Showing posts with label PELANCONGAN. Show all posts
Showing posts with label PELANCONGAN. Show all posts

Saturday, April 30, 2016

Jom , Susuri Sungai Kuantan

Kesempatan dan peluang yang ada kami gunakan.  Aku, suamiku, anak bongsuku, emak, abang dan kakakku berpeluang menyusuri Sungai Kuantan selama sejam .  Kami sampai di jeti pada pukul 9.00 pagi.
  Sebaik membeli tiket RM15 seorang, kami dibawa oleh petugas di situ.  Seorang memandu bot dan seorang lagi menerangkan sepanjang kami menyusuri sungai Kuantan itu.  Apa yang menarik hati kami, sebuah bot Lesen C berharga RM300 000, sekiranya pemilik mempunyai 3 bot, tentulah tergolong dalam golongan orang yang kaya.
   Kami melihat keindahan kampung nelayan dan dapat penerangan tentang kehidupan nelayan.  Kampung nelayan terdiri daripada nelayan tempatan dan nelayan asing. Lengkapkan dengan segala kemudahan seperti tempat kapal dan bot nelayan dilabuhkan, dibaiki dan dibuat.  Harga sebuah kapal baru berjuta ringgit dan dibuat selama 2 tahun.  Sayang pula tak ada kesempatan merakamkan gambar tersebut.
     Panorama paling menarik ialah pemandangan air sungai dengan pertemuan Sungai Lembing dan Sungai Tanjung Lumpur serta Laut China Selatan.  Tempat ini menjadi laluan kapal nelayan yang menggunakan pelbagai kaedah menangkap ikan sama ada menggunakan pukat, sangkar atau pukat jerut.
    Untuk keterangan lanjut saya kepilkan maklumat mengenainya.

JETI Shahbandar Kuantan River Cruise.
KALAU berkunjung ke Kuantan, Pahang jangan lupa singgah ke Jeti Shahbandar dan menaiki bot Kuantan River Cruise yang menjanjikan keseronokan menyusuri muara Sungai Kuantan sambil melihat kehidupan burung helang atau kera bergayut di pokok bakau air masin serta aktiviti bot nelayan di pesisiran sungai dekat situ.

Andai bernasib baik reptilia paling ditakuti manusia seperti buaya tembaga juga boleh ditemui berjemur tetapi jangan risau kerana reptilia ini tidak pernah dilaporkan mengganggu manusia.

Kuantan River Cruise pernah beroperasi di bawah Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan hari ini diuruskan oleh Bukit Gambang Resort City (BGRC). Sejak diambil hampir dua tahun, BGRC memberi nafas baharu dengan membawa pelancong melihat bandar Kuantan dari sungai.

Bermula di Jeti Shahbandar Dua bot diberi nama Star 1 dan Kuantan 2 yang mampu memuatkan 50 pelancong bersedia membawa penumpang menyusuri perkampungan nelayan yang pernah menjadi laluan kapal dagangan satu masa dulu.

Perjalanan bersiar-siar menyusuri muara Sungai Pahang ini bermula di Jeti Shahbandar di hadapan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA). Ia akan membawa pelancong kelima lokasi, iaitu Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), kawasan pembiakan kelipkelip, Jambatan Tanjung Lumpur, kawasan pokok bakau sebelum berakhir di muara sungai Laut Cina Selatan.

Di lokasi ini, kita akan dibawa melihat aktiviti bot dan nelayan dari Kampung Peramu dan Tanjung Lumpur berulang-alik dan memunggah hasil tangkapan ikan yang menjadi sumber terpenting bekalan protein kepada penduduk seluruh Pahang.

KUANTAN River Cruise pernah beroperasi di bawah Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan hari ini diuruskan oleh Bukit Gambang Resort City (BGRC). - Foto Faiz Anuar
Nikmati makanan laut di Tanjung Lumpur Penulis bersama jurupandu pelancong Kuantan River Cruise, Asrul Hanif Baharuddin, meninjau sepanjang laluan 9.8 kilometer hingga ke muara sungai Laut China Selatan dengan pakej Sunset Cruise sekitar jam 6 petang.

