Wednesday, June 18, 2014

Pabila rakan sebaya jadi mentor

Oleh kerana 8 orang muridku Linus, 3 LINUS Tegar dan 5 orang LINUS, maka pendekatan yang kuambil adalah untuk menjadikan muridku yang agak pandai sedikit sebagai mentor atau rakan sebaya sebagai pembimbing.
  Aku telah tetapkan setiap murid LINUSku ada rakan pembimbing.  Program ini telah ku jalankan semasa "Relief' kelas tersebut. Pengalaman mengajar murid-murid PROTIM tahun 6 juga ku lakukan begini. Apa yang menjadi kelakar atau nak jadi cerita , bukan senang nak mengajar rakan sebaya.  Konon-kononnya seorang mentor dan mentee telah datang kepadaku dan meberitahu dengan gembirannya menteenya telah berjaya dipulihkan .  Hanya 5 perkataan sahaja.  Maka aku pun mengujinya.  Apabila diuji bacaan dan sebutan perkatan tersebut , perkataan pertama pun dah salah.  Alu diejanya ulu. Baginilah kalau kita menggunakan murid sebagai pembantu.  Tetapi tak mengapalah peranannya sebagai pembantu guru berjaya walaupun hasilnya kurang.  Aku berharap pendekatan ini berjaya mengurangkan peratus LINUS murid Tahun 1 Arif di kelasku.
  Aku gunakan modul LINUS yang telah ditetapkan sebagai alat penguji dan rakan sebaya sebagai pembimbing.  Perkara ini juga kulakukan di kelas-kelas lain . Syukurlah ada perubahan atau kemajuan sedikit  kepada murid-murid yang tercicir .  Aku berharap agar mereka ada kesedaran untuk membantu rakan mereka.
 


Terima kasih kepada rakan sebaya sebagai pembimbing  yang sudi membantu membimbing rakan yang belum menguasai kemahiran membaca. Semoga usaha mereka dapat meringankan bebanan guru dan seterusnya menjadikan mereka insan yang sedia membantu rakan.  Alhamdulillah bermula episod penerapan nilai murni dalam  sikap saling membantu..

Monday, June 16, 2014

Langkawi Duck Tour

Kemudian kami tertarik dengan sebuah kereta yang dihiasi dengan Langkawi Duck Tour.  Kami tertarik hati untuk menaikinya kerana kereta tersebut bersifat dwi- boleh bergerak di darat dan di air.  Perjalanan dari tempat letak kereta ke Pantai Kok .Kereta tersebut  bergerak menuju ke dari Danna Hotel menuju ke kampung nelayan , Perdana Quay, Jalur Gemilang, Telaga Harbour Park dan Light House "G Feng Shui Spot.  Perjalanan lebih kurang 45 minit.
  Harga tiket RM38 dewasa ,  kanak-kanak bawah  4-18 tahun RM22 seorang , warga emas 60 tahun RM22 dan kanak-kanak bawah umur 4 tahun adalah percuma..  Oleh kerana ingin mengalami pengalaman bagaimana kenderaan ini bergerak di atas jalan raya dan di dalam air , kami pun membeli tiket.. Tepat pukul 12.45 tengah hari kami menaiki kenderaan tersebut.  
  Perjalanan di jalan raya agak lambat dan perlahan sekali terutama apabila  kenderaan  empat roda ini mahu membuat pusingan di selekoh.  Gegaran berlaku apabila kereta ini memasuki perairan dari darat ke laut dan dari laut naik ke daratan.  Seronoknya dapat melihat keindahan perkampungan nelayan, kapal-kapal di pelabuhan.  Inilah pengalaman pertama penulis menaik Langkawi Duck Tour.  Dalam kata lain, L:angkawi Duck Tours adalah sebuah bas dan sebuah boat.  Di darat dikatakan berlari  (running), di laut -menyimbah, (splashing) dan berlayar (sailing).

                                            penumpang dikehendaki memakai jaket keelamatan
                                                                 kapal-kapal di pelabuhan
                                                                     perkampungan nelayan                
                                                         "G: Feng Shui Spot" - Light House

   Langkawi Duck Tours di hadapan pintu masuk tempat meletak kereta di hadapan kereta  kabel .

Peta perjalanan dari tempat letak kereta ke Pantai Kok.

