Friday, January 25, 2019

catatan 2 di Mekah

Selama berkongsi bilik banyak kenangan manis dan pahit yang kami lalui.  Biasalah antara kami ada yang tidak boleh boleh ditegur . Tetapi alhamdulillah, kami tidaklah mengambil hati ,redha dan  bertolak ansur. Kami saling menerima teguran. Contohnya sebagai kawan kita perlu menasihati dan menegur sikap yang boleh membawa kebaikan.
  Ingin kuceritakan di sini bukan untuk mengaibkan tetapi kita mesti tahu asal usul atau pucuk pangkal mengapa sesorang itu bersikap sebegitu.  Antara kami, yang kami rasakan kami perlu menasihatinya. Kami berharap dia dapat berubah.  Kehadirannya ke Mekah, diungkit. Mungkin betul pada sangkaannya. Beliau mengungkit kenapa pihak Tabung Haji menghantarnya mengerjakan Haji pada saat umurnya sudah tua, tak larat. Memang kasihan kakak ni, seorang yang tidak berkahwin, jalan bertongkat dan kesihatannya kurang baik. Selalu batuk dan berkahak. Penampilannya juga tidak dijaga dan tidak berapa mengambil  berat tentang  menjaga kebersihan diri. Jadi kami terpaksa menasihatkan beliau supaya menjaga kebersihan diri. Contohnya mandi pagi dengan sempurna. Memang dia mandi tetapi umpama mandi kerbau. Begitu juga jika membasuh pakaian, beliau membasuh  baju tidak berapa bersih, celup-celup dan kesan minyak harimau atau  tiger balm masih melekat.  Oleh kerana beliau suka bergantung kepada ubat-ubatan seperti tiger balm, atau minyak cap kapak dan ubat selesema yang selalu dihidu ( digelar dengan nama batu pooh ).
  Aku terlalu kasihan kepadanya. Katilku juga bersebelahan dengan katilnya.  Jadi sikap kasihan umpama kakak sendiri.  Selalunya sebelah malam, dia akan batuk yang berlarutan. Jadi kekadang kami tak boleh tidur. Memandangkan keadaan kesihatannya begitu, maka aku membantunya ke kilinik Tabung Haji. Kami tinggal di tingkat 12, bilik 1233, untuk ke tingkat 8 terpaksa turun lif ke tingkat bawah dan naik semula ke tingkat 8 manakala nak ambil ubat pula di tingkat bawah . Maka kalau hendak mendapatkan rawatan terpaksa turun naik.  Banyak kali juga aku menyelesaikan masalahnya, pertama, ketika hendak ke klinik , membelikan makanan dan barang keperluan serta berjumpa dengan rakan sahabat maktab 75.
   Memang kasihan kepadanya , arwah ibu tak membenarkannya berkahwin, menanggung keluarga, kakak pula bergantung harap kepadanya. Selain itu, adik perempuannya meminjam duitnya bukan kepalang banyak, dah tidak mahu bayar semula. Di Mekah, dia bermimpi arwah adiknya menjerit meminta tolong kepadanya. Suami adiknya enggan membayar atau menggantikan wang yang isterinya pinjam walhal mereka membina rumah dengan wang tersebut. Apabila ganti, pinjam semula pula untuk majlis perkahwinan anaknya.  Ada anak saudara pula , meminjam juga RM11,000. Beli kereta dan katanya akan ganti semula selepas dapat duit berhenti kerja atau KWSP. Kasihannya kakak ni, mungkin perkara ini selalu mengganggu fikirannya.
  Semoga kakak ini dapat menjalani kehidupannya dengan baik dan menjadi insan yang solehah. Berbalik kepada kisah tadi, kami terpaksa memanggil ustazah, rakan maktab 75 untuk menasihatinya agar menjaga kebersihan diri dan menjaga solat berjemaah. Akhirnya dengan bantuan dan khidmat nasihat ustazah tersebut berjayalah kami ahli bilik 1233 menyelesaikan masalah kakak ini. Mulai saat itu, ada antara kami yang membawa kerusi  dan sejadahnya untuk solat berjemaah.  Alhamdulillah semua masalah kami selesai.....aaamiin.