Perjalanan dua hala dari jeti Shahbandar hingga ke muara sungai Laut China Selatan dengan bot berkelajuan lapan batu nautika sejam dirasakan terlalu singkat tatkala penulis sedang asyik melilau pemandangan hutan bakau dianggarkan berusia 500 tahun di sepanjang laluan 9.8 kilometer (km) itu.

Sambil bot Catamaran menyusuri ombak kecil, Asrul memberi penerangan ringkas mengenai lokasi kami lalui dengan mengaitkan sejarah Sungai Kuantan dan jaluran penduduk yang tinggal di sepanjang sungai ini.

Keseronokan kemuncak menyusuri sungai ini ketika waktu matahari terbenam dan waktu malam. Ketika itu suasana menjadi tenang ditambah pula cahaya lampu jalan melimpah permukaan air sungai pasti memukau sesiapa yang menggunakan perkhidmatan Kuantan River Cruise ini.

Seri limpahan lampu ketika perjalanan balik ke jeti kira-kira jam 8 malam, Bandar Kuantan kelihatan `hidup' apabila lampu limpah berwarna-warni dari Jambatan Tanjung Lumpur dan Esplanade Benteng Kuantan.

Asrul menjelaskan, Esplanade Benteng Kuantan meriah pada Sabtu dan Ahad apabila pelancong tidak melepaskan peluang mengunjungi pasar malam sepanjang satu hingga 2 km.

Lebih bermakna lagi apabila anda menaiki bot persiaran ini bersama keluarga menikmati panorama waktu malam, sambil melihat kelip kelip dan selepas itu menjamu selera makanan laut di Tanjung Lumpur yang diberitakan cukup sedap pada harga berpatutan.



Wednesday, March 16, 2016

sejarah bukit supai -Kota Bukit Kini

Pemandangan di atas Bukit Supai
laluan dari tepi laut ke restoran Terapung ikan bakar

                                           beberapa pucuk meriam di atas Bukit Supai

Mengenai Kota Bukit Supai, Kuala Linggi, Melaka. Kota Bukit Supai terletak di Muara Sungai Linggi dan lokasinya adalah di sempadan Daerah Masjid Tanah di Melaka dan Linggi di Negeri Sembilan. Dahulunya sebelum ada jambatan yang di bina menyeberangi Sungai Linggi, kawasan ini hanya  boleh dikunjungi dari jalan sebelah Melaka sahaja. Setelah jambatan dibuka pada tahun 1995, maka kawasan ini menjadi "hidup" kerana telah berhubunglah antara dua negeri.




Menurut yang empunya cerita,  Kota Bukit Supai ini, dibuka oleh Belanda dan Bugis, setelah berlaku peperangan pendek tahun 1757. Kedua belah pihak bersetuju untuk membina kota ini sebagai cara untuk berdamai. Pada masa itu Kota ini menandakan titik paling utara dalam jajahan Belanda. Kota ini juga membolehkan Belanda untuk memantau dan mengawal pergerakan kapal dari Sungai Linggi dan bahagian Selat Melaka yang berada disini. Secara kotornya, Belanda ingin mengambil cukai bagi kapal-kapal timah dari Sungai Linggi dan Sungai Rembau yang boleh dipintas walaupun Rembau itu dibawah kerajaan Negeri Sembilan. Kota ini dijaga oleh askar-askar upahan berkemungkinan "sepoys" dari India dan disokong oleh beberapa orang askar Belanda. Nama Bukit Supai mungkin diambil dari perkatan "sepoys' tadi.

Namun begitu, perjanjian persefahaman antara Belanda dan Bugis tidak kekal lama. Akhirnya Belanda meninggalkan kota ini tidak lama selepas kota ini disiapkan. Antara nama lain kota ini ialah "Dutch Fort", "Broken Cannon Fort" dan "Filipina Fort (diberi nama sempena anak perempuan jacob Mosel  Governor General Dutch East India Company)" 




Hari ini, disepanjang pantai berhampiran Kota Supai ini terdapat banyak chalet-chalet yang boleh disewa.  Pantainya  juga cantik dan boleh untuk bermandi manda. 


Anda boleh ke berehat-rehat di pantai berhampiran dan kemudian melawat tapak bersejarah ini.