Sunday, June 15, 2014

Percutian di Pulau Langkawi

Dari Alor Setar kami bertolak ke Kuala Perlis .  Tiba di pengkalan feri pukul 11.45 pagi, kemudian kami membeli tiket  RM18  dewasa . Kami pergi bertiga sahaja.  Feri akan bertolak pada pukul 12.45 tengah hari.  Perjalanan memakan masa 45 minit dan kami selamat sampai ke Pulau langkawi pada pukul 1.45 petang.  Suamiku menyewa kereta Vios dengan bayaran RM120.00 sehari.
  Setelah mendapat kereta, kami menuju ke HIG (hotel Ismail Group) . Oleh kerana terlalu penat kami berehat . Pada pukul 5.00 petang kami keluar untuk makan tengah hari merangkap makan malam di Restoran Lubuk  Buaya berdekatan dengan Pantai Cenang.  Kemudian kami ke Billion untuk mencari baju dan keperluan lain seperti nestum , berus gigi, dan minyak wangi.
  Keesokan harinya, 9/6/2014 selepas sarapan pagi, kami terus ke kaki Gunung Mat Chincang untuk menaiki kereta kabel.  Pada tahun 2007, kami berputih mata kerana perkhidmatan kereta kabel diberhentikan sementara kerana cuaca buruk , hujan lebat dan petir...Kali ini hujan gerimis pula.  tetapi kami bersyukur dapat membeli tiket untuk 3 orang dewasa dengan mykad RM15 seorang.  Kalau pelancong asing tentulah  RM30 dewasa dan RM22  kanak-kanak.
  Tentulah kami gembira dapat menaiki Gunung Mat Chincang dengan ketinggian 717 m (2339 kaki) , namun kami terkilan tidak dapat bergambar di jambatan lengkok kerana ia masih dalam diperbaiki. Sampai di pertengahan,  stesen kedua  kabus pula.  Nasib baik tiba di puncak cuaca elok. Kami sempat beli air mineral kerana kehausan .  Sebotol 300ml berharga RM2.00 . Kemudian turun dengan selamat.  Terasa  apabila gerun juga apabila  kereta kabel melalui tiang kerana gondola bergegaran  dan menakutkan.  Semasa hendak masuk ke dalam Gondola yang memuatkan 6 orang penumpang itu tidak berhenti di stesennya, ia akan bergerak perlahan, kita mestilah pandai mengawal kaki masuk ke dalam gondola yang bergerak perlahan itu.
  Musim cuti persekolahan memang ramai pelancong. Memang dompet koyak nampaknya kalau kita gila nak menyimpan kenangan di sini. Di   stesen pertama, nak masuk sahaja terpaksa beratur, kemudian kita diminta mengambil gambar oleh jurufoto, hendak beli atau tidak, tiada paksaan..  Kemudian keluar stesen pertama, gambar kita dah siap.  Sekeping gambar kenangan RM20.  Stesen kedua juga ada jurufoto menunggu dan merakam gambar. Keluar stesen kedua gambar dah siap, bayarlah sekeping RM30, dan dibuat dalam bentuk rantai kunci , beli kedua-dua berharga RM45.  Naik lagi ke puncak ada lagi jurufoto...berbagai -bagai panorama  digunakan dengan  teknik 6D atau 2 D dengan fotoshop. Syukurlah hajat kami dah termakbul dapat melihat keindahan Pulau Langkawi,

                                           bergambar   sementara menunggu suami membeli tiket

 gambar kereta kabel.- tiba di tiang ini agak bergegar dan menakutkan juga.
                                                   bergambar di dalam gondola kereta kabel
                                                               bergambar dengan si bongsu

                                         Kabus tebal - sayangnya tak nampak panorama

Saturday, June 14, 2014

majlis perkahwinan Mohd Firdaus

Pada 6/6/2014 kami bertolak dari Melaka pukul 5.00 petang menuju Kuala Lumpur.  Setelah sampai di Kuala Lumpur lebih kurang pukul 6.30 petang, penulis, suami , anak bongsu dan ibu sampai di kakak.  Tujuan kami ke situ adalah untuk menumpangkan ibu di rumah kakak dan mengambil anak saudara yang ingin ke Alor Setar. Lebih kurang pukul 8.30 malam kami bertolak ke Kedah.
  Dalam perjalanan kami merempuh kesesakan jalan raya.  Perjalanan selama hampir 6 jam kami selamat sampai ke Bibi Embun Homestay di Alor Setar.  Rumah kakak ipar penulis di Taman Tabung Haji, Kepala Batas hanya lebih kurang 9 km dari homestay tersebut.
  Majlis perkahwinan bagi pihak pengantin lelaki dibuat secara ringkas maklumlah majlis menerima menantu.  Semua makanan dan minuman telah ditempah, katering kariah masjid . Majlis berjalan dengan baik,  Kalau majlis di sebelah selatan semenanjung seperti Melaka, Negeri Sembilan majlis akan berlangsung dari pukul 10.00 pagi hingga pukul 4.00 petang , tetapi di sini hingga pukul 6.00 petang dan kalau ada sahabat hadai atau saudara -mara terdekat pihak uan rumah tetap akan melayan tetamu.
  Dalam majlis tersebut , penulis tertarik dengan khemah yang terpampang dengan "KEDAH SEJAHTERA"..  Syukurlah majlis berjalan dengan lancar dan Selamat pengantin baru kepada pasangan Mohd Firdaus dan Raihana ....semoga mahligai yang dibina kekal dan berbahagia hingga ke akhir hayat,..'..SELAMAT PENGANTIN BARU'
   






