Saturday, December 6, 2014

Program pasca UPSR

Selepas peperiksaan UPSR, tidak banyak yang dapat ku sisipkan pengetahuan dan pengalaman kepada murid-muridku kerana kekangan ulangan peperiksaan kertas Matematik, dan Bahasa Inggeris manakala kertas Sains ditangguhkan kerana kebocoran saoalan soalan tersebut.  Nasib baik  kertas  Bahasa Melayu terselamat, tidak perlu diulang.  Kertas akhir ialah pada 8 November 2014 kertas Matematik 1.
   Dalam pada itu, aku pula terpaksa menghadiri mesyuarat pemeriksa kertas penulisan dan sebagai pemeriksa kertas pendidikan awal kanak-kanak, maka masa pasca UPSR semakin berkurang.  Adapun aku cuba terapkan amalan kesihatan iaitu gaya hidup sihat seperti tidak merokok dan cara-cara pemakan yang sihat serta senaman.  Malangnya murid-murid tidak berminat, diminta aku menayangkan filem Melayu yang didownload dari youtube.  Aku membawa LCDku, speaker, CD ROM dan pendrive yang memuatkan perisian filem tersebut dan menyangkan di dewan sekolah yang seluas sebuah bilik darjah.
  Kemudaian, aku menayangkan pula filem "Dugaan Negara " dan Kemerdekaan Malaya' tujuanku untuk menanamkan semangat patriotik di kalangan mereka.  Filem yang ku tayangkan adalah filem hitam putih yang menunjukkan kehidupan tahun -tahun sebelum kemerdekaan Malaya , Kehidupan pada zaman Jepun, Komunis dan  semasa hendak  menuntut kemerdekaan.  Puas dipujuk agar melihat filem ini dan bandingkan dengan kehidupan mereka masa kini. Murid-murid sekarang memang tidak mahu mengenal sejarah, pada hal daripada sejarahlah kita dapat membina semangat jati diri yang kental.
   Kemudian sibuk pula buat persiapan untuk Jamuan Perpisahan Tahun 6, dan akhirnya Jamuan Kelas Tahun 6 Bestari. Memang selalunya kelasku ada backdrop.  Backdrop ini ku buat bersama-sama dengan murid kelas Tahun 6 Bestari.  Semua huruf (master)  ada dalam simpananku, gunting , kertas warna dan sugar paper,  Aku bertnasib baik kerana mereka berminat pula dalam kerja-kerja begini.   Dalam melakukan kerja ini barulah kita ketahui kemahiran mereka.  Ada yang tidak berapa pandai dalam menekap, menggunting huruf, menampal dan menyusun huruf-huruf supaya menjadi perkataaan dan seterusnya menjadi tajuk .
    Syukurlah, akhirnya siap juga backdrop yang mudah dan perbincangan menu jamuan kelas.Ada antara mereka yang hendak membawa kek, mi kuah,, air gula, jus, mi kung fu, kuetiau, agar-agar , buah dan sebagainya. Jamuan telah ditetapkan pada 7 November 2014.



