Thursday, December 15, 2011

Kaedah mengajar secara individu

   Apabila kita berdepan dengan murid yang kurang membaca atau tidak pandai membaca , sebagai guru kita mestilah membimbing mereka secara individu.  Anak murid tahun 6 ada yang tidak keliru tentang huruf abjad, terutama b dan d, huruf kecil dan huruf besar.
  Langkah pertama mengimbas balik huruf abjad - besar dan kecil.  Kemudian ,ku guna perisian PROMILL- Program Pemulihan Latihan Lanjut.  Mereka boleh akses sendiri di pusat akses untuk latihan pengukuhan .
  Langkah kedua cara menulis huruf , aku gunakan buku garis tiga yang ada  warna merah dan dua baris biru.   Cukup susah nak megajar mereka kerana mereka main hentam sahaja.  Penat aku tuliskan contoh tulisan tersebut.
  Langkah ketiga , aku mengajar membaca ikut modul PROTIM.  Jangan marah cikgu kalau cikgu naik angin kerana cikgu hanya ajar beberapa kali , sepatutnya kamu sendiri yang mengulang kaji di rumah.  Ini tidak, kalau ada cikgu ajar, adalah belajar.  Kalau tidak hilang semua, ajar semula.  Tetapi syukurlah daripada  14 orang murid PROTIM , lulus 9 orang, murid yang lima orang ni memang ada yang tak menduduki kelas tahun 1 , kekadang lompat terus tahun 3 tetapi seorang murid perempuan yang ada kemahuan berusaha bersungguh-sungguh  lompat terus tahun 4 boleh membaca. Itulah hakikatnya , kalau hendak seribu daya. Beginilah ragamnya murid-murid ada yang lambat daftar kerana masalah surat  lahir atau surat beranak, tinggal jauh dari sekolah, kemiskinan dan ibu bapa yang kurang mengambil berat terhadap pelajaran anak-anak.  Kita sebagai guru hanya boleh membantu dan membimbing mereka jika mereka ke sekolah, masalah ponteng satu hal pulak.




Jom Operasi mengemas rumah

  Sejak balik dari 5 Disember 2011, aku asyik mengemas rumah.  Sedikit demi sedikit.  Mula-mula rumput yang panjang telah di mesin oleh suamiku.  Anak bongsuku ini agak lambat sedikit buat kerja, malahan kerja mesti dibuat bersama-sama dengannya.
   Mengemas di dalam rumah dan diluar rumah amat memenatkan.  Maklumlah sudah lama tak kerja keras.  Di luar rumah pokok duri tujuh bilah ni dah sama tinggi mencecah bumbung.  Kata orang makan pucuknya baik untuk elak kanser,  aku pula tanam sahaja.



  Buaian ku ini dah mula berkarat.  Kalau dulu ibuku selalu duduk di buaian ini.  Kini beliau tinggal di Kuala Lumpur.  Aku mesti cat semula supaya tidak cepat berkarat dan reput.  Sudah lama tak main cat, maksudnya mengecatlah.


   Pokok-pokok di tepi pagar ni pula dah tinggi.  Terpaksa dibuang sahajalah nampaknya.  Pokok daun merah ni orang kata buat kibas orang yang kena buatan orang,aku tanam sahaja sebab nampak cantik sedikit . Siapa pulak nak jadi bomoh tukang kibas.  Kini terpaksa ku buang supaya tumbuh daun yang lain.   Inilah nampaknya aktiviti aku semasa cuti sekolah ini,
                   Bahaya sungguh pokok bunga kertas ini, tajam durinya.
              Ini daun pokok bunga merah , aku dah lupa namanya.
             Terpaksalah buang pokok peria katak yang memanjat pagar ni, kata orang buah peria ubat kencing manis dan daun berguna untuk sesiapa yang sangat kulit , gatal-gatal.

