Showing posts with label keluarga. Show all posts
Showing posts with label keluarga. Show all posts

Friday, December 19, 2014

kalaulah ibuku pandai

Pelajaran setakat darjah dua Sekolah Zaman Jepun.  Sebagai anak sulung, ibuku terbeban dengan kemelut hidup zaman Jepun dengan tanggungjawab membantu kedua-dua ibu bapa.  Datukku seorang yang rajin mencari rezeki selain menoreh getah, mengerjakan sawah padi di samping memelihara ternakan ayam dan kerbau..
  Memang dah ditakdirkan nasibnya begitu.  Perkahwinan pertama hanya separuh jalan dengan cabaran 4 orang anaknya meninggal dunia semasa kecil.  Tekanan sebelah suami yang mahukan keturunan atau anak memaksa ibuku menerima seorang madu walaupun di hati suaminya masih menyayangi ibuku.  Ketegasan datukku yang tidak mahu anaknya dimadukan, memaksa mereka bercerai tambahan pula ibuku sering sakit.  Cabaran demi cabaran terpaksa dihadapi dengan kemelut yang kian menghimpit.
  Mendirikan rumahtangga seawal  usia 13 tahun dan menjadi janda pada umur yang muda 27 tahun setelah bapaku meninggal dunia,  Bapaku pula hayatnya tidak panjang meninggal dunia ketika berusia 61 tahun setalah 6 tahun hidup bersama-sama dengan ibuku.  Sudah suratan takdir, dapat anak suami pula meninggal dunia.  Atas kelangsungan hidup, apabila suaminya  meninggal ketika aku 3 bulan dalam kandungan di samping memelihara abang dan kakakku menambah keperitan hidup ibuku.
   Sebagai ibu tunggal yang masih muda, , ramai yang melamar, namun ibuku lebih mementingkan hal anak-anak. Maka jadilah  ibu tunggal sehingga kini usianya 82 tahun.  Dengan menoreh getah sekeping dua sehari, menganyam tikar di samping memelihara kerbau  merupakan pendapatannya untuk  menyara hidup kami..  Memang sukar untuk mendapatkan wang tetapi kami tetap membantu ibu.  
  Seawal kanak-kanak lagi,  kami membanting tulang membantu ibu dengan mencari kayu api, mengangkat air dari perigi, memasak dan mengambil upah bekerja di kebun sayur atau mengubah anak padi. di sawah.  Selain itu , kami juga membuat minyak masak daripada kelapa yang kami kutip  dari kebun nenek sebagai menampung perbelanjaan kami. 
  Begitulah peritnya hidup kami sebagai anak yatim dan kami tidak pernah didatangi oleh mana-mana bantuan zakat atau Jabatan Kebajikan Masyarakat.  Kami mengerjkan sawah padi dengan menaanam padi , menanam timun. dan petola hasil titik peluh kami adik beradik selepas balik dari sekolah.  Kerapkali juga  kami memancing ikan untuk dibuat lauk.. Itulah aktiviti kami selepas pulang dari sekolah. Kini ibuku tinggal denganku. Kalau dahulu hidupnya penuh dengan penat-lelah kini masih lagi susah.  Entah apa yang melanda hidupnya , aku sendiri tidak ketahui.  Telah banyak dukun dan bomoh handal-handal, namun keperitan hidup membuatkannya mengingati peristiwa silam.  Ibuku asyik menyatakan banyak orang menyusahkan hidupnya. Mana tidak, kalau sebut nama ayahku memang terkenal orang yang banyak harta tetapi ke mana harta itu.  Biarlah saudara-maraku menyatakan ayahku menjual semua tanah itu dan tinggal tiga ekar suku untuk kami bertiga.  Di atas tanah inilah aku mendirikana rumah.
         Beginilah nasib perempuan jika  tidak pandai  atau mudah diperkotak-katikan saudara-mara.  Aku masih ingat ketika meminta wang  diberi pinjam oleh ayahku kepada salah seorang saudara-maranya, begitu mudah menabur janji tetapi begitu payah menunaikannya.  Makanlah harta anak yatim semahu-mahumu dan ketahuilah dengan keperitahan hidup memberi seribu pengalaman dan pengetahuan untuk kami  menbentuk hidup yang lebih baik.
  Kini ibuku rutinnya menulis dan mencatat.  Entah apa yang dicatatkan, aku pun tak tahu dan   entah apa dalam pemikirannya.  Asyik-asyik menyatakan ramai orang menyusahkannya. Beginilah rutin hidupnya.  Biarlah gambar berbicara.  Dengan sebuah beg, beberapa batang pensel, marker pen, dan lain-lain alat tulis.  Biarlah dia buat sesuka hatinya, kalau aku bising dikatakan aku menyusahkannya.
Sejak tahun ini, orang sibuk pergi ke sekolah , dia pun sibuk.  Dah diberi buku-buku kosong untuk menulis diambilnya buku-buku anakku, kekadang buku matematik tambahan, Kimia, dan Fizik , siap simpan dalam beg.  Di dalam begnya, ada buku-buku dan alat tulis.  Alangkah baiknya dan untungnya kalau dia pandai menulis novel, banyak juga side income...atau boleh dapat duit...Alnasib...begitulah takdir hidupnya.

