Friday, April 24, 2015

Pantun AntiDadah- Program AntiDadah 5 minit .

Selaku guru penyelaras , Program Antidadah SKMT, kami telah melaksanakan beberapa aktiviti mengenai antidadah , antaranya melafazkan sajak .  Program 5 minit tentang dadah telah dilaksanakan dengan melafazkan pantun yang bertemakan "Keluarga Bahagia".  Pantun ini dilafazkan oleh Amna Nafeesa dari tahun 5 Arif.  Guru bertugas pada 2 April 2015 ialah Pn Noorsafrina bt Hamdani , yang menerangkan maksud pantun tersebut.  Kami berharap murid-murid faham akan maksud yang tersurat dan tersirat dalam pantun tersebut.

Burung kenek-kenek,
Jatuh atas tanah,
Pesan datuk nenek,
Jangan hisap dadah.

Ikan gelama dikerat-kerat,
Untuk hidangan si burung camar,
Kerana dadah diri terjerat,
Maruah tergadai nama tercemar.

Melaka Bersejarah diberi nama,
Terkenal sudah di serata dunia,
hindarilah dadah musuh utama,
Tanpa dadah keluarga bahagia.

Terkenal bola kerana bulat,
Terkenal tukul kerana pahat,
Jika dadah dijadikan kiblat,
hidup merana sepanjang hayat.

Hendak berkelah di Tanjung Bidara,
Janganlah lupa membawa celana,
Hilang keluarga hilang saudara,
Pengaruh dadah diri yang merana.





Saturday, April 18, 2015

pertandingan catur

Pada 14/4/2015, pertama kali aku membawa murid menyertai pertandingan catur di SK  Demang Taha, bagi kawasan Alor Gajah.  Memang berasa keterberasingan kerana aku tidak mengenali sesiapa pun guru yang menghantar murid  di situ.
  Walau bagaimanapun aku masih bersikap ingin mencari kawan.  Setibanya, aku di sekolah itu , murid-muridku bukanlah asing bagi mereka kerana mereka berjumpa dengan kawan-kawan mereka yang bersekolah di situ.
   Pada awalnya, keempat-empat muridku ok sahaja.  Mereka masuk ke dalam dewan dan mengambil tempat di papan paring mengikut nombor giliran yangtelah ditetapkan,  Dewan yang luas terbentang dan meja disusun dengan memanjang tiga baris  untuk peserta lelaki dan perempuan  bawah 12 tahun, lelaki dan perempuan bawah 15 tahun serta lelaki dan peempuan bawah 18 tahun.
   Setelah mendengar taklimat kesemua peserta yang kubawa mengambil tempat.  Setelah diumumkan semua peserta  masuk ke dewan semula, tiba-tiba salah seorang muridku keluar semula.  Dia memberitahuku bahawa dia takut.  Hairannya aku bagaimana seorang murid lelaki berbadan besar dan pengawas takut untuk bermain catur.  Kalau di sekolah dan di hadapan rakan-rakannya boleh juga dia bermain catur.  Mungkin dewan yang besar dan suasana pertandingan yang melibatkan ramai peserta membuatkannya berasa gerun. Tambahan pula mungkin pihak lawannya pernah menyertai pertandingan catur tersebut. Walaupun dipujuk oleh pengerusi teknik dan arbiter agar jangan takut dan mereka sedia duduk di sebelahnya, namun muridku enggan.  Keras hatinya, dah dipujuk berkali-kali , dia tetap dengan keputusannya.
  Setelah kawan-kawannya bertanding mengikut paring yang telah ditetapkan, mereka berjaya memungut 2 mata bagi enam pusingan, akhirnya aku membuat keputusan balik lebih awal kerana tidak ada gunanya menunggu lebih lama .  Pemenang pertama hingga kedua belas akan diberikan sijil manakala yang kalah tidak diberikan sebarang sijil penyertaan.  Hanya pemenang pertama hingga kelapan sahaja layak menyertai pertadingan peringkat negeri.
   Pengajaran daripada peristiwa ini ialah kekadang kita tidak menjangka sesuatu perkara akan menimpa kita.  Kita sebagai guru ingin membawa murid kita ke pertandingan bukan sahaja hendak menang tetapi biarlah mereka tahu situasi dan undang-undang permainan selain dapat berkenalan dengan rakan-rakan dari sekolah lain.
      Malangnya anak muridku berhati kecil , takut berdepan dengan lawan dan mengalah sebelum bertarung.  Maka, ku sampaikan berita ini kepada  semua guru di SKMT, "kalah tanpa bertanding" membuatkan sesetengah guru di sekolahku menyatakan bahawa aku tersalah taip. Memang aku malu dengan peristiwa ini tambahan pula sekali lagi guru pasukan diminta datang ke dewan.  Pengerusi teknik menyatakan seorang lagi muridku enggan bertanding.  Puas ku cari, rupa-rupanya murid lain yang tidak hadir sedangkan muridku menunggu di papan paring sehingga masa berlalu 20 minit.
Nasib baik aku memberikan jawapan yang tepat dan muridku ada  seperti yang ku n yatakan.
   Peristiwa ini mengingatkan aku agar berhati-hati memilih peserta.  Walaupun hakikatnya peserta tersebut sukarela  ingin menyertai pertandingan tersebut.

