Monday, February 8, 2016

Majlis Pernikahan anakku Syara

Dah lama tak menulis...maklumlah sibuk. Pertunangan anakku terlalu mengejutkan. Entah mengapa berkenalan bulan 3, bulan 5 bertunang dan bulan 7 nikah manakala bulan 8 pula majlis resepsi.  Kalau diikutkan memang tergesa-gesa.  Namun dalam hatiku biarlah cepat, susah generasi zaman sekarang, anak gadis sekarang bukan macam dahulu.  Adalah lebih baik nikah sahaja daripada pergaulan yang sukar diramal.
  Oleh kerana adik beradik tak ramai, saudara-mara jauh tambahan pula aku perantau, sukar untukku mengumpulkan sanak-saudara untuk mengatur dan menyelