Thursday, April 19, 2018

reunion dan Umrah

Rancangan hendak menunaikan Umrah tercapai apabila aku menyahut seruan kekawan sekolah yang sama , Kumpulan Munshi Abdullah dan SMK Tun Mutahir kami serombongan 30 orang termasuk keluarga dan dan bekas kedua-dua sekolah.  Syukur, Alhamdulillah setelah merancang kami berjaya menunaikan Umrah pada 3 Disember sehingga 14 Disember 2017.
    Kami pergi umrah secara senyap-senyap tanpa buat kenduri.  Selepas balik dari Umrah , barulah kami mengadakan kenduri doa selamat dan majlis aqiqah buat Affanuddin, cucuku yang kedua.
   Majlis kenduri selamat dan aqiqah dibuat di rumahku. Semasa menunaikan umrah rupa-rupanya ramai bekas guru sekolah SKMT menunaikan umrah.  Antaranya  Cikgu Zainal bin Sahat , Cikgu Zaidatul Umirah, Cikgu Nor Jamilahton Kholijaah, Cikgu Kamariah , masing-masing pergi dengan keluarga. Tidak ketinggalan juga orang Lendu , Cikgu Noor Azlina dan keluarganya.
   Bercerita tentang umrah, bukan mencari kesalahan atau kelemahan,, setibanya kami di Lapangan Terbang Jedah, kami tidak boleh bersadai, lama sedikit je berdiri di sesuatu tempat, dihalau oleh orang Arab.  Cepat-cepat diarahkan pergi.  Kami bernasib baik kerana setibanya di Imigressen, tiada masalah, cuma ada kaunter yang lambat. Kemudian kami sembahyang Maghrib dan Isyak di surau di situ.
   Seterusnya, kami bergerak ke Hotel Makarem dan terus membuat tawaf wajib.  Lebih kurang pukul 3.00 pagi kami balik ke hotel semula. Kami berada di Mekah selama 7 hari dan 4 hari di Madinah. Kami buat tawaf 4 kali termasuk tawaf wada' . Mengalir air mata buat pertama kalinya menjejakkkan kaki dan melihat sendiri kaabah di hadapan mata. Kami agak terkilan kerana pada bulan 12 ramai sangat umat Islam yang menunaikan umrah. Mana tidaknya, kami yang perempuan ini selalu dihalau oleh orang Arab. Penat kami menunggu dari waktu maghrib hingga ke Isyak, kami dihalau kerana memberi lalluan kepada kaum lelaki bersembahyang di hadapan kaabah. Begitulah saya dan beberapa kaum perempuan yang hendak bersembahyang melihat kaabah.
  Antara tempat lawatan kami ialah ladang unta, muzium Nabi, ladang kurma, masjid dua kiblat, masjid Saidina Abu Bakar , Masjid Saidina Ali teah dikepung , mungkin akan dirobohkan dan dibina bangunan baru untuk pembinaan hotel (wallahu'alam)
  Kemudian kami pergi ke Masjid Nabawi di Madinah. Kami bermalam 4 hari. Sebaik sampai di Madinah, saya kehilangan telefon. Dengan cepat menelefon pemandu bas, syukurlah keesokan harinya , aku mendapat semula telefon bimbitku. Kami membeli belah di Madinah, berjalan kaki di sekitar Madinah. Aku membeli jubah di Mekah kemudian membeli sejadah, minyak wangi, kurma, dan mainan unta untuk anak buahku dan cucuku.
    Di Madinah, golongan perempuan sukar hendak ke Raudah, kali pertama aku mengikut rombongan diketuai oleh seorang ustazah, dari jam 10.00 malam menunggu hingga pukul 11.45  malam baru selesai, Kami masuk hanya beberapa minit kerana menunggu giliran. Aku sempat sembahyang sunat dan berdoa di situ.  Aku telah mengambil inisiatif sendiri untuk masuk secara sendirian dengan memakai pakaian semua hitam dan berpurdah.  Akhirnya aku berjaya juga pergi pukul 9 dan pukul 10. 30 aku keluar kerana berjanji dengan suami menunggu di luar masjid Nabawi.
  Rasa tak puas tinggal di Mekah dan Madinah. Mungkin aku belum cukup bersedia dan berharap agar dijemput sebagai jemaah haji....aamiin.
                                                    Masjid di Taif




                                                   ladang buah di Taif

                                                                   muzium Nabi
                                                   di ladang unta

x MUnshi Abdullah , 1978-1980

Kenangan bersekolah di SMK Munshi Abdullah banyak meninggalkan kenangan. Hanya dua kelas sahaja 4 Sains A dan 4 Sains B. Aku tidak ingat peristiwa itu dah berlalu 39 tahun . Sekarang umur kami dah 56 tahun. Apa yang pasti ku coretkan di sini agar kenangan itu tetap abadi.
   Aku tidak tahu bagaimana aku boleh mendapat dua biasiswa iaitu biasiswa negeri dan persekutuan. Yang aku tahu kedua-duanya berjumlah RM20 sebulan . Aku masuk asrama pun , ibu jual kerbau yang berharga RM900 . Ikut sistem pawah, dapatlah RM450 dibahagi dua dengan ayah saudaraku kerana modal lembu itu dia yang punya.
    Hendak masuk asrama mesti ada duit, nak beli baju, kasut, baju outing , baldi, dan sebagainya. Kiranya aku menetap di asrama putri. Guru kimiaku orang putih, Martha Bunn, fasih berbahasa Melayu.
   Hubungan kami amat mesra. Pernah kami makan durian di Tiang dua, rumah siapa , aku tak ingat. Yang pastinya aku pergi dengan kawanku Rukiah Ahmad, budak lelaki aku tak pasti. Kehidupan di asrama agak membosankan apabila menu sarapan paginya roti dan telur rebus. Hari-hari makan dan minum petang tanpa aktiviti yang menyeronokkan seperti kehidupan di kampung.  Aku dah biasa  memancing  ikan, mencari kayu api, mengangkat air di perigi dan memasak.
   Di asrama, balik sekolah semua dah tersedia, beratur sahaja dan makan guna tray seperti pesakit di hospital.Setiap dua minggu outing, pergi ke bandar dan sebulan sekali balik kampung.  Balik kampung adalah aktiviti yang sungguh menyeronokkan, ketika itu semua ahli keluargaku sudah tinggal di Kuala Lumpur, jadi nenekku menjadi tempat aku menumpang kasih ketika itu beliau masih hidup. Begitulah kehidupan sepanjang bersekolah di sekolah Munshi Abdullah. Semasa tingkatan enam rendah , aku bertukar ke Sekolah Tengku Ampuan Rahimah, Klang sehinggalah aku tamat tingakatan 6 Atas.
  Cikgu Martha Bunn masih dalam ingatan, aku pernah mengajar beliau menganyam ketupat, fasih berbahasa Melayu, orang baik.....jasamu dikenang.
                      Kawan-kawan , entah ingat lagi ke tidak, Hawa Husin, Rohayah, Sharipah Ibrahim.
                                                         Aku, Benah dan Sharipah Ibrahim

     kawan-kawan sekiranya masih mengingatiku, sapalah aku, mungkin kita dah tak serupa dahulu, ada yang dah berubah fizikal namun aku masih mengingati beberapa orang daripada rakan sekelas. Rukiah Ahmad Zalekah Subuh, Sharipah Ibrahim, Rukiah Muhammad, Ahmad Osman, Zainal, Zainuddin, Johari Kechut, Hawa, Rohayah, Benah dan yang lain-lain mungkin tidak ada dalam ingatanku namun kita pernah sekelas dan rakan sepersekolahan.

Friday, April 13, 2018

SKBR - 1 Mac dalam Sejarah

Setelah bertukar ke SKPR tak sampai 2 bulan , aku akhirnya dapat surat kenaikan pangkat ke SK Bukit Rambai.  Pertama , kalinya tak terlintas hendak menjadi barisan pentadbir, namun ku gagahi jua.
  Pada mulanya , aku sekan-akan rasa nak pencen awal apabila menjejak kaki ke SK Paya Rumput, kulihat bangunannya yang banyak, muridnya yang ramai dan guru-gurunya bertindak pantas seperti lipas kudung, macam tak cukup kaki dan tanganku untuk mencapai atau mengejar setiap tindakan atau program. Tambahan pula murid-muridnya yang ramai sekelas 40-44 orang. Bangunannya jauh-jauh  dan tinggi, mencungap aku menaiki tangga.
  Syukurlah,  dah sebulan lebih, aku mengajar dan menjalankan tanggungjawab aku sebagai Guru kanan Hal Ehwal Murid. Perlahan-lahan, aku belajar dengan pertolongan Guru Kanan Pentadbiran 1, Pn Siti Rafiah bt Mokhdar, satu-satunya guru yang dekat atau mesra denganku.
   Sekiranya beliau tidak ada di sekolah, terasa sepi. Tapi aku tak kisah , aku dah biasa hidup keseorangan di sekolah baharu , yang ke -12 aku berkhidmat , masuk tahun ke-34 perkhidmatanku. Kita sebenarnya mesti pandai menyesuaikan diri dengan suasana atau tempat kerja baharu.  Semoga perkhidmatanku tamat di sini atau ada juga keinginanku bertugas di SK Tangga Batu, di mana sekolah itu adalah batu asas, aku mendapat pendidikan dari tahun 1 hingga tahun 4, di situ juga, aku masih ingat lagi guru-guruku Arwah Cikgu Hashim, seorang yang kurus dan tinggi pernah merotan aku semasa aku darjah satu disebabkan menyalin nombor dua terbalik dan arwah cikgu Ramlah pernah beri aku duit 20 sen apabila aku berjaya membaca sifir dengan lancar....Al Fatihah buat arwah guru-guruku...
....bersambung pengalaman di SKBR. bermula 1 Mac 2018

Friday, April 6, 2018

Terbuang jauh

Bagaimana kalau kita jumpa kawan lama? Kawan sekolah : sekolah rendah, menengah rendah, menengah , maktab, universiti atau kawan-kawan sejawatan. Tentu kita gembira dan  teruja sangat. Wah, lama betul kita tak jumpa , dah bertahun , bagaimana berpisah tahun 1980, berjumpa tahun 2018, berapa tahun tu?  Tentu berpelukan, bersyukur dipertemukan semula,
   Berbeza dengan situasi tersebut. Kawan, sungguh tak kusangka. Hubungan yang terjalin sejak tahun 1975 , aku masih ingat lagi kita dipertemukan semasa di tingkatan 1J di Sekolah Menengah Tanjung Keling, Guru tingkatan kita Cikgu Hassan, kalau tak silap. Kenangan kita terpahat dengan sekeping gambar di sebuah wakaf di sekolah itu. Masa itu kita masih lagi berpakaian pakaian seragam sekolah, aku masih ingat, kita bergambar antaranya, kau, Raha bt Ahmad, Saniah binti Sulung dan aku, malahan gambar itu masih kusimpan dengan baik walau pun dah berusia 40 tahun.
   Aku masih ingat kamu beria-ria benar ingin mengunjungi rumahku. Aku ketika itu berat hati untuk memenuhi permintaanmu. Namun aku dengan berat hati bersetuju. Rumahku tak seperti rumahmu.  Ketika itu, aku anak yatim sejak dilahirkan .  Ayahku meninggal dunia ketika aku tiga bulan dalam kandungan. Ibuku janda muda sejak 27 tahun ketika melahirkan aku.  Dalam hidup serba kekurangan, aku harungi hidup ini. Aku akhirnya bersetuju kamu datang ke rumahku. Kamu berbasikal. Sebelum kedatanganmu, aku terpaksa menyapu halaman rumah , menyapu bawah rumah sebab aku membela kambing di bawah rumah.  Rumahku bertiang dan di bawah rumah kami pelihara kambing untuk menambah pendapatan. Memang setiap petang kami, aku adik beradik akan mengambil daun sena atau daun jati untuk memberi makan kepada kambing-kambing. Bukanlah banyak sangat , adalah dua tiga ekor.
    Berbalik kepada cerita kita, aku pernah menghubungimu melalui muka buku, namun tidak ada respon daripadamu. Mungkin jodohku bertemu denganmu agak panjang. Kita bertemu dengan hubungan kamu,  ketua dan aku penolong sepertimana kamu ketua darjah dan aku penolong tingkatan 1J pada tahun 1975 Aku ingat tentulah aku gembira dapat berjumpa kawan lama namun aku kecewa. Ketahuilah aku tak pernah membuangmu walaupun kamu membuang aku jauh-jauh dari sudut hatimu.  Biarlah asal kamu bahagia....tapi kecewanya aku apabila aku dapat tahu kamu tidak mengenaliku melalui rakan-rakan setugas .  Rupa-rupanya aku terbuang jauh dari sudut hatimu, kawan dan mungkin kamu sedang memadam kenangan lama tingkatan 1 hingga 3, di Sekolah Menengah Tanjung Keling, dan Sekolah Munshi Abdullah tingkatan 4 hingga tingkatan enam rendah tahun 1980.
   Jika kamu terbaca coretan ini maafkan aku, aku tidak mahu berterus terang kerana aku tahu sikapmu...maafkanlah aku.