Syabas kepada peserta yang lain biarlah kita kalah asalakan mempunyai semangat dan jiwa yang ketal untuk bertanding.


Monday, April 13, 2015

Pesta Pantun Peringkat Negeri Melaka

Sejak berpindah ke Melaka ni, banyak betul tugas yang perlu digalas, maklumlah sekolah kecil dan bilangan guru sedikit.  Mesyuarat pesta pantun peringkat negeri Melaka telah diadakan pada 26/2/2015.  Pesta Pantun Peringkat Negeri Melaka 2015 akan diadakan di SKMT sekolahku sebagai tuan rumah.   Majlis akan berlangsung pada 13 dan 14 April 2015 ini.
  Sebagai tuan rumah, kami bersedia menggalas semua kerja.  Persiapan dewan dan bilik-bilik khas untuk pertandingan , bilik hakim dan bilik menunggu peserta pantun yang terdiri daripada 15 buah sekolah.  Setiap sekolah menghantar 5 orang peserta yang merangkap  3 orang pemantun dan 2 orang simpanan.
     Kami menyediakan 5 bilik bagi pertandingan pantun, Pusat Sumber sekolah ditempatkan untuk  hakim berkumpul dan sebuah bilik menunggu untuk peserta ditetapkan di makmal komputer.  Walaupun kami sibuk dengan ujiantara di padang, latihan bola tampar dan latihan pemantun  pasukan sekolah, kami tetap menggalas semua kerja bersama-sama.
      Sejak hari Khamis 9/4/2015 , semua sibuk mengemas meja dan menyediakan bilik.  Kami bernasib baik, pada pagi Jumaat semua murid berada di padang bagi ujiantara dan kerja-kerja penyediaan bilik-bilik khas disambung pada sebelah petang..  Petang Jumaat 10/4/2015 , kami menyambung tugas menghias bilik-bilik khas dan dewan.
     Kerja tambahan bermula dari pukul 3.30 petang hingga 6.00 petang, kami  hanya sempat membuat label hakim, penjaga masa, juruacara, pemantun 1, 2, 3. dan pasukan lawan A, B, C.  Malangnya, kerja-kerja begini rupa-rupanya memakan masa yang lama. Jadi terpaksa ditangguh lagi.
  Kerja-kerja hiasan di bilik-bilik khas disempurnakan lagi pada hari Sabtu 11/4/2015 bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.  Dalam masa yang sama, di padang sibuk dengan latihan bola tampar, di kelas pula  sibuk dengan kelas tambahan tahun 6, dan di dewan pula sibuk menyelesaikan kerja-kerja lain seperti melabel meja-meja dan banner di papan hitam, al-maklumlah sekolah kecil, bajet pun kecil.
   Kerja-kerja memasang skirtinglah yang memakan masa ditambah pula dengan kekurangan kaki tangan pada hari Sabtu.  Syukurlah , siap juga kerja kami.








Demikianlah sibuknya kami dalam builan April ini dengan aktiviti-aktiviti kokurikulum:-
  1.   ujiantara untuk sukan   9-10 April
  2.  Pesta Pantun sebagai tuan rumah - 13 & 14
  3.  Pertandingan catur  14/4
  4.  Pertandingan bola tampar  16/4
  5.  Sukan tahunan 24/4
  6.  Pertandingan Sahibba 30/4

