Saturday, October 13, 2012

Lawatan Tunas Puteri Ke Karangkraf

   Pada pukul 2.30 petang , 3 Julai 2012 ,kami, Persatuan Pandu Puteri Malaysia berangkat dari Masjid Sultan Sallehuddin Abdul Aziz , Shah Alam menuju ke Karangkraf , kilang percetakan buku dan majalah.  Bangunan kilang ini besar dan lokasinya diapit oleh kilang-kilang besar yang mengeksport kereta  ke luar negara.
  Luasnya kawan kilang percetakan ini.  Sakit juga kaki melawat ke setiap bangunan setelah diberi penerangan dari pihak tuan. Aku mengagumi pihak pengurusan kerana inilah satu-satunya syarikat bumiputra yang mampu berdiri megah selama 33 tahun yang bermula dari perniagaan kecil-kecilan.
  Banyak majalah, surat khabar , brosur-brosur dan iklan-iklan dari syarikat perniagaan yang besar-besar mendapatkan khidmatnya di sini termasuk Tesco, Jaya Jusco , Avon dan sebagai.  Banyak buku ilmiah, fiksyen, novel dipamerkan  dan tidak ketinggalan juga untuk melanggan.
kejayaan usahawan bumiputera ini bolehlah dijadikan sebagai ikon kepada generasi muda.
  Setelah lebih kurang 2 jam lebih, kami dijamu dengan hidangan kuih seri muka dan bihun.  kemudian kami bertukar cenderamata.  Sebelum pulang sempat kami mencari buku , majalah dan sebagainya sebagai tanda kenangan.  Kami juga diberi majalah percuma sebagai buah tangan.  Lebih kurang pukul 6.00 petang kami bertolak pulang . Aku sampai ke Sabak Bernam pukul 8.00 malam setelah keluar dari rumah pukul 6.30 pagi menuju ke sekolah dan seterusnya menaiki bas di Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Selangor.

Thursday, October 4, 2012

zaman dah berubah

 Zaman sekarang banyak yang dah berubah.  Kalau dahulu majlis pertunangan dibuat secara kecil-kecilan.  Tetapi kini, majlis pertunangan umpama majlis perkahwinan. Mengapa? kerana pakejnya kini orang yang bertunang akan mengambil mak andam dengan pelaminnya.
  Kulihat semacam dah trend sekarang ni, mana-mana pergi sama sahaja. hantaran pula tak macam zaman kita dahulu.  Mungkin barang-barang dah mahal harganya dan tidak ada orang yang sukarela nak masak makanan seperti dahulu, saudara-mara bergotong-royong semasa majlis perkahwinan atau sesuatu majlis.Ada pekerjaan khusus pula seperti mak andam dan catering termasuk khemah dan pinggan mangkuk.
   Hantaran pula berpuluh ribu.  Bagaimana agaknya handak menyediakan hantaran, persediaan perkahwinan , rumah dan sebagainya. Oleh itu, anak-anak muda bersiap sedialah anda untuk menghadapi alam rumah tangga.  Gunakanlah kebijaksanaan anda untuk merancang masa depan anda.
  Kepada yang bertunang diharap menjaga tatasusila dan keagamaan agar tidak terpesong .  Harap-harap peliharalah keagamaan dan mendapat berkat dalam perkahwinan.
                                   Pelamin pertunangan
                                  beberapa dulang hantaran
                                             wakil pihak lelaki
hantaran sebelah perempuan dan lelaki

                                 upacara menyarung cincin pertunangan
                     
 

episod 3 - Naluri Seorang Ibu

   Sebaik tiba di rumah kudapati anakku masih lagi belum bersiap ke Hospital, masih lagi tidur.  Apalagi membebellah aku.  Mana tidaknya dahlah aku ke sekolah, mengejar masa.
  Setelah bersiap , aku pun ke Hospital Alor Gajah, lebih kurang 6 km dari rumah. Dia diperiksa darah dan platletnya 175.  Menurut pembantu doktor tersebut  ,sekarang ini musim demam denggi. Dia menasihatkan agar minum b 100 plus dan air masak banyak-banyak.  Esoknya anakku terpaksa ke hospital lagi, kalau platlet darahnya turun, dia terpaksa ditahan di wad.
   Aku pun membeli beberapa botol 100 plus.  Aku ingat sepeningalanku ke sekolah, anakku minum air 100 plus itu tetapi air itu tak berusik pun.  Malahan kerjanya tidur sahaja. Pada keesokan harinya, kami ke hospital Alor Gajah lagi.  Kali ini platlet darahnya turun hingga 100. Jadi dia terpaksa ditahan di wad dengan serta-merta.
    Suamiku pula kebetulan akan berkursus ke Johor, tetapi sebelum itu sempat mencari ketam untuk dibuat sup.  Pada petang itu, sempatlah aku memberinya minum sup ketam dan dia menceritakan pesakit di sebelah katilnya meninggal dunia kerana demam denggi.  Sebaik balik dari hospital, pukul 7.00 petang itu, aku mendapat panggilan telefon mengatakan dia terpaksa dihantar ke Hospital Besar Melaka kerana bimbang platlet darahnya turun lagi dan bintik-bintik kecil merah sudah mula kelihatan.
  Aku bernasib baik kerana anak sulungku pada masa itu sedang menunggu keputusan SPM, maka dia boleh membantuku.  Oleh kerana kesuntukan masa, maka aku benarkan anakku pergi ke hospital Besar Melaka dengan menaiki ambulans sementara aku susuli dengan kereta .  Kuberitahu suamiku yang ketika itu akan pulang dari berkursus terus singgah ke Hospital Melaka.
  Sebelum mendapat surat GL , anakku ditempatkan di Wad kecemasan.  Sebenarnya pihak terlibat sepatutnya meminta GL daripadaku.  Oleh kerana surat itu, aku terpaksa berulang -alik 2 kali ke Hospitalpada petang dan malam itu, penatnya Allah sahaja yang mengetahui.  Suamiku pula menanti dari pukul 5.00 petang hingga 9.00 malam baru dapat katil di wad kelas pertama.
  Sebaik sahaja mendapat tempat, katil itu  terus dipasang kelambu.  Maka tinggallah dia di dalam kelambu.  Malam itu dia ditemani kakaknya.  Aku berpesan agar minum air 100 plus banyak-banyak dan sup ketam. Selama tiga hari dua malam, disuapkan sup ketam, sup cendawan , 100 plus serta masuk air entah berapa botol aku pun tak tahu , akhirnya terurailah demam dengginya hingga beberapa orang doktor datang bertanya apakah rahsianya.
   Dalam pada itu, untuk mengelakkan daripada merebaknya demam denggi, sepasukan kesihatan telah datang ke rumahku menyembur di sekeliling rumah dan juga di KISAS - Kolej Islam Alam Shah.
  Impak daripada peristiwa itu, rupa-rupanya barulah ku ketahui bahawa orang yang mengidap demam denggi rupanya lemah dan tak berdaya, sebab itu anakku tidur sahaja.  Sekiranya demam berpanjangan, berjumpalah doktor takut-takut diserang demam denggi berdarah sekiranya lambat diubati akibatnya boleh membawa maut.  Seperkara lagi diingatkan kepada warden atau mana-mana penjaga agar ambil berat terhadap kesihatan anak-anak .  Kepada suamiku, hakikatnya itulah naluriku sebagai seorang ibu .  Anakku juga popular apabila balik ke asrama KISAS  dengan gelaran "Budak Denggi".
 

Tuesday, September 18, 2012

Episod 2 - Naluri seorang ibu

    Aku pun masuk ke asrama putri.  Tidak ada  kebenaran pengawal keselamatan dan warden, bagaimana hendak kutemui mereka.  Oleh kerana pada masa itu pukul 1.30 pagi, aku masih mendengar suara riuh- rendah penghuni asrama di blok yang kuhampiri.  Aku pun memberi salam dan memberitahu mereka, aku ingin berjumpa dengan anakku dan sebutkan nama anakku .  Nasib aku baik, kebetulan mereka memang kenal anakku dan anakku memang berehat di bilik mereka.
  Dengan pertolongan mereka, aku berjaya memasuki blok dan bilik anakku.  Dengan cepat dan pantas aku mendapatkan anakku dan bertanya akan keadaannya.  Aku sebagai ibu amat pelik mengapa anakku dibawa ke hospital tetapi tidak diberikan ubat.  Berbekalkan ubat klinik sahaja adalah tak memadai kerana sudah seminggu dia demam tidak kebah lagi.
  Aku dengan segera memintanya menelefon suamiku di kereta kerana aku seorang sahaja yang boleh memasuki bilik asrama puteri itu. Aku bertanyakan keadaannya dan memberitahunya adakah dia ingin mengikut aku balik ke Melaka.  Aku segera meminta suamiku menelefon warden asrama supaya membenarkan anakku di bawa pulang.
   Warden asrama tersebut terkejut bagaimana aku boleh masuk dan berjumpa dengan anakku.  Dengan nada yang agak marah, dia ingin mengetahui siapakah yang pandai-pandai menelefon dan memberitahuku. Memang semua pelajar asrama putri dimarahi di hadapanku.  Bagus juga tak seorangpun yang berani membuka mulut malahan anakku sendiri tidak memberitahunya.
   Dengan nada yang merayu dan menyatakan ketidakpuas hati terhadap GPK HEM yang membawa anakku ke hospital pada pukul 10 malam hingga 12 malam tetapi mengikut kehendak anakku balik tanpa mendapatkan  rawatan doktor.  Seperkara lagi yang menyakitkan hatiku ialah apabila warden asrama menyatakan semasa dia melihat anakku berehat di bilik sakit itu ,dia tidur dengan nyenyaknya.
  Kenyataan yang masih lagi terngiang-ngiang di telingaku ialah apabila dia berkata, kalau dah ibu bapa datang dari jauh dan pagi-pagi pukul 2.00 , sudah tentulah dia memberi kebenaran walaupun dalam hati keberatan, tambahan pula aku masuk ke asrama tanpa kebenarannya. Maafkanlah daku kadangkala terpaksa melanggar peraturan apabila kejadian ini berlaku kepada anakku.  Aku yakin setiap ibujuga akan bertindak sepertiku.
   Pada pukul 2.30 pagi kami pun bertolak balik ke Melaka.  Tiba di rumah pukul 4.00 pagi dan pada pukul 6.00 pagi terpaksa bangun pula ke sekolah.  Memang aku tidak pernah mengambil cuti atau kesempatan kerana aku mengajar murid tahun 6 yang akan menghadapi peperiksaan UPSR.
  Sebelum ke sekolah, aku sempat berpesan kepada anakku agar cepat bersiap untuk ke hospital Alor Gajah.  Aku balik ke rumah ,kebetulan masa free "tidak mengajar" dan murid-murid tahun 6 Mawar di SKDN telah dibekalkan kerja-kerja dan harapan mereka membuatnya sementara aku ke hospital.....bersambung.

Impak Insiden 31 Ogos

   Semalam, 17 September 2012, aku mendapat panggilan telefon daripada si pemandu kereta Viva Elit.  Dia meminta aku membayar sebanyak RM250 untuk menggantikan side mirrornya.  Aku begitu terkejut, Mengapa?
  Side mirror kereta Viosku baru RM140 , cermin RM75, Signal RM55 dah upah pasang RM10.  Inikan pula cermin sisi kereta Viva Elit yang lebih mahal mengganggu ketenangan fikiranku.  Maklumlah lebih sudu daripada kuahnya.
       Daripada teman-teman , aku mendapatkan maklumat selain daripada internet dan paling yang aku pasti ku pergi sendiri ke kedai alat ganti yang kubaiki cermin sisi keretaku.  Memandangkan harganya begitu murah RM140, aku menyedari aku ditipu .  Menyampahnya aku kepada seorang lelaki ini , berbicara lembut disulami dengan assalamualaikum serta mudah menyusun kata memohon maaf kepadaku kerana menyusahkan.
      Oleh sebab, aku dah berjanji untuk membayar ganti rugi itu, maka aku meminta suamiku bertemu dengannya dan memberikan wang itu.  Tetapi suamiku tidak mahu berbuat demikian.  Dia dengan suara yang agak tinggi menelefon dan bertanya cermin apakah yang ditempah dan di kedai mana.  Dengan jujurnya, dia menjawab side mirror harganya RM140 dan upah cat RM60.  Jumlahnya tentu RM200, mengapa pula meminta RM250.  Jadi sebagai orang tengah suamiku meminta dia memberikan nombor akaun bank agar mudah memindahkan wang ke akaun banknya.
    Bukan aku tidak mahu membayar ganti rugi, agak-agaklah. Janganlah hendak menipu kerana akhirnya tembelang akan diketahui  juga.  Aku memang amat benci kepada orang yang suka menipu, sebab itu kalau boleh aku tidak mahu berjumpa dengannya  dan pindahkan wang melalui akaun sahaja.  Semoga pengalaman ini menjadi panduan kepada semua.

