Monday, November 26, 2012

Menumbuk

   Selepas ke Kuala Penyu , aku dan suamiku pun menuju ke Menumbuk.  Di jeti ini boleh membawa kereta ke Labuan.  Walaupun hasrat hati hendak ke Labuan tak tercapai namun aku sekadar ingin mendapatkan informasi bagaimana hendak ke pulau itu.
  Dalam perjalanan menuju ke Menumbuk, kulihat keindahan semulajadi kerana  negeri Sabah memang kaya dengan tumbuhan semula jadi dan keadaannya masih belum membangun sepenuhnya.  Kalau dilihat masih ada pondok-pondok jualan minyak petrol di tepi jalan.
   Lihatlah panorama keindahan di tepi pantai.  Tak banyak restoran atau kedai makan kerana penduduk yang kurang.


  Menumbuk mengambil masa 2 jam dari kota Kinabalu untuk menaiki feri ke Labuan.  Kereta boleh dibawa sekali.  Sayangnya , kami tak berkesempatan ke sana, mungkin kalau ada rezeki , kami akan datang lagi....Insya-Allah.

6 Matahari 2010 SKDN

 Sedih hatiku apabila tugasku tidak selesai.  Mengapa tidak? Aku telah mengajar murid -murid ini Bahasa Melayu dari tahun 4 hingga 6 daripada kurang lancar membaca ,ku dapati ada kemajuan dalam pelajaran mereka.  Tahun 2010 adalah tahun yang getir menentukan keputusan UPSR Bahasa Melayu mereka.
   Walaupun ada antara mereka yang baru ku terima kerana rombakan kelas namun aku tetap dengan tugasku mendidik mereka seperti mana murid-muridku yang dahulu.  Aku sebenarnya tidak memberitahu mereka akan perpindahanku ke Sabah.  Mereka mendapat tahu daripada guru besar dan guru-guru lain.
  Dengan tak disangka-sangka mereka telah membuat kejutan mengadakan jamuan untukku.  Aku sedikitpun tidak campur tangan.  Mereka sendiri yang menguruskan segala-galanya.  Inilah kali pertama dalam sejarah perkhidmatanku jamuan diuruskan oleh murid sendiri.  Aku pula sibuk dengan urusan perpindahan dan permohonan guru cemerlang.  Sibuk menyiapkan barang-barang untuk dibawa ke Sabah, dokumen-dokumen untuk permohonan guru cemerlang dan persiapan pindah ke Sabah di samping melengkapkan keperluan rumah yang akan ditinggalkan kepada anak sulungku.
    Inilah kenangan terakhir dan kata-kata yang terukir di hati mereka .
                   Murid tahun 6 Matahari adalah sentuhan tanganku yang terakhir di SKDN 2010



Aku dan Sekolah Kebangsaan paya Keladi

Semenjak tahun  1992-2001, aku mengajar di Sekolah Kebangsaan Paya Keladi, Pulau Pinang.  Banyak sejarah yang kulakar di sekolah ini.  Ada yang pahit dan ada yang manis.  Peristiwa manisnya ialah ketika aku berjaya mendidik 3 orang murid lulus PTS Penilaian Tahap Satu Tahun Tiga (1999) dan tahun 2000 pula meningkat 6 orang.  Namaku harum di daerah Kepala Batas kerana itu.  Sebelum itu , aku telah berjaya meningkatkan peratus kelulusan UPSR sehingga ada satu peristiwa yang mengingatkan aku sehingga kini.
   Peristiwa itu berlaku pada tahun 1997 di mana aku mengajar murid Tahun 6 .  Dia seorang murid yang kukira sederhana kebolehannya. Semasa keputusan UPSR keluar, dia pun mendapatkanku. Dia menangis sambil menunjukkan keputusan Penulisannya.  Dia tidak berpuas hati kerana gagal.  Apa yang boleh kubuat ialah menulis surat rayuan kepada Kementerian Pelajaran tidak berpuas hati atas keputusan tersebut dan meminta membuat semakan. Tiga bulan kemudian keputusan tersebut dari D menjadi A .  Bukannya senang nak buat semakan. Sebenarnya, aku yang mengajarnya dari  Tahun 4 hingga Tahun 6, jadi beranilah aku membuat rayuan.  Keberanianku ini telah diumumkan oleh guru besarku Tn Hj. Zulkifli , sorang guru besar yang lembut dan penyayang, selalu buat tazkirah dan yang sedihnya kerana kelembutan nya, dipersendakan oleh orang-orang Jabatan Pendidikan Pulau Pinang .
  Gambar kenangan bersama Penyelia petang En Mohd Yusof,Pn Haliza Mohamed, Pn Jamaliah, Pn Aminah .

Majlis perpisahan di SKDN, Melaka

  Aku mengajar di SKDN , Melaka selama 8 tahun bermula dari 17 April 2002-16 April 2010.  Selama berkhidmat di sini, aku telah ditugaskan sebagai guru Bahasa Melayu tahun 4, 5 dan 6.  Di samping subjek lain seperti Muzik, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dan  Kajian Tempatan.
  Aku sememangnya ditugaskan sebagai guru tkelas Tahun 6 sejak 2005,  sebaik sahaja aku tamat belajar PJJ -di USM , Pulau Pinang. Sepanjang pengalamanku di sekolah ini, berbagai cabaran yang kutempuhi.  Selain karenah  murid, rakan sejawat, pihak pentadbiran , persekitaran serta ibu bapa .  Namun aku tetap aku dengan karakterku yang dikenali sebagai guru yang garang dan banyak cakap atau komen.  Namun komentarku adalah suatu kebenaran yang mungkin tidak dapat diterima sesetengah orang.
  Di sekolah ini, aku digelar "Ibu Merdeka ", suatu gelaran yang dulunya sukarku terima tetapi apabila perkara ini sudah berlalu , aku semakin rindu akan gelaran itu kerana gelaran dan tugas serta tanggungjawab ini juga membantuku mendapat gelaran "Guru Cemerlang".
  Aku dan rakan-rakan sejawat telah berjaya menaikkan nama sekolah dalam pertandingan keceriaan Kemerdekaan yang diadakan oleh Jabatan Pendidikan Melaka dari tahun 2002 hingga 2009. Aku  telah ditugaskan mengajar Bahasa Melayu bagi murid-murid tahun 6 UPSR sejak tahun 2005-2010.
  Inilah Majlis Perpisahanku dengan semua warga sekolah-- rakan-rakan, pentadbir dan murid-murid SKDN- Terima Kasih semua semoga kita berjumpa lagi.

                  Ucapan kali terakhir di SKDN di majlis perpisahan SKDN




  Guru Data/Media Cik Nun Zurita sedang menyerahkan fail/data peribadi
Bersama dengan guru besar Pn Asiah bt Md Sab,guru besar cemerlang, SKDN.

Anak-anak Felda, UPSR?

Aku baru saja diamanahkan untuk mengajar Tahun 6.  Murid-muridku dua kelas berjumlah 71 orang yang akan menduduki UPSR pada 13-15 September 2011 nanti. Bukan senang untuk mengajar mereka sementelah aku baru sahaja berpindah ke Sabah ini.  Aku mula berpindah ke sekolah ini pada 19 April tahun lepas.
      Semasa di sekolah lama aku telah berjaya mendidik murid PROTIM yang ku ikuti perkembangan mereka dari Tahun 4 hingga ke Tahun 6. Aku berjaya meningkatkan prestasi  keputusan UPSR Kertas 1 Pemahaman Bahasa Melayu 99% manakala kertas 2 Penulisan juga turut meningkat.  Aku terkilan juga kerana tugasku separuh jalan setelah berpindah ke Sabah. Kini tugas yang kupikul  amat berat memandangkan semua murid di sekolah ini mempunyai prestasi yang rendah ditambah dengan perangai mereka yang kurang memuaskan hatiku.
     Berdasarkan keputusan Peperiksan Akhir Tahun 5 mereka amat mendukacitakan aku. Tak seorangpun antara mereka yang berjaya mendapat A dalam kedua-dua kertas Pemahaman dan Penulisan.  Tambah mengejutkan aku lagi, kelas pertama pun ada yang gagal Kertas 1, manakala kelas kedua, markah Penulisannya bunga ros sahaja lebih kecut perut lagi markahnya sekitar 10-2 3markah. Hai ,anak-anak ke manakah arah tujuan nak kubawa kamu ni? Terlalu lemah, nak dibimbing bukan mudah, kerana sudah jauh ketinggalan.  Masih ada yang baru mengenal huruf, belum membaca lagi.  Aduhai, bukan miskin tegar lagi, daifnya.
   Bergalaskah pengalaman selama 26 tahun ni mampukan aku mengubah kamu? Terasa beratnya bahu memikul tanggungjawab ini. Di manakah sayangnya bahasa ibunda kamu? Bahasa Melayu sendiri tidak kamu kuasai apalagi bahasa asing Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.  Kekadang terfikir bagaimana kamu ke sekolah, tidak ada misi atau visi.  Apa tujuan kamu sekolah atau sekadar berjumpa kekawan atau menghabiskan wang ibu bapa kamu?.  Sedarlah anak bangsaku, bangunlah untuk menimba ilmu menjadi orang yang tinggi mertabatnya. Ubahlah sikap kamu dari yang negatif kepada positif.  Hormatilah guru, bacalah buku, buatlah kerja rumah dan ulang kaji pelajaran.
   Kuasailah kemahiran 4M, membaca, menulis, mengira, dan menaakul supaya ilmu tersebut bukan untuk menjadi pelajar cemerlang UPSR sahaja tetapi untuk bekalan hidup kamu di dunia dan akhirat kerana semua ilmu berpunca dari membaca.

HIJRAH LAGI- 2011

Aku baru sahaja mengajar di  Sekolah Kebangsaan Sahabat 4 pada 16 April 2010.  Arahan pertukaran suamiku begitu mengejut walaupun aku sebenarnya telah pun menduga.  Khabar-khabar angin begitu mendesak.
  Apa tidaknya sebenarnya dia bertukar ke Sabah pada 1 Oktober 2009 .  Oleh kerana surat pertukaran itu terpendam di JPN Melaka, maka dia pun meminta tangguh sehingga bulan Februari 2010.  Beliau mendaftar pada 16 Februari kalaun tidak silapku.  Aku pula memohon bertukar pada bulan Februari dan jawapan paling cepat kun ketahui pada 16 Mac 2010. Alangkah cepatnya pada masa itu aku masih lagi mengajar di Sek. Keb. Dato'  Naning.
  Pertukaran itu cukup menakutkan aku sementelah ramai kekawan yang memberitahuku akan keadaan murid-murid dan ibu bapa Sabah.  Gambaran yang diberikan adalah yang negatif.  Tersedak dan terkejut aku apabila aku dinilai sebagai seorang guru yang bermulut laser dan sukar mengawal emosi.
 Masih ku tergiang-giang lagi kata-kata itu sampai ibu saudaraku membekalkan aku buku seorang tok guru sebagai bekalan.  Entahlah sampai sekarang aku masih gagal lagi untuk menghayatinya.  Buku itu masih elok tersimpan rapi.  Apa yang perlu ku buat hanya bermohon dan berserah kepada Allah s.w.t.
  Syukurku kepadanya kerana keadaan sekarang tak seperti yang mereka gambarkan, seperti langit dengan bumi. Aku pun sepatutnya sedar diri sebagai perantau yang banyak kekurangan serta daif.  Kini aku akan hijrah lagi ke Selangor pula, daerah Sabak Bernam.  Adakah aku diterima dengan baik?  Wallahu'alam bissawab.




   Kini sedang berkemas dan mula menyimpan barang-barang dalam kotak-kotak yang dahulunya ku simpan.  Barang-barang yang dibelipun kotaknya masih ada seperti peti ais, printer, radio, mesin jahit, mesin basuh dsb.  Semoga Allah memberikan aku kekuatan dan keteguhan iman dan semangat untuk merempuh ranjau kehidupan.

flat Guru Felda Sahabat

Setelah surat pertukaranku dibekukan, aku kembali ke Sabah. Aku mengajar semula di SK Sahabat 4. Sekembaliku di sini aku masih disambut dengan tangan terbuka. Kehadiranku seorang diri umpama musafir kelana. Seminggu sebelum itu beberapa persiapan telah ku laksanakan.
Pertama, anak bongsuku terpaksa kuhantar ke Asrama Desa Munshi Abdullah. Mengalir air mataku semasa berjumpa dengan Penolong Kanan 1, Pn Rosnah , warden dan beberapa orang guru di sekolahnya. Menangis kerana meninggalkannya pada saat dia akan menghadapi PMR.
    Sepanjang perjalanan dalam kapal terbang dan sebelum meninggalkan keluarga tergenang air mataku. Bayangkan di kala usia sebegini terpaksa tinggal bersendirian di rumah Felda. Hanya 5 hari aku bersendirian sejak 26 hingga 30 Jan 2012, aku diberitahu bahawa pengetua baru akan tinggal di situ, jadi akan terpaksa berhijrah lagi. 
     Kini aku menginap di flat guru . Hadirku mungkin sekejap. Bermula malam 31 Jan hingga 25 Februari 2012 kerana surat pertukaranku telah pun diluluskan . Faks telah dihantar ke sekolah dan ke JPN Sabah pada hari Khamis 2 Februari. Hingga 9 Februari, aku belum mendapat surat daripada JPN Sabah. Apakah hadirku di sini tidak dihargai atau kesibukan pegawai-pegawai, tetapi aku harus meninggalkan sekolah ini. Aku harus meneruskan langkah baruku.
Di sinilah penginapanku sepanjang di Sabah. Flat guru dan sempat bergotong-royong di flat ini. Ku berharap agar hadirku disenangi teman-teman termasuk Kasmia, Amra, Islamiah, Yaya dan yang lain-lain . Segala kenangan manis akan terpahat di memoriku.