Tuesday, October 29, 2019

Cuti Deepavali 2019

Cuti Deepavali tidak bermakna bagiku. Longgokan kerja banyak. Cuti 5 hari bermula dari 25 -29 Oktober 2019 daripada hari Jumaat hingga Selasa. Pada hari Jumaat, aku pergi ke sekolah menyelesaikan tugasan yang belum selesai. Aku membuat pentaksiran bagi mata pelajaran Bahasa melayu dan Pendidikan Seni.
   Melengkapkan bukan mudah kerana template yang kita dapati belum tentu lagi berfungsi  Ini adalah kerana tempate itu mengandungi prestasi keseluruhan kelas, pencapaian indivivdu dan graf bagi kemahiran yang telah dikuasai.  Biasanya pencapaian individulah yang bermasalah. Bagi subjek Pendidikan Seni Visual pula, templatenya tidak auto pencapaian setiap kelompok kemahiran.
  Kerja pun banyak, kertas karangan hendak diperiksa.  Nasib baik kertas Pemahaman bahasa Melayu telah siap sebelum cuti. Jadi kuhabiskan hari Sabtu dan Ahad untuk memeriksa kertas karangan.
nasib baik suamiku membantu mencari template Bahasa Melayu dan Pendidikan Seni Visual. Template PSV yang diberi oleh Ketua panitia seni pun tak boleh guna kerana tidak boleh mencetak prestasi pencapaian individu.  Habis masanya hari Jumaat dan Ahad mencari template yang berfungsi dengan elok.  Entah di mana didapatinya, mungkin dalam web cikgu kssr online. Alhamdulillah selesai satu bab.
  Petang Isnin, pula ku mencari kain songket untuk Hari Apresiasi tahun 6, Hari Kualiti pakai baju batik sahaja, sempena hari Khamis, pakaian batik. Pagi Selasa  pula sibuk ke rumah Razimah, tukang jahit bajuku sejak balik ke  Melaka pada tahun 2002-2019 sehingga sekarang belum tukar tukang jahit lagi.
  Petang pula seharian mengumpul gambar-gambar di SKBR untuk bahan evieden pula. Sibuk mencari daripada kawan-kawan dan group wassap atau telegram. Semoga tahun ini merupakan tahun yang bermakna buatku.  Mungkin tahun  depan , aku tidak lagi sibuk dengan kerja-kerja sekolah.
  Bermaknanya cuti kali ini ialah kedua-dua cucu dan anak kedua dan ketiga balik ke rumah. Dapatlah berhibur hati dengan telatah di kecil dua orang tu, Si Azfar dan Si Affan.

Tuesday, June 25, 2019

rawatan pakar HAG

 Kini aku telah berpindah ke  bilik rawatan atas lawatan pakar. Ini bermakna aku harus pergi ke hospital Alor Gajah yang baru iaitu di Paya Datuk. Dengan rawatan yang lebih baik namun aku rasa tertekan dengan doktor pakar ini.  Puas sudah aku mengikut diet diabetis, namun aku gagal mengawal gula dalam darah. Mungkin ubat itu sudah tidak berkesan lagi.
   Tahun lalu, 2018, 8.8 ml, bulan 3,  2019 , 9.25 ml dan terkini 9.56 ml. Menurut juru rawat ang mengambil ujian darah ok je, tetapi apabila berjumpa doktor perempuan yang cerewet tu, mahukan 6 ml semasa puasa. Manakan dapat, dahulu, aku ada mengambil jus kacang panjang blend dengan tomato atau epal blend dengan peria. Ok juga ada penurunan gula dalam darah.  Tetapi kini dah tak berkesan. Semakin buntu aku. Kalau penat, akau tidur dahulu, periksa gula 6.6 ml tetapi apabila dah bergerak pergi ke hospital , gula dalam darah naik mencanak 9.56 ml. Di manakah kesalahanku, jadi begitu.  Doktor perempuan itu berkehendakkan bacaan gula 7.6ml. Asyik-asyik sebut ambil suntikan insulin.
   Pertemuan dengannya tempoh hari pada 19/6 , ubat ditambah sedikit. Dia berkata tak mungkin gula di dalam darahku berubah. Mati kutu aku. Walaupun mengambil eskayvie dan minuman susu diabetik tak berkurang juga. Entahlah, terasa penat dan bosan dengan simpton-simpton ini. Jus atau minuman buah mahkota dewa dah lama aku tinggalkan. Semoga aku lebih tabah lagi meniti usia emas ini. Hanya aku boleh bermohon kepada Allah sahaja untuk memberikan aku kesihatan yang baik.....aamiin.
   Terasa malas hendak menguji kandugan gula dalam darah, pergi ke klinik pakar kerana masa yang diambil terlalu lama tidak seperti dahulu, 3 bulan sekali ambil darah selagi gula dalam darah tak turun .....mana nak ambil 6 atau 7, sekarang 8 -9 tu yang menjadi masalah.