Saturday, April 11, 2015

pesta/bengkel pemantun SKMT

Tahun 2015, sekolahku jadi tuan rumah pesta pantun.  Pada 23/2/2015 mesyuarat diadakan di bilik komputer.  Memandangkan sekolahku kurang murid dan murid yang sama menyertai pertandingan choral speaking, jadi kami memberi laluan kepada murid tersebut. Setelah selesai coral speaking, giliran kami pula. Aku bertugas sebagai pengurus pasukan pantun sekolahku .
  Kami  memilih calon-calon yang layak berdasarkan  maklumat daripada guru-guru yang mengajar mereka.   Kemudian kami adakan saringan. Kami adakan latihan melafaz pantun dahulu .  Murid yang terpilih dibengkelkan .  Sekarang sudah 5 kali berbengkel dan membuat latihan seolah-olah pertandingan sebenar.  Kami wujudkan penonton, juru pantun, penjaga masa dan situasi sebenar pertandingan.
  Kami guru-guru Bahasa Melayu bekerjasama  mencipta pantun mengikut tema  pantun jual dan beli.  Pn Nor Jamilahton Kholijaah memang berbakat dan ada pengetahun tentang pengendalian pertandingan pantun ini.
   Syukurlah dapat juga kami melatih mereka.  Murid-murid ini memang boleh diasuh bakat mereka. Doakan mereka beroleh kemenangan...aamiin.






Latihan dan bengkel pantun di makmal komputer dan di Bilik Pemulihan .

    Pantun Pengenalan

Assalamualaikum
Salam hamba, hulur tanda ingatan
Pemantun tuan rumah
Kami datang dengan harapan.

Pergi menjala ikan tenggiri,
Di malam hari disimbah cahaya,
Siti Zulaika ampunya diri,
Pemantun pertama tanggungjawab saya.

Makan kek berperisa beri,
Beri sedikit kepada kawan,
Amna Nafeesa nama beri,
Pemantun kedua mendukung harapan.

Pergi menangkap ikan gelama,
Ikan dimasak kuah lada,
Adam Daniel ampunya nama,
Anak tunggal permata hati bonda.

Daun palas dibungkus ketupat,
Ketupat dimakan berselang manisan,
Nur Diyanah Zulaika pemantun keempat,
Pewaris budaya pendukung warisan.

Ahmad Furqan berbudi bahasa orangnya,
Anak Pak Imam Masjid Tanah,
Pemantun kelima itu tugasnya,
Menggalas harapan penuh amanah.

Kami semua sedia bertaruh di gelanggang pantun,
Doakan kami agar berjaya....aamiin

Tema-tema pantun adalah seperti dalam senarai di bawah.Pantun Pengenalan

TEMA PESTA PANTUN SEKOLAH RENDAH

PERINGKAT NEGERI MELAKA 2015


PERINGKAT AWAL & SUKU AKHIR

Pusingan Pertama

1
Pendidikan Cemerlang
A
Pendidikan Cemerlang
2
Perkasa Bahasa Melayu
B
Perkasa Bahasa Melayu
3
Hargai Pejuang
C
Hargai Pejuang

Pusingan Kedua                   

1
Jiran Prihatin
B
Jiran Prihatin
2
Bangsa Membaca
C
Bangsa Membaca
3
Murid Kreatif
A
Murid Kreatif

Pusingan Ketiga (Cabutan Tema Spontan)

1
Kebersihan Diri
C
Kasih Ibu
2
Gotong Royong
A
Bancana Alam
3
Amalan Berterima Kasih
B
Hormat Menghormati

                                                                                              
PERINGKAT SEPARUH AKHIR

Pusingan Pertama    

1
Pelajar Berdisiplin
A
Pelajar Berdisiplin
2
Warisan Bangsa
B
Warisan Bangsa
3
Alam Sekitar
C
Alam Sekitar

Pusingan Kedua

1
Sayangi Ibu Bapa
B
Sayangi Ibu Bapa
2
Perayaan di Malaysia
C
Perayaan di Malaysia
3
Faedah Berpersatuan di Sekolah
A
Faedah Berpersatuan di Sekolah

Pusingan Ketiga (Cabutan Tema Spontan)

1
Kebersihan Makanan
C
Peraturan Sekolah
2
Amalan Berbudi Bahasa
A
Murid Bestari
3
Rumahku Syurgaku
B
Keselamatan Jalan Raya


PERINGKAT AKHIR

Pusingan Pertama

1
Faedah Taman Sains
A
Faedah Taman Sains
2
Berbudi Kepada Tanah
B
Berbudi Kepada Tanah
3
Kepimpinan Berkualiti
C
Kepimpinan Berkualiti

Pusingan Kedua

1
Perpaduan Melalui Sukan
B
Perpaduan Melalui Sukan
2
Amalan Menabung
C
Amalan Menabung
3
Cuti-cuti Malaysia
A
Cuti-cuti Malaysia

Pusingan Ketiga (Cabutan Tema Spontan)

1
Keluarga Harmoni
C
Sayangi Haiwan
2
Jati Diri
A
Kasih Bapa
3
Cintai Buku
B
Kebersihan Kantin

Pesta pantun ini akan berlangsung pada 13 dan 14 April 2015.
 