                            Persediaan backdrop Jamuan Perpisahan Tahun 6 Bestari 2014
 
                                        Persediaan Jamuan Perpisahan Tahuan 6 2014

Thursday, December 4, 2014

Majlis Perpisahan tahun 6 Bestari 2014

Setelah diadakan jamuan Tahun 6 di dewan sekolah, akhirnya pada hari Jumaat, 14/11/2014, aku mengadakan  Jamuan Perpisahan Tahun 6 Bestari.  Setelah berbincang dengan murid-muridku, tiada kutipan duit kelas yang dibuat, kami membahagikan peranan masing-masing.  Ada yang membawa agar-agar, mi kuah, air gula, sunquick, air masak/air mineral, roti canai, kek, buah oren nasi goreng, kuetiau kung fu dan pinggan serta mangkuk polistrin.
   Sebenarnya, aku mahu mengurangkan penggunaan pinggan dan mangkuk polistrin dengan meminta mereka membawa pinggan mangkuk , cawan serta sudu sendiri. Malangnya pada hari tersebut hanya 3 orang sahaja yang membawanya.  Kekadang hendak marah juga dengan muridku ini hanya 14 orang sahaja pun sukar mematuhi arahan.  Kusuruh bawa buah oren dibawanya buah epal dan buah lai. Aku minta dia buat sekilo air gula, dibawanya sebotol kecil dan sunquick botol kecil.
  Pada dasarnya aku kurang percaya kepada anak muridku, maka aku sendiri akan membawa makan tersebut kerana aku telah berjanji akan belanja mereka makan tanda kesyukuran kerana suamiku dapat bertukar  ke Melaka.  Namun perkara ini tidak kuberitahu mereka. Untuk persediaan awal, aku telah membuat 4 biji kek, nasib aku kurang baik kerana sebiji kekku telah hampir hangus di bahagian atas kerana alat pengawal timer ketuharku telah patah , jadi terpaksalah kawal sendiri semasa kek itu masak. semuanya ku buat sendiri tanpa bantuan orang lain.
  Malam Jumaat itu, aku siap-siap menyediakan bahan untuk membuat tomyam campur iaitu ayam, sotong, udang, lobak, fishcake, fishball, bawang, tomato, serai dan sebagainya.  Aku terjaga pukul 4.30 pagi, aku mula memasak.  Nasib aku baik tepat pukul 6.00 pagi semuanya siap dicelur dengan 8 bungkus mi, enam bungkus kuetiau dan sebungkus bihun.  aku minta bantuan anak bongsuku masukkan semua barang-barang ke dalam kereta, Sarat  bonet belakang  keretaku dengan kek, kuih tako, tomyam , air gula, Sunquick blackcurrant 840ml,
  Sehari, sebelumnya aku telah membuat backdrop bersama-sama dengan murid-muridku dan menyusun meja serta kerusi. Oleh kerana semua guru dijemput, maka aku meminta murid-muridku mengambil kerusi di stor.  Jangkaanku pukul 9.00 pagi jamuan dimulakan , tetapi disebabkan perjumpaan pagi dengan semua guru SKMT, maka terlewat sedikit hendak menyediakan hidangan.  Tambahan pula aku seorang sahaja, hendak harapkan muridku perlu ada pengawasan daripada guru maklumlah budak sekarang tidak tahu membuat kerja.  Aku tugaskan 3 orang membuat air blackcurant, meletakkan dan menyusun makanan di atas meja . Murid perempuanku ada tiga orang, namun 2 orang tidak datang tinggallah seorang.
  Belumpun sempat menghidangkan makan di meja, GPK telah datang. Melihatkan persediaan yang belum lengkap, dia hanya menunggu sambil menjemput guru-guru lain melalui telefon bimbitnya.  Aku membebel dengan muridku kerana aku suruh bawa buah oren dibawa buah epal dan buah lai, bukankah bertambah kerja.  Nasib baik ada dua orang murid lelaki dari kelas 6 Arif datang membantu membuang kulit buah tersebut.
  Akhirnya, setelah semua siap, bacaan doa makan dan acara menjamu selera.  Murid-muridku ini bukan boleh nampak banyaknya pinggan-mangkuk dan sudu yang ku beli, digunakan sebanyak yang boleh.  Tentulah kena marah, sudahlah tak bawa, sikap membazir pula sedangkan aku nak gunakan untuk  murid-murid lain jika ada makanan yang berlebihan.
  Syukurlah ramai juga murid yang boleh makan tetapi aku tak pasti berapa orang yang dapat  makan.  Jamuan itu bermula dari pukul 9.30 pagi hinggalah pukul 12.00 tengah hari hingga hanis i semua makanan.  Aku menjemput murid-murid dari kelas lain terutama semua murid tahun 1, 2, 3, 4, 5 dan 6 Arif. Syukur....Alhamdulillah tiada pembaziran...












