Thursday, April 25, 2019

3 tahun aku mencari penyelesaiannya

Banyak cara dah aku lakukan. Entah apa yang mujarab, aku pun tak tahu.  Setelah mencuba ghozout, maxcell, buah mahkota dewa, blend kacang hijau dengan tomato atau epal hijau dengan peria, kini phytax pula di samping makan ubat doktor dan mengikut appointmen yang telah ditetapkan.
   Biarpun doktor pakar dah beritahu aku bahawa ubat yang telah dibekalkan sudah maksimum dan pilihan terakhir ialah suntikan. Aku masih belum dapat menerimanya.  Kali terakhir berjumpa doktor pada 13/3/2019. Keputusan gula dalam darah tak berapa cantik, kolesterol ok, jantung ok, tekanan darah atau denyutan jantung ok....Masalah besar mengapa gula tak mahu turun, bacaan 9.2 mL. Aku dah cuba puasa, elakkan makan gula putih, kuih yang manis .  Sekarang lagi ketat diet diabetis, langsung tak ambil gula, kalau ambil minuman manis pun seminggu sekali.
    Aku pun dah kurangkan tekanan kerja di sekolah. Aku pergi sekolah pukul 6.40 pagi dan balik sekolah pukul 5.00 petang. Di rumah pun dah tak masak, beli je makanan unuk dua orang, aku dan suami.  Kekadang aku beli kue teow basah atau bihun sup. Makan malam ala kadar sahaja. kalau boleh makan sebelum pukul 7.00 malam.

    Apabila pemakanan diet ini diikuti bolehlah dapat 6.5 -8.6 ml tetapi tersilap sikit akan naik semula sehingga 9- 10.5 ml/mol. Sebenarnya ceramah diet pemakanan diabetis tu betul dan benar-benar mencabar kita apabila bertemu dengan makanan kegemaran. Sesekali tengok orang makan aiskrim atau abc , sedapnya.  Tetapi memikirkan kandungan gula yang banyak, terpaksa dilupakan.
  Mungkin teori aku berkesan atau tidak , maka aku masih menunggu masanya iaitu untuk mengurangkan stres di tempat kerja. Mungkin paling berkesan ialah bersara pilihan, tidak boleh bersara wajib 60 tahun. Aku pun dah memohon bersara awal tetapi keputusan belumku perolehi.
Semoga aku tabah menghadapi penyakit ini.....aamiin.

Wednesday, April 17, 2019

PENGALAMAN SENDIRI

Pengalaman yang tak dapat dilupakan semasa mengerjakan haji ialah bagaimana kasut medifeet memakan anak jari kakiku.  Sebenarnya kasut baru itu kubeli dengan harapan kaki tak dipijak orang semasa di Mina , melontar  di Jamrah. Ingatkan kasut mahal kaki tak melecet, rupa-rupanya hampa.
   Pada hari pertama melontar dah rasa sakit tetapi tidak melecet. Pada hari kedua bermulalah rasa pedih. Namun ku teruskan juga hingga ke khemah penginapan. Pada malam itu, juga aku terpaksa membeli kasut baharu di pasar yang berharga SR15.
  Aku juga terpaksa pergi ke klinik Tabung Haji untuk mendapatkan rawatan. Pertama, mungkin aku luka  di  jari, dengan cepatnya pembantu perubatan menyembur ubat bagi mempercepatkan luka itu baik dan aku menunjukkan kedua-dua  anak jari kaki  yang melecet dan menggelembung. Dalam gelembung itu mengandungi darah dan air. Menurut pembantu perubatan itu , biarkan ia baik sendiri tetapi suamiku menasihati agar pecahkan gelembung itu supaya cepat baik. Sakit dan berdenyut-denyut hinggga tidak boleh tidur, almaklumlah kedua-dua jari kaki  kelingking melecet. Aku diberi ubat makan tahan sakit.
   Sepatutnya aku tidak boleh percaya atau termakan cadangan kawan-kawan daripada FB , yang menyatakan kaki tidak akan melecet atau tercedera ketika melontar di Jamrah dengan memakai kasut medifeet. Keadaan melontar tidak seperti dahulu.
    Sebenarnya pihak Tabung Haji telah menyusun strategi supaya orang-orang Asia Tenggara tidak bertembung dengan puak-puak Arab atau golongan penduduk  daripada Pakistan, India atau Timur Tengah kerana badan mereka besar-besar dan agak kasar sedikit.
     Bersyukurlah kami tidak sesat atau mengalami apa-apa masalah ketika melalui terowong sepangjang jalan melontar ke  Jamrah yang jaraknya lebih kurang 7.5 km pergi dan balik. Alhamdulillah , syukur kepada Allah, namun semasa dalam perjalanan pulang menuju ke khemah aku selalu melihat ke hadapan entah bila akan berjumpa terowong demi terowong supaya cepat sampai ke khemah.  Selalunya kami melontar pada waktu malam, pagi dan kali terakhir sebelum subuh kami dah bergerak dan sembahyang subuh dalam perjalanan  sebelum tiba  melontar ketiga-tiga Jamrah.