Tuesday, June 5, 2012

Tinggal Kenangan bersama Arwah di SK Cenderawasih , Sabah

  Semenjak bertukar ke Sabah, Aku mendapat banyak undangan sebagai penceramah  bagi  teknik menjawab soalan  Bahasa Melayu bagi kertas 2 UPSR, tetapi malangnya, aku tidak ada kenderaan .   Kali pertama, undangan dari Sekolah Kebangsaan Cenderawasih.  Tahun kedua juga sekolah ini, mengundangku lagi.
 Menurut GPK 1, Encik Saharun dan rakan-rakan yang lain banyak sekolah di bandar Lahad Datu ingin mengundangku sebagai penceramah tetapi ketika itu aku tidak ada kereta untuk ke destinasi tersebut, Maka pelawaan itu terpaksa aku lenyapkan.  Tambahan pula aku masih baru, mungkin lenggok bahasaku amat berlainan dan untuk ke bandar adalah terlalu jauh lebih kurang 120 km dari sekolahku.
  Banyak kenangan yang meninggalkan sejarah bagiku di sekolah ini.  Pertama, kali ke Sabah, aku berjumpa dengan beliau kerana kawannya di SKDN mengirim barang, aku terus ke rumahnya.  Kali kedua dan ketiga, perjumpaanku dengannya melalui penyampaian cendera mata ketika mengadakan ceramah UPSR ini.
  Kini semuanya tinggal kenangan kerana beliau arwah Hjh Nor Arbayah bt Summang telah menemui-Nya, Allah s.w.t. Beliau telah menghidap kanser payu dara, enggan mendapatkan rawatan daripada doktor.  Beliau hanya mendapatkan rawatan secara tradisional tetapi menashatkan agar kita mendapatkan rawatan daripada doktor perubatan moden.  Semoga arwah  ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.




2 helai tuala bersulamkan SK Cenderawasih masih dalam simpananku.

Wednesday, May 30, 2012

Cuti-cuTI- Jom bersih

Sejak berpindah ke SK Sungai Sireh dan tinggal di Sabak Bernam 5 Mac 2012, aku tidak kesempatan tinggal lama di rumah.  Cuti pertengahan penggal pertama , dah balik ke rumah tetapi lama dah tinggalkan rumah ini.
  Kini penghuninya sang tikus, sang semut dan sang habuk.  Maka pada hari ini, 31/05/2012 maka kami sekeluarga sibuk mengemaskinikan rumah.  Terpaksa basuh semula semua pinggan mangkuk, memvakum, mengemop lantai, membuang semua barang makanan yang expired dan terpaksa membeli barang makanan baru.
  Banyak kerja-kerja yang perlu dibuat.  Dapur gas pula dah tidak selamat digunakan.  Kepala gas dengan kepala di tong gas mengeluarkan bau gas manakala dapur gas pula seakan-akan mengeluarkan bunyi, takut sang tikus menggigit saluran gas itu.  Takut jadi kes pula nanti, jadi makanlah makanan kering yang dibeli seperti roti.  Nampaknya terpaksa membeli yang baharu pula.





  Lihatlah sang semut dah bersarang di dalam kabinet pinggan mangkukku dan sang tikus bersarang di dalam laci .  Nasib malang menimpakau sang semut dan sang tikus.  Siapa suruh kamu duduk di rumahku.
   Di sekeliling rumah pula rumput dah panjang.  Pokok-pokok yang menjalar dah hendak masuk ke dalam rumah.  Tengoklah sang rumput dan sang pokok menjalar dan memanjat pagar rumahku.  Ini belum lagi tengok di sekeliling rumah.  Alamat seminggu ini, kami  terpaksa  bekerja keras untuk memulihkan keadaan seperti sediakala.  Mungkin aku perlu berkorban kot, apa pun aku belum dapat membuat tindakan drastik.  Setiap keputusan dalam perjalanan hidup  dan setiap langkah perlu difikirkan akan risikonya atau natijahnya antara rumah, tugas dan tanggungjawab.