Kami bermalam selam 2 hari di Bibi Embun Homestay selama 2 malam dengan bayaran RM160.00.  Kemudahan di homestay ini ialah ada sebuah kedai makan yang dibuka hingga ke pagi.  Kepada sesiapa yang kelaparan pada waktu malam bolehlah singgah di kedai makan ini.

Tuesday, June 3, 2014

Menjahit bendera pelepas untuk sukan 2014

Tak lama lagi , sukan di sekolahku akan bermula.  Sukan dijangkakan pada 26/6/2014.  Entah mengapa, bendera pelepas merah dan putih hilang.  Maka,  setiausaha memintaku menjahit bendera tersebut.  Pandai betul! aku dikatakan mempunyai mesin jahit padahal ada antara guru perempuan yang pandai menjahit. Kebetulan cuti, maka aku pun bersetuju.
  Bendera pelepas merah dan putih diperlukan 10 helai. Maka , aku ke kedai kain Sin Lee.  Aku membeli 1 meter kain putih dan 1 meter kain merah.  Semua berharga RM8.50. Kalau beli setengah meter dapat 4 helai sahaja, jadi kubeli 1 meter dapat 8 helai.  Tak apalah terlebih, jangan terkurang.
  Sebaik  sahaja balik dari kelas tambahan, malamnya ku jahit tepi.  Memang aku ada mesin jahit tepi, tetapi meragamlah pula.  Asyik-asyik  putus sahaja benangnya, kalau tak benang di atas , tentulah benang  di  bawah. Dugaan betullah, jadi kerja terbengkalai .
  Pada keesokan harinya, 3/6/2/14 selesai kelas tambahan,  akupun menjahit tepi kain bendera yang telah digunting, termasuk sepuluh helai kain batik  yang dibeli oleh suamiku ketika bermesyuarat di Terengganu. Maka , malamnya aku menyambung menjahit bendera tersebut.  Ukurannya pula 11" X 18 ", setelah dijahit tepi dan siap dijahit ukuran bendera pelepas tersebut 10" X 16" .  Malang juga bagiku, apabila mesin jahitku buat hal.  Mata jahitannya tidak kemas atau lilit ubi. Bertalu-talu aku mengjahit pada kain lain, elok pula jahitannya , tetapi apabila aku menjahit pada kain batik tetap  mata jahitannya lilit ubi.  Mahu tidak mahu aku teruskan jua.
   Akhirnya, cantik juga mata jahitannya, Lain pula hal yang timbul. Kalau tidak benang di atas putus, benang di bawah pula  putus.  Meragam pula mesin jahitku ini. Ah, aku tak peduli mesti siapkan juga pada hari ini , Rabu 4/6/2014.  Syukurlah akhirnya siap juga pada pukul 2.30 petang, setelah membuat kerja sambilan mengutip buah kuinin dan buah mangga serta membuat dadih .
Alhamdululillah.....tetapi berdosanya aku kerana merungut atas kesulitan yang ku alami..inilah dugaan yang terpaksa kita hadapi apabila membuat kerja, tambahan pula ibuku menghilangkan kunci pintu dapur....Ya, Allah ampunilah dosaku.
 
            kain putih dan merah masing-masing 1 meter, pembaris dan gunting.       

 Meragam mesin jahit tepiku kerana benangnya selalu putus, sukar memasukkan benang yang lembut ke lubang jarum yang halus sama ada benang di atas atau di bawah.
                                                    potongan kain yang telah dijahit tepi
                                                   Giliran menjahit kain pula
 Meragam pula mesin jahitku ini, jahitan lilit ubi, kekadang benang di bawah putus kekadang benang  di atas putus....sabarlah.