   Pada 13 April, majlis berlangsung, kami berjaya memasuki peringkat suku akhir sahaja.  Syukurlah walaupun kali pertama menyertainya dan memandangkan keupayaan anak-anak didik yang  berusaha berharapkan sepenuhnya daripada guru-guru sedangkan di rumah mereka hanya mendapat sokongan semangat daripada ibu bapa.



Thursday, March 26, 2015

cerita pulut Kuning

Menyebut pulut kuning banyak peristiwa yang bersabit dengannya. Pertama, aku masih teringat kata-kata Cikgu Azhar, rakan setugas dan sebaya denganku.  Beliau seorang yang baik budinya.  Beliau meminjamkan kereta kancilnya untuk anakku belajar memandu.  Anakku pula dah 2 kali gagal dalam ujian naik bukit untuk ujian litar.
  Aku pun begitu juga.  Untuk ujian slope, kali ketiga baru lulus ujian kereta pada tahun 1989. Dengan meminjamkan keretanya, dapatlah aku mengajar anakku memandu.  Mungkin dalam kepenatan kerja rumah, kerja sekolah dan mengajar anakku memandu, aku yang memandu keretanya telah terlanggar pokok, kena pada bahagian belakang kereta semasa aku berundur.  Entahlah dah nasib agaknya, nasib baik aku tak dimarahinya.  Ku hantar kereta tersebut kemudian memintanya baiki dan aku bayar ganti rugi.  Ganti rugi RM90 sahaja, hendak ku beri lebih beliau menolak.  Jujurnya beliau. Beliau sempat juga bergurau supaya membuat pulut kuning jika lulus ujian kereta kelak.
  Kini giliran anak bongsuku pula menghadapi ujian memandu kereta. Pada mulanya mendaftar di Zapcity dengan bayaran RM1068 .  Untuk ujian komputer atau undang-undang sekali terus lulus.  Untuk ujian litar dan jalan raya memang sukar baginya. Buat kali pertama , dia gagal.  Aku sibuk mencari kereta sewa dengan tujuan dapat memberikannya banyak latihan.  Kali pertama menyewa RM150 selama dua hari, malangnya aku sempat mengajar 6 jam sahaja.  Kukira cukup untuk dia berlatih memandu.  Rupa-rupanya, gagal lagi kedua-dua ujian. Aku tak tahu di mana silapnya.  Kemudian, aku menyewa kereta itu 2 hari lagi kereta Viva . Aku memberinya latihan memandu sendiri dengan aku menjadi pelatih .  Aku lihat ok sahaja dia memandu. Enjin tidak mati dan telah beberapa kali pusing keliling dari Air Paabas hingga ke Masjid Tanah. Kemudian, untuk latihan bukit, kubawa ke SK Dato' Naning yang berbukit itu.
  Mungkin aku menggunakan premis , di SK Dato' Naning tanpa kebenaran kot, sebab itu kali ketiga , anakku masih gagal lagi.  Kali ini sewa kereta RM130.00 sahaja. Kemudian ,  anakku sendiri menambah masa latihan di Zapcity selama 2 jam dengan bayaran RM100. Entahlah,  3kali gagal.  Kali keempat dengan bayaran RM125 untuk ujian Litar dan Jalan raya. Kali ini aku dah tak tahu nak mengajarnya, biarlah dia sendiri yang menyelesaikannya.  Syukurlah kali ini dia lulus kedua-duanya serentak.  Alhamdulillah dengan penuh doa dan diringi berpuasa,  aku bermohon kepada Allah agar mempermudahkan urusannya.
  Dengan itu, aku telah berjanji kepada diriku agar menunaikan hasrat Cikgu Azhar untuk membuat pulut kuning sebagai tanda bersyukur.  Pulut kuning ku kukus sebanyak 5 kilo dan 2 ekor rendang ayam cili padi.  Aku menjamu selera guru dan murid di SKMT.   Syukur Alhamdulillah, akhirya lulus ujian kereta buat kali keempat dengan perbelanjaan berjumlah RM1873.00  .
  Pengajaran daripada peristiwa ini , kita hendaklah berhati-hati dan mengikut peraturan serta cekal menghadapi ujian.  Kita perlu ada sikap berani dan yakin kepada diri sendiri.  Tanpa berputus asa serta mempunyai semangat yang kental, kita akan berjaya jua akhirnya.
 
                                                                 Latihan di premis SKDN
 
                                           Sempat menjenguk ke rumah arwah emak mertua

       

Monday, March 16, 2015

Detik Persaraan

Seperti yang dirancang,majlis berjalan dengan baik.  Kebanyakan tetamu hadir dan makanan yang ditempah mencukupi.  Malangnya majlis makan diadakan pada akhir acara menyebabkan ada tetamu yang balik awal tanpa sempat menjamu selera.  Aku pula sibuk dengan keinginan melihat keputusan SPM anak bongsuku.  Ramai juga tetamu guru besar yang tidak hadir kerana hari tersebut masing-masing sibuk dengan keputusan SPM.
  Seperti yang dirancangkan, aku tidak sempat mendengar butiran ucapan guru besar sebelum meninggalkan sekolah.  Apa yang pasti, kami telah menghiaskan kereta alphard untuk menghantar guru besar pulang. Sebagai penutup majlis, semua warga SKMT berbaris di sepanjang laluan keluar ke sekolah.  Sebelum itu semua murid beratur dan bersalaman kemudian memberikan lambaian kasih kepada guru besar mereka.  Guru-guru juga melambaikan tangan sebagai lambaian terakhir di sekolah ini.
                                    Pendaftaran dan pemberian goodies daripada guru besar
                                                        Salam terakhir buat murid-murid SKMT

                                   Murid-murid beratur di sepanjang jalan keluar sekolah
                                                    Lambaian kasih daripada  guru-guru


                                           Salam daripada saya....penulis semoga hidup bahagia setelah bersara.

Aku pula tinggal tujuh tahun lagi bersara , semoga Allah melanjutkan usiaku dapat menyemai bakti dan memberi kesihatan yang baik.  Jika kesihatan terganggu, maka aku akan menamatkan perkhidmatan lebih awal.,,,,, wallahu' alam bissawab.

Saturday, March 14, 2015

Majlis Persaraan Guru Besar SKMT

Majlis dirancang sejak awal buka sekolah.  Majlis akan diadakan pada 3 Mac 2015.  Bermula 18 Februari sibuk mencari kain langsir untuk backdrop.  Sudah dipasang , tidak kena pula.  Dibuka semula.
  Aku dan rakan setugas terutama persiapan pentas dan dewan sibuk.   Mereka membuat persiapan pada 23 Februari, kemudian berturut-turut sehingga persiapan lengkap.  Cikgu Pn. Zaidatul Umi
Umairah dan Pn Jamilahton Kholijaah memang pandai mengubah bunga dan mereka mengubah suai backdrop sehingga beberapa kali mengikut persepsi yang menarik.  Beberapa kali membeli bunga dan persiapan-persiapan lain seperti membeli bunga , kain jersi , dan lain-lain.




Kemudian tak menarik, diubah lagi sehingga jadi begini


Cikgu dan ustaz sibuk membarnis set sofa yang dah kelabu asap...supaya jadi berkilat, kemudian beli sarung kusyen yang baru.

                                                         Sibuk pula mengisi goodies

  Semua guru bekerjasama membuat persiapan dewan dan goodies.  Banyak perkarayang telah ditambah terutama skrin dialihkan ke hadapan, gambar-gambar Agong, pemimpin digantungkan di dinding.
                                             Setelah bersantai dan mengambil gambar kenangan
Masih lagi kekurangan apabila tetamu dan VVIP menjamu selera di belakang 



                                            Dewan sementara ini dibuka merangkumi  3 kelas
Hidangan orang yang diraikan dengan ahli keluarga dan VIP

Untuk menyiapkan dewan yang semeriah ini, kami menyiapkan selama beberapa hari bermula dari 18/2 hinggalah ke tarikh akhir 2/3 . Antaranya sibuk dengan menyiapkan gubahan bunga sebanyak 4 pasu, menyediakan goodies dan memasang langsir serta menunggu khem,ah dan kerusi tiba dan dipasang dengan baik.
Menunggu khemah yang dipohon dari Majlis Perbandaran Alor Gajah adalah suatu pengorbanan kerana terpaksa menunggu selama 2 hari, malangnya peralatan seperti kerusi,meja dan khemah tak kunjung tiba, akhirnya kami menyewa khemah dan peralatan tersebut dari salah seorang bapa murid sekolah kami.