Wednesday, December 3, 2014

Kellies Castle

Istana Kellie ialah sebuah bangunan sejarah dan tempat menarik untuk dilawati di Batu Gajah , Perak.  Telah lama hatiku teringin untuk melihat istana ini.  Kebetulan cuti penggal pertama, aku mengambil kesempatan untuk ke istana ini.  Kami bergerak dari kuarters guru SBPI Sabak Bernam, singgah di Terowong Pasir Salak, kemudian meneruskan perjalanan ke Masjid Batu Gajah untuk bersembahyang,. Di masjid inilah kali pertama aku melihat ada eskalator.  Besarnya masjid ini ada tempat untuk ceramah mungkin untuk ceramah bakal haji, kelas fardhu ain atau sebagainya.
  Kami sampai di Istana Kellie pada pukul 2.30 petang. Setelah melihat dan membaca kenyataan di bangunan ini , kami sempat bergambar dan duduk berehat di wakaf yang disediakan.  Menurut sejarah, Willian Kellie Smith seorang yang berbangsa Scotland, jurutera muda berumur 20 tahun ketika itu telah datang ke Tanah Melayu.  Beliau adalah antara  10 terkaya di kalangan keluarga elit.  Dengan kebijaksaannya menguruskan perniagaan dan berkahwin dengan Agnes yang juga daripada keluarga elit telah membina sebuah istana,  lambang cintanya kepada isterinya, Istana ini mula dibina pada tahun 1905, kini berusia 109 tahun dibina di atas bukit.  Istana ini umpama lambang cinta Shah Jahan kepada isterinya Mumtaz,  membina Taj Mahal , antara 7 benda ajaib di dunia.
  Malangnya Istana Kellie ini menghadapi cabaran, kemerosotan ekonomi, perang dunia dan akhirnya William Kellie Smith meninggal dunia.  Masalah kewangan, kematian pekerja-pekerja yang membina bangunan ini menyebabkan projek istananya terbengkalai. Sekiranya siap , tentulah ia menjadi lambang cinta seorang suami kepada isterinya , sanggup bergolok-gadai demi memenuhi impian isterinya. sebuah istana yang lengkap dengan  bilik-bilik khas seperti bilik menyimpan wain, bilik tempat menyimpan peralatan tilam , bantal jika ada tetamu, gelanggang tenis, tempat tetamu berkumpul dan disediakan lif untuk mudah naik ke tingkat atas.  Malangnya semua ini menjadi impian kosong bagi William kerana hajatnya yang tak kesampaian.  Disebabkan itu, ramai pengunjung yang melihat roh-roh Willian,  Agnes dan anak kecil berlegar-legar di istana ini. Mungkin benar atau tidak bergantung kepada kepercayaan dan orang yang pernah melihatnya termasuk petugas-petugas di istana ini.  Walaubagaimana pun, kami telah sampai di sini dan  hanya melihat serta berpusing-pusing di ruang , bilik-bilik dan semua tingkat bangunan ini. Betapa kagumnya kami kerana kekukuhan bangunan ini namun sesuatu binaan itu akan runtuh jika tidak dipelihara dan dipulihara....Semoga istana ini menjadi inspirasi kepada suami-suami manifestasikan cinta mereka kepada isteri mereka......aamiin.

                                           Istana Kellie pandangan dari atas
                                  Pandangan dari atas tingkat 2 , kaunter membeli tiket dan kafetaria
                            laluan ke tingkat dua , di sebelah kanan , gelanggang tenis

      Pandangan dari tingkat 4 di atas bangunan berdekatan daengan lif, wakaf tempat kami berehat .



   Amaran kepada pengunjung kerana bangunan ini tidak ada kawalan keselamatan, di tepi bangunan hanya diikat dengan rantai ....dan papan tanda awas.

     Istana ini telah dibaik pulih, menjadi pusat tumpuan pelancong dari dalam dan luar negeri.

                                   taman bunga dan persekitaran dan didirikan wakaf

   Dengan tiket masuk RM5.00 seorang berbaloilah juga dapat bergambar di bangunan ini .
 

