Monday, November 26, 2012

Anak-anak Felda, UPSR?

Aku baru saja diamanahkan untuk mengajar Tahun 6.  Murid-muridku dua kelas berjumlah 71 orang yang akan menduduki UPSR pada 13-15 September 2011 nanti. Bukan senang untuk mengajar mereka sementelah aku baru sahaja berpindah ke Sabah ini.  Aku mula berpindah ke sekolah ini pada 19 April tahun lepas.
      Semasa di sekolah lama aku telah berjaya mendidik murid PROTIM yang ku ikuti perkembangan mereka dari Tahun 4 hingga ke Tahun 6. Aku berjaya meningkatkan prestasi  keputusan UPSR Kertas 1 Pemahaman Bahasa Melayu 99% manakala kertas 2 Penulisan juga turut meningkat.  Aku terkilan juga kerana tugasku separuh jalan setelah berpindah ke Sabah. Kini tugas yang kupikul  amat berat memandangkan semua murid di sekolah ini mempunyai prestasi yang rendah ditambah dengan perangai mereka yang kurang memuaskan hatiku.
     Berdasarkan keputusan Peperiksan Akhir Tahun 5 mereka amat mendukacitakan aku. Tak seorangpun antara mereka yang berjaya mendapat A dalam kedua-dua kertas Pemahaman dan Penulisan.  Tambah mengejutkan aku lagi, kelas pertama pun ada yang gagal Kertas 1, manakala kelas kedua, markah Penulisannya bunga ros sahaja lebih kecut perut lagi markahnya sekitar 10-2 3markah. Hai ,anak-anak ke manakah arah tujuan nak kubawa kamu ni? Terlalu lemah, nak dibimbing bukan mudah, kerana sudah jauh ketinggalan.  Masih ada yang baru mengenal huruf, belum membaca lagi.  Aduhai, bukan miskin tegar lagi, daifnya.
   Bergalaskah pengalaman selama 26 tahun ni mampukan aku mengubah kamu? Terasa beratnya bahu memikul tanggungjawab ini. Di manakah sayangnya bahasa ibunda kamu? Bahasa Melayu sendiri tidak kamu kuasai apalagi bahasa asing Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.  Kekadang terfikir bagaimana kamu ke sekolah, tidak ada misi atau visi.  Apa tujuan kamu sekolah atau sekadar berjumpa kekawan atau menghabiskan wang ibu bapa kamu?.  Sedarlah anak bangsaku, bangunlah untuk menimba ilmu menjadi orang yang tinggi mertabatnya. Ubahlah sikap kamu dari yang negatif kepada positif.  Hormatilah guru, bacalah buku, buatlah kerja rumah dan ulang kaji pelajaran.
   Kuasailah kemahiran 4M, membaca, menulis, mengira, dan menaakul supaya ilmu tersebut bukan untuk menjadi pelajar cemerlang UPSR sahaja tetapi untuk bekalan hidup kamu di dunia dan akhirat kerana semua ilmu berpunca dari membaca.

HIJRAH LAGI- 2011

Aku baru sahaja mengajar di  Sekolah Kebangsaan Sahabat 4 pada 16 April 2010.  Arahan pertukaran suamiku begitu mengejut walaupun aku sebenarnya telah pun menduga.  Khabar-khabar angin begitu mendesak.
  Apa tidaknya sebenarnya dia bertukar ke Sabah pada 1 Oktober 2009 .  Oleh kerana surat pertukaran itu terpendam di JPN Melaka, maka dia pun meminta tangguh sehingga bulan Februari 2010.  Beliau mendaftar pada 16 Februari kalaun tidak silapku.  Aku pula memohon bertukar pada bulan Februari dan jawapan paling cepat kun ketahui pada 16 Mac 2010. Alangkah cepatnya pada masa itu aku masih lagi mengajar di Sek. Keb. Dato'  Naning.
  Pertukaran itu cukup menakutkan aku sementelah ramai kekawan yang memberitahuku akan keadaan murid-murid dan ibu bapa Sabah.  Gambaran yang diberikan adalah yang negatif.  Tersedak dan terkejut aku apabila aku dinilai sebagai seorang guru yang bermulut laser dan sukar mengawal emosi.
 Masih ku tergiang-giang lagi kata-kata itu sampai ibu saudaraku membekalkan aku buku seorang tok guru sebagai bekalan.  Entahlah sampai sekarang aku masih gagal lagi untuk menghayatinya.  Buku itu masih elok tersimpan rapi.  Apa yang perlu ku buat hanya bermohon dan berserah kepada Allah s.w.t.
  Syukurku kepadanya kerana keadaan sekarang tak seperti yang mereka gambarkan, seperti langit dengan bumi. Aku pun sepatutnya sedar diri sebagai perantau yang banyak kekurangan serta daif.  Kini aku akan hijrah lagi ke Selangor pula, daerah Sabak Bernam.  Adakah aku diterima dengan baik?  Wallahu'alam bissawab.