Bagi anda yang ingin berkunjung ke sini, anda boleh melalui Lebuhraya Utara Selatan exit Port Dickson menuju ke Melaka. Anda akan melalui kawasan-kawasan  berikut :- Port Dickson-Kampung Sungala, Kampung Teluk Kemang, Si Rusa, Kampung Tanjung Pelandok, Pasir Panjang, Kampung Batu Tembok, Kampung Tanjung Agas, Jambatan Sungai Linggi,Kampung Kuala Linggi.


Manakala, kalau dari Lebuharaya Utara Selatan exit Alor Gajah pula anda akan melalui :- Alor Gajah, Masjid Tanah, Kuala Sungai Baru, Kuala Linggi.


Anda juga boleh melalui  Lebuhraya Utara Selatan exit Air Keroh-Sungai Udang, Kuala Sungai Baru, Kuala Linggi.

Semoga anda dapat menikmati sejarah Malaysia yang mungkin anda tidak ketahui,


Friday, July 26, 2013

Labuk Bay Probosis Monkey Sanctuary

Selepas berlegar-legar di sekitar Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, kami beralih ke Labuk Bay Probosis Monkey Sactuary.  Untuk mencari  destinasi ini, agak sukar juga kepada kami.
   Agaknya 2-3 kali kami berpusing-pusing mencari papan tanda menuju ke destinasinya.  Kekadang kami lihat papan tanda , kemudian terlepas pula simpang jalan menuju ke kampung itu. Kampung Samawang di Labuk Bay, Sandakan merupakan jalan gravel, berdebu.  Akhirnya , kami sampai juga pada pukul 12.30 tengah hari.  Kawasannya luas dengan hutan bakau.  Terdapat tayangan filem tetapi oleh kerana tidak kesempatan, kami hanya melihat monyet probosis sahaja.  Keadaan lebih kurang sama dengan tempat pemulihan orang utan Sepilok.  Masalah utama kalau makan angin di Sabah ini tidak cukup sehari kerana tempat pelancongannya jauh antara satu tempat ke satu tempat.  Sekiranya anda ingin melancong, anda memerlukan beberapa hari untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat.



Kami berpuas hati , walaupun 2 tahun di Sabah, sempat makan angin atau bersiar-siar di beberapa tempat pelancongan yang menarik seperti GUa batu Tulug, Labuk Bay Probosis Monkey Sanctuary, orang Utan Sepilok, tempat matahari terbenam di Simpang Magayau, Rumah Panjang Rungus, kolam Air panas di Ranau dan Muzium Negeri Sabah.
  Walaupun tinggal jauh di hujung dunia, Felda Sahabat sampai juga kami ke Kota Kinabalu , Sandakan dan Tawau.  Cuma terkilan tidak dapat mendaki Gunung Kinabalu, sempat singgah di kaki Gunung Kinabalu dan melihat gunung itu di pekan Nabalu.
 Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary menawarkan satu lagi kawasan pemeliharaan Monyet Belanda (Proboscis Monkey) untuk pelancong yang ingin melihat haiwan ini secara dekat tanpa perlu pergi lebih jauh lagi. Santuari ini terletak di tengah-tengah hutan bakau di sepanjang kawasan berdekatan Kampung Samawang di Labuk Bay, Sandakan. Ia terletak sejauh 38 km dari Lapangan Terbang Sandakan dan mengambil masa lebih kurang sejam untuk sampai ke pusat ini. Separuh daripada jalan tersebut adalah jalan gravel. Bagi sesiapa yang suka melihat haiwan unik ini, ini adalah suatu kemestian untuk melawat tempat ini. Jadual waktu pemerhatian ialah pada 11.30 pagi - 1.30 petang dan 4.30 petang - 6.00 petang. 