Saturday, May 26, 2012

Terlebih Bayar Gaji dan elaun -elaun seberang laut

Pertukaran dari Sabah ke Selangor banyak memalit kenangan suka dan duka.  Pertukaran diluluskan namun aku terpaksa memandu lebih kurang 121km pergi dan balik ke sekolah.  Perjalanan dan pemanduan yang jarak jauh ini memenatkan aku ditambah dengan usia yang semakin meningkat.
   Pertama, kesilapan membayar gaji terlebih selama 19 bulan 8 hari membabitkan jumlah sebanyak RM5737.50 amat membebankanku. Kedua, kesilapanku sendiri menunda tarikh tukar tanpa memberitahu pihak yang mengarahkan pertukaran menyebabkan aku terpaksa membayar semula 2 bulan elaun-elaun seberang laut sebanyak RM3471.32. Jika dijumlahkan , aku terpaksa membayar semula sebanyak RM9208.82.
  Tercatat sejarahku di sepanjang hampir 28 tahun  mengajar , inilah pengalaman pahit yang membabitkan pemotongan gaji sebulan sebanyak RM4500.00 sebulan sehingga gajiku menjadi sifar.  Terasa terhenyak dek kekalutan masalah, pergelutan emosi, penyesuaian iklim tempat kerja di samping tersentap terasa terhina membalut jiwa seperti sifarnya gajiku, perasaanku terhadap tugasku.  Namun aku harus bangkit memulihkan semangat yang semakin luntur.  Syukurlah aku masih mampu menjadi manusia yang kebal dengan cemuhan dan cabaran.
  Bulan kedua, potongan sebanyak RM1660, ini bermakna masih ada lagi keberhutangan sebanyak RM2048.82.  Aku kini akur bahawa apa pun yang kita adukan kepada kpkpm, mereka tetap memihak kepada AG, walaupun anggapan kita AG bertindak tanpa diplomasi atau perasaan.  Bayangkan lebihan gaji boleh diansurkan selama 6 bulan atau dalam tahun semasa.
  Terima kasih AG walaupun tidak meminta maaf, aku pasrah.  Mungkin itulah cabaran yang paling bermakna dalam hidupku yang mencalitkan calar luka terkesan di benakku sepanjang masa yang sukar dirungkaikan dengan kata-kata.  Kepada PT buatlah kerja dengan teliti serta AG yang meluluskan gaji (TAWAU).
   Pengisahan ini bukan meminta simpati atau luahan hati tetapi buat teladan kepada guru yang berpindah dari Sabah dan Sarawak terutama yang menerima elaun-elaun hidup susah, intensif wilayah dan elaun perumahan.

Friday, May 25, 2012

Sambutan Hari Guru SKSS 2012

 Sambutan Hari Guru SKSS telah diadakan pada Khamis, 24 Mei, 2012 .  Sambutan kali ini agak padat ataui kesuntukan masa.  Bermula pukul 8.00 pagi. perhimpunan di tapak perhimpunan tiba-tiba hujan panas, maka beralihlah kami masuk ke dewan.
   Aku pula diwakilkan membaca perutusan dari Pengarah Pelajaran kerana men  gikut senioriti.  Agak berlainan sedikitlah . Selepas membaca perutusan , ucapan guru besar, ucapan murid, kami pun berikrar dan menyanyi beramai-ramai seperti kebiasaan.  kemudian kami merakam kenangan bergambar bersama-sama.

.

Acara seterusnya permainan sukaneka bagi guru perempuan dan permainan bola sepak bagi guru lelaki.  Acara sukaneka bagi guru perempuan ialah boling kelapa, bola beracun dan menyambut belon berisi air  dengan kain tudung. 
  Lihatlah aksi guru-guru, aku tak kesempatan mengambil gambar kerana semua ini adalah atas pertolongan muridku.








 Pada pukul 11.30 pagi , jamuan diadakan di Bilik Sains. Menu: nasi hujan panas, ayam masak merah, daging masak kicap, tembikai, kuih tepung bungkus, air oren dan terdapat tiga jenis kek yang disumbangkan kepada guru-guru.
   Pukul 12.00 tengah hari mulalah persembahan murid, guru -guru dan persembahan lain tidak mencukupi masa, maka acara seterusnya cabutan nombor bertuah atas sumbangan Cikgu Rokiah bt Awang, sesi pertukaran hadiah dan penyampian hadiah sukaneka.  Acara tamat pada pukul 12.50 tengah hari.  Semoga sambutan ini akan meningkatkan semangat dan menceriakan azam semua guru untuk terus mendidik anak-anak agar jadi insan yang cemerlang di dunia dan akhirat. 

Selaut budi jadi kenangan (Kota Kinabalu)