Monday, September 10, 2012

Naluri seorang Ibu ( episod 1)

  Peristiwa ini benar-benar berlaku kepada anak keduaku.  Pada masa itu, dia bersekolah di KISAS- Kolej Islam Alam Shah pada tahun 2008.  Pada mulanya, dia memberitahuku bahawa dia demam.  selepas seminggu dia memberitahu demamnya belum baik.
  Tiba-tiba, suamiku mendapat panggilan telefon mengatakan dia demam teruk.  panggilan pukul 9.00 itu mengejutkanku.  Apalagi aku bingkas bangun dan meminta suamiku pergi ke Kelang.  Pada masa itu, kami tinggal di Melaka. Maka suamiku mengatakan jauh dan meminta warden asrama membawa anakku ke Hospital.  Melalui telefon, anakku telah dbawa ke hospital.
  Aku pula mendesak suamiku agar pergi sendiri tetapi dia keberatan.  Aku pula dengan lelehan air mata memaksa suamiku.  Lebih kurang pukul 11.00 malam kami bertolak dengan menaiki kereta Unser.  Dia memandu kereta dengan laju sehingga berbunyi tayar kereta.  Anak sulungku dapat mengagak tentu suamiku marah terhadapku.
   Setiba di Simpang Ampat, suluhan lampu memaksa kami berhentu ke tepi.  Kami ditahan kerana memandu melebihi had.  Maka dengan lembutnya, suamiku memohon maaf dan memberitahu anak kami sakit dan berada di Kelang.  Tanpa banyak bicara, kami dibenarkan meneruskan perjalanan ke Kelang.
   Lebih kurang pukul 1-00 pagi, kami sampai di muka pintu.  Pintu pagar sekolah ditutup.  Aku pun memberi salam, malangnya tak seorang pun pengawal ada di situ.  Kebetulan ku lihat ada tiga orang pelajar asrama putera sedang berjalan.  Aku pun memberitahu mereka bagaimana hendak masuk melihat anakku yang demam.  Melalui  mereka,  kuketahui  ramai pelajar yang demam lebih kurang sepuluh orang.
   Salah seorang daripada mereka membuka pagar dan membenarkan kami masuk.  Menurutnya lagi, mak cik masuk sahaja, nanti adalah pengawal di pintu masuk asrama.  Setiba  di asrama, kulihat lampu terpasang, keadaan terang benderang , kipas angin berpusing, malangnya tak seorangpun pengawal yang ada.  Suamiku pula meminta aku balik sahaja memandangkan tidak ada apa-apa yang boleh kami lakukan.   Aku pula enggan dan tidak berpuas hati kerana bukan mudah alang-alang dah sampai mesti selesaikan masalah ini...... bersambung.

Sate, oh, Sate!

  8/9/2012 jamuan Hari raya di kelasku.  Atas permintaan, aku memenuhi kehendak murid-muridku. Sate adalah menu utama, selain kek, bihun dan mi goreng adalah sponsor daripada ibu bapa mereka selain daripada kuih-kuih raya.
  Aku pula memesan sate melalui sms sahaja.  Penjual sate itu meminta ku mengambilnya sendiri.  Pagi-pagi lagi, murid-muridku yang ringan tangan membantu membuat backdrop - membantuku melukis huruf mengikut masternya, menggunting manakala aku menampalkannya "JAMUAN AIDIL FITRI 4 USAHA" di papan putih. Sementara murid lain membancuh air oren sunquick dan membeli ais.  Pandai-pandailah kamu membuat air sebab air , sunquick, bekas dan senduk telah kusediakan.
  Tibalah masa untuk mengambil sate yang dipesan melalui nama "Yati Sate" . Aku betul-betul bertanya kepada muridku yang mengetahui rumah si penjual sate itu.  Maka salah seorang murid lelaki memberitahu dia tahu akan rumah Yati Sate itu.  Maka akupun membawa tiga orang murid sebagai peneman tambahan pula  mereka berebut-rebut handak menaiki keretaku.
  Berdasarkan maklumat dan tunjuk arah, aku pun berhenti ke rumah yang diketahui tadi.  Kulihat tak seperti rumah penjual sate. Rupa-rupanya salah rumah.  Maka anak si empunya rumah itu pun menunjukkan rumah yati sate.  malangnya , maklumat tak lengkap, maka salah lagi.  Aku cuba menelefon si penjual sate namun tak diangkatnya. Seterusnya aku pula bertanya kepada salah seorang penduduk di situ. Dia pun memberitahuku.  Aku tidak pasti.  Maka akupun sebut bangunan  atau apa-apa tanda yang boleh dikenalpasti.  Dalam pada itu aku pun menyebut sekolah agama dan dia pun memberitahuku rumah ketiga.
   Akupun menuju ke tempat itu dan aku bernasib baik rumah si penjual sate  terletak di tepi jalan dan nampak anaknya sedang mengipas sate.  Syukurlah, kalau tidak tak makanlah  sate , murid-muridku!.  Pengajaran daripada peristiwa ini ialah beritahulah maklumat dengan lengkap agar senang dicari atau dijumpai destinasi yang dikehendaki manakala kepada anak muridku pastikan anda benar-benar tahu.