Monday, June 8, 2015

Terbongkar Rahsia- akhirnya aku pesakit diabetes

Bermula dengan kad hijau dan appointment setiap bulan, aku akur sebagai pesakit diabetes.  Rasa yang amat malas dan tidak bertenaga, cepat letih membuatkan aku rasa hendak berhenti kerja.  Tambahan pula bebanan yang banyak yang ku hadapi seperti setiap kali berpindah-randah, memunggah dan menyimpan barang seperti perpindahan dari Melaka ke Sabah 2010-2011, dari Sabah ke Sabak Bernam 2011- 2012, kemudian dari Sabak Bernam ke Melaka mungkin menambah stress kepadaku. Dengan memandu sejauh 121km dari Sabak Bernam ke SK Sungai Sireh selama 2 tahun dan lain-lain dugaan yang perlu ku alami, menjadi penyebab kepada penyakit ini atau inilah dugaan yang perlu ku hadapi.  Aku cuma mencari sebab dan akibat atau punca sebenar penyakitku.
   Tak apalah terima sahaja dan redha sebagai dugaan kepadaku.  Mungkin ada baiknya, Allah memberikan aku peringatan yang lebih awal supaya menjaga pemakanan dan kesihatan.  Bagaimana hendak aku  terima kenyataan sedangkan pemakananku agak terhad.  Aku kurang menikmati makanan yang manis dan nasi pun dalam kuantiti yang sedikit. Rasa haus yang teramat dan ketika berpuasa suatu hari dulu menyebabkan aku seakan-akan kanak-kanak kecil mengeliut kehausan dan mengharapkan agar cepatlah waktu berbuka puasa. Simpton-simpton tersebut membuatkan aku mengalah dan pasrah sebagai  pesakit diabetes.
  Kini aku harus membuktikan kepada doktor Cina tersebut bahawa aku seorang yang berdisiplin dengan menyukat pemakananku.  Semua pesakit diabetes diberi taklimat tentang pemakanan, ciri-ciri pesakit diabetes, senaman. dan cara mengekalkan kesihatan. Seminar tersebut diadakan pada 20/5/2015 selama 3 jam dengan doktor diabetes, pakar pemakanan dan fisoterapi .  Agak bermanfaat juga diberi penerangan tentang pemakanan pesakit diabetes kerana selama ini aku mengambil susu pekat manis, nesvita 3 in-one.  Menurut pakar pemakanannya kalau usia muda lagi makanan dihadkan sebanyak RM12, kalau dah berusia lebih  lanjut terhad kepada RM10. Pesakit diabetes diberi panduan pemakanan yang sihat seperti mengambil banyak mengambil sayur-sayuran  dan buah-buahan serta menjadikannya  sahabat baik
    Sekarang ini,  bermulalah hidupku dengan mengira had jumlah pemakanan, kalau melebihi bermakna melanggar disiplin atau peraturan.  Aku bersyukur dapat banyak info daripada doktor muda Miss Tan yang sudi mengongsikan carta pemakanan pesakit diabetes dengan mengemelkan maklumat tersebut dan meminta aku tidak kongsikan kepada orang lain.  Aku akan memegang amanah tersebut.
   Mungkin ada baiknya Allah menguji aku supaya menerima kenyataan dan menjaga pemakanan serta menerima hakikat kebenaran.  Selain itu, aku juga berusaha menurunkan bacaan gula dengan membuat jus epal + peria katak atau jus kacang panjang + tomato.  Apabila gandingan kedua-dua jus ini , bacaan gula dalam darah mulai turun dan aku juga sudah memberhentikan beberapa ubat-ubatan tradisional seperti ubat resdung, kacip patimah, pil blue berry untuk mata dan pil tambahan untuk kalsium.  Semua ini menjadi bahan uji kajiku supaya bacaan gula dalam darah berkurangan.
   Yang pastinya apabila minum jus kacang hijau + tomato adalah amat berkesan sekali teutama kadar bacaan gula dalam darah akan berkurangan dengan cepat.  Semoga aku menjadi orang yang lebih berdisiplin dalam menangani diabetes.

Patutlah selama ini aku rasa tidak bersemangat dan selalu mengantuk serta tidak berdaya untuk membuat kerja-kerja rumah dan rasa ingin pencen lebih awal.  Tetapi memandangkan banyak tanggungjawab yang belum ku lunaskan , maka hendak tak hendak , aku perlu melangkah dan bergerak ke hadapan demi memenuhi impian dan harapan yang belum tercapai.  Semoga Allah memberikan aku semangat untuk terus berdiri dan berlari........aamiin .