Pusat Pemuliharan Orang Hutan Sepilok, Sandakan

Sambil meraikan hari keluarga SMK Desa Kencana di Sandakan, kami tidak melepaskan peluang makan angin . Antara, destinasinya ialah melihat keindahan alam semula jadi Pusat Pemuliharaan Orang hutan di Sepilok.
  Kami sampai ke situ pada awal pagi lebih kurang pukul 10.00 pagi. Harga tiket RM7.00 seorang, kami bertiga sahaja, aku, suamiku dan anak bongsuku.
Semasa di pintu masuk, kami dilarang memberi makanan kepada orang utan.
  Walaupun masih awal tetapisudah ramai pengunjung. Untuk melihat orang utan itu , kami terpaksa berjalan kaki di atas lantai kayu yang disediakan. Ada beberapa tempat hentian yang disediakan khas untuk melihat orang utan diberi makan.  Terdapat stesen-stesen dan tali bergantungan khas untuk orang utan bergayut dan sampai ke stesen untuk menjamu seleranya. Kami lihat betik, pisang, jambu adalah makanan orang utan.
 
                                                        laluan lantai kayu
                                tetiba kami disergah seekor orang utan, garangnya!
                                                Waktu makan orang utan
PUSAT PEMULIHARAAN ORANG UTAN SEPILOK

  Pusat Pemuliharaan Orang-Utan Sepilok yang terletak 25 kilometer dari Bandar Sandakan, mempunyai keluasan 43 kilometer persegi.  Pusat Pemuliharan Orang Utan Sepilok merupakan sebuah hutan asli yang terpelihara.  Orang ramai dapat melihat Orang-Utan (Wild Red Apes) di tempat asal semulajadi mereka iaitu di hutan hujan tropika ini.  Tujuan utama Pusat Pemuliharaan Orang-Utan ini adalah untuk mendidik anak-anak orang-utan yang terpisah dari ibunya untuk berdikari di dalam hutan. 

 Pada tahun 1957, pembalakan telah diharamkan dan pasukan simpanan telah dilantik untuk membuat penyelidikan. Dalam tahun 1963 semasa Sabah merdeka dalam Malaysia, Jabatan Perhutanan telah menbentuk satu Cawangan Penjaga Binatang Perburuan (Game Branch).  

    Pada masa itu, dipercayai bahawa orang-utan ialah binatang yang susah didapati dan makin berkurangan. Musim itu juga anak-anak orang-utan sangat terkenal sebagai binatang perliharaan di kalangan rakyat Sabah dan di tempat lain. Anak-anak orang-utan biasanya di tangkap semasa pembalakan dan pembersihan hutan. Dengan adanya Cawangan Penjaga Bintang Perburuan ini, satu undang-undang baru telah dikeluarkan iaitu ‘Dilarang menangkap dan memelihara orang-utan’. Oleh itu Sepilok telah dipilih sebagai sebuah pusat pemuliharaan orang utan. Pelawat-pelawat boleh ke pelantar untuk melihat orang-orang utan datang dari dalam hutan untuk mendapatkan makanan dua kali sehari mereka iaitu susu dan pisang. Masa-masa memberi makan setiap hari ialah pada pukul 10:00 pagi dan 3:00 petang.



Thursday, July 18, 2013

Gua Batu Tulug

Setelah menetap di Felda Sahabat, 120 km dari Lahad Datu, aku mengambil kesempatan menziarahi beberapa tempat menarik di Sabah.  Antaranya, Gua Batu Tuluq iaitu gua batu kapur yang berusia 20-25 tahun dahulu.
   Kali kedua, aku mendaki gua ini bersama-sama dengan anak-anakku.  Suamiku hanya mendaki separuh daripada gua batu kapur ini.
Mendaki gua batu kapur ini memanglah memenatkan tambahan pula kami dari jauh, bertolak dari rumah pukul 8.30 pagi dan tiba di gua batu kapur ini pukul 12.30 tengah hari.  Di kala matahari terik memancar , kami gagahi juga sampai ke puncak gua ini untuk bersantai di wakaf .
 
     akhirnya sampai juga aku dan anakku di wakaf di puncak gua batu kapur.
                                     laluan lantai kayu menuju ke wakaf
keterangan di muka hadapan gua batu tulug
 keranda yang berukir dengan kepala monyet, buaya, dan sebagainya.

      berhenti di tengah-tengah wakaf setelah penat mendaki
     
           tangga kayu laluan naik ke puncak gua batu kapur
pemandangan dari atas gua

      MUZIUM BATU TULUG terletak di Kampung Batu Putih dengan jarak kira 41 KM dari perbandaran Kinabatangan. Agop Batu Tulug merupakan batu kapur curam yang berketinggian 39 meter. Ianya terbentuk sebahagian daripada pembentukan batu kapur Labang 20-25 tahun dahulu. Dalam bahasa sungai "Agop" bermaksud gua. Oleh itu, dalam bahasa melayunya "Gua Batu Tulug".

