Friday, August 30, 2013

Pertandingan kelas Patriotisme

Tahun 2013, SKSS telah mengadakan banyak aktiviti sempena kemerdekaan ke-56 negara kita .  Tema tahun ini ialah 'Negaraku Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku'.  Logonya '56  Merdeka' . Antara aktiviti-aktiviti yang diadakan adalah seperti pertandingan mewarna, nyanyian lagu-lagu patriotik, buku skrap, melukis poster, basikal berhias, dan pertandingan kelas patriotisme.
  Ramai muridku membeli bendera.  Banyaknya duit mereka.  Itu yang menjadi kehairananku.  Apabila aku meminta mereka membeli buku, katanya tidak ada wang tetapi untuk sesuatu pertandingan, ada pula duit mereka.
Tengok ni! setiap murid ada bendera, kekadang itu bergaduh dan masing-masing mengoyakkan bendera rakan mereka, seperti tidak mengharga pula!. Rasa nak marah sahaja.  Sudah puas , aku menasihati mereka supaya menjaga tatahidup yang baik, menghormati rakan, menjaga kebersihan kelas dan mempunyai akhlak yang mulia.
 Semoga mereka mendapat hidayah daripada-Nya.  Walau bagaimanapun inilah cubaan dan cabaran bagiku mengajar murid-murid yang agak sukar atau lambat menerima pelajaran.  Semoga mereka ada kesedaran dan dapat mengubah sedikit demi sedikit tingkahlaku dan positif terhadap pelajaran.
 
Dah 72 batang bendera , aku tolong belikan untuk mereka, entah mana mereka letakkan!. Menurut mereka hendak letak di basikal. Papan kenyataan di belakang itu masih lagi kosong, baru nak ditampalkan dengan pengisian tentang kemerdekaan, aku sebenarnya banyak bahan kemerdekaan tetapi semuanya ada di rumahku, di Melaka, nak hrapkan mereka, habuk pun tarak!
keratan akhbar ini adalah pada 31 Ogos 2013 , hari Sabtu .
               3/9/2013 baru sempat tampal di papan kenyataan
             murid-muridku  sedang menjawab ujian 2   Bahasa Arab
bendera tahun lepas masih elok lagi dipasang semula pada awal Ogos.
Pada 17 September 2013, keputusan pertandingan telah diumumkan.  Syukurlah kelas 4 Jaya, iaitu kelasku ini menjadi johan Pertandingan Kelas Patriotisme Tahap Dua. Berikut adalah hamper yang diberikan malangnya tidak ada sijil penghargaan disertakan, kecewanya aku.

Tuesday, August 27, 2013

Sambutan kemerdekaan di SKSS

Dah lama meninggalkan bidang ini, agak-agak 4 tahun.  Kini teringin pula nak membuat kolaj sempena pertandingan bulan kemerdekaan di SKSS.
  Teringat pula,  ketika 8 tahun aku menjadi ketua panatia Kajian tempatan dan selaku setiausaha sambutan hari kemerdekaan .  Selama itu aku dan rakan-rakan merancang aktiviti-aktiviti bersama dengan panatia yang lain.
  Sambutan kali ini berbeza.  Agak rajin nak buat tema kemerdekaan kali ke-56 pada tahun 2013 ini.  Senang sahaja cari imej hari kemerdekaan dan gambar-gambar dari internet.  Walaupun mudah tetapi memakan masa juga dalam 3 jam.  jadilah aku burung hantu sehingga pukul 2.00 pagi kerana hendak menyiapkannya.  Ini hasilnya, walau pun kurang kreatif, ku paksakan diri juga.   Alhamdulillah ...siap sudah.
 
 bahan-bahan : gambar-gambar, kertas warna, gam gunting dan kertas tebal 2' X 3'.  Cuma susun gambar dan tampal.

Saturday, August 24, 2013

sambutan Hari Raya 4 jaya 2013

Sabtu, 24/8/2013 adalah merupakan sekolah ganti cuti Hari Raya. Seperti yang diketahui, sambutan hari raya disambut di sekolah adalah untuk meraikan Hari raya antara murid dengan guru dan guru dengan guru kerana di sepanjang persekolahan tidak berkesempatan berziarah .  Bagiku, sambutan ini perlu diadakan untuk murdi-murid mengenali guru dan warga sekolah kerana dengan adanya majlis ini ,mereka berpeluang mengenali atau sekurang-kurangnya belajar cara-cara menghormati guru dan mengamalkan penerapan nilai-nilai murni yang lain.
   Seperti yang diketahui untuk mengadakan jamuan kelas, mestilah membuat persediaan.  Pertama, mesyuarat kutipan wang, menu dan barang-barang yang perlu disediakan untuk majlis tersebut.  Murid-murdku memang rajin membantu terutama menghias "backdrop' tetapi perlu bimbingan.  Mereka membantuku membuat air  'kordial berperisa anggur ' dan membeli ais di kantin.  Apabila tetamu tiba, mereka bersalaman dan menjemput guru-guru serta menghidangkan air serta menyediakan kerusi jika tidak mencukupi.
 Menu tahun ini mudah  sahaja , pesan nasi lemak lauk ayam RM1.50 dan kuih muih mudi-muridku bawa sendiri.  Kutipan RM5.00 sebenarnya tidak mencukupi tetapi dicukupkan oleh guru .  Aku pula menyediakan air kordial, air bertapis 12 botol dan puding jagung, kek pisang dan mi tom yam.
    Berbeza dengan tahun lepas, aku masak tom yam di kelas dengan 'rice cooker' , malangnya sekali masak mengambil masa yang agak lama dari pukul 8.40 hingga 9.40 lamanya, mungkin tenaga eletrik agak perlahan kot, kerana banyak penggunaannya.  Nasib baik aku bawa periuk dari rumah untuk ditumpangkan memasak di kantin.  Alhamdulillah.selesai juga tugasku, akhirnya selesai memasak pukul 10.30 pagi.
   Kerja-kerja menyusun meja diuruskan muridku dengan bantuan guru Pendidikan Sivik . Kemudian, siapkan meja dan meminta murid menjemput semua guru kerana makanan di kelasku banyak.  Pesan nasi ayam 40 bungkus dan mi  9 bungkus disertai makanan atau kuih- muih yang dibawa oleh murid-murid.
     Oleh kerana mereka sudah menikmati makanan tersebut, maka mudahlah mereka melayan tetamu.  Syukurlah , selesai jamuan Hari Raya, semoga dengan adanya sambutan ini dapat mengeratkan silatulrahim antara murid dengan murid, guru dengan guru serta warga sekolah.  Maaf Zahir dan batin, selamat Hari Raya moga-moga bertemu lagi pada AIdil Fitri yang akan datang...Insha -Allah.




 

Monday, August 19, 2013

Jalinan Kasih di Sijangkang

Pertemuan demi pertemuan diatur. Kali ini aku  mengatur rancagan ingin bertemu dengan Fidah dan Salmah di rumah emak Fidah  di Batu 8 Sijangkang.  Salmah sudah lama tidak berjumpa dengan Fidah sejak pertemuan mereka di majlis perkahwinanku pada tahun 1989.
   Oleh kerana aku  dapat menjejaki rumah emak Fidah pada tahun 2008 dan pertemuan aku dengan Fidah di rumahnya di Pulau Indah maka senanglah aku menghubunginya.  Kawanku ini susah sikit nak menghubunginya.  Hubungan yang teputus dapat disambung melalui sepupunya.  Aku sebenarnya telah beberapa kali ke rumah emak Fidah semasa aku di tingkatan 6.  Hubungan aku dengan kedua-dua ibu bapanya dan adik beradiknya terutama yang perempuan agak rapat juga cuma aku tidak dapat membezakan mereka dan nama mereka.
    Kampung ini pun telah banyak berubah, maklumlah anak-anak muda telah membina rumah sendiri tanah pusaka ayah bonda mereka.  Kalau dahulu kebanyakannya rumah kayu atau rumah kampung, kini dah ada tersergam rumah mewah seperti    banglo , rumah dua tingkat dan rumah batu yang gah . Aku dah  beberapa kali sesat dalam kampung ini tetapi semua orang kenal akan bapanya.
  Pertemuan kami bertiga amat bermakna cuma agak terkilan tak dapat menghubungi rakan yang seorang ini iaitu Fauziah bt Abdul Samad , orang Perak, kalau tak silap duk Taiping.
  Syukurlah kami dapat juga bertemu walaupun aku datang dari jauh Sabak Bernam ke Sijangkang sejauh 161km pergi dan 161km balik.



 Semoga Allah mempertemukan kawan karib kami yang keempat....aamiin.

Pertemuan di Puchong Perdana dengan kawan STAR

Hari raya kelima pula, sambil menghantar anak kedua ke kampus Selayang, kami sempat beraya di rumah sanak-saudara.  Rumah mula-mula dituju rumah adik iparku kemudian rumah kawan karibku semasa di STAR Klang.
   Persahabatan dari tahun 1980- 1989 ketika aku dalam tingkatan 6 Rendah dan 6 Atas, kemudian terputus sejak aku mendirikan rumah tangga kerana aku telah pun berhijrah ke Pulau Pinang dan menetap di sana selama 12 tahun.  Kemudian menetap  di Melaka selama 8 tahun.  Perhubungan yang terputus akhirnya dapat disambung setelah aku berhijrah ke Sabah.  Melalui FB, akhirnya dengan linangan air mata gembira dapat juga kami berkomunikasi.  Justeru itu, pada hujung tahun 2010, kami mengaturkan pertemuan di rumahku.
  Kini pertemuan diatur di rumahnya di Puchong Perdana.  Alhamdulillah walaupun sukar mencari, akhirnya dapat juga kami bertemu dengan bantuan GPS dan telefon bimbit.  Terima kasih teman kerana sudi menerima kunjungan kami dua keluarga.  Pertemuan ini mengingatkan aku, 20 tahun yang lalu, aku pernah membawa anak saudaraku ke rumah emaknya di mana satu peristiwa yang sukar dilupakan ialah anak saudaraku gemar makan biskut sarang semut hingga habis seberkas kecil balang kaca itu.
   Semoga pertemuan ini dapat mengeratkan tali persahabatan kami, cuma aku terkilan sehingga kita tidak dapat menghubungi seorang rakan baik kami sehingga kini, iaitu Fauziah bt Abdul Samad.  kebetulan kami berempat guru sekolah rendah. Aku, Nor Afidah, Salmah dan Fauziah rakan sekumpulan semasa di STAR, Klang tahun 1980-1981.


Pencarian di Kampung Melayu, Kluang

Perhubungan persaudaraanku terputus sejak tahun 1989. kali terakhir aku pergi ke rumah anak angkat arwah ayahku selepas  3 bulan aku berkahwin .  Aku pergi dengan abang dan kakakku kerana kami tiga beradik sahaja.
 Ayahku mengambil anak angkat iaitu anak saudaranya.
   Pencarianku bermula apabila aku beraya di rumah kakak iparku di Taman Berlian Biru, Kluang. Menurut alamat rumahnya tidak jauh dari situ kira-kira 5 kilometer. Aku dan kakakku berserta ahli keluarga mencari rumah itu.  Maklumlah dah lupa rupa orang yang dicari dan lokasi rumahnya.  Kami hanya tahu alamat dan nombor telefon anaknya, kebetulan hari raya tentulah ramai  sauadara-mara yang berkumpul di rumah itu.
  Isterinya bernama Syarifah dan abang angkat itu telah pun meninggal dunia.  Dia polis pencen. Dalam pencarian, kami beberapa kali berpusing-pusing di kampung Melayu, mencari nama jalan.  Mengikut anak sulungku, taman perumahan itu mengikut nama buah dan nama bunga.  Alamatnya , Jalan Kasturi, lorong 1....jadi pusing punya jumpalah destinasi yang dicari.
  Alhamdulillah  dapat kami bertemu dan berbual panjang demi  mengeratkan tali persaudaraan.  Semasa arwah hidup, ada dia menumpangkan abangku di rumahnya dan menyekolahkan di Kluang tetapi sekadar setahun sahaja, maklumlah polis , gaji mungkin tak seberapa, banyak mana nak menanggung anak seramai 6 orang dan si isteri mengambil upah menjahit baju.  Kini, kehidupan mereka dah berubah, hidup pun dah senang sebab anak-anak ada yang dah berpangkat dan berjawatan tinggi.

  bersama emak, kakakku, kakak angkat dan anaknya pada raya ketiga 2013 di Kluang
kira-kira inilah pertemuan jejak kasih