Thursday, March 26, 2015

cerita pulut Kuning

Menyebut pulut kuning banyak peristiwa yang bersabit dengannya. Pertama, aku masih teringat kata-kata Cikgu Azhar, rakan setugas dan sebaya denganku.  Beliau seorang yang baik budinya.  Beliau meminjamkan kereta kancilnya untuk anakku belajar memandu.  Anakku pula dah 2 kali gagal dalam ujian naik bukit untuk ujian litar.
  Aku pun begitu juga.  Untuk ujian slope, kali ketiga baru lulus ujian kereta pada tahun 1989. Dengan meminjamkan keretanya, dapatlah aku mengajar anakku memandu.  Mungkin dalam kepenatan kerja rumah, kerja sekolah dan mengajar anakku memandu, aku yang memandu keretanya telah terlanggar pokok, kena pada bahagian belakang kereta semasa aku berundur.  Entahlah dah nasib agaknya, nasib baik aku tak dimarahinya.  Ku hantar kereta tersebut kemudian memintanya baiki dan aku bayar ganti rugi.  Ganti rugi RM90 sahaja, hendak ku beri lebih beliau menolak.  Jujurnya beliau. Beliau sempat juga bergurau supaya membuat pulut kuning jika lulus ujian kereta kelak.
  Kini giliran anak bongsuku pula menghadapi ujian memandu kereta. Pada mulanya mendaftar di Zapcity dengan bayaran RM1068 .  Untuk ujian komputer atau undang-undang sekali terus lulus.  Untuk ujian litar dan jalan raya memang sukar baginya. Buat kali pertama , dia gagal.  Aku sibuk mencari kereta sewa dengan tujuan dapat memberikannya banyak latihan.  Kali pertama menyewa RM150 selama dua hari, malangnya aku sempat mengajar 6 jam sahaja.  Kukira cukup untuk dia berlatih memandu.  Rupa-rupanya, gagal lagi kedua-dua ujian. Aku tak tahu di mana silapnya.  Kemudian, aku menyewa kereta itu 2 hari lagi kereta Viva . Aku memberinya latihan memandu sendiri dengan aku menjadi pelatih .  Aku lihat ok sahaja dia memandu. Enjin tidak mati dan telah beberapa kali pusing keliling dari Air Paabas hingga ke Masjid Tanah. Kemudian, untuk latihan bukit, kubawa ke SK Dato' Naning yang berbukit itu.
  Mungkin aku menggunakan premis , di SK Dato' Naning tanpa kebenaran kot, sebab itu kali ketiga , anakku masih gagal lagi.  Kali ini sewa kereta RM130.00 sahaja. Kemudian ,  anakku sendiri menambah masa latihan di Zapcity selama 2 jam dengan bayaran RM100. Entahlah,  3kali gagal.  Kali keempat dengan bayaran RM125 untuk ujian Litar dan Jalan raya. Kali ini aku dah tak tahu nak mengajarnya, biarlah dia sendiri yang menyelesaikannya.  Syukurlah kali ini dia lulus kedua-duanya serentak.  Alhamdulillah dengan penuh doa dan diringi berpuasa,  aku bermohon kepada Allah agar mempermudahkan urusannya.
  Dengan itu, aku telah berjanji kepada diriku agar menunaikan hasrat Cikgu Azhar untuk membuat pulut kuning sebagai tanda bersyukur.  Pulut kuning ku kukus sebanyak 5 kilo dan 2 ekor rendang ayam cili padi.  Aku menjamu selera guru dan murid di SKMT.   Syukur Alhamdulillah, akhirya lulus ujian kereta buat kali keempat dengan perbelanjaan berjumlah RM1873.00  .
  Pengajaran daripada peristiwa ini , kita hendaklah berhati-hati dan mengikut peraturan serta cekal menghadapi ujian.  Kita perlu ada sikap berani dan yakin kepada diri sendiri.  Tanpa berputus asa serta mempunyai semangat yang kental, kita akan berjaya jua akhirnya.
 