Thursday, April 25, 2019

3 tahun aku mencari penyelesaiannya

Banyak cara dah aku lakukan. Entah apa yang mujarab, aku pun tak tahu.  Setelah mencuba ghozout, maxcell, buah mahkota dewa, blend kacang hijau dengan tomato atau epal hijau dengan peria, kini phytax pula di samping makan ubat doktor dan mengikut appointmen yang telah ditetapkan.
   Biarpun doktor pakar dah beritahu aku bahawa ubat yang telah dibekalkan sudah maksimum dan pilihan terakhir ialah suntikan. Aku masih belum dapat menerimanya.  Kali terakhir berjumpa doktor pada 13/3/2019. Keputusan gula dalam darah tak berapa cantik, kolesterol ok, jantung ok, tekanan darah atau denyutan jantung ok....Masalah besar mengapa gula tak mahu turun, bacaan 9.2 mL. Aku dah cuba puasa, elakkan makan gula putih, kuih yang manis .  Sekarang lagi ketat diet diabetis, langsung tak ambil gula, kalau ambil minuman manis pun seminggu sekali.
    Aku pun dah kurangkan tekanan kerja di sekolah. Aku pergi sekolah pukul 6.40 pagi dan balik sekolah pukul 5.00 petang. Di rumah pun dah tak masak, beli je makanan unuk dua orang, aku dan suami.  Kekadang aku beli kue teow basah atau bihun sup. Makan malam ala kadar sahaja. kalau boleh makan sebelum pukul 7.00 malam.

    Apabila pemakanan diet ini diikuti bolehlah dapat 6.5 -8.6 ml tetapi tersilap sikit akan naik semula sehingga 9- 10.5 ml/mol. Sebenarnya ceramah diet pemakanan diabetis tu betul dan benar-benar mencabar kita apabila bertemu dengan makanan kegemaran. Sesekali tengok orang makan aiskrim atau abc , sedapnya.  Tetapi memikirkan kandungan gula yang banyak, terpaksa dilupakan.
  Mungkin teori aku berkesan atau tidak , maka aku masih menunggu masanya iaitu untuk mengurangkan stres di tempat kerja. Mungkin paling berkesan ialah bersara pilihan, tidak boleh bersara wajib 60 tahun. Aku pun dah memohon bersara awal tetapi keputusan belumku perolehi.
Semoga aku tabah menghadapi penyakit ini.....aamiin.

Wednesday, April 17, 2019

PENGALAMAN SENDIRI

Pengalaman yang tak dapat dilupakan semasa mengerjakan haji ialah bagaimana kasut medifeet memakan anak jari kakiku.  Sebenarnya kasut baru itu kubeli dengan harapan kaki tak dipijak orang semasa di Mina , melontar  di Jamrah. Ingatkan kasut mahal kaki tak melecet, rupa-rupanya hampa.
   Pada hari pertama melontar dah rasa sakit tetapi tidak melecet. Pada hari kedua bermulalah rasa pedih. Namun ku teruskan juga hingga ke khemah penginapan. Pada malam itu, juga aku terpaksa membeli kasut baharu di pasar yang berharga SR15.
  Aku juga terpaksa pergi ke klinik Tabung Haji untuk mendapatkan rawatan. Pertama, mungkin aku luka  di  jari, dengan cepatnya pembantu perubatan menyembur ubat bagi mempercepatkan luka itu baik dan aku menunjukkan kedua-dua  anak jari kaki  yang melecet dan menggelembung. Dalam gelembung itu mengandungi darah dan air. Menurut pembantu perubatan itu , biarkan ia baik sendiri tetapi suamiku menasihati agar pecahkan gelembung itu supaya cepat baik. Sakit dan berdenyut-denyut hinggga tidak boleh tidur, almaklumlah kedua-dua jari kaki  kelingking melecet. Aku diberi ubat makan tahan sakit.
   Sepatutnya aku tidak boleh percaya atau termakan cadangan kawan-kawan daripada FB , yang menyatakan kaki tidak akan melecet atau tercedera ketika melontar di Jamrah dengan memakai kasut medifeet. Keadaan melontar tidak seperti dahulu.
    Sebenarnya pihak Tabung Haji telah menyusun strategi supaya orang-orang Asia Tenggara tidak bertembung dengan puak-puak Arab atau golongan penduduk  daripada Pakistan, India atau Timur Tengah kerana badan mereka besar-besar dan agak kasar sedikit.
     Bersyukurlah kami tidak sesat atau mengalami apa-apa masalah ketika melalui terowong sepangjang jalan melontar ke  Jamrah yang jaraknya lebih kurang 7.5 km pergi dan balik. Alhamdulillah , syukur kepada Allah, namun semasa dalam perjalanan pulang menuju ke khemah aku selalu melihat ke hadapan entah bila akan berjumpa terowong demi terowong supaya cepat sampai ke khemah.  Selalunya kami melontar pada waktu malam, pagi dan kali terakhir sebelum subuh kami dah bergerak dan sembahyang subuh dalam perjalanan  sebelum tiba  melontar ketiga-tiga Jamrah.

Monday, March 25, 2019

cuti sekolah 23-31MAC 2019

Cuti sekolah dah bermula. Tiada aktiviti menarik kali ini. Duk rumah ajalah Hasrat hati nak mengemas rumah, membasuh langsir dan melihat pokok bungaku yang kebanyakannya dah tak terjaga. Semenjak menjawat jawatan pentadbir, banyak masaku dihabiskan di sekolah.
   Balik dari sekolah dah keletihan. Masak pun dah berkurangan, almaklumlah tinggal berdua.
Aku pun jarang makan makanan bergoreng, berminyak dan bersantan. Sejak menjadi pengidap diabetis, kami makan pukul 7.00 petang, makan pun dah sedikit.
  Terasa kehilangan apabila anak sulungku berkahwin. Setelah berkahwin dia berhernti kerja dan mengikut suaminya tinggal di York. Mungkin setahun lebih kot. Kini , tinggal seorang anak bongsuku yang masih belajar di Uitm Puncak Alam. Selang dua minggu balik ke rumah dan selang dua minggu kami akan menghantarnya.
   Sunyi sungguh rumah ini. Aku tak tahu bila akan ada suara keriuhan lagi...Tinggallah aku sendirian membuat kerja rumah, kalau dahulu ada yang membantu. Semoga Allah berikan daku kekuatan dalam menjalani kehidupan seharian...aamiin
   Sabtu...23/3/2019 mesyuarat Agung PIBG
   Ahad ..kenduri kahwin 4 buah rumah dan hampir separuh hari berada di dalam kereta...dari Lendu ke Tanjung Bidara, Kampung Pengkalan Batu, Bukit Rambai , Puncak Alam dan singgah ke Seksyen 4 Shah Alam melihat si cucu Azfar dan Affan.

Tuesday, March 5, 2019

Jom kongsi pengalaman menunaikan Haji di Mekah

Semasa menunaikan umrah tidak banyak dugaan. tetapi kali ini semasa menunaikan haji banyak pula dugaannya. Pertama, semasa melaksanakan kursus Haji Perdana di Stadium Hang Jebat, dan bermalam di khemah, maka pertama sekali aku terjebak dengan seorang kakak tu, terlupa aku namanya. Dia sentiasa mengarahkan aku mengikutinya sedangkan semasa taklimat kita hendaklah bersama-sama dengan pasangan ( suami ) melakukan latihan amali seperti melontar dan  saei  dan bermalam di Mina . Latihan amali bermalam di Mina itu, hujan turun dengan lebatnya. Air mencurah-curah keluar dari hujung khemah.
   Perkara ini berlaku benar-benar berlaku kepadaku semasa menunaikan umrah kali pertama dalam mengerjakan haji. Pertama sampai di hotel Janadriyah, kami menunaikan umrah, aku telah terpisah dengan suamiku. semasa tawaf ok lagi, semasa saei dan  tahalul , aku telah terpisah dengannya. Kami berjanji berjumpa di Bukit Safa tetapi tak bertemu, jadi, aku pun saei sendiri. Kemudian kami berjanji berjumpa di Bukit Marwah, janji punya janji , cari punya cari setelah beberapa kali menelefon, akhirnya kami membuat keputusan balik sendiri ke hotel.
 Aku sebenarnya tahu serba sedikit jalan hendak balik ke hotel. tetapi agak keliru jalan mana yang hendak dituju . Ku lihat banyak persimpangan jalan.  tetapi semasa dalam perjalanan pergi ke Baitullah, kami sempat berbual bagaimana mencari penanda balik ke hotel.  Dalam  minda aku berpusing-pusing hendak mencari jalan pulang, aku ditemukan dengan seorang pemuda." Mak Cik nak pergi ke mana? ", tanya dia kepadaku. " Nak balik hotel Janadriyah", jawabku. Oh, Mak cik ikut je tiang nombor 4 tu dan belok kanan." Alhamdulillah ingatanku masih kekal...Aamiin.
   Setibanya aku di hotel, aku sempat berbual-bual dengan rakan sebilik. Tetiba sedang aku mengomen tentang suamiku, kakak yang seorang ni pun berkata, dia tidak lagi bertahalul, Dia menyalahkan tukang upah tolak dia yang berkerusi rodanya itu semasa saei , tak menyuruhnya bergunting rambut. Aku pun menyatakan bahawa kita sendirilah yang mesti ingat, yang tukang upah tolak tu lelaki, takkan dia nak tolong guntingkan.  Akhirnya dia pun mengguntingkan rambutnya setelah kuberi pinjam gunting.
   Oh, ya. Terlupa pula aku, semasa hendak bergunting rambut tu, adalah seorang budak Arab hendak memberi pinjam gunting, Aku menolak. Marahnya dia kepadaku, pinjam gunting , kena bayar SR 2 atau 5 . aku pun dah tak ingat.  Sebenarnya kalau selalu membantu orang, Allah akan memudahkan kerja kita. Begitu juga jika kawasan sempit hendak bersembahyang sunat di Bukit Marwah selepas selesai saei, mereka akan memberi kita laluan atau tempat untuk bersembahyang. . Indahnya kenangan sewaktu itu.
   Daripada peristiwa janji bertemu ni teringat pula pesan orang yang telah mengerjakan haji...jangan berkata janji di sini, tetapi kita bertemu di sini, barulah dapat bertemu atau jumpa di sini.
 

Sunday, February 24, 2019

KiSAH 4 Madinah dan Mekah .. 2

Semasa di klinik TH, kebetulan aku mendengar perbualan pembantu pegawai perubatan itu dengan seorangg mak cik yang terpisah dengan suaminya sejak dia dimasukkan ke hospital. Pembantu perubatan itu menggunakan lancard, atau namatag , yang digantung di leher setiap jemaah.  Dengan peristiwa itu, baharulah aku ketahui kegunaan landcard tu. Menerusi kad tersebut, discan , kita boleh mengetahui maklumat pasangan kita. Mudahnya, selesai masalah mak cik tu.
    Aku mengambil kesempatan memanggil kakak tu untuk mengesan suaminya. Baik betul pegawai perubatan itu. Dengan lawaknya, pegawai perubatan itu mengusik kakak R ni. Ha, ni kan suami akak katanya, sambil menunjukkan gambar suami R dalam  skrin tselefon bimbitnya. Terpinga-pinga kakak R ni.  Pegawai perubatan itu memberitahu suami kakak R ada di hospital, dia dijumpai dan dibawa ke hospital. Dia tidak sakit, cuma tersasar dalam perjalanan pulang dari melontar setelah singgah membuang air kecil.
   Pegawai itu juga memberi cadangan agar kakak R menangis di pejabat maktab 75 yang kami kunjungi tadi.  Disuruhnya menangis agar pihak hospital Shisya menghantar suaminya dengan cepat. Pegawai perubatan tersebut memberitahu bahawa suami kakak R sedang dalam perjalanan dibawa ke Mina. Senang hatiku dapat menyelesaikan masalah kakak R. Kakak R ni susah hati sehingga dia mahu menunggu di depan pintu pagar khemah maktab 75. Aku menasihatkan agar tunggu sahaja di dalam khemah dan beritahu rakan sekhemahnya agar suaminya datang berjumpa dengannya. Akhirnya, pada pukul 1.00 tengah hari, suaminya datang ke khemah kami.
   Dengan kehilangan suaminya, ada manfaatnya kerana mereka telah dipermudahkan urusan melontar pada hari ketiga. Pihak TH telah mempermudahkan mereka berdua dengan membayar upah melontar pada hari ketiga dengan bayaran 300 riyal . Mereka telah selamat sampai dan tinggal di hotel Janadriyah 1233 sedanagkan kami masih lagi menginap di Mina.
   Diringkaskan cerita, kakak R dan suaminya telah banyak kehilangan baju. Sebuntil baju kotor kakak R tertinggal di dalam bas semasa balik ke hotel. Semasa menjemur pakaian pula, kain ihram suaminya pula hilang sehelai. Satu peristiwa yang tak dapat aku lupakan apabila terserempak dengan kakak R yang keliru mencari bilik  penginapan. kami tinggal di tingkat 12 tetapi dia pergi ke tingkat 15, kasihan aku kepadanya, baharulah kami tahu dia tidak tahu membaca.
   Dia dan suaminya selalu berpasangan. Bagus juga pasangan ini sebenarnya suami kakak R ini lebih mudah 7 tahun daripadanya,  penyayang dan amat prihatin seta amat peramah. Disebabkan sikap suaminya yang amat peramah, ada yang suka dan ada yang tidak. Mereka rajin sembahyang di surau tingkat bawah. Semasa sembahyang di surau itu, hilang pula kasut kakak R. Aku dengan rela hati memberikan kasut yang kubeli ketika kakiku melecet semasa berjalan untuk melontar di Jamratul .
Kakak R juga terpaksa membeli baju baharu kerana sebuntil pakaiannya yang  hilang.
    Beralih kepada suamnya pula, mungkin Allah menguji dan hendak membersihkan dosa-dosa dengan memberi ujian kepadanya . Dia mungkin tidak berapa cam barang-barang seperti seluar dan lancard tanda nama, diambil dan dipakainya kepunyaan  orang lain. Disebabkan selalu membuat kesilapan , jadi rakan sebiliknya tidak suka. Sejak kebelakangan semasa hendak balik, dia tidur di koridor tempat jemaah bersembahyang jemaah. Di situ dihampar permaidani, jadi mudahlah dia tidur di situ.  Kekadang seolah-olah dia dipinggirkan.
   Selepas kakak R sembuh, boleh berjalan , suaminya pula berkerusi roda pula. mungkin gaut, tidak berpantang . Semasa hendak tawaf wada, aku mencadangkan agar kedua-dua mereka naik skuter je tawaf daripada susah kakak R nak menolak suaminya yang berkerusi roda tu, maklumlah jauh dari hotel ke masjid di Mekah tu.
   Begitulah pengalaman aku semasa mengerjakan haji 2019.....suatu kenangan yang indah.
Penagajarannya , kalau hendak ke Mekah, biarlah usia muda, jangan terlalu tua hingga sukar mengingati tempat tinggal terutamanya semasa di Mina dan tandasnya terhad, tidak boleh membasuh pakaian walaupun tiga hari tiga malam menginap di situ....aamin , kami dapat menunaikan haji semoga haji kami diterima sebagai haji mabrur.
 

Saturday, February 23, 2019

KISAH 4 - MADINAH DAN MEKAH (1)