Gua Batu Tulug ini telah diisytiharkan sebagai muzium sejak tahun 1996 oleh JabatanMuzium Sabah dan secara rasminya dekenali sebagai "Muzium Arkeologi Batu Tulug""Batu Tulug Archaeological Museum". Muzium Batu Tulug mempunyai beberapa kemudahan untuk pengunjung seperti pusat maklumat untuk memberi penjelasan kepada pengunjung tentang gua tersebut serta kepentingannya. Tempat ini juga dilengkapi kira-kira 200 tangga untuk ke atas bukit dan pintu gua. Dari sini, pengunjung dapat menikmati keindahan persekitaran termasuk sungai Kinabatangan, kampung-kampung serta hutan disekililingnya. Pengunjung yang bertuah akan melihat beberapa hidupan liar seperti Orang Utan dan burung Kenyalang. 

Pada dasarnya, Gua Batu Tulung mempunyai empat buah gua iaitu:
1) Agop Suriba (rendah) di lantai hutan
2)Agop Lintaga (tengah) dan
3) Agop sawat (atas) antara 12-15m tinggi
4) Agop Dimunduk

     Agop Suriba didiami oleh kelawar dan burung layang-layang. Manakala Agop Lintangaadalah gua terbesar dengan ketinggian siling 12 - 15 meter. Kawasan sekitarnya dilindungi dengan hutan kecuali kampung Batu Putih.

    Sawat Lintanga Agop dan Agop Sawat (gua pertengahan dan atasan) mengandungilebih daripada satu ratus keranda diukir kira-kira 200 - 250 tahun yang lalu. Keranda initelah dibuat daripada kayu keras, 'belian' Eusideroxylon zwager dan dihiasi dengan ukirankepala kerbau, buaya, cicak rumah dan ular.

Ukiran pada keranda mencerminkan mitos dan legenda rakyat Kinabatangan, contohnya,buaya yang berkaitan dengan kematian dan kegelapan kuasa manakala burung bugang, anjing, ayam jantan dan rusa adalah kawan-kawan wira atau hero mereka.

Asal-usul aktiviti perkuburan masih misteri. Ada yang berpendapat bahawa gua ini adalahbekas tapak perkuburan orang Cina yang mempunyai urusan di Kinabatangan. Bentukkeranda diukir menyerupai orang-orang  yang telah digunakan oleh komuniti OrangSungai dahulu seperti yang ditemui di Masias Agop.

Tulang-tulang manusia juga ditemui dalam keranda bersama-sama dengan nombor jika ianya  gong, sumpitan, lembing, artifak Cina, seramik dan perhiasan  peribadi.

    Satu lagi gua yang lebih kecil, Agop Dimunduk. Agop Dimunduk terletak berhampiran dengan  tebing puncak di sepanjang cerun bukit. 
Agop Batu Tulug telah digunakan sebagai perkuburan keranda purba sejak kira-kira 500900 tahun lalu.Amalan pengkebumian keranda ini adalah sesuatu yang lazim di Sabah. 

Gua-gua di sini (Agog sawat, Lintanga dan Dimunduk) mengandungi lebih daripada 125 keranda purba, menjadikannya warisan unik budaya Sabah.

