Tuesday, May 14, 2013

Generasi tidak mahu ke sekolah

Ingatkan zaman IT ini dan serba moden ini kanak-kanak akan gembira ke sekolah tetapi ada juga yang culas.  Tahun 2013 ini cabaran bagiku.  Nak tahu cerita, muridku ini hanya hadir 14/75 hari. Surat amaran pertama telah diberi. Disusuli telefon beberapa kali, kemudian hadirlah 5 hari dan terus bercuti.
  Minggu lepas 3/5 aku telah pergi ke rumahnya.  Dia berjanji akan datang ke sekolah.  Kini surat amaran kedua kuiringi dan kali kedua ku pergi ke rumahnya pada 14/5/2013.  Menurut ibunya memang anak-anaknya satu generasi kaki ponteng, tak mahu ke sekolah, nanti tahun 6 baru hendak ke sekolah, pelikkan!.
  Ada juga ibu bapa macam itu.  Teringat aku dahulu, kalau diikutkan kata ibuku, memang tak jadi cikgulah aku sebab masa aku darjah dua, ibu minta aku berhenti sekolah kerana hidup aku susah.  Ayahku meninggal dunia ketika aku 3 bulan dlam kandungan.  Ibuku janda muda 27 tahun hingga sekarang.  Ibu terpaksa menoreh getah menyara hidup kami tiga beradik. Namun kami 3 beradik dapat meneruskan pelajaran hingga ke tingkatan 5 dan aku sahaja hingga ke tingkatan 6.
  Aku pun pelik dengan budak ni. Emak dan bapanya ada motosikal, boleh hantar ke sekolah sedangkan aku dahulu berjalan kaki ke sekolah yang jaraknya lebih kurang 800 meter. Kami tidak  mampu hendak beli basikal.  Jalan kaki adik beradik melalui jalan raya yang panas terutama ketika balik dari sekolah. Kami terpaksa berhujan dan berpanas.
  Budak-budak sekarang ini manja lebih, tidak ada kesedaran bahawa pelajaran itu penting sebab itu jadi macam itu.  Lagi pelik tidak menghargai nasihat guru , ibu bapa, kakak dan masyarakat di sekelilingnya.
  Inilah keindahan kampung di kawasan tempat tinggalnya.


 Teringatku pada zaman kecil, memancing ikan dan mencari padi yang lebihan di sawah untuk dipungut dan dibawa balik dan ditumbuk dijadikan beras. Alangkah sukarnya kehidupan kami.  Syukurlah kepada Allah yang telah memberikan nikmat-Nya sehingga aku berjaya menjadi guru hingga ke hari ini.

Thursday, May 9, 2013

Guru -Penyelesai masalah

Hari ini menyirap darahku.  Manakan tidak, muridku 4 Jaya suka berkelahi macam 'anjing dengan kucing', pantang cikgu tidak ada, almaklumlah sekarang ini ramai guru yang berkursus, jadi mereka menunjukkan bakat 'hero' masing-masing.
   Memang seorang muridku ini agak kasar orangnya.  Suka memerintah rakan yang lain dan suka bertumbuk atau berkelahi.  Ada pula agendanya ke sekolah, berniaga. Oleh kerana perniagaannya tahun lepas yang tak diselesaikan maka dibawanya ke tahun ini.  Kira memaksa rakannya membeli jam yang berharga RM10 , katanya RM50.  Mana betul, mana salah , aku pun bigung jadinya.  Kes ini belum selesai lagi walaupun dah buat aduan kepada GPK HEM dan guru disiplin.
  Kini kes lain pula timbul. Sudah ditumbuk kawannya seorang di perut sebanyak 2 kali, menangis si mangsa.  Kes 2 pula, melempang kawan yang lain , kononnya nak bergurau, menangis pula si mangsa.  Geram betul aku jadinya, maka ku telefon ayahnya sendiri meminta datang ke sekolah untuk menceritakan kenakalan anaknya. Hari-hari ada sahaja aduan mengenai kenakalannya.
  Malam ini, si emak pula menelefon aku.  Terus terang dia menceritakan perihal anaknya yang menjual cicak berekor dengan harga RM50.  Pihak sekolah tidak tahu.  Patutlah dia nak jual jam tangan itu dengan harga RM50, barulah terbongkar rahsia!. Aku pun ceritakan serba sedikit perangai dan kelakuan anaknya. Perangai anaknya yang tidak mahu berfikir dan hendak kerja mudah dan belajar di kelas pemulihan sedangkan dia boleh membaca dan menulis sekiranya rajin dan lebih tekun.
     Akhirnya sekali, kupinta ayahnya datang ke sekolah untuk menyelesaikan masalah anaknya, semoga janjinya ditepati,.....semoga Allah memberikannya sinar untuk berubah ke arah kebaikan....In Sha Allah. 

