Friday, April 13, 2018

SKBR - 1 Mac dalam Sejarah

Setelah bertukar ke SKPR tak sampai 2 bulan , aku akhirnya dapat surat kenaikan pangkat ke SK Bukit Rambai.  Pertama , kalinya tak terlintas hendak menjadi barisan pentadbir, namun ku gagahi jua.
  Pada mulanya , aku sekan-akan rasa nak pencen awal apabila menjejak kaki ke SK Paya Rumput, kulihat bangunannya yang banyak, muridnya yang ramai dan guru-gurunya bertindak pantas seperti lipas kudung, macam tak cukup kaki dan tanganku untuk mencapai atau mengejar setiap tindakan atau program. Tambahan pula murid-muridnya yang ramai sekelas 40-44 orang. Bangunannya jauh-jauh  dan tinggi, mencungap aku menaiki tangga.
  Syukurlah,  dah sebulan lebih, aku mengajar dan menjalankan tanggungjawab aku sebagai Guru kanan Hal Ehwal Murid. Perlahan-lahan, aku belajar dengan pertolongan Guru Kanan Pentadbiran 1, Pn Siti Rafiah bt Mokhdar, satu-satunya guru yang dekat atau mesra denganku.
   Sekiranya beliau tidak ada di sekolah, terasa sepi. Tapi aku tak kisah , aku dah biasa hidup keseorangan di sekolah baharu , yang ke -12 aku berkhidmat , masuk tahun ke-34 perkhidmatanku. Kita sebenarnya mesti pandai menyesuaikan diri dengan suasana atau tempat kerja baharu.  Semoga perkhidmatanku tamat di sini atau ada juga keinginanku bertugas di SK Tangga Batu, di mana sekolah itu adalah batu asas, aku mendapat pendidikan dari tahun 1 hingga tahun 4, di situ juga, aku masih ingat lagi guru-guruku Arwah Cikgu Hashim, seorang yang kurus dan tinggi pernah merotan aku semasa aku darjah satu disebabkan menyalin nombor dua terbalik dan arwah cikgu Ramlah pernah beri aku duit 20 sen apabila aku berjaya membaca sifir dengan lancar....Al Fatihah buat arwah guru-guruku...
....bersambung pengalaman di SKBR. bermula 1 Mac 2018

Friday, April 6, 2018

Terbuang jauh

Bagaimana kalau kita jumpa kawan lama? Kawan sekolah : sekolah rendah, menengah rendah, menengah , maktab, universiti atau kawan-kawan sejawatan. Tentu kita gembira dan  teruja sangat. Wah, lama betul kita tak jumpa , dah bertahun , bagaimana berpisah tahun 1980, berjumpa tahun 2018, berapa tahun tu?  Tentu berpelukan, bersyukur dipertemukan semula,
   Berbeza dengan situasi tersebut. Kawan, sungguh tak kusangka. Hubungan yang terjalin sejak tahun 1975 , aku masih ingat lagi kita dipertemukan semasa di tingkatan 1J di Sekolah Menengah Tanjung Keling, Guru tingkatan kita Cikgu Hassan, kalau tak silap. Kenangan kita terpahat dengan sekeping gambar di sebuah wakaf di sekolah itu. Masa itu kita masih lagi berpakaian pakaian seragam sekolah, aku masih ingat, kita bergambar antaranya, kau, Raha bt Ahmad, Saniah binti Sulung dan aku, malahan gambar itu masih kusimpan dengan baik walau pun dah berusia 40 tahun.
   Aku masih ingat kamu beria-ria benar ingin mengunjungi rumahku. Aku ketika itu berat hati untuk memenuhi permintaanmu. Namun aku dengan berat hati bersetuju. Rumahku tak seperti rumahmu.  Ketika itu, aku anak yatim sejak dilahirkan .  Ayahku meninggal dunia ketika aku tiga bulan dalam kandungan. Ibuku janda muda sejak 27 tahun ketika melahirkan aku.  Dalam hidup serba kekurangan, aku harungi hidup ini. Aku akhirnya bersetuju kamu datang ke rumahku. Kamu berbasikal. Sebelum kedatanganmu, aku terpaksa menyapu halaman rumah , menyapu bawah rumah sebab aku membela kambing di bawah rumah.  Rumahku bertiang dan di bawah rumah kami pelihara kambing untuk menambah pendapatan. Memang setiap petang kami, aku adik beradik akan mengambil daun sena atau daun jati untuk memberi makan kepada kambing-kambing. Bukanlah banyak sangat , adalah dua tiga ekor.
    Berbalik kepada cerita kita, aku pernah menghubungimu melalui muka buku, namun tidak ada respon daripadamu. Mungkin jodohku bertemu denganmu agak panjang. Kita bertemu dengan hubungan kamu,  ketua dan aku penolong sepertimana kamu ketua darjah dan aku penolong tingkatan 1J pada tahun 1975 Aku ingat tentulah aku gembira dapat berjumpa kawan lama namun aku kecewa. Ketahuilah aku tak pernah membuangmu walaupun kamu membuang aku jauh-jauh dari sudut hatimu.  Biarlah asal kamu bahagia....tapi kecewanya aku apabila aku dapat tahu kamu tidak mengenaliku melalui rakan-rakan setugas .  Rupa-rupanya aku terbuang jauh dari sudut hatimu, kawan dan mungkin kamu sedang memadam kenangan lama tingkatan 1 hingga 3, di Sekolah Menengah Tanjung Keling, dan Sekolah Munshi Abdullah tingkatan 4 hingga tingkatan enam rendah tahun 1980.
   Jika kamu terbaca coretan ini maafkan aku, aku tidak mahu berterus terang kerana aku tahu sikapmu...maafkanlah aku.

Thursday, February 15, 2018

Sepanduk dan perhiasan untuk perbarisan Cenderawasih Merah 2018

Tahun 2018 merupakan sejarah bagiku. Aku ditukarkan atas keperluan perkhidmatan. Dengan berat hati aku melangkah pergi.  Setelah berada 6 minggu, sibuk dengan sukan , ujian tara, merentas desa dan kejohanan sukan, semuanya ku lalui bagaikan mimpi.
   Dalam menjayakan rumah sukanku , "Cenderawasih" rumah merah, aku telah memberikan sumbangan idea menggunakan bekas telur sebagai topi kerana bertemakan "Sayangi Alam Sekitar" perbarisan menggunakan bahan terbuang atau bahan kitar semula. Jadi kami berbincang dengan ahli pasukan . Kutipan dibuat sebanyak RM 15 bagi   setiap ahli.  Kami ada 18 orang tetapi seorang ahli cuti bersalin. Jumlah dana yang terkumpul ialah RM 255 . Dengan wang tersebut, kami membeli plastik beg, spray warna merah dan hitam, rambu-ramba, dan bunga. Untuk makanan dibelikan karipap, pisang 100 plus dan bihun.  Aku pula sediakan 2 kilo air gula dan sunquick.  Bekas air dan 10L air tapisan dari rumah untuk minuman murid-murid rumah merah.
    Aku sukarela membuat huruf CENDERAWASIH pada papan tanda dan keris yang telah digunakan pada tahun lepas. Kebetulan aku ada pemotong polistrin tangan dan polistrin putih, lebihan daripada tahun lepas. Ada baiknya kita menyimpan bahan-bahan lebihan. Begitu juga gam polistrin masih ada sedkit berbaki dari tahun 2014.
  Sebenarnya untuk membuat papan tanda tersebut bukanlah mudah. Aku bernasib baik kerana suami dan anak perempuanku yang bongsu membantuku. Ambil masa 3 jam juga hendak menyiapkan. Pertama mesti ukur dahulu panjang papan tanda dan keris. Kemudian taip huruf Cenderawasih dan cetak.  Selepas cetak, gunting dan tampal pada kertas tebal supaya senang hendak memotong pada polistrin. Kemudian barulah potong dengan pemotong lalu susunkan huruf-huruf tersebut dan gamkan dengan gam polistrin.
    Untuk lebih cantik aku terpaksan mencari rambu ramba di kedai bunga Masjid Tanah. Ku hiaskan dengan rambu- ramba dan bunga .  Sebelum itu aku menyuruh si bongsu mengukur ukur lilit setiap papan itu. Kemudian aku menjahit 4 helai bendera rumah merah. Nasib baik mesin jahit masih berfungsi.
    Syukur Alhamdulillan rumah merah jadi Johan dalam pertandingan tersebut.








                                         
                                                               sibuk menyiapkan peserta

perbarisan di padang sekolah semasa sukan 13/2/18
 meraikan kemenangan rumah Cenderawasih- Johan Perbarisan, Johan Merentas Desa dan tempat ke-3 dalam kejohanan sukan kali ke-44  tahun  2018. 

   

Wednesday, February 14, 2018

Gotong royong perdana 19 Ogos 2017 di SKSP

Pada 19 Ogos 2017, SKSP telah mengadakan Gotong -royong Perdana yang melibatkan beberapa pihak seperti ahki bomba , JKR , Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan ibu bapa.  Sepatutnya semua warga sekolah turun untuk menceriakan kawasan sekolah atau lebih dikenali sebagai " sekolah dalam taman' atau 'penghijauan'.
   Antara aktiviti-aktivti yang dijalankan ialah perjumpaan semua warga sekolah, pihak bomba dan ibu bapa.  MPAG hanya menyumbangkan pokok-pokok bunga dan pihak JKR tidak dapat memberikan komitmen.
   Pada awalnya semua guru dan ibu bapa mendaftar. Kemudian kami diberi penerangan dan pembahagian kerja. Antaranya pembahagian kawasan kolam dan laluan kiri kanan jalan, menyusun batu bata di kawasan taman- khas pekerja dan kaum bapa, mengecat paga dan pintu masuk sekolah, kawasan prasekolah, kantin dan mengecat bangku kantin, kawasan di bawah garaj terdapat tapak SKSP yang dipecahkan dan ditanam dengan pokok bunga.  Pokok pisang yang ada ditebang bagi menceriakan kawasan tersebut.
  Pengagihan kerja telah dirancang lebih awal dan dimesyuaratkan. Kerja-kerja dijalankan mengikut prosedur. Semua guru dan murid-murid yang telah dipilih terutama yang mengikuti perkhemahan kerana kami menjalankan program ini serentak.
   Acara yang menarik  ialah pihak bomba telah datang dan membantu menggunakan paip bomba untuk mencuci longkang-longkang. Pihak sekolah telah membeli water jet untuk menembak kawasan yang degil di longkang-longkang atau di batu bata.
   Pada pukul 10.00 pagi kami mula berehat dan setiap orang diberi makan nasi dan minuman.
Kami bernasib baik kerana cuaca pada hari itu baik dan sesuai untuk bekerja.  Syukur Alhamdulillan selesai satu episod dalam program sekolah.
  Cantik dan ceria  dah landskap SK Sungao Petai, sekurang-kurangnya panorama sekolah dalam hutan menjadi sekolah dalam taman....Alhamdulillah.


Tuesday, January 23, 2018

Sejarah yang tercipta...2018

Tahun 2018 mencatat sejarah. Sepanjang 33 tahun, kuingat ingin pencen di SK Sungai Petai. Dalam hati dah berazam inilah sekolah terakhirku.  Namun lain pula jadinya. Aku ditukarkan atas sebab keperluan perkhidmatan ke Sekolah Kebangsaan Paya Rumput, SKK Sekolah Kluster Kecemerlangan.
   Berat hati aku meninggalkan sekolah yang baru setahun jagung aku berkhidmat.  Aku mula menanamkan hasrat dan keinginan bersara di sekolah ini. Tiada perancangan, walaupun berat hati ku meninggalkan sekolah ini, namun aku pasti akur akan arahan, hendakku merayu serba salah. Aku juga terpaksa menerima suratan takdir.
   Aku tangguh kerja , berbaki seminggu aku masih mengajar di samping sibuk menguruskan penyerahan kutipan wang bayaran persekolahan, mengajar dan mengambil semua harta bendaku yang dibeli ketika ini masih berada di kelas 4 Arif . Dalam menyelesaikan tugas , mengemas meja di bilik guru selama 3 jam, petang Jumaat itu kuselesaikan tugasku.
   Pertama dalam sejarah, kupujuk hati menerima takdir ini. Dalam surat pertukaranku opsyenku pun dah berubah, opsyen Sejarah berpandukan Kelulusan ISM PJJku.Pada hari Jumaat itu, sejarah juga dalam perkhidmatanku kerana pada saat majlis perpisahan , aku ke hospital Alor Gajah untuk rawatan mata, aku tak sangka dengan rawatan tersebut aku diberi Cuti Sakit , apabila ubat dititikkan ke dalam mata, mata akan kabur selama 4 jam. Doktor menyuruh akan menelefon suamiku kerana aku tidak boleh memandu.  Sedihnya aku, tidak dapat meraikan majlis perpisahan tersebut. Namun aku dah berikan tulang kambing aqiqah untuk dibuat sup. Aku tak ambil pusing dah.
   Sedihnya bukan kepalang, aku masih beruntung , Nadirah , bekas anak murid SKDN yang menjadi guru di SKSP telah menghantar makanan, sup kambing dan hadiah daripada guru-guru , PIBG dan murid SK Sungai Petai. Maafkanlah daku ....terpaksa memungkiri janjiku untuk pencen di sekolah ini dan teringat aku, Zainal bin Sahat pernah berucap semasa di SK Masjid Tanah, mungkin pencenku di SK Sungai Petai. Rupa-rupanya episod sejarah bermula lagi......aku tidak tahu ke mana aliran ini akan berhenti sepanjang perkhidmatanku.

 

Monday, January 15, 2018

Hari anugerah Kualiti SKSP 2017

Hari Anugerah Kualiti 2017 yang diadakan pada 22/11/2017 bertempat di dewan sekolah Kebangsaan Sungai Petai, buat pertama kalinya , Encik Abdul Latef bin Ahmad, guru besar, telah mengadakan hari anugerah buat  guru.
   Hari anugerah murid-murid biasalah terdiri daripada kategori mata pelajaran , kedudukan pertama, kedua dan ketiga di dalam setiap kelas,  Anugerah murid atau atlet dengan nama lain olahragawan dan olahragawati, sahsiah terpuji, tokoh kokurikulum manakalah tokoh akademik tidak ada calon yang sesuai atau yang mencapai KPI atau target murid cemerlang 6 A .
  Anugerah buat guru pula diberikan untuk  anugerah guru cemerlang, inovatif, kreatif dan kehadiran 100 %.bagi tahun 2017. Aku  berjaya merangkul anugerah tempat pertama  keceriaan kelas bagi tahap 2, Hadiah tersebut ditaja atau disponsor oleh guru besar dengan nilai RM250  manakala temapat kedua dan ketiga berupa hamper.
   Syukurlah tahun ini dapat anugerah  guru inovatif. Hadiah berupa sijil dan plak , sedikit sumbangan untuk guru yang membantu mengajar kelas tambahan tahun 6. Selain itu, aku juga mendapat Johan  keceriaan kelas patriotisme dan tempat kedua atau naib johan bagi pertandingan keceriaan kemerdekaan. Kita perlu berkorban masa, tenaga dan kewangan untuk memenangi sesuatu pertandingan.  Walaupun tidak berbaloi dengan wang RM250 itu tetapi sekurang-kurangnya pihak pentadbir prihatin terhadap sumbangan guru dalam meningkatkan prestasi murid dan demi meningkatkan prestasi pengajaran dan pembelajaran murid.






                                                              Sijil, boucer dan plak

Monday, September 18, 2017

Paku vs Kampung Paku.

Pada 9 Ogos 2017, aku dah mula selesema dan batuk. Selepas pukul 10.15 pagi, aku mula tak tahan dengan selesema yang berterusan dan lenguh-lenguh sendiku lalu aku meminta kebenaran balik awal.
Guru besar siap pesan, balik dapatkan rawatan. Semasa sampai ke pintu pagar sekolah, pekerja swasta menahan keretaku.
  Dia menunjukkan sebatang paku melekat pada tayar sebelah kiri keretaku. Alamak leceh betullah! Dulu pun kena juga, nasib baik suamiku nampak tayar kereta dah kurang angin.  Rupa-rupanya ada paku. Maka aku pun pergilah ke kedai tayar untuk menampalnya. Panjang juga paku tersebut dan aku membawanya balik sebagai bukti.
  Kini kena lagi..aku terus ke kedai tayar. Sekejap saja , pekerja Cina tu kata tak tembus, pendek sahaja pakunya seperti paku tekan.  Syukurlah, Alhamdulillah, tidak dikenakan bayaran. Kejadian ini mengingatkan aku tentang Kampung Paku, mentang-mentanglah aku selalu berulang-alik melalui Kampung Paku, selalu pula lekat paku di tayar keretaku. ini kali kedua dari bulan Januari hingga Ogos 2017, semoga insiden ini tidak berulang.