Monday, December 1, 2014

Sireh pulang ke Gagang

Aku ibarat si nomad. Walaupun bersuamikan seorang guru, hidup kami berpindah - randah umpama askar. Penghijrahan ku bermula daripada kecil sehinggalah berumur 50-an.  Sehingga berumur 52 tahun , banyak negeri yang telah kusinggah . Sepanjang 30 tahun berkhidmat sebagai guru , sudah  9 sekolah di empat buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Melaka dan Sabah.
  Bermula dengan kehidupan di tempat lahirku, Melaka , kemudian berhijrah ke Kuala Lumpur , mengikut ibu saudara dan bapa saudara, kembali ke Melaka seterusnya menamatkan pelajaran di sekolah menengah iaitu  Sijil Tinggi Pelajaran di Sekolah MenengahTengku Ampuan Rahimah, Klang.  Aku memasuki Maktab Perguruan Kuala Trengganu   Batu Rakit , Terengganu pada 1982-1984.
     Posting pertama di Sekolah Kebangsaan Sri Subang Jaya pada tahun 1985  Setelah 5 tahun mengajar,  aku berkahwin dan mengikut suami ke Pulau Pinang.  Di Pulau Pinang aku mengajar di Sekolah Kebangsaan  Bagan Jermal 18 km dari rumah sewaku. Kemudian berpindah ke Sekolah Pinang Tunggal yang jaraknya 9 km, akhirnya sekolahku  semakin dekat depan pintu rumah  iaitu Sekolah Kebangsaan Paya Keladi. Aku hanya berjalan kaki dengan sepuluh langkah memasuki pintu pagar belakang sekolahku , Pada tahun 1996, aku menerima APC buat kali pertamanya.  Di sekolah ini banyak kemelut dan kenangan pahit yang menyebabkan aku bertukar ke sesi petang seterusnya menyambung pelajaran secara PJJ walaupun hati amat teruja apabila mendapat tawaran program berkembar 2 tahun di UPSI dan 2 tahun di Universiti Malaya, ..kukuburkan hasratku kerana suamiku tidak mengizinkan, sementelah anak-anak masih masih kecil berumur 4 dan 5 tahun.
  Sementara itu, aku telah berusaha untuk membina rumah di atas tanah pusaka ayahku.  Memang aku bercita-cita untuk membina rumah di situ disebabkan beberapa hal yang tidak boleh dinyatakan di sini.  Biarlah ianya menjadi rahsia di hatiku.
    Akhirnya , pada tahun 2002 , aku berjaya bertukar ke  Melaka.  Sekolah Kebangsaan Lendu,adalah sekolah yang paling singkat  perkhidmatanku , selama 4 bulan, kemudian aku ditukarkan ke  Sekolah Kebangsaan Dato' Naning.  Di sini, bintangku bersinar.  Selama 8 tahun berkhidmat, akhirnya aku mendapat APC Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kali kedua pada tahun 2009, dan pada tahun 2010 aku memohon guru cemerlang.
  Kemudian , aku bertukar ke Sabah mengikut suami . Aku mendapat keputusan Guiru Cemerlang Bahasa Melayu DG44 (KUP) di Sekolah Kebangsaan Sahabat 4, Lahad Datu, Sabah.. Bermula dari sini , aku mendapat sambutan hangat dalam menyampaikan ceramah Teknik Menjawab Soalan Kertas 2  Penulisan Bahasa Melayu UPSR kerana di Daerah Lahad Datu tidak ada guru cemerlang Bahasa Melayu. Seronoknya dapat peluang melihat sekolah-sekolah di daerah Lahad Datu , namun khidmatku hanya 2 tahun sahaja apabila aku mengikut suamiku berpindah balik ke Semenanjung.
  Di Sekolah Kebangsaan Sungai Sireh, aku berulang-alik dengan jarak 121km dua hala .  Selama 2 tahun , aku memohon pindah ke Sabak Bernam, namun permohonanku gagal.  Akhirnya, dengan beraniku buat keputusan untuk memohon kembali ke Melaka. Anehnya, permohonan pertukaranku tidakku ketahui dan surat pertukaran tidak sampai ke sekolahku sebaliknya sampai di Sekolah Kebangsaan Masjid Tanah.  Rasa nak terkilan dan perasaaan yang amat marah  apabila tuan badan tidak tahu, sebaliknya sekolah baru yang ketahui terlebih dahulu tahu ,  maka terdapatlah salah faham antara aku dengan pentadbir sekolah baru.
  Dengan deraian air mata ku melangkah pergi dan mendaftar diri ke sekolah baru tanpa pertukaran suami. Berat sungguh dugaan ketika itu, hanya Allah sahaja yang tahu. Ketika tinggal berasingan dengan suami, banyak juga kata-kata usikan nakal dari rakan-rakan setugas. Dalam hatiku menahan marah dan terpaksa menelan semua usikan mereka..
   Syukurku panjatkan  kepada Allah s.w.t, akhirnya pada 1 Oktober 2014, suamiku dapat bertukar Ke Melaka .Dia terpaksa menangguhkan tugas selama 2 bulan dan terpaksa berulang alik di antara Selangor dan Melaka   Kini penantianku telah berakhir dengan kata lain akhirnya kami umpama sireh pulang ke gagang, semoga perjalanan hidup kami umpama nomad berhenti di sini .  Perkhidmatan kami cuma tinggal 7- 8tahun sahaja sebelum pencen.  Begitulah percaturan hidup kami yang  belum kami ketahui lagi pada masa akan datang, Semoga Allah memberikan kami kesihatan yang baik dan diberkati....aamiin.