                           Dia sibuk \\e dapur...syukurlah setakat dia tak sakit, kuat lagi berjalan .

                           Mencedok bubur  pulut hitam hendak menjamu selera
                                                Sibuk menulis dengan buku-bukunya

                   Entah apa yang ditulis , kalau tulis novel dah banyak novel terbitan Patimah bt Hj Selim
  

Thursday, July 31, 2014

Aidil Fitri 2014

Tahun ini Aidil Fitri 1435H adalah tahun yang paling meriah.  Ramai saudara -mara berkunjung di rumahku,  Keluarga kakakku dan juga kakak ipar, keluarga sebelah suamiku menginap 2 malam di rumahku.
    Selepas sembahyang raya, kami menziarahi kubur atau pusara arwah ayah dan mertuaku.  Ada  sedikir kesilapanku yang lalu,  menyebabkan aku merasai kehilangan dan kegagalan aku sebagai anak, menziarahi pusara ayahku sendiri.di tanah perkuburan Ayer Pa'abas.  Memang kesilapan terbesar dan kelemahan anak perempuan apabila tidak menzirahi pusara ayah sendiri.  Bukan aku melupakan tetapi dek kerana merantau dan beranggapan pusara itu tidak akan hilang tandanya kerana ada batu nisan.  Masalahnya tanah perkuburan itu sudah berubah dan pusara itu di bawah bukit, sudah dua kali aku mencari pokok besar itu ,namun pokok besar telah tiada dan batu nisan bergelimpangan dibawa arus air kerana kubur tersebut tidak berkepung dengan simen, akhirya batu nisan juga tidak dijumpai.  Menyesal pun tidak berguna, nasi dah jadi bubur hanya aku selalu berdoa agar arwah tenang di sana dan Allah menerima doaku.
  Berbalik kepada Hari Raya, hari yang mengeratkan silaturahim, kunjung mengunjungi ke rumah saudara-mara adalah satu kemestian, supaya anak-anak mengenali saudara-mara mereka.  Malang, kami sekeluarga terputus hubungan mungkin disebabkan kami berada lama di perantauan , kami beraya pun sekejap sahaja. Kini , aku umpama sireh pulang ke ganggang, balik ke rumah sendiri namun suamiku masih di perantauan. Cuti seminggu ini , mesti digunakan sepenuhnya.
  Hari Raya pertama, kami menerima kunjungan daripada keluarga abangku .  Kemudian raya kedua, kami menerima kunjungan daripada  adik suamiku seterusnya kami ke Kluang .  Sepanjang jalan dalam  perjalanan , kami melihat berderet-deret kereta menuju ke Utara, kesesakan yang teruk.  Kami singgah di R & R Ayer Keroh untuk menunaikan  hajat, malangnya terpaksa beratur selama 20 minit.  Ramainya orang sedang menuju ke destinasi masing-masing mungkin bercuti atau beraya ke rumah keluarga atau saudara-mara .  Di mana-mana pun ramai orang sama ada  di stesen minyakdi Petron, Shell atau Petronas.
  Hari Raya ketiga , lagi ramai saudara-rama yang berkunjung  ke rumahku, terutama anak-anak mok tehku serta adik bongsu emakku dan anak-anaknya. Kemudian sepupu suamiku anak -beranak.  Kini giliranku pula hendak beraya ke Kuala Lumpur untuk menziarahi pak cikku iaitu adik emakku dan sepupuku.