Tuesday, February 19, 2013

sebentar di Kelantan

Selepas membeli keropok di Kampong Losong, kami bertolak ke Kelantan dan menginap di Hotel Wakaf Che Yeh. Kami menginap malam Selasa 12/2/2013.  Memang ramai pengunjung sempena cuti Tahun Baru Cina.
  Hotel ini terletak di lokasi strategik kerana dekat dengan pusat beli-belah dan pasar Che Yeh serta dilengkapi kebanyakan  bank.  Aku menginap di bilik no.3 bersama anak bongsuku dan Pn Nor Falida , salah seorang daripada guru SKSS.
Sepanjang perjalanan petang itu hingga ke malam hujan turun dengan lebatnya.
  Lebih kurang pukul  10.00 pagi, kami menaiki bas menuju ke Pasar Kadijah .  Kami membeli-belah hingga pukul 12.30 tengah hari.  Keadaan pasar ini masih seperti dahulu cuma banyak bangunan baru dibina dan pertambahan pusat beli-belah.  Aku menjelajahi setiap kedai di tingkat dua . Aku membeli telekung dari Vietnam, kata orang kain telekung ini sejuk.  Memang di Sabah dulu , aku ada membeli telekung ini daripada kawan dari Kelantan dengan harga RM80.  Rupa-rupanya di pasar ini harganya lebih murah cuma RM45 sepasang. Maka kubeli 3 pasang dan 3 helai baju kedahsetelah puas merayau-rayau.
  Berkenan juga tudung tetapi memandangkan pitih ( duit) dah banyak dibelanjakan , maka ku pendamkan sahaja.  Aku membeli keropok siap goreng    dan dodol.
  Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Bazar Tok Guru dan destinasi terakhir di Rantau Panjang.  Aku membeli sehelai blaus, beg tangan untuk si bongsu, buah mangga dan kacang cerdik.
  Syukurlah , kami selamat bertolak dari Rantau Panjang ke sekolah .  Kami tiba pada pukul 5.49 pagi Rabu 13/2/2013.  Cuma kami terkilan kerana ketika menginap di hotel wakaf Che Yeh itu, pakaian berupa baju dan kain sutera telah dicuri , beg pakaian ditoreh tetapi keropok tidak pula dicuri.  Anggaran kerugian dalam lingkungan RM1000.

 

Sebentar di Terengganu

Percutian Tahun Baru Cina, aku mengambil kesempatan mengikuti rombongan SKSS ke Terengganu dan Kelantan.  Kami bertolak dari SKSS pada malam Isnin pukul11.00 malam pada 10 /2/2013 dan sampai di Pasar Marang pada pukul 8.00 pagi. Melewati bandar Kuala Terengganu mengingatkan aku peristiwa 28 tahun yang lalu kerana aku pernah mendapat latihan perguruan di Maktab Perguruan Kuala Terengganu Batu Rakit pada tahun 1982 -1984.  Tidak banyak berbeza, cuma banyak bangunan yang didirikan dan pusat beli -belah.
   Singgah di Pasar Payang buat kali kedua selepas  tamat latihan perguruan.  Tahun 2008, aku pergi dengan keluarga.  Kami singgah di Muzium Negeri, Pantai Batu Buruk, Pasar Payang dan Kampung Losong. Maktabku juga dah banyak berubah. Ku susuri pantai Mengabang Teliput, kehidupan nelayan yang tidak banyak berubah cuma banyak gerai makan .
   Kalau pergi ke Pasar Payang masih seperti dahulu, cuma ramai pengunjung  sempena  cuti sekolah. Sistem perniagaan masih lama, tidak ada master atau kad kredit, semuanya secara tunai. Mungkin juga kerana takut terlibat dengan riba kerana melibatkan bank.
   Kami singgah juga ke Arfah Batik.  Perniagaannya semakin berkembang kerana kini tersergam bangunan yang indah dan unik dengan ukiran dan bilik-bilik pameran serta demonstrasi mencanting batik, kristal dan menenun batik.
  Kemudian kami singgah di Pantai Batu Buruk untuk makan tengah hari dan berehat sambil santai menaiki kereta kuda dengan bayaran RM5 seorang.






 Kami sembahyang di Masjid Kristal di tepi laut yang dikenali sebagai masjid terapung ,  berdekatan dengan Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man.

Tuesday, January 22, 2013

Sandakan

Selama hampir 2 tahun mengajar di Sabah, aku telah 3 kali ke Sandakan.  Pertama, "dinner ' anjuran SMK Desa , Kencana.  Kami pergi bertiga dengan suami, aku dan anak bongsuku pada 2-3 November 2010.
  Kami menginap di hotel, di tepi laut.  Untungnya , aku mengajar di sana kerana berpeluang menginap di hotel.  Kalau di semenanjung , hanya jalan-jalan jauh seperti ke Terengganu atau ke Langkawi sahaja.
  Pemandangan di tepi laut amat indah tambahan pula pantainya bersih dan air lautnya kebiru-biruan terutama pada waktu tengah hari. Aku terkilan tidak dapat pergi ke pulau Sipadan atau ke Semporna.  Mungkin ada hikmahnya .  Tetapi yang pastinya , aku hanya sampai di Taman Buaya, Orang Hutan Sepilok, Monyet Probosis atau monyet Hidung panjang.
  Nasib baik kedua-dua anakku dapat terbang ke Felda Sahabat dan sempat menjadi guru ganti di SK Sahabat 4.  Sesungguhnya banyak kenangan di bumi bertuah ini.  Syukurlah dapat juga aku menjejak kaki di negeri bawah angin ini.




monyet probosis/hidung panjang di Sandakan.  Tinggal kenangan, terima kasih kepada penjaga taman haiwan ini yang sudi mengambil gambar kami sekeluarga.

Monday, November 26, 2012

Kuala Penyu

 Sebelum balik ke Semenanjung, aku ingin habiskan masa selama tiga hari di Hotel Gaya.  Ingatkan sempat hendak pergi ke Labuan sekadar melepaskan keinginan .  Dalam bercongak-congak hendak pergi aku sempat singgah ke Kuala Penyu pada 28/2/2012.
   Menurut suamiku tak sempat hendak pergi kecuali dapat pergi pagi-pagi dan petang baharu balik.  Setakat melihat dan bertanya sahaja kerana perjalanan dari KK ke Kuala Penyu agak  jauh.  Kuala Penyu terkenal dengan sagu dan penduduknya kebanyakan petani.  Keindahan pantai dan ada hotel-hotel tempat penginapan di sini.
 Aku ingatkan ada penyu sempena namanya.  Pekan ini kecil sahaja.







   Darin Kuala Penyu boleh sewa feri ke Labuan .  Jambatan gantung memang pupular di Sabah yang menghubungkan sungai.
 

Hotel Gaya, Kota Kinabalu

    Selama 3 malam 4 hari kami menginap di sini.  Bermula hari pertama pada 27 Feb, hari Isnin hingga Khamis, 1 Mac .  Hotel ini bertaraf 4 bintang.  Bilik 1111 tingkat 11tempat kami menginap.
  Biliknya agak luas.  Kemudahan cukup lengkap disertai dengan kemudahan teksi.
Sarapan pagi bermula dari jam 6.30 pagi hingga 10.00 pagi.  Bayaran semalam lebih kurang RM150 .
  Hotel ini terletak di Jalan Tun Fuad Stephens di Kota Kinabalu, berdepan dengan Bangunan Suria Sabah dan pusat beli-belah Wisma Merdeka.  Hotel ini menghadap laut China Selatan.
  Jika anda menginap di hotel ini, anda boleh berjalan kaki ke pasar Filipina, Pasar Besar kota Kinabalu dan pasar ikan kering atau hasil tangkapan nelayan.  Perjalanan ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu memakan masa 20 minit.


 

Tuesday, June 12, 2012

Sepetang di Kota Kinabalu

 Pada 29 Februari, sambil menyusur jalan di tepi laut di hadapan Hotel Gaya , kami sempat menikmati pemandangan pada waktu senja .
  Destinasi kami adalah untuk membeli cendera mata berupa mutiara di kompleks beli-belah setelah diberitahu oleh rakan kerana harga di kedai pemborong tersebut lebih murah daripada di pasar Filipina.
  Lihatlah pemandangan pada waktu senja ini.
                                          di bilik Hotel Gaya
                      pemandangan di hadapan bulatan replika ikan todak
                 pemandangan waktu senja matahari hendak terbenam
                    senyum suamiku jarang kelihatan kerana wajahnya selalu   serius ramai yang menyangka dia seorang yang garang
                                    beberapa buah kapal di tepi laut
                                        bangunan dan gedung beli-belah
                          gambar di rakam berlatar belakang bangunan
                      kedai-kedai makan, yang siangnya tempat letak kereta

                               menjamu selera sebelum balik ke hotel
                     Terima kasih kepada pekedai kerana sudi merakam gambar kami.