Bahasa Melayu. UPSR 2014

Muridku seramai 14 orang,dalam kelas 6 Bestari. Mereka  terdiri daripada 3 orang perempuan dan 11 orang murid lelaki.  Aku mula mengajar mereka pada awal Januari hingga November 2014.  Meskipun mereka tinggal di bandar Masjid Tanah, namun mentaliti terhadap pentingnya pelajaran masih lemah kerana latar belakang pendidikan ibu bapa, budaya hidup  dan taraf ekonomi  mereka.
  Berdasarkan pencapaian dan kebolehan, mereka adalah dalam kategori sederhana kerana kurang membaca dan tidak konsisten dalam pembelajaran.  Terdapat 3 orang murid yang belum menguasai kemahiran membaca dan menulis.  Pada mulanya, mereka memang agak lambat menerima pelajaran kerana sikap mereka yang kurang bersungguh-sungguh atau tekun.  Ada antara mereka yang selalu ponteng, telah kuambil tindakan dengan memberi surat peringatan.  Akhirnya, ada juga kesedaran mereka untuk hadir ke sekolah.  Seperkara yang boleh dibanggakan tentang anak muridku ringan tulang dalam membantu mengemas kelas dan tidak lokek memberi sumbangan tenaga membantu guru dalam sebarang kerja. .
  Aku telah mengadakan kelas tambahan Bahasa Melayu pada setiap Sabtu dan kelas tengah hari sebanyak 2 kali sebulan. Untuk  mengajar dan mendidik mereka bukanlah mudah kerana mereka tidak boleh menumpukan perhatian terhadap pembelajaran dan ingatan jangka pendek. Hari ini belajar , esok dah lupa .Tambahan pula mereka mempunyai kebolehan yang tidak digunakan sepenuhnya, maklumlah mereka umpama kanak-kanak yang belum matang .  Mereka belum ada kesedaran tentang pentingnya pelajaran.  Jadi, banyak perkara yang perlu diperbetulkan.
  Syukurlah selama 8 bulan, dengan pendedahan teknik menjawab soalan, motivasi dan gerak gempur UPSR, akhirnya mereka berjaya juga dalam meningkatkan keputusan UPSR bagi subjek Bahasa Melayu.  Pada jangkaanku tentulah 3 orang murid yang tidak menguasai kemahiran membaca dan menulis  gagal dalam subjek Bahasa Melayu.  Berdasarkan keputusan UPSR, Kertas  Pemahaman 4 orang gagal.  Aku merasa terkilan kerana seorang murid ini sepatutnya lulus.  Disebabkan kecuaiannya, dia gagal UPSR hanya kerana subjek PEMAHAMAN sedangkan dia lulus  bagi subjek Matematik , Penulisan, Sains dan Bahasa Inggeris ..
  Bagi subjek Penulisan pula menunjukkan peningkatan dan hanya 2 orang sahaja yang gagal. Murid yang gagal Pemahaman itu dapat A Penulisan.  Setakat ini sudah dua kali , aku mengajar murid gagal Pemahaman sedangkan dalam keputusan ujian peringkat sekolah mereka tidak gagal.  Mungkin mereka terlalu  yakin dan tidak membaca soalan dengan teliti.
    Berikut adalah keputusan peperikasaan UPSR

 Gred/Subjek                     A        B       C       D       E

Pemahaman                       4        3        3        2       2
Penulisan                           8        1        3        2

Berdasar keputusan tersebut, syukurlah semoga mereka dapat melihat kekuatan dan kelemahan mereka dan seterusnya berusaha dengan lebih gigih lagi pada masa akan datang.  Tahniah kepada muridku yang telah berjaya mendapat 3A B C, walaupun di kelas yang hujung, namun  berjaya mendapat keputusan yang lebih baik.  Seramai 6 orang lulus dalam semua mata pelajaran. Kegagalan hari ini bukan bererti gagal buat selama-lamanya.  Mereka  perlu berusaha dengan lebih tekun.  Kurang kejayaan kerana kurang usaha dan sepatutnya mereka berusaha secara konsisten, tidak mengharapkan sepenuhnya kelas tambahan di sekolah.  Semoga muridku berjaya pada masa akan datang.....Doa seorang guru akan sentiasa berharap agar semua muridnya akan berjaya di dunia dan akhirat....ingatlah Bahasa Melayu yang dipertuturkan tuidak sama dengan Penulisan sebab itu kita mesti sentiasa membaca kerana membaca kunci ilmu.