                                          Sayangnya si anak kedua beraya bersama-sama kawan-kawannya.


keluarga sebelah suamiku dan juga kakakku.
Semoga Aidil Fitri ini memberikan sinar kebahagiaan dan hubungan kekeluargaan akan bertambah erat .  Kepada semua keluarga ,saudara-mara, kenalan , pembaca dan saudara seagama muslimin dan muslimat , saya memohon maaf zahir dan batin atas segala kesalahan dan kesilapan yang menyinggung perasaan serta terkasar tingkahlaku....................SELAMAT HARI RAYA DAN MAAF ZAHIR BATIN.

 

Tuesday, March 1, 2011

Rumahku

  Tahun 2010 merupakan tahun yang mendugakan keimananku.  Suamiku telah mendapat arahan bertukar ke Sabah.  Keputusannya adalah muktamad.  Bagiku, berita itu seolah-olah menduga kesabaranku kerana persekolahan 2010 barupun bermula.
  Bukannya aku tidak mahu, banyak yang perlu disediakan.  Setelah berkahwin, aku terpaksa mengikutnya berpindah ke Pulau Pinang.  Aku memang selesa tinggal bersama keluarga di Kuala lumpur walaupun  mengajar di Selangor. Jarak di antara rumahku dengan sekolah  tidaklah jauh.  Pada tahun akhir tahun 1989, aku akhirnya berpindah ke Pulau Pinang dan memulakan hidup baru.  Tak banyak barang yang dibawa hanya seset pinggan mangkuk dan pakaian sahaja.  Di Pulau Pinang, kami mulai hidup.  Kami membeli perkakas rumah sedikit demi sedikit.  Pendek cerita, aku telah berusaha untuk membina sebuah rumah di atas tanah pusaka arwah ayahku.
   Pada tahun 1999 rumah itu siap.  Kami terpaksa membuat pinjaman bersama kerana memandangkan pinjaman terhad.  Aku telah berusaha untuk berpindah ke Melaka walaupun pada mulanya suamiku enggan.  Pendirianku berpindah muktamad . Aku sebenarnya amat sayang akan rumah yang baru dibina.  Terpaksalah aku menyewakan kepada pelajar UiTM sementara aku memohon berpindah.  Mereka menyewa rumah baru itu selama 2 tahun.
  Peristiwa rumahku dimasuki pencuri ketika kami tinggal sementara pelajar-pelajar UiTM itu cuti amat mengejutkan aku.  Tak selamatkah aku di kampung sendiri? Sedangkan di perantauan selama 12 tahun, rumah orang lain  dimasuki pencuri,  rumah sewa kami selamat.  Ini bererti betapa amannya hidup kami di Kampung Paya Keladi.  Peristiwa itu menyebabkan aku berfikir bagaimana nanti kalau suami tidak ada, maksudnya enggan berpindah.
   Tetapi peristiwa itu mendatangkan hikmah kepadaku.  Dengan diam-diam akhrnya suamiku memohon berpindah.  Perkara ini kuketahui hanya melalui desas-desus almaklumlah ketika itu aku masih lagi berkuliah , menyambung pelajaran PJJ di USM.  Memang jawatannya di Jabatan Pelajaran Pulau Pinang sebagai ketua Unit amat sibuk, selalunya tidak ada di rumah.  Dua tiga hari ke KL, Selangor, Johor dan entah apa-apa lagi kekadang aku tidak peduli. Pada akhir tahun 2001, kami berpindah ke rumah sendiri di Melaka .
   Sembilan tahun, kini terpaksa berpindah lagi.  Nasib baik kedua-dua anakku sedang belajar di  menara gading, bolehlah mereka menengok-nengokkan rumah itu.  Baru tujuh bulanku tinggalkann rumah itu sudah ada tikus dan semut.  Barang-barang antikku cadar crosstich dan kait yang disimpan di dalam almari sudah digigit tikus.  Sayangnya,   bukan mudah untukku  membuatnya , itulah hasil tanganku 27 tahun lalu.
  Hatiku sebenarnya berbelah bahagi antara rumah, anak, ibu dan suami.  Anak-anak yang kutinggalkan di Semenanjung, ketahuilah doa emak  agar kamu berdua sentiasa dalam Lindungan-Nya.  Baik-baiklah menjaga diri dan sentiasa ingatkan Allah dan mintalah Lindungan-Nya.  Ahli keluarga kita tidak ramai di kampung malahan saudara-mara ramai yang merantau.  Hanya doa emak agar Mak Ngah  dan Pak Long dapat membina rumah di sebelah rumah kita agar dapat juga kamu mengadu hal .  Seterusnya doakan agar emak dan ayah dapat berpindah balik ke Semenanjung dengan segera.