   Kini sedang berkemas dan mula menyimpan barang-barang dalam kotak-kotak yang dahulunya ku simpan.  Barang-barang yang dibelipun kotaknya masih ada seperti peti ais, printer, radio, mesin jahit, mesin basuh dsb.  Semoga Allah memberikan aku kekuatan dan keteguhan iman dan semangat untuk merempuh ranjau kehidupan.

flat Guru Felda Sahabat

Setelah surat pertukaranku dibekukan, aku kembali ke Sabah. Aku mengajar semula di SK Sahabat 4. Sekembaliku di sini aku masih disambut dengan tangan terbuka. Kehadiranku seorang diri umpama musafir kelana. Seminggu sebelum itu beberapa persiapan telah ku laksanakan.
Pertama, anak bongsuku terpaksa kuhantar ke Asrama Desa Munshi Abdullah. Mengalir air mataku semasa berjumpa dengan Penolong Kanan 1, Pn Rosnah , warden dan beberapa orang guru di sekolahnya. Menangis kerana meninggalkannya pada saat dia akan menghadapi PMR.
    Sepanjang perjalanan dalam kapal terbang dan sebelum meninggalkan keluarga tergenang air mataku. Bayangkan di kala usia sebegini terpaksa tinggal bersendirian di rumah Felda. Hanya 5 hari aku bersendirian sejak 26 hingga 30 Jan 2012, aku diberitahu bahawa pengetua baru akan tinggal di situ, jadi akan terpaksa berhijrah lagi. 
     Kini aku menginap di flat guru . Hadirku mungkin sekejap. Bermula malam 31 Jan hingga 25 Februari 2012 kerana surat pertukaranku telah pun diluluskan . Faks telah dihantar ke sekolah dan ke JPN Sabah pada hari Khamis 2 Februari. Hingga 9 Februari, aku belum mendapat surat daripada JPN Sabah. Apakah hadirku di sini tidak dihargai atau kesibukan pegawai-pegawai, tetapi aku harus meninggalkan sekolah ini. Aku harus meneruskan langkah baruku.
Di sinilah penginapanku sepanjang di Sabah. Flat guru dan sempat bergotong-royong di flat ini. Ku berharap agar hadirku disenangi teman-teman termasuk Kasmia, Amra, Islamiah, Yaya dan yang lain-lain . Segala kenangan manis akan terpahat di memoriku.





  

Perpindahan dari SK Dato Naning ke SK Sahabat 4

   Perpindahanku tidak dirancang,  Aku bertukar ke SK Sahabat 4,Lahad Datu , Sabah mengikut pertukaran suamiku.  Dia mula bertukar ke Sabah pada cuti Tahun Baru Cina , aku tidak ingat tarikhnya, yang pasti minggu kedua bulan Februari.
   Oleh kerana itu aku memohon pertukaran.  Aku hantar borang 22 Februari dan 16 Mac keputusan pun kuterima. Alangkah cepatnya.  Aku dimomokkan dengan peristiwa-peristiwa yang menakutkan dan menitis air mataku bila teringat kata-kata rakan-rakan mengenai penduduk Sabah.  Maafkan aku terpengaruh juga aku akhirnya.
   Kedatanganku disambut baik pada 19 April 2010.  Situasi yang disebut-sebut tidaklah sama.  Keadaan mungkin berbeza. Namun yang pastinya masyarakat tetap seperti keadaan tahun 1980-an.
   Sebenarnya aku masih menunggu surat penempatan daripada Jabatan Pelajaran Negeri Sabah.  Malangnya tunggu punya tunggu sehingga guru besar Pn Asiah asyik mengulangi pertanyaan itu, aku akhirnya menghantar surat penangguhan tugas sehingga 16 April hari terakhir aku di SK Dato" Naning.
  Istimewanya perpindahan ini aku diberitahu melalaui telefon oleh JPNS kemudian diberi pilihan memilih sekolah yang berhampiran.  Syukurlah selesai masalah aku tidak seperti yang diwar-warkan oleh guru-guru sebelum ini kerana walaupun di Sabah ada yang berlainan daerah.  Mungkin mereka (JPNS dan PPD ) sudah memahami masalah di sana.  Oleh itu ada suami isteri yang mengajar satu sekolah , di SK Sahabat 4 pada masa itu ada dua pasang suami isteri.  Sekolah juga tidak jauh dari rumah sewa lebih kurang 1 km dan kalau berjalan kaki mengambil masa 15-20  minit sahaja.
   Hanya kurang dua bulan dua tahun aku mengajar di SK Sahabat 4 kerana suamiku ditukarkan semula ke Sabak Bernam Selangor mulai 1 Oktober 2011 dan menangguhkan tugas sehingga 6 Disember 2011 kerana aku terlibat dengan kemalangan jalan raya , menyelesaikan urusan kargo barang-barang dan tiket kapal terbang pula terpaksa juga ditunda daripada 22 November kepada 5 Disember 2011.

Kuala Penyu

 Sebelum balik ke Semenanjung, aku ingin habiskan masa selama tiga hari di Hotel Gaya.  Ingatkan sempat hendak pergi ke Labuan sekadar melepaskan keinginan .  Dalam bercongak-congak hendak pergi aku sempat singgah ke Kuala Penyu pada 28/2/2012.
   Menurut suamiku tak sempat hendak pergi kecuali dapat pergi pagi-pagi dan petang baharu balik.  Setakat melihat dan bertanya sahaja kerana perjalanan dari KK ke Kuala Penyu agak  jauh.  Kuala Penyu terkenal dengan sagu dan penduduknya kebanyakan petani.  Keindahan pantai dan ada hotel-hotel tempat penginapan di sini.
 Aku ingatkan ada penyu sempena namanya.  Pekan ini kecil sahaja.







   Darin Kuala Penyu boleh sewa feri ke Labuan .  Jambatan gantung memang pupular di Sabah yang menghubungkan sungai.
 

Dua dalam satu

Pada 26/2/2012 aku memandu kereta sendiri menuju ke Lahad Datu untuk bertemu dengan suamiku balik ke Semenanjung. Aku bertolak pukul 9 .35 pagi setelah selesai menguruskan hari terakhir di sekolah dan di Felda Sahabat 4.
   Sebelum itu, aku berjanji hendak menziarahi Kasmia, guru sejawatku di sekolah yang baru bersalin anak perempuan.
.  Janji pukul 11.30 - 12.00 tengah hari, kawanku Amra, Ayu dan rakannya yang lain tak juga muncul.  Kemudian aku bernekad hendak pergi sendiri ke rumah Kasmia. Aku pun menelefonnya. Dia memberikan alamatnya.  berdasarkan maklumatnya aku mula mencari bangunan OIA dan simpang menuju ke rumahnya.  Dalam pada berhenti di simpang itu , aku pun ternampak dan terserempak kereta Amra .  Jadi kami pun sepakat membeli hadiah untuk bayinya.
  Kami pun pergi ke pusat beli belah Survay yang baru sahaja dibuka pada awal bulan Jun 2011 di Lahad  Datu.  selepas membeli- belah aku pun terus memandu kereta dahulu dan kami bertemu di simpang menuju ke rumah Kasmia.  Sekiranya aku pergi seorang nescaya tak jumpa kerana dia tinggal di kawasan kampung dan jalannya pula berbelok-belok.
  Syukurlah sementara menunggu suamiku tiba dari Kota Kinabalu, aku sempat melawat orang baru. Kira-kira pukul 1.30 petang aku ingin beransur ke lapangan terbang, namun Kasmia memberitahuku bahawa sekiranya kapalterbang Maswing hendak mendarat di Lapangan terbang Lahad Datu pasti terdengar bunyi kapal terbang  kerana rumahnya dekat dengan lapangan terbang itu yang mewngambil masa lebih kurang 15 minit.
   Tepat pukul dua petang suamiku menghantar SMS memberitahuku bahawa dia telah pun sampai.  Maka aku pun angkat kaki, sebelum itu mereka berpesan agar aku memandu kereta berhati-hati.  Terima kasih atas perhatian dan sokongan kalian semasa aku di Sabah.  Semoga persahabatan kita berkekalan terutama Amra, Ayu, Kasmia dan Miah kerana kita pernah tinggal serumah di flat guru walaupun hanya 3 minggu.


 

Hotel Gaya, Kota Kinabalu

    Selama 3 malam 4 hari kami menginap di sini.  Bermula hari pertama pada 27 Feb, hari Isnin hingga Khamis, 1 Mac .  Hotel ini bertaraf 4 bintang.  Bilik 1111 tingkat 11tempat kami menginap.
  Biliknya agak luas.  Kemudahan cukup lengkap disertai dengan kemudahan teksi.
Sarapan pagi bermula dari jam 6.30 pagi hingga 10.00 pagi.  Bayaran semalam lebih kurang RM150 .
  Hotel ini terletak di Jalan Tun Fuad Stephens di Kota Kinabalu, berdepan dengan Bangunan Suria Sabah dan pusat beli-belah Wisma Merdeka.  Hotel ini menghadap laut China Selatan.
  Jika anda menginap di hotel ini, anda boleh berjalan kaki ke pasar Filipina, Pasar Besar kota Kinabalu dan pasar ikan kering atau hasil tangkapan nelayan.  Perjalanan ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu memakan masa 20 minit.