                            Siap sudah bendera pelepas merah dan putih  ....Alhamdulillah

Monday, June 2, 2014

Belajar simpulan bahasa sambil bermain

Mengajar tahun 6 bukanlah mudah.  Sesekali untuk menarik minat belajar, aku gunakan kaedah bermain.  Kali ini kaedah menyusun huruf supaya menjadi simpulan bahasa.  Hari ini kelas Bahasa Melayu mengambil masa selama 4 jam.  2 jam pertama, ku habiskan dengan mengenalkan tata bahasa yang bertajuk kata pinjaman, kemudian menguji mereka dengan kemahiran ejaan.  Sambil mengenalkan bahasa pinjaman , aku terangkan maksud perkataan tersebut.
  Malangnya, hanya sedikit pengetahuan mereka, memang aku dah agak mereka kurang membaca. perkataan mudah seperiti prauniversiti, mahasiswa, mahaguru, dwibahasa, dasawarsa , seniman, seniwati dan sebagainya.
   Beralih kepada permainan menyusun huruf berdasarkan simpulan bahasa.  Mereka yang menang akan diberi hadiah. Permainan ini sebagai penutup, setelah 1jam setengah membincangkan soalan dan cara menjawab karangan.  Setelah diberi rangka dan mengadakan perbincangan, mereka masih gagal lagi menulis karangan yang berkualiti.  Standard karang mereka seperti murid tahap 1.  Jadi setelah mengadakan perbincangan , mereka hanya perlu salin semula.
  Lihatlah simpulan bahasa yang  mudah pun sukar bagi mereka mendapatkan jawapan, inikan pula soalan yang arasnya lebih tinggi atau soalan KBAT.  Contoh soalah ini kuberikan di papan hitam.



                                        simpulan bahasa paling mudah....kutu embun.
jawapan :
    1.    kera sumbang
           2.    kucing bertanduk  
 3.   mati katak 

Entah bagaimana agaknya keputusan mereka bagi Kertas Pemahaman 011 dan Penulisan 012.
Semoga Alalh memberi kemudahan mereka mengingat dan berusaha bersungguh-sungguh....aamiin.
Pemenangnya ku hadiahkan wang tunai RM1.00 sahaja.  Esok lain pula permainannya.  Dahulu ku berikan rantai kunci kepada sesiapa yang mendapat markah tertinggi dalam Ujian sebagai dorongan dan galakan untuk mendapat markah yang lebih baik....hehehehe.

kisah muridku hari ini 2/6/2014

Kelas tambahan hari ini hanya 7 orang sahaja yang hadir.  7 orang lagi dah hilang.  Walaupun guru berkorban mengadakan kelas tambahan namun murid ku tidak ada kesedaran untuk belajar. Dalam pada meneruskan pengajaran dan pembelajaran , adalah dua orang muridku membawa telefon bimbit.  Yang seorang itu pandai menyembunyikan dan matikan taliannya atau perkhidmatan.
  Malangnya yang seorang ini bermain telefon dan ada panggilan.  Membawa telefon ke sekolah adalah dilarang.  Bukankan dengan adanya panggilan tersebut mengganggu pembelajaran.  Memang ku perhatikan hanya beberapa orang muridku yang serius terhadap pembelajaran. Kalau diperhatikan memang zero dan tidak ada persediaan untuk belajar.
  Berbalik kepada muridku seorang ini. Aku rampas telefon tersebut dan menyimpannya di dalam beg tanganku.  Sedang mengajar, aku sibuk menyemak hasil kerja mereka.  Aku terlupa hendak menutup beg tanganku sementelah ku duduk jauh dan dekat dengan murid, kononnya berkat mengajar murid berdekatan dengan guru.
    Tetapi aku kecewa.  Masuk masa kedua selepas rehat ku dapati murid tersebut dah hilang, ponteng kelas waktu kedua.  Aku pun teringat akan telefon bimbit yang kurampas.  Memang sah dan berani betul dia! Dia ambil telefon tanpa memberitahuku. Aku tanya bila dia ambil  telefon tersebut, Ada muridku nampak dia menghampiri beg tanganku.  Geram sungguh aku kepadanya. Berani betul, tak menghormati barang guru.  Aku takut aku kehilngan wang atau barang-barang lain.  Dia hanya ambil telefonnya sahaja.
     Sakit hatiku dengan sikapnya itu, Memang dasar kurang ajar! Aku pun pelik mengapa murid-murid sekarang begitu kurang ajar. Semakin banyak sekolah dan semakin lama mengajar hampir 30 tahun semakin pelik-pelik kujumpa.  Entahlah , zaman sekarang murid tak boleh terima kesalahan diri sendiri..biarkanlah suatu hari nanti Allah akan beri balasan kepadanya.