Tuesday, December 13, 2011

UPSR 2010 - 2 Sekolah dalam setahun 2010

  Pada tahun 2010 memang bersejarah buatku.  Aku mengajar di dua buah sekolah- satu di Sekolah Kebangsaan Dato' Naning dan kedua di Sekolah kebangsaan Sahabat 4, Sabah.
  Aku mengajar murid tahun 6 di SKDN, Melaka. Aku sebenarnya begitu berat meninggalkan murid-muridku yang bakal menduduki UPSR.  Aku guru Bahasa Melayu mereka dari tahun 4 hingga 6.  Aku ambil mereka dari kelas PROTIM dan ku didik hampir 3 tahun malangnya aku meninggalkan mereka pada 16 April kira-kira 5 bulan lagi mereka akan menghadapi peperiksaan.
  Aku cuba mencadangkan Cikgun Hamidah sebagai ganti tugasku.  Cadanganku diterima.  Alangkah gembira hatiku apabila mendapat keputusan yang begitu menggembirakan  apabila keputusan UPSR diumumkan , Pemahaman mendapat 99% seorang sahaja calon gagal dan Penulisan  96% .  Guru besar dan guru-guru tahun 6 berterima kasih kepadaku.
  Manakala di Sabah , aku mengajar STF bagi murid tahun 6 di sekolah itu  dan sempat memberi ceramah Teknik menjawab  kertas Penulisan di SK Sahabat 4, SK Cenderawasih, SK Tanjung Labian, SK Fajar Harapan dan Kolej Kini.  Sempatlah jberjumpa murid-murid yang berlainan budaya, bahasa, adat dan kepercayaan. Memang jelas dan nyata kebolehan mereka amat berbeza dengan murid-murid di Semenanjung.

Thursday, December 8, 2011

Episod pindah 2010- Sabah

 Pertukaran suamiku Ke Sabah amat mengejutkan aku.  Memang aku tidak bersedia hendak mengikutnya.  Tetapi dia menyuruhku mengisi borang pindah.
  Semasa itu borang pindah mula-mula diperkenalkan secara online.  Oleh kerana online bulan April, maka aku mengisi borang secara offline.
   Beginilah kisahnya.  Aku hantar sendiri borang itu di kaunter di Jabatan Pelajaran Negeri Melaka.  Tiba di kaunter, kerani yang bertugas enggan menerima borangku.  Dia memintaku menunggu pertukaran secara online.  Aku pun berbalas jawab.  Aku memberikan alasan ada dua jenis pertukaran: online dan offline.  Offline untuk kes-kes kronik dan kritikal.
  Dalam pada bertengkar itu, keluarlah seorang pegawai.  Aku sudah lupa namanya.  Apa masalah ini?. Aku pun menerangkan masalahku.  Dia pun melihat borangku. "Oh, Isteri timbalan Penolong Pegawai Pejabat Daerah Melaka Tengah.  Maka kerani tadipun menerima dan meneliti borangku dan ada surat keizinan suami yang tidak ku sertai.  Aku terus menelefon suamiku yang berada di Sabah minta fakskan surat tersebut.  Maka selesailah masalahku dan borang diproses dengan cepat.  Hantar pertengahan bulan Februari, pertengahan bulan Mac dah ada keputusan.  Cuma menunggu jawapan dari Jabatan Pelajaran Sabah.  Aku lagi terkejut apabila JPNS telefon bertanyakan statusku dan PPD Lahad Datu meminta aku memilih sekolah yang berdekatan.  Syukur alhamdulillah.

Episod pindah 2002- Melaka

 Dari mula mengajar memang tiada niatku untuk memiliki kereta.  Dalam hatiku , aku mesti membina rumah sendiri.  Walaupun dah berkahwin selama 7 tahun, namun kami tidak mempunyai rumah sendiri.
  Aku pun membuat rumah di atas tanah pusaka ayahku. Kami terpaksa membuat join loan kerana pinjaman rumah hanya terhad .  Setelah ada rumah atas pinjaman kerajaan, aku pun mohon pindah.  Permohonan ku tidak menghadapi masalah kerana memang yakin dapat kerana ingin menduduki rumah sendiri.
  Kebetulan, kakakku bekerja di Kementerian Pelajaran dan ada kenalan dalam bahagian pertukaran.  Maka mudahlah aku meminta mereka menempatkan aku sekolah yang terdekat dengan rumahku.  Manakala suamiku yang pada awalnya enggan berpindah, akhirnya bersetuju .  Malangnya dari jawatan Ketua Penolong Pengarah bahagian perkhidmatan menjadi guru biasa di SMK Talib Karim.  Kasihanku melihatnya monyok sahaja.
Tetapi alhamdulillah akhirnya bulan April dia menjadi GPK HEM di SM Dato' Said bersebelahan dengan sekolahku yang kedua di Melaka.