Wednesday, May 8, 2013

Guru-juru ukur-juru jual

Kini tiba musim sukan skolah pula. Maka sibuk-sibuk semua guru kelas memastikan semua muridnya membeli baju sukan sesuai dengan saiz badannya.  Tiba musim, murid mencuba saiz baju sukan pula.
  Setiap tahun semacam acara wajib pula setipa murid mesti membeli baju sukan.  Aku baru tahun kedua di sekolah ini.  Berbagai ragam dan berlainan rentak di setiap sekolah,maka sebagai guru kita terpaksa mengikut sahaja.  Oleh itu ini kali kedua , aku terpaksa memastikan muridku membeli saiz baju yang sesuai dengan mereka.  Baju sukan lengan pendek harganya RM14.00 dan lengan panjang RM15.00.  
  Masalah muridku ini , mereka ingatkan macam beli baju di kedai atau di pasar raya .  Hari ini bayar duit, dapat baju serta -merta. Oleh itu, sabarlah murid-murid baju yang kamu hendak beli ini terpaksa ditempah mengikut bilangan warna ikut rumah sukan dan saiznya.   Untuk mendapatkannya bukanlah mudah kerana terpaksa disiapkan mengikut bilangan murid di sekolah kamu seramai 577 orang. 
 

Ingat senangkah nak tempah lencana dan mencetak  nama sekolah di belakang t-Shirt sukan ini?

Jadi Jururawat pula!

Sudah beberapa hari, aku mengambil masa beberapa jam untuk mengukur tinggi dan menimbang berat badan bagi murid-murid tahun 4  Jaya.  Memang tugas guru kelas yang sebenarnya tugas jururawat tetapi apa boleh buat sekarang ni bemacam-macam tugas diletakkan di atas bahu guru kelas.
  Setelah habis mencatat ukuran tinggi dan berat badan murid, kini mengira BMI murid pula.  Diberi formula BMI = berat(KG) / tinggi X tinggi (M).  Selepas itu terpaksa merekodkan graf pula serta membuat intepretasi pula.  Macam-macam tugas perkeranian yang mengambil banyak masa juga, jadi terpaksa aku membawa balik buku rekod kesihatan ini dan menyiapkannya di rumah.  Kerja ini belum siap lagi kerana aku belum membuat ujian mata sebelah kanan dan sebelah kiri dengan kaca mata atau tanpa kaca mata.  Ha..hahaha...entah bila agaknya dapat pembantu guru untuk meringankan kerja guru kelas....Wassallambissawab.
 



Friday, May 3, 2013

Akhirnya, ku jejaki rumahnya.!

Sepanjang pengalaman mengajar selama 28 tahun, belum pernah mendapat murid yang hanya hadir 12/75 hari.  Surat amaran pertama sudahku berikan.  Aku sebagai guru kelas telah memaklumkan kepada GPK HEM.  GPK HEM telah menelefon dua kali kepada ibu bapa murid tersebut. Pertama GPK HEM kena marah.
  Setelah menunggu sehingga bulan Mei, dan memberitahu guru kaunseling . Seperti biasa aku memohon izin kepada GPK HEM melawat murid ini ke rumahnya ingin bertanya khabar.
  Maka pada 3 Mei, aku dan Pekerja PAR pun ke rumahnya. Aku dapat bertemu dengan kedua ibu bapa dan murid tersebut.  Kedatangan ku disambut baik.  Seperti biasa, penyakit orang Melayu, biasalah, anak-anak saya memang macam itu, dari kecil susah nak pergi ke sekolah.  Darjah enam baru nak ke sekolah.  Maka, jawabku, janganlah macam itu, nanti banyak ketinggalan dalam pelajaran .  Galakkan dia pergi ke sekolah , sekurang-kurangnya dapat pelajaran, kemahiran asas untuk memudahkan mendapat kerja.
   Katanya, dia takut dengan cikgu A dan cikgu B dan tidak suka perhimpunan. Maka jawabku, dalam hidup ini kita tidak boleh memilih sama ada kita suka atau tidak, kita mesti lakukan asalkan tidak bertentangan dengan undang-undang dan peraturan Allah. Dia berjanji akan datang ke sekolah.  Semoga janjinya akan ditunaikan.  Kepada anak-anak, pergilah ke sekolah , tuntutlah ilmu, marah cikgu, denda cikgu bukanlah tandanya benci, tandanya sayang agar kamu belajar.....agar kamu pandai.....,,,jumpa lagi...

benar rupanya mimpiku ini!

Sebelum balik ke kampung untuk mengundi, aku telah bermimpi.  Mimpiku bumbung rumahku telah terbuka. boleh dilihat kayu alangnya. Malangnya bumbung rumah separuh ada, separuh  tiada.  Puas ku termenung seketika.