                                                                 Latihan di premis SKDN
 
                                           Sempat menjenguk ke rumah arwah emak mertua

       

Monday, March 16, 2015

Detik Persaraan

Seperti yang dirancang,majlis berjalan dengan baik.  Kebanyakan tetamu hadir dan makanan yang ditempah mencukupi.  Malangnya majlis makan diadakan pada akhir acara menyebabkan ada tetamu yang balik awal tanpa sempat menjamu selera.  Aku pula sibuk dengan keinginan melihat keputusan SPM anak bongsuku.  Ramai juga tetamu guru besar yang tidak hadir kerana hari tersebut masing-masing sibuk dengan keputusan SPM.
  Seperti yang dirancangkan, aku tidak sempat mendengar butiran ucapan guru besar sebelum meninggalkan sekolah.  Apa yang pasti, kami telah menghiaskan kereta alphard untuk menghantar guru besar pulang. Sebagai penutup majlis, semua warga SKMT berbaris di sepanjang laluan keluar ke sekolah.  Sebelum itu semua murid beratur dan bersalaman kemudian memberikan lambaian kasih kepada guru besar mereka.  Guru-guru juga melambaikan tangan sebagai lambaian terakhir di sekolah ini.
                                    Pendaftaran dan pemberian goodies daripada guru besar
                                                        Salam terakhir buat murid-murid SKMT

                                   Murid-murid beratur di sepanjang jalan keluar sekolah
                                                    Lambaian kasih daripada  guru-guru


                                           Salam daripada saya....penulis semoga hidup bahagia setelah bersara.

Aku pula tinggal tujuh tahun lagi bersara , semoga Allah melanjutkan usiaku dapat menyemai bakti dan memberi kesihatan yang baik.  Jika kesihatan terganggu, maka aku akan menamatkan perkhidmatan lebih awal.,,,,, wallahu' alam bissawab.

Saturday, March 14, 2015

Majlis Persaraan Guru Besar SKMT

Majlis dirancang sejak awal buka sekolah.  Majlis akan diadakan pada 3 Mac 2015.  Bermula 18 Februari sibuk mencari kain langsir untuk backdrop.  Sudah dipasang , tidak kena pula.  Dibuka semula.
  Aku dan rakan setugas terutama persiapan pentas dan dewan sibuk.   Mereka membuat persiapan pada 23 Februari, kemudian berturut-turut sehingga persiapan lengkap.  Cikgu Pn. Zaidatul Umi
Umairah dan Pn Jamilahton Kholijaah memang pandai mengubah bunga dan mereka mengubah suai backdrop sehingga beberapa kali mengikut persepsi yang menarik.  Beberapa kali membeli bunga dan persiapan-persiapan lain seperti membeli bunga , kain jersi , dan lain-lain.




Kemudian tak menarik, diubah lagi sehingga jadi begini


Cikgu dan ustaz sibuk membarnis set sofa yang dah kelabu asap...supaya jadi berkilat, kemudian beli sarung kusyen yang baru.

                                                         Sibuk pula mengisi goodies

  Semua guru bekerjasama membuat persiapan dewan dan goodies.  Banyak perkarayang telah ditambah terutama skrin dialihkan ke hadapan, gambar-gambar Agong, pemimpin digantungkan di dinding.
                                             Setelah bersantai dan mengambil gambar kenangan
Masih lagi kekurangan apabila tetamu dan VVIP menjamu selera di belakang 



                                            Dewan sementara ini dibuka merangkumi  3 kelas
Hidangan orang yang diraikan dengan ahli keluarga dan VIP

Untuk menyiapkan dewan yang semeriah ini, kami menyiapkan selama beberapa hari bermula dari 18/2 hinggalah ke tarikh akhir 2/3 . Antaranya sibuk dengan menyiapkan gubahan bunga sebanyak 4 pasu, menyediakan goodies dan memasang langsir serta menunggu khem,ah dan kerusi tiba dan dipasang dengan baik.
Menunggu khemah yang dipohon dari Majlis Perbandaran Alor Gajah adalah suatu pengorbanan kerana terpaksa menunggu selama 2 hari, malangnya peralatan seperti kerusi,meja dan khemah tak kunjung tiba, akhirnya kami menyewa khemah dan peralatan tersebut dari salah seorang bapa murid sekolah kami.