Episod pindah 1989 -1

  Ada sesiapa yang nak kongsi cerita.  Jom baca kisah ini.  Kisah ini terjadi pada tahun 1989.  Aku  bertunang selama setahun dengan Abdul Malek bin Haron.  Pada masa itu dia bertugas di SMK  Dato' Onn , Butterworth.  Aku pula mengajar di SK Sri Subang Jaya 2, Selangor.
  Oleh kerana dia meminta aku memohon pindah maka beberapa masalah yang ku hadapi.  Bukan mudah guru muda seperti aku untuk bertentang mata dan muka dengan beberapa orang pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri Selangor yang kebetulan bertiga di meja itu.
  Aku masih ingat lagi, guru besarkutak mahu menghantar borang permohonanku.  Memanglah kerana tarikh dah tutup.  Maka aku pun hantar sendiri.  Aku terus berjumpa dengan pegawai tersebut, maklumlah orang veteran , semua lelaki berbadan besar pula.
 Ha, cikgu apa masalahnya?. Saya nak hantar borang pindah ini.  Cikgu nak pindah mana? Pulau Pinang , jawabku.  Kenapa hantar lewat? Mereka pun meneliti borangku dan aku menceritakan masalahku.  Alangkah terkejutnya aku, mereka kata cikgu baru bertunang, belum tentu jadi kahwin, orang yang sudah berkahwin pun bercerai.  Apabila mendengar jawapan itu, berderailah air mataku.  Aku memang sensitif .  Air mata terus mengalir tidak berhenti-henti.
  Melihatkan keadaan itu, maka mereka pun berkata, " Ai, cikgu datang tadi cantik-cantik , ni menangis.  Tidak apalah nanti kami proses borang itu. Sampai sekarang suamiku menyimpan surat akuan sendiri dan akuan sokongan dari majikan.  Walaupun dah kekuningan , dia masih menyimpan surat itu.

Monday, December 5, 2011

Selamat Tinggal Felda Sahabat

 Jam 6.00 pagi 5 Disember 2011, semua barang telah masuk ke dalam lori dan kereta Unser suamiku dipandu oleh Ajip, pemuda panggilan pekerja syarikat tersebut.  Mereka datang bertiga dari Tawau pukul 4.20 ptg sampai ke Felda Sahabat pukul 9.50 malam.  Mereka berehat sebentar dan sibuk nak menyewa resort di sini dan minta tangguh subuh baru nak mula tugas.
   Bagi kami yang menunggu dari pagi hinggga ke petang tak muncul-muncul, kami membantu packing barang-barang masuk kotak. Kami bertegas kami mesti selesaikan kerja-kerja dan angkut barang -barang dulu sebab akan kami meninggalkan rumah sewa E26B, Jalan Halia, Felda Wilayah ini sebelum pukul 8.00 pagi.  Mereka mula membuat kerja dan mendaftar semua barang bermula pukul 10.20 sehingga pukul 5.30 pagi barulah selesai.  Itupun banyak kerja mereka yang telah kami bantu.  Mereka hanya buka meja bulat itu sahaja.  Katil dan tilam sudah kami cerakinkan macamlah buat pengiraan matematik.  Mereka sepatutnya ada perkiraan waktu.
  Kami yang biasa pindah -randah pun pandai target dan bajet  masa.  Dulu dari Pulau Pinang sebelum lori angkut barang bermula pukul 9.00 pagi hingga pukul 12.30 tengah hari , kira-kira pukul 1.00 tengah hari semuanya dapat diselesaikan.  Kerja-kerja ini mudah, angkat barang masuk kontena. Bayarannya pula RM800 ringgit dari 864, Paya Keladi Masjid menuju ke Lendu , Melaka.
  Pengangkutan kargo berisko sebab barang dimasukkan ke dalam kotak dan dibalut dengan palstik.  Kalau banyak kotak banyaklah kerja. Itupun kami dan bantu mereka.  Sakit pinggang angkat barang dan urat saraf sebab tidak pernah kerja berat seharian suntuk.







  Dari felda sahabat 8. 30 pagi sampai ke Lapangan Terbang Lahad Datu pukul 10.00 pagi. Pukul 11.35 kami kapal terbang kipas MH 3015 sampai Ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu  pukul 1.00 petang.  Sementara menunggu pukul 3.25 ke KLIA kami sembahyang dan akses fb. Kami sampai ke KLIA pukul 6.00 petang.  Anakku yang sulung sampai pukul 7.00 malam. kami ambil kereta dan terus pulang ke rumah.  Kami selamat sampaio ke rumah lebih kurang pukul 10.00 malam.  Sayonara Felda Sahabat dan Sabah.  Mungkin sesekali peristiwa semalam menggamit memori.  Maafkan daku wahai warga Sabah sekiranya kenangan semalam mengguris hati dan perasaan.  kita sebagai manusia saling memerlukan dan hidup dengan aman serta bahagia.