Terima kasih kepada kedua-dua Nazir Dr Hamid b. Idris (Nazir Sekolah) dan En Hussin bin Abu Bakar (Nazir Kanan) JNJK (Johor), guru besar, En. Amirul, En Mohd Isha b. Bakar (GC BM Cemerlang) , guru-guru dan semua yang turut membantu, serta mantan guru besar SK Sahabat 4, SK Sungai Sireh atau semua warga sekolah yang terlibat.

  Modul Pdp yang kami , Guru-guru Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Daerah Kuala Selangor  hasilkan setelah beberapa kali perjumpaan  mengikut topik dan kumpulan.


                           Sijil penghargaan atas budi yang kami taburkan serta sebagai tanda ingatan
Inilah sumbanganku semasa aku mengajar di SK Sungai Sireh di mana aku terlibat secara aktif di Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Selangor dengan menyertai pasukan sukarela Guru-Guru Bahasa Melayu Kuala Selangor mengajar dan memberi ceramah Bahasa Melayu kepada Guru-Guru Bahasa Melayu Thailand.  Syukurlah walaupun banyak halangan , aku dapat menabur bakti di negeri orang.

  NUKILAN RASA 5 Julai 2014.

Saturday, July 5, 2014

Program Hari Jalinan Budi SKMT 2014

Program Hari  Jalinan Budi telah diadakan pada 4 Julai bersamaan Hari Pelaporan SKMT. Program ini bertujuan untuk memberitahu ibu bapa penjaga murid -murid  Tahun 6 dan Tahun 1 tentang perkembangan prestasi pembelajaran anak-anak mereka.  Kedua-dua program ini bertujuan  agar  ibu bapa bekerjasama memberi perhatian terhadap perekmbangan  pelajaran anak-anak mereka.
  Program tersebut diadakan mengikut 2 sesi iaitu sesi perbincangan tahun 6 pada pukul 8.30 -10..00 pagi manakala Murid LINUS pada pukul 9.30-10.00 pagi.  Program menandatangani buku pelaporan atau rekod prestasi diadakan pada pukul 10.00 hingga 12.00 tengah hari.  Ibu bapa boleh membawa anak mereka balik selepas menanda tangani buku pelaporan tersebut.
  Program ini berjalan serentak di mana ibu bapa murid Tahun 6 akan mendengar taklimat di Makmal Komputer manakala ibu bapa /penjaga Tahun 1 berkumpul dan berbincang di Pusat Sumber.
.  Seperti yang kita ketahui bahawa peranan ibu bapa amat penting bagi memastikan anak-anak belajar secara berterusan di rumah. secara konsisten.  Ibu bapa perlu memantau perkembangan pelajaran anak-anak di samping mengetahui  kelemahan anak-anak dalam pelajaran.  Dengan ini memudahkan guru mengatasi kelemahan murid-murid dan bertindak dengan landasan yang betul. Idea ini ku cadangkan kepada penyelaras LINUS untuk sesi perjumpaan dengan ibu bapa selepas Saringan LINUS 1.
 Ada maklumbalas yang positif apabila ibu bapa diberitahu tentang prestasi anak-anak mereka. Sambutan daripada ibu bapa menggalakkan.  Diharapkan program ini dapat membantu meningkat  prestasi pembelajaran anak-anak didik SKMT. Kehadiran ibu bapa untuk menandatangani buku pelaporan prestasi akademik anak-anak turut diadakan bagi menjelaskan perkembangan pembelajaran anak-anak sepanjang persekolahan termasuk perkembangan mental , fizikal dan sahsiah anak-anak mereka. Bagi Program LINUS perbincangan diadakan mengikut kumpulan iaitu LINUS bagi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Pemulihan.
 Semoga program ini memberi manfaat kepada kedua-dua pihak iaitu ibu bapa dan pihak sekolah.
 
 Anak-anak sedang membaca sementara menunggu giliran ibu bapa berbincang tentang perkembangan pelajaran mereka.
                                 Tallimat LINUS dan Pemulihan daripada guru Pemulihan
                                                ibu bapa sedang mendengar takimat
                                           Perbincangan ibu bapa dengan  guru Pemulihan
                                              Perbincangan dengan guru Bahasa Inggeris
Perbincangan dengan guru Matematik

Sukanan Tahunan kali ke-43 SKMT

Sukan kali ke -43 dan kali pertama aku di sini.   Hari sukan diadakan pada 26 Jun 2014 hari Khamis.  Pada pagi Khamis itu, kami sibuk di padang.  Kami menghias khemah pasukan rumah masing-masing selain persiapan tempat, hadiah, dan padang.
  Manakala guru ketua rumah sibuk dengan persiapan murid-murid untuk acara perbarisan.  Acara perbarisan akan dipertandingkan manakala hiasan khemah tidak terlibat.  tetapi guru-guru diingatkan agar menghias khemah pasukan rumah agar mencerminkan  suasana dan semangat kesukanan.
  Setelah semuanya siap, acara raptai telah diadakan pada pukul 11.00 pagi.  Pada pukul 2.00 petang semua murid bersedia untuk acara perbarisan.  Guru-guru mempersiapkan murid-murid mereka dengan hiasan yang menarik tetapi "simple" maklumlah kurang bajet.
  Aku pula sibuk membeli kertas kuning, bunga manggar, tali rafia dan plastik/alas meja kuning untuk hiasan khemah.  Kami berbincang bersama-sama untuk persiapan perbarisan pasukan rumah kuning/ Syahbandar.
 Acara sukan bermula tepat masanya kerana perasmian dibuat semasa majlis penutup dan penyampaian hadiah.  Acara-acara yang dipertandingkan ialah acara sukaneka bagi murid prasekolah dan tahun 1 dan dua.  Acara lari 80 meter bagi murid tahun 1 dan 100m, 4x100m, 200 m bagi lelaki dan perempuan A dan B.
 Sukan berakhir pada pukul 6.30 petang tetapi aku terpaksa beredar pada pukul 6.00 petang untuk mengambil anak di sekolah yang kebetulan di sekolahnya ada majlis sukan tahunan.  Sebelum sempat sampai ke sekolahnya, dia telahpun sampai ke rumah.  Syukurlah majlis sukan telah berjalan dengan lancar. sekolah kami mengambil cuti peristiwa pada hari Jumaat , Pada hari Ahad 29 Jun , kami menyambut awal Ramdhan dan pada hari Isnin merupakan hari cuti umum di Melaka sempena menyambut awal Ramadhan 1435 Hijrah.





                                        Masih meriah perhiasan belon bagi rumah kuning/Syahbandar

                                                           Khemah   Pasukan rumah hijau

                                             Hiasan belon di rumah Merah dah pecah .
 Bersama-sama dengan ketua rumah Pn Aminah Mustafar dan Pn Surianti Hamdan David.
    Beginilah persiapan yang sederhana bagi kejohanan sukan kali ke -43.