Sunday, January 13, 2019

Catatan di Mekah (3) - Kisah 1

Kisah  ini ku ceritakan mengenai roomate kami. Dia berusia 66 tahun. Dia tidak pernah berkahwin. Pemergiannya ke Mekah tanpa diiringi dengan waris. Kami kasihan kepadanya kerana ketidakupayaannya berjalan , mungkin kerana sudah tua dan pergerakannya terbatas kerana kaki kanannya pernah terpelecok masuk ke dalam lubang. Oleh kerana itu, dia terpaksa berjalan menggunakan tongkat.
  Kali pertama , kami kasihan kepadanya. Tetapi oleh kerana sikapnya yang kurang menjaga kebersihan dan ambil ringan tentang kebersihan diri serta pakaian, maka berbakul-bakullah nasihat kami kepadanya. Pertama, dia seolah-olah ada penyakit. Penyakit batuk dan selesema mengganggu kami. apabila batuk dan berkahak, dia akan berludah ke dalam plastik atau tisu .  Malangnya tisu atau plastik itu dibuang merata-rata di tepi katil atau di bawah katil.
  Pada sebelah malamnya kekerapan bunyi batuknya yang kuat mengganggu kami.  Kami tidak boleh tidur. Beberapa kali kami nasihatkannya. Malahan aku ambil inisiatif membawanya ke klinik Tabung Haji di tingkat 8.  Untuk ke tingkat 8, kami mesti turun ke tingkat 1, dan gunakan lif lain ke tingkat 8, drp tingkat 8, boleh terus ke tingkat 1 untuk ambil ubat.
   Kali pertama ke klinik aku terpaksa memberitahu doktor tersebut. Menurut kakak ni, dia dipaksa oleh Tabung Haji pergi ke Mekah. Dia menyalahkan pihak TH, mengapa tak hantar dia ke Mekah semasa muda. Berbalik kpd rawatan tersebut, doktor TH merasa hairan bagaimana dia lulus pemeriksaan kesihatan ke Mekah.  Dia berjalan pun tercungap-cungap, macam orang lelah dan sakit jantung. setelah dua hari kemudian , kami diminta datang lagi ke klinik TH. kali kedua, menurut doktor tersebut, mukanya nampak cerah dan sihat, tak seperti kali pertama. Dia tidak lagi berjalan terburu-buru menyebabkan kesesakan nafas seperti orang lelah atau asma.
 Kemudian aku memberitahu doktor dan meminta doktor menasihatkannya agar sembahyang kerana kami dapati dia tidak mahu sembahyang dengan alasan sejadahnya hilang. Aku memintanya wang untukmembeli sejadah. Setiap hari, kami akan mengingatkannya agar sembahyang. Selesai satu kes.
  Timbul kes kedua pula, setiap malam dia akan bercakap sendirian. Pada mulanya aku perasan sebab aku sebelah katilnya. Aku tidak hairan. Lama-kelamaan baharulah , roomate lain bersuara dan banyak bertanya. Kami pun banyak mengorek rahsianya mengapa dia jadi begitu.  Pada aku mungkin stres kot. Dia selalu bercakap sendirian. Menurutnya, arwah ibunya tidak membenarkannnya berkahwin kerana siapa akan menanggung sara hidup. Apabila dia berhenti kerja , diadapat EFP atau wang Simpanan Pekerja sebanyak RM 23 ,000 kalau tak silap. Adik perempuannya pinjam duit daripadanya sebanyak RM11000 untuk membuat rumah. kemudian dia dah bayar sikit tapi pinjam lagi untuk majlis perkahwinan anaknya. Masalahnya adik perempuannya sudah meninggal dunia tetapi suaminya atau adik ipar tidak mahu membayar hutangnya. Tambah kasihan, anak buah pula meminjam wang untuk membeli kereta.  Janjinya umur 50 tahun nanti , dia akan ganti atau bayar hutang tersebut. Kasihan, kakak ni...bertalu-talu saudara-mara berhutang kepadanya.
Mungkin perkara inilah yang menjadi bebanan kepadanya. Dia pernah bermimpi bahawa arwah adiknya menangis-nangis meminta tolong kepadanya. Mimpi ini berlaku semasa dia di Mekah.
    Kasihan kakak ini, semua rukun haji dibuat dengan upah . Umpamanya tawaf dan sai umrah SR400, tawaf dan sai Haji SR 500 , itulah kalau boleh buatlah haji semasa kita kuat lagi. Semasa melontar di Jamrah pun upah juga sebab TH tidak sediakan kerusi roda untuk menolak orang yang kurang upaya.  Mungkin dia tidak tahu, Tetapi kami lihat ada juga jemaah haji yang berkerusi roda ditolak oleh orang lain, mungkin budak upahan atau mereka yang berada di Mekah ambil upah, Kisah ini ceritakan bukan untuk memalukan atau mengaibkan tetapi untuk pengetahuan kepada sesiapa yang ingin mengerjakan haji.
  Ketidakuapayaan atau sikap kurang menjaga kebersihan menjadi masalah kepada kami. Pernah suatu hari, apabila masuk ke bilik, kami terbau tahi.  Busuk menyelibungi bilik kami, maklumlah bilik berhawa dingin. Kekadang kami terbau hancing. Kami segera menyiasat angkara siapa.  Rupa-rupanya kakak ni terkincit dan tahi terkena kain.  Kain itu pula tidak dibasuh , disorokkan di bawah katil, Maka kami memaksanya supaya basuh kain tersebut. Kakak ni juga tidak mahu bersembahyang berjemaah di tingkat 12 .  Sembahyang berjemaah boleh di surau tingkat bawah dan ada juga berjemaah di setiap tingkat. Keengganannya menyebabkan kami terpaksa membuat aduan kepada sahabat maktab. Maka kami bertiga membuat aduan kepada sahabat maktab 75 di tingkat 1.
   Setelah membuat aduan, akhirnya ustazah datang memberi ceramah kepada kakak ni, baiknya ustazah ni memberikan kakak seutas tasbih, cantik berkilat-kilat ....akhirnya masalah kami selesai.
   Kami sering membantunya membawa kerusi lipat, sejadah dan tolong membelikan barang-barang yang diperlukan.  Bagusnya kakak ni tak kedekut  tetapi agak degil juga.
   Pengajaran daripada cerita di atas, kita sebagai roomate atau jemaah haji mestilah saling membantu dan anggaplah jemaah yang lebih tua sebagai kakak yang harus kita hormati dan saling tegur menegur dengan berhemah agar dia tidak berkecil hati.  Banyak perkara yang perlu dibantu terutama yang melibatkan pergerakannya yang terhad seperti membantu membelikan barang-barang keperluan harian seperti sabun, biskut, kuih, tuala, tisu dan ubat-ubatan.
   Kekadang nak tergelak pun ada. Dia meminta aku membelikan batu pooh, ubat selesema yang dihidu dan membeli koyok.  Untuk membeli koyok, aku terpaksa meminta seorang daripada jemaah haji yang lain , menerangkan bagaimana nak beritahu koyok. Beliau menerangkan dengan cara yang mudah iaitu pap kat belakang , pap kat tangan, baharulah peniaga atau pekerdai itu faham....perihal koyok punya cerita.