 Melalui pengalaman mengerjakan haji 2018, ingin ku kongsikan. Kisah kakak yang sebilik denganku. Sejak di Madinah, menginap di bilik 505 , penghawa dinginnya terlalu sejuk hinggakan kakak ini mengalami kebas-kebas kaki . Dengan keadaannya yang tak berapa sihat itu, terpaksalah suaminya membeli kerusi roda. Kami amat kasihan dengannya. Suaminya seorang yang prihatin dan bertanggungjawab sentiasa menolak isterinya yang  berkerusi roda pada setiap waktu sembahyang di Masjid Nabawi. Kami tidak ada masalah untuk memberikan sebarang bantuan kepada kakak ini.
Apabila penghawa dingin dah ok, maka dia pun beransur sihat dan boleh berjalan seperti biasa.
     Kisahnya beralih di Mekah pula. Di sini kami msenginap di bilik 1233. Bertambah rakan sebilik 8 orang. Kakak ini beruntung kerana suaminya ada anak buah yang tinggal berdekatan dengan Mekah, kami pun tak tahu di mana anak buahnya tinggal.  Mereka pernah pergi ke rumah anak buah suaminya itu dan bermalam di situ.
  Kisah bermula semasa bermalam di Mina. Kami tinggal di khemah G, kalau tak silap, maklumlah aku menulis ini dah hampir 5 bulan berlalu. kakak ini telah psergi ke tandas begitu lamanya dari pagi hingga tengah hari. Aku yang duduk di sebelahnya , amat kasihan dan gusar kerana dia tak balik-balik lagi ke khemah. Kucari di bilik air , tempat orang beratur pun tak jumpa.  Hampir pukul 12.00 tengah hari , barulah kembali ke khemah. Menurutnya dia sesat dan dia minta pertolongan kepada rakan sahabat , petugas yang terlibat. Untuk makluman kami tinggal di maktab 75.
   Kemudian, pada hari kedua , melontar , semasa balik pula, dia tidak balik lagi sehingga pukul 3.00 pagi.  Aku yang tidur di sebelahnya risau. Aku dapati dia seperti tercari-cari kami walaupun di dalam khemah yang sama, maklumlah ada banyak petak dalam khemah yang kami duduki itu.. Sepetak atau satu lot khemah tidur 18 orang. Aku pun bertanya kepadanya, mengapa balik lewat? Dia menerangkan bahawa suaminya sesat dan tak balik lagi. Puas ditunggu suaminya tetapi tak bertemu seperti yang mereka janjikan. Dia pun balik dengan bantuan petugas TH.
  Esoknya , aku membantunya melaporkan tentang kehilangan suaminya. Mungkin kakak ini tidak pandai menerangkan tentang kehilangan suaminya, maka aku membantu . Maklumat daripada petugas di situ, aku mendapat tahu bahawa suaminya telah dijumpai oleh seorang doktor dan dibawa dengan ambulans ke Shisya. Aku pun tak faham. Sebenarnya Shisya tu, Hospital Malaysia di Tabung Haji di Mekah. kemudian dia mengikut ku ke klinik tabung haji di Mina itu. Aku mendapatkan rawatan kerana jari kaki kelingkingku melecet dan melembung. Doktor telah menasihatkan aku  biarkan sahaja , aku  diberi ubat tahan sakit.
  ...bersambung part 2
 
 

Friday, January 25, 2019

catatan 2 di Mekah

Selama berkongsi bilik banyak kenangan manis dan pahit yang kami lalui.  Biasalah antara kami ada yang tidak boleh boleh ditegur . Tetapi alhamdulillah, kami tidaklah mengambil hati ,redha dan  bertolak ansur. Kami saling menerima teguran. Contohnya sebagai kawan kita perlu menasihati dan menegur sikap yang boleh membawa kebaikan.
  Ingin kuceritakan di sini bukan untuk mengaibkan tetapi kita mesti tahu asal usul atau pucuk pangkal mengapa sesorang itu bersikap sebegitu.  Antara kami, yang kami rasakan kami perlu menasihatinya. Kami berharap dia dapat berubah.  Kehadirannya ke Mekah, diungkit. Mungkin betul pada sangkaannya. Beliau mengungkit kenapa pihak Tabung Haji menghantarnya mengerjakan Haji pada saat umurnya sudah tua, tak larat. Memang kasihan kakak ni, seorang yang tidak berkahwin, jalan bertongkat dan kesihatannya kurang baik. Selalu batuk dan berkahak. Penampilannya juga tidak dijaga dan tidak berapa mengambil  berat tentang  menjaga kebersihan diri. Jadi kami terpaksa menasihatkan beliau supaya menjaga kebersihan diri. Contohnya mandi pagi dengan sempurna. Memang dia mandi tetapi umpama mandi kerbau. Begitu juga jika membasuh pakaian, beliau membasuh  baju tidak berapa bersih, celup-celup dan kesan minyak harimau atau  tiger balm masih melekat.  Oleh kerana beliau suka bergantung kepada ubat-ubatan seperti tiger balm, atau minyak cap kapak dan ubat selesema yang selalu dihidu ( digelar dengan nama batu pooh ).
  Aku terlalu kasihan kepadanya. Katilku juga bersebelahan dengan katilnya.  Jadi sikap kasihan umpama kakak sendiri.  Selalunya sebelah malam, dia akan batuk yang berlarutan. Jadi kekadang kami tak boleh tidur. Memandangkan keadaan kesihatannya begitu, maka aku membantunya ke kilinik Tabung Haji. Kami tinggal di tingkat 12, bilik 1233, untuk ke tingkat 8 terpaksa turun lif ke tingkat bawah dan naik semula ke tingkat 8 manakala nak ambil ubat pula di tingkat bawah . Maka kalau hendak mendapatkan rawatan terpaksa turun naik.  Banyak kali juga aku menyelesaikan masalahnya, pertama, ketika hendak ke klinik , membelikan makanan dan barang keperluan serta berjumpa dengan rakan sahabat maktab 75.
   Memang kasihan kepadanya , arwah ibu tak membenarkannya berkahwin, menanggung keluarga, kakak pula bergantung harap kepadanya. Selain itu, adik perempuannya meminjam duitnya bukan kepalang banyak, dah tidak mahu bayar semula. Di Mekah, dia bermimpi arwah adiknya menjerit meminta tolong kepadanya. Suami adiknya enggan membayar atau menggantikan wang yang isterinya pinjam walhal mereka membina rumah dengan wang tersebut. Apabila ganti, pinjam semula pula untuk majlis perkahwinan anaknya.  Ada anak saudara pula , meminjam juga RM11,000. Beli kereta dan katanya akan ganti semula selepas dapat duit berhenti kerja atau KWSP. Kasihannya kakak ni, mungkin perkara ini selalu mengganggu fikirannya.
  Semoga kakak ini dapat menjalani kehidupannya dengan baik dan menjadi insan yang solehah. Berbalik kepada kisah tadi, kami terpaksa memanggil ustazah, rakan maktab 75 untuk menasihatinya agar menjaga kebersihan diri dan menjaga solat berjemaah. Akhirnya dengan bantuan dan khidmat nasihat ustazah tersebut berjayalah kami ahli bilik 1233 menyelesaikan masalah kakak ini. Mulai saat itu, ada antara kami yang membawa kerusi  dan sejadahnya untuk solat berjemaah.  Alhamdulillah semua masalah kami selesai.....aaamiin.

Sunday, January 13, 2019

Catatan di Mekah (3) - Kisah 1

Kisah  ini ku ceritakan mengenai roomate kami. Dia berusia 66 tahun. Dia tidak pernah berkahwin. Pemergiannya ke Mekah tanpa diiringi dengan waris. Kami kasihan kepadanya kerana ketidakupayaannya berjalan , mungkin kerana sudah tua dan pergerakannya terbatas kerana kaki kanannya pernah terpelecok masuk ke dalam lubang. Oleh kerana itu, dia terpaksa berjalan menggunakan tongkat.
  Kali pertama , kami kasihan kepadanya. Tetapi oleh kerana sikapnya yang kurang menjaga kebersihan dan ambil ringan tentang kebersihan diri serta pakaian, maka berbakul-bakullah nasihat kami kepadanya. Pertama, dia seolah-olah ada penyakit. Penyakit batuk dan selesema mengganggu kami. apabila batuk dan berkahak, dia akan berludah ke dalam plastik atau tisu .  Malangnya tisu atau plastik itu dibuang merata-rata di tepi katil atau di bawah katil.
  Pada sebelah malamnya kekerapan bunyi batuknya yang kuat mengganggu kami.  Kami tidak boleh tidur. Beberapa kali kami nasihatkannya. Malahan aku ambil inisiatif membawanya ke klinik Tabung Haji di tingkat 8.  Untuk ke tingkat 8, kami mesti turun ke tingkat 1, dan gunakan lif lain ke tingkat 8, drp tingkat 8, boleh terus ke tingkat 1 untuk ambil ubat.
   Kali pertama ke klinik aku terpaksa memberitahu doktor tersebut. Menurut kakak ni, dia dipaksa oleh Tabung Haji pergi ke Mekah. Dia menyalahkan pihak TH, mengapa tak hantar dia ke Mekah semasa muda. Berbalik kpd rawatan tersebut, doktor TH merasa hairan bagaimana dia lulus pemeriksaan kesihatan ke Mekah.  Dia berjalan pun tercungap-cungap, macam orang lelah dan sakit jantung. setelah dua hari kemudian , kami diminta datang lagi ke klinik TH. kali kedua, menurut doktor tersebut, mukanya nampak cerah dan sihat, tak seperti kali pertama. Dia tidak lagi berjalan terburu-buru menyebabkan kesesakan nafas seperti orang lelah atau asma.
 Kemudian aku memberitahu doktor dan meminta doktor menasihatkannya agar sembahyang kerana kami dapati dia tidak mahu sembahyang dengan alasan sejadahnya hilang. Aku memintanya wang untukmembeli sejadah. Setiap hari, kami akan mengingatkannya agar sembahyang. Selesai satu kes.
  Timbul kes kedua pula, setiap malam dia akan bercakap sendirian. Pada mulanya aku perasan sebab aku sebelah katilnya. Aku tidak hairan. Lama-kelamaan baharulah , roomate lain bersuara dan banyak bertanya. Kami pun banyak mengorek rahsianya mengapa dia jadi begitu.  Pada aku mungkin stres kot. Dia selalu bercakap sendirian. Menurutnya, arwah ibunya tidak membenarkannnya berkahwin kerana siapa akan menanggung sara hidup. Apabila dia berhenti kerja , diadapat EFP atau wang Simpanan Pekerja sebanyak RM 23 ,000 kalau tak silap. Adik perempuannya pinjam duit daripadanya sebanyak RM11000 untuk membuat rumah. kemudian dia dah bayar sikit tapi pinjam lagi untuk majlis perkahwinan anaknya. Masalahnya adik perempuannya sudah meninggal dunia tetapi suaminya atau adik ipar tidak mahu membayar hutangnya. Tambah kasihan, anak buah pula meminjam wang untuk membeli kereta.  Janjinya umur 50 tahun nanti , dia akan ganti atau bayar hutang tersebut. Kasihan, kakak ni...bertalu-talu saudara-mara berhutang kepadanya.
Mungkin perkara inilah yang menjadi bebanan kepadanya. Dia pernah bermimpi bahawa arwah adiknya menangis-nangis meminta tolong kepadanya. Mimpi ini berlaku semasa dia di Mekah.
    Kasihan kakak ini, semua rukun haji dibuat dengan upah . Umpamanya tawaf dan sai umrah SR400, tawaf dan sai Haji SR 500 , itulah kalau boleh buatlah haji semasa kita kuat lagi. Semasa melontar di Jamrah pun upah juga sebab TH tidak sediakan kerusi roda untuk menolak orang yang kurang upaya.  Mungkin dia tidak tahu, Tetapi kami lihat ada juga jemaah haji yang berkerusi roda ditolak oleh orang lain, mungkin budak upahan atau mereka yang berada di Mekah ambil upah, Kisah ini ceritakan bukan untuk memalukan atau mengaibkan tetapi untuk pengetahuan kepada sesiapa yang ingin mengerjakan haji.
  Ketidakuapayaan atau sikap kurang menjaga kebersihan menjadi masalah kepada kami. Pernah suatu hari, apabila masuk ke bilik, kami terbau tahi.  Busuk menyelibungi bilik kami, maklumlah bilik berhawa dingin. Kekadang kami terbau hancing. Kami segera menyiasat angkara siapa.  Rupa-rupanya kakak ni terkincit dan tahi terkena kain.  Kain itu pula tidak dibasuh , disorokkan di bawah katil, Maka kami memaksanya supaya basuh kain tersebut. Kakak ni juga tidak mahu bersembahyang berjemaah di tingkat 12 .  Sembahyang berjemaah boleh di surau tingkat bawah dan ada juga berjemaah di setiap tingkat. Keengganannya menyebabkan kami terpaksa membuat aduan kepada sahabat maktab. Maka kami bertiga membuat aduan kepada sahabat maktab 75 di tingkat 1.
   Setelah membuat aduan, akhirnya ustazah datang memberi ceramah kepada kakak ni, baiknya ustazah ni memberikan kakak seutas tasbih, cantik berkilat-kilat ....akhirnya masalah kami selesai.
   Kami sering membantunya membawa kerusi lipat, sejadah dan tolong membelikan barang-barang yang diperlukan.  Bagusnya kakak ni tak kedekut  tetapi agak degil juga.
   Pengajaran daripada cerita di atas, kita sebagai roomate atau jemaah haji mestilah saling membantu dan anggaplah jemaah yang lebih tua sebagai kakak yang harus kita hormati dan saling tegur menegur dengan berhemah agar dia tidak berkecil hati.  Banyak perkara yang perlu dibantu terutama yang melibatkan pergerakannya yang terhad seperti membantu membelikan barang-barang keperluan harian seperti sabun, biskut, kuih, tuala, tisu dan ubat-ubatan.
   Kekadang nak tergelak pun ada. Dia meminta aku membelikan batu pooh, ubat selesema yang dihidu dan membeli koyok.  Untuk membeli koyok, aku terpaksa meminta seorang daripada jemaah haji yang lain , menerangkan bagaimana nak beritahu koyok. Beliau menerangkan dengan cara yang mudah iaitu pap kat belakang , pap kat tangan, baharulah peniaga atau pekerdai itu faham....perihal koyok punya cerita.