Wednesday, October 22, 2014

KUIH TAKO ( PUDING TEPUNG KACANG HJAU)

Kuih Tako  (Puding kacang hijau)

BAHAN A
1/2 Cawan tepung kacang hijau
1 cawan gula pasir ...kurang manis 3/4 cawan
6 cawan santan drp 1 biji kelapa
1 sudu kecil bikarbonat soda
1/2 sudu kecil garam halus


Bahan B
1 cawan tepung kacang hijau
2 cawan gula pasir... kurangkan 1  3/4 cawan
8 cawan air daun pandan  (6-8 helai daun pandan diblend)
1 sudu kecil bikarbonat soda
1/2 sudu kecil garam halus

* untuk kurangkan gula atau  kurangkan manis
   atau gunakan gula kastor

Cara membuatnya

1.   Campurkan bahan A dan B ke dalam periuk yang berasingan

2.   Masakkan bahan  dalam kedua-dua periuk di atas api  , kacau sehingga 
      mendidih dengan kedua-dua belah tangan , tangan kiri periuk A dan         
      tangan       kanan periuk B, perlahankan api.

3.   Angkat apabila mendidih, sediakan loyang , sendukkan berselang seli A     
       dan B sehingga habis.

4.    Biarkan beku, masukkan ke dalam peti ais. Sedap dimakan setelah 
       semalam.
Tepung kacang hijau harganya RM7.50

   selang-selikan bahan A berwarna putih kerana bersantan, bahan B hijau kerana daun pandan

Untuk kurangkan manis gunakan gula castor

Selamat mencuba....tepung kacang hijau berwarna putih....hanya terdapat di Pulau Pinang...kedai bahan-bahan buat kuih di pekan Kepala Batas, Seberang Perai ,Pulau Pinang.      

Tuesday, October 14, 2014

Terowong Sejarah Pasir Salak

Pada cuti pertengahan kedua penggal kedua, sempat aku mengunjungi Terowong Pasir Salak sebelum melangkah lebih jauh menuju ke Kellies Castle di Batu Gajah.  Kami tiba di Terowong ini pada pukul 11.00 pagi.
  Tiket masuk ke terowong ini RM5.00 dewasa dan kanak-kanak berumur 9-12 tahun RM2.00 seorang.  Kami terus berjalan di sekeliling kawasan Sejarah Pasir Salak dan menuju bangunan Terowong Pasir Salak.  Di dalam bangunan ini ada dua bentuk yang dipamerkan iaitu diorama sejarah Perak dan Peristiwa Pasir Salak dan berbagai-bagai jenis keris di bahagian bawah.  Semasa melintas tentang Sejarah Melayu - dipamerkan diorama perwatakan orang-orang Melayu menentang Portugis, Perjanjian Inggeris -Belanda atau Perjanjian Pangkor, penentangan Tok Janggut terhadap Inggeris, Penolakan orang Melayu terhadap Malayan Union dan sebagainya.
  Memang rasa tak berbaloi dengan dapat melihat diorama dan pameran keris sahaja. Kami melihat pentas beronteh, menara tinjau dan Rumah Kutai 1 dan Rumah Kutai 2.  Malangnya Rumah Kutai 1 dan Rumah Kutai 2 tidak dipelihara, dah nak runtuh.  Nampak sangatlah tidak dipelihara dan dipulihara.  Memang tak berbaloi kot nak baiki rumah tersebut , yang kita ketahui dibina daripada kayu.tetapi apa salahnya dipulihara dan dirakamkan setakat mana perubahan telah dibuat.  Ambil gambar asal dan gambar yang telah dibaiki.
  Janganlah kita megahkan dan hendak memberitahu generasi muda tentang sejarah sedangkan sejarah rumah kayu dibiarkan begitu sahaja.