Sunday, March 1, 2015

Nostalgia - lingkaran hidup di Pulau Pinang

Aku mula berpindah di rumah ini pada awal hujung bulan November 1989 sebab seingatku, persekolahan pada masa itu bermula pada awal Disember 1989.  Aku baru sahaja melangkah ke alam baru kerana baharu memulakan kehidupan berumahtangga pada 29 Julai 1989.  Suamiku berulang alik dari Butterworth ke Kampung Kerinchi kerana pada masa itu aku mengajar di Sekolah Sri Subang Jaya 2, Petaling Jaya.
   Aku mengajar di Sekolah Kebangsaan Bagan Jermal sementara suamiku mengajar di Sekolah Datuk On, Butterworth.  Jarak dari rumah ke sekolah lebih kurang 18 km.  Dengan kehidupan yang serba kekurangan , kami menggunakan sebuah kereta.  Pertama, aku mengikuti suami ke sekolah awal pagi, kemudian aku balik ke rumah dan akan melalui jalan yang sama ke sekolah semula dengan pertambahan 1 km ke sekolahku.  Setelah balik dari sekolah, suamiku akan mengambil kereta itu untuk pulang ke rumah.  Dengan kereta itu juga, suamiku akan mengambil aku semula.  Begitulah perjalananku  ke sekolah selama setahun.
  Aku memulakan hidup baharu bersama suamiku terdampar di perantauan dari bumi Melaka .  Aku bernasib baik kerana dapat menjalani hidup bermasyarakat dengan penduduk kampung Paya Keladi.  Kebetulan seorang rakan guru suami menyewa di situ. Aku menyewa di rumah ini selama hampir12 tahun dari November 1989 hingga pertengahan Disember 2001.
  Rumah sewa ini berhadapan dengan padang  Sekolah Kebangsaan Paya Keladi. Oleh kerana tidak sanggup berulang alik , aku memohon pertukaran .  Nasib aku baik kerana permohonanku diluluskan.  Hanya setahun, kini aku ke Sekolah Kebangsaan Pinang Tunggal yang jaraknya  18 km dua hala.
Sekolah ini merupakan sekolah di pedalaman.  Susahnya hendak mengajar, almaklumlah muridnya kurang membaca dan taraf ekonominya rendah.  Tetapi aku bersyukur kerana kehadiranku dihargai.
   Aku hanya mengajar matematik dan subjek sampingan Alam dan Manusia ketika itu. Namaku dipuji oleh seorang guru lama yang mengagumi tentang pengajaran dan pembelajaranku.  Aku juga berjaya menaikkan prestasi subjek Matematik UPSR.  Pada masa itu hanya straight A, hanyalah 4 subjek iaitu Bahasa Melayu Pemahaman, Penulisan, Bahasa Inggeris dan Matematik.  Di sekolah ini aku hanya bertahan 2 tahun sahaja.  Kemudian aku mohon bertukar lagi.  Aku bernasib baik kerana setiap permohonanku diluluskan.
  Kini, aku berhijrah lagi ke Sekolah Paya  Keladi, sekolah yang berhadapan dengan rumahku.  Kiranya aku dapat menjimatkan belanja, hanya beberapa langkah sahaja aku ke sekolah dengan berjalan kaki. Menjejakkan kaki ke sekolah ini, aku ditugaskan mengajarnya  tahun 6 Lagi. Prestasikedudukannya ke- 10  bawah tangga peratusan lulus UPSR, sekolahku menjadi perhatian pihak PPD.   Masalah utamanya ialah peratus kelulusan Bahasa Inggeris yang meragut peratusan lulus keseluruhan .  Kami bernasib baik dapat group guru yang muda dan barisan guru yang rajin.  Dengan usaha gigih kami golongan  guru muda dapat menaikkan peratus lulus UPSR. Aku masih ingat lagi, sebelum keputusan keluar, guru besar selalu menyelia dan memantau pdp guru.  Beliau akan masuk ke kelas dan mengambil alih pdp .  Perkara ini menyebabkan aku tidak suka akan sikap guru besar yang agak kurang mempercayai kebolehan guru, mungkin pada pendapat beliau ingin membantu, maklumlah beliau memang pakar matematik dan beliau perlu tahu aku juga seorang guru matematik yang baik.
Gambar ini tatkala aku sudah mempunyai dua buah kereta secondhand , sebuah Nissan Sentra  dan Mitsubishi Galant dan sebuah motosikal Yamaha.  Garaj kereta ini ku bina sendiri dengan upahnya RM180 manakala zink , batu, simen dan kayu dibeli berasingan , aku pun tak ingat berapa kos semuanya.
      Selama 12 tahun , sewa rumah dari RM70 sebulan , dinaikkan RM80, dan akhirnya RM120 setelah aku menyatakan bahawa tiada pembangunan yang dilakukan ke atas rumah ini tambahan pula kadang-kala kerosakan kami baiki sendiri .  Akhirnya sewa dinaikkan kepada RM180 sebulan.
  Sepeninggalanku, rumah ini disewa oleh orang lain dan khabarnya rumah ini terbakar kerana litar pintas, Syukurlah tidak  ada kemalangan jiwa dan sehingga ke hari ini tinggal tapaknya yang dah berhutan......terima kasih kepada empunya rumah Cikgu Ismail,  halalkan segala-galanya semasa kami menyewa rumah ini dari tahun Disember1989 hingga Disember 2001.