sukarnya ku menerima kenyataan bhgn 2

Semangat kentalku semakin luntur.  Ingin ke sekolah terasa berat hati, dan rasa penat yang teramat. Kemudian aku beralih buat fully check up di Hospital Alor Gajah pula.  Pertama kali buat check up sama sahaja prosedurnya, dan keputusan gula dalam darah 13 mmol/L dan kolesterol tinggi. Aku diberi setengah biji ubat kolesterol dan sebiji glumet DC makan dua kali sehari  sebagai pesakit diabetes.
   Walaupun diberi ubat tersebut, aku masih tidak mengubah cara pemakananku.  Pagi-pagi minum nesvita 3 in-one dan minum kopi susu pekat manis bervitamin , serta kuih manis. Setelah sebulan diambil darah lagi dan doktor ingin melihat perubahan bacaan gula dalam darah. Keputusan sama, akhirnya aku dimarahi doktor berbangsa Cina itu. Dengan marahnya, dia meminta aku mengambil insulin secara suntikan.  Lagilah aku tidak boleh terima. Beliau pun menerangkan bahawa ubat yang aku makan itu tidak berfungsi  tambahan pula beliau menerangkan bahawa aku masih muda, kalau tidak buah pinggang dan jantung akan rosak.  Aku mendengar sahaja leterannya.  Aku memintanya memakan ubat tablet sahaja.
  Dengan nada marah , beliau menulis dalam buku pesakit bahawa sepatutnya aku dapatkan suntikan  insulin.  Walaupun demikian, beliau masih memberikan aku tablet, ditambah dengan tablet Gliclazide 2 biji 2 kali makan ,Gumet DG 2 biji 2 kali makan sehari dan   ubat kolesterol sebiji pada waktu malam.  Aku diminta mengambil bacaan gula dalam darah sehari 4 kali selama 6 hari.
  Oleh kerana terlalu banyak sangat omelannya, maka aku mengambil keputusan untuk membeli alat menguji gula dalam darah.  Pada mulanya aku berjanji untuk beli daripada juru rawat yang bertugas di bilik rawatan Diabetes itu tetapi kehabisan, aku menyatakan lain kali aku beli.
  Dengan rasa tidak puas hati, aku terus ke Farmasi Saiza untuk  membeli susu diabetik dan alat menguji gula dalam darah itu. Kebetulan pula ada beberapa jenama mesin atau alat menguji glokus dalam darah di Klinik Saiza,  aku memilih yang paling murah, dan  diskaun atau tawaran murah dengan harga RM49.90 dengan syarat menjadi ahli. Kalau tidak harganya RM120 sebuah.
  Akhirnya , aku terpaksa terima hakikat bahawa aku seorang pesakit diabetes. Nasihat si pekerja di Farmasi Saiza itu membuatkan aku ada semangat ....."Tak apa, jangan susah hati, kita lawan penyakit tu,". Sejak hari itu aku mula menyukat makanan seharian dan bermulalah kehidupanku sebagai pesakit diabetes........bersambung.

Sukarnya ku terima kenyataan..begitulah ketentuan-Nya

Aku tidak ingat entah berapa botol aku telan ubat batuk Hurix, batukku tak juga sembuh.  Beralih kepada madu pula.  Kemudian aku demam disertai dengan  batuk dan selesema.
  Dengan keadaan yang melemaskan itu membuatkan aku ke Klinik Doktor Insan dan Siti, di Alor Gajah.  Semasa mendapatkan rawatan, Doktor Ihsan bertanyakan tentang jerawat di dahiku.  Kenapa di dahi tu, dah lamakah?.  Selamba aku menjawabnya," Baru tiga hari, " "Oh, begitu, tak mengapalah, kalau dah lama bahaya tu!".  Pertanyaannya menimbulkan seribu persoalan kepadaku.
  Kemudian, aku ke sekolah . Batuk dah beransur baik dengan memakan ubat antibiotik.  Kemudian aku disarankan buat fully check up oleh salah seorang guru memandangkan usia semakin meniti senja. Aku berpuasa untuk membuat fully check up seperti menguji kahak kerana batuk yang berlarutan, x-ray, ujian ambil darah dan air kencing.
  Untuk melakukan semua check up penuh ini, aku ke Poliklinik  Masjid Tanah. Setelah sebulan ada janjitemu dengan pihak doktor.  Keputusannya blood glucose memeranjatkan aku.  Keputusan 15.1 mmol/L dan bacaan kolestrol tinggi.   Aku tak tanya pula berapa bacaan kolesterol.
  Pada saat diberitahu,  aku agak terkejut dan rasa susah hati. Aku juga enggan menerima keputusan tersebut.  Akhirnya , aku dimarahi oleh doktor bangsa benggali tersebut. Oleh kerana aku enggan makan ubat, maka beliau menulis di kad tersebut sebagai pesakit diabetes.  Beliau terus menyimpan rekod tersebut tanpa memberi ubat kerana aku sendiri tidak mahu makan ubat dengan luahan katanya, " Nak buat apa saya bagi ubat kalau mak cik tak mahu makan ubat,".....hehehe ,   faham-fahamlah sikapku seboleh-bolehnya aku tidak mahu makan ubat dengan alasan sekali , dah makan seumur hidup bergantung hayat kepadanya....Wallah'ualam bissawab.