Kini, jelas terbukti, tangki air yang terletak di bilik tidur anakku , pam airnya tidak berfungsi.  Melelehlah air keluar . Kali ketiga , sudah air melimpah di biliknya.  Habis basah tilam, bantal  dan plug.  Nasib baik tak banjir sampai ke ruang tamu seperti dahulu.  Mungkin baru dua atau tiga hari sahaja perkara ini berlaku. Aku takut kalau lebih lama reput kayu alang bumbung bilik itu dan mungkin silingnya akan runtuh.
   Memang terdetik di hatiku kerana baru hari khamis 2 Mei,2013 aku berbual dengan suamiku, kalau tak dapat tukar ke sekolah yang terdekat, aku nak pindah balik Melaka sahaja.  Dia diam , tak menjawab.  Kekadang bengang juga aku asyik menyewa rumah orang atau rumah kerajaan sedangkan rumah sendiri ku tinggalkan.
   Lagipun aku sudah jemu berpindah- randah penat sementelah pada usia semakin senja.  Sepatutnya, kami dapat berkhidmat di negeri sendiri, mendidik anak tempatan dan dapatlah menabung sedikit .
   Setiap kali balik ke rumah, setiap kali terpaksa menyapu dan membersihkan rumah yang berhabuk dan berdebu.   Rinduku pada suasana sendiri.   Entah bila nasib aku sebagai perantau akan berakhir.....semoga Allah memperkenan doaku......aamiin

Wednesday, May 1, 2013

terlerai kemelut Gaji 2010-2013

Perpindahanku ke Sabah mencoret suka -duka perjalanan hidup sebagai seorang guru mendekati sedekad umur persaraan.  Suka -duka kujalani dengan penuh gelombang yang harus kutempuhi.  Pertama, pertukaran melepasi permohonan guru cemerlang .  Kemudian melepasi fasa menunggu jawapan. Setahun berlalu. Setelah mendapat jawapan pula menunggu pengesahan.
  Semasa menunggu pengesahan selama setahun , aku pula sudah bertukar ke  Selangor.  Maka haru-biru di mana Buku Rekod Perkhidmatan/Buku Kenyataan Perkhidmatan tidak dikemas-kini.  Kalau di Sabah, buku di Melaka, kalau di Selangor, buku di Sabah...begitulah nampaknya.
   Seperkara lagi susahnya nak bertukar ke Selangor, 2 kali surat pertukaran tak sampai ke destinasi, terpaksa urus sendiri, naik BPSM di Putrajaya, JPNS dan faks ke JPN Sabah...semuanya ku urus sendiri hinggalah terlibat dengan kemalangan.  Kemudian tragis lagi, PT buat gaji salah, PT Selangor marahkan aku pula, kenapa cikgu ni biarkan gajinya diterima salah? Berdesing telingaku! . 2 bulan elaun hidup susah , intensif wilayah, dan elaun perumahan di Sabah ditambah dengan lebihan gaji selama 19 bulan 24 hari sebanyak RM 9268.80. Tambah sadis dan terhentak jiwaku apabila gajiku dipotong untuk bayaran balik  sehingga sifar bulan pertama bertukar di Selangor, sudahlah kesukaran menghambat jiwa dengan perjalanan yang jauh 121km dua hala dari rumah di Sabak Bernam.
  Selama 6 bulan gaji dipotong berdesap-desup sehingga habis tetapi hendak menunggu kenaikan gaji DG 44 bukanlah mudah terpaksa menunggu sehingga setahun 2 bulan daripada surat pengesahan yang bertarikh 13/1/2012 yang  backdated 24 Ogos 2010 .
      Selama hampir 2 tahun 7 bulan aku memangku DG 41 akhirnya pada bulan April  2013 barulah terlerai kenaikan gaji DG 44 setelah bertemu muka dengan ketua kerani di PPD, ketua kerani bahagian sekolah dan   aduan eduweb kpm pada tahun lepas bulan April 2012 serentak gajiku dipotong sesifar semangatku jatuh terhentak.
    Syukurlah  terlerai sudah. Semoga episod ini menjadi pengajaran kepada guru lain jika anda berpindah -randah sepertiku.  Ingatlah Buku Kenyataan Perkhidmatan penting untuk dikemaskinikan dan surat-surat pelantikan, pengesahan perlu dikepilkan sebagai bukti kerana bukan semua kerani mencatatkan kenyataan tersebut.  Kita sendiri perlu peka....... Tahun 1990 pun perkara ini pernah terjadi kepadaku 9 bulan tak dapat gaji kerana buku ini juga .  Perpindahan dari Selangor ke Pulau Pinang.....sejarah berulang!