  Akibat penangguhan SBPA (Skim Baru Perkhidmatan Awam) yang ditangguhkan pada 13 Januari, 2012 dan gara-gara jawatan Guru Cemerlang akan dimahsuhkan, keputusan pertukaranku juga ditangguhkan.  Dengan berat hati aku terpaksa kembali bertugas di Sabah.
  Aku bernasib baik kerana semua rakan seperjuangan memahami akan situasiku.  Akhirnya aku membeli tiket pada 24 Januari 2012 tiket AirAsia ke Kota Kinabalu.  Sebelum itu aku telah menelefon rakan-rakan yang bertugas di sekolah yang sama agar aku dapat menumpang mereka balik ke Felda Sahabat.
  Pada mulanya, aku menelefon Ustazah Arbayah bt Suwandi agar dapat menumpangkan aku kerana rumah beliau dekat dengan Lapangan Terbang Tawau.  Malangnya beliau ada urusan sendiri tambahan pula tiket ke Tawau pada masa itu terlalu mahal.
  Beralih pula kepada Cikgu Halim atau Cikgu Aiman mungkin mereka boleh membantu.  Aku terus menelefon Halim dan kebetulan dia di KK . Jadi dengan kepercayaan penuh padanya, aku pun berkesempatan menaiki kereta menuju ke Felda Sahabat walaupun di dalam hatiku Allah sahaja yang mengetahui.
  Alangkah terkejutnya bukan Halim sahaja bersama-samaku , Cikgu Ayu, Ustaz Ibrahim dan Cikgu Aiman.  Terima kasih atas bantuan kalian dapatlah aku meneruskan tugasku kalau tidak  mati kutulah aku .
  Sepanjang perjalanan, kami singgah di kaki Gunung Kinabalu sekadar mengambil angin.  Aku sebenarnya telah dua kali melalui tempat ini tetapi tidak berkesempatan untuk mendaki Gunung Kinabalu , apa boleh buat hajat hati tinggi menggunung.  Walau bagaimanapun aku bersyukur dan berbanyak terhutang budi kepada mereka kerana menerimaku dengan sarat  muatan beg-begku melebihi mereka.  Terima kasih Ayu kerana menumpangkan keretamu dan terima kasih Aiman. Halim atas pemanduan kereta dan ustaz Ibrahim atas nama rakan setugas.






  Inilah kenangan yang akan kekal dalam ingatan bak kata orang selaut budi dihargai dan dibawa mati kerana tak terbalas di sepanjang hayat.

Monday, May 14, 2012

Hi-tea -pertunjukan fesyen Busana Muslimah

  Aku bertolak dari rumah pukul 12.20 tengah hari.  Seperti biasa kalau ada apa-apa majlis yang jauh dan perajalanannya memakan masa hingga ke petang, aku selalu mengajak suamiku.  Pada mulanya dia enggan tetapi akhirnya bersetuju.
   Dalam perjalanan pula , anak keduaku menelefon agar mengambilnya di UiTM.  Kebetulan masa begini amat menjimatkan.  Nasib baik kami naik Unser, kalau naik keretaku alamat tak muat barang-barang yang selori itu.
  Sebenarnya aku pun tak tahu di mana Stadium Tertutup Kuala Selangor.  Kuberitahu sahaja melalui verbal tetapi suamiku mencarinya dengan menggunakan GPS.  Maka sampailah aku pukul 2.00 petang.  Ingatkan tetamu semua dah ramai, rupa-rupanya baru sedikit.
  Kuberada  di majlis ini hanyalah sehingga pukul 4.50 petang kerana sebaik sahaja suamiku menghantar sms, aku pun meninggalkan majlis ini.  Adapun majlis ini sebenarnya majlis amal untuk membina rumah Persatuan Tunas Puteri Selangor.





Saturday, May 12, 2012

Jubah dan Pertunjukan Busana Muslim

                                        Tudung warna hijau - tiga lapis
tudung warna kuning merah 

 Bulan ini kubeli tudung dan jubah.   Tudung kubeli  di Galeri Hajara .  Ramainya orang beli-belah di Jakel dan pusat beli-belah di Seksyen 7 , Shah Alam ini.
Mungkin mereka dapat kenaikan gaji 13 % tetapi aku pula gaji dipotong hingga 0.00.
   Namun begitu, naluri perempuan tetap ingin membeli pakaian yang baru.  Aku tidak ketinggalan membeli  5helai tudung di Galeri Hajara ini, itupun ada diskaun, kalau tidak setakat meninjau-ninjau sahajalah.
    Untuk membeli jubah pula mencari harga yang paling murah dan sesuai.  Kainnya mestilah tidak panas dan selesa dipakai. Puasku berjalan dari satu kedai ke satu kedai di bangunan PKNS ini.  Dari tingkat 1 hinggalah tingkat 3.  Akhirnya jumpa juga 3 helai jubah penghabisan stok, kira murahlah.  Memang pun nak cari yang paling jimat kerana bulan ini banyaknya belanja walhal duit ada sedikit sahaja, jadi kad kreditlah jadi mangsanya.  Tak apalah nanti dapat duit gaji bayarlah segala hutang.



  Jubah yang dibeli labuh pula terpaksa dipotong supaya selesa dipakai.  Kiranya hari ini aku menjahit jubahlah untuk dipakai pada masa Hi-Tea di Stadium Tertutup Kuala Selangor pada 13 Mei, jam 2.00 - 3.00 petang.  Pertunjukan Busana Muslim ini dikenakan RM30 seorang . Nombor kad aku ialah 7 .  Aku sebagai guru baru di SK Sungai Sireh ini terpaksalah menyesuaikan diri walaupun stadium ini merupakan destinasi baru bagiku .