Friday, November 4, 2016

Perginya tak kembali khas buat Habsah Jamil

Aku dapat berita mengenainya melalui wassap sahaja, tu pun melalui Maimunah Kutut, adik iparnya yang juga kawan sekolahku. Habsah bt Jamil itulah sepupuku. Kami sebaya. Penyakitnya telah lama ku ketahui.  Cuma kita sebagai saudara hanya mampu  menasihatinya.

    Pada Isnin 24/10/2016 , melalui wasaap menyatakan dia akan dibedah pada 25/10/2016. Selepas dibedah, dia kritikal. Dibedah lagi untuk mendapatkan  oksigen melalui kaki.  Tiga injap jantungnya tidak berfungsi dan tinggal satu lagi.  Malangnya darah tidak boleh dipam kerana ada kebocoran dan bengkak pula. Maka digunakan jantung palsu , yang  dibuat melalu pembedahan di kaki. Tambah sedih lagi buah pinggangnya juga telah rosak.

  Setelah dibedah,  dia dalam keadaan kritikal.   Mungkin dia telah pasrah, tidak tahan dengan kesakitan yang dialaminya, maka dia sendiri yang menandatangani surat pembedahan.  Memang dia selalu menyatakan dia tidak boleh bergerak bebas, tidak boleh berpusing , kakinya bisa-bisa kerana kencing manis yang serius. Bacaan gulanya tinggi dalam darah. Dia juga keluar masuk hospital kerana masalah jantung.

  Aku tinggal berjauhan, apabila bercerita kita hanya simpati. Aku hanya mendapat berita terkini melalui wassap. Petang Rabu, aku minta suamiku menjenguk di hospital.  Petang Khamis pula , kaki suaminya sakit dan bengkak kerana  ghout,  Suamiku tak boleh berjalan, cuti sehari. Aku bagai cacing kepanasan, untuk pergi melihatnya.  Rasa tidak puas hati terhadap suami, kerana ambil mudah sahaja. Aku mendesak lagi pada pagi Jumaat, namun tak diindahkan.  Aku pula meminta anak sulungku, janjinya nak pergi. Tapi sudah pukul 2.00 petang  batang hidung pun tak nampak lagi.

  Pada hari Rabu, aku mendapat panggilan telefon menyatakan sepupuku kritikal. Aku masih menaruh harapan supaya dia akan sembuh. Hari Jumaat28/10/2016 sekali lagi diberitahu jam 6.00 pagi , dia masih kritikal. Akhirnya ku telefon suamiku meminta pergi menziarahnya.  Kami bertolak pukul 2.30 petang dari rumah, ambil emak saudaraku di Paya Rumput, Sungai Udang.  Lengah ke sana, akhirnya pukul 5.00 petang kami sampai di Hospital Serdang.

   Setibanya di sana, aku, dapati semua anaknya berkumpul , abang dan  kakak ipar serta ibunya. Abangnya memberitahu doktor sudah menyuruh membaca surah Yasin.  Doktor pun dah memberitahu bahawa mulutnya dah berbuih. Kami menunggu giliran untuk melawatnya.  Dalam hatiku benar-benar berfirasat bahawa dia tidak akan sedar dan riwayat akan habis begitu sahaja kerana sekiranya jantung kita direhatkan bermakna pilihan terakhir. Teringat pula keadaan yang sama dialami oleh arwah pak langku, jantung direhatkan dan hayatnya habis begitu sahaja.
    Kami menunggu sehingga waktu maghrib. Pada pukul 7.05 malam, doktor menelefon kakak iparnya , Suriani bahawa wayar hayat akan dicabut. Dengan ini terhentilah segala penderitaannya dan kembalilah dia kepada Pencipta-Nya.  Kami berhajat juga ingin melihat wajahnya kali terakhir kerana semasa melihatnya di hospital itu, mata ditutup dan badan berselirat dengan wayar.
   Semoga arwah Habsah bt Jamil , tenang di sana dan termasuk dalam golongan orang yang beriman....aamiin. Al Fatihah buat arwah ayahku, saudara-maraku dan semua  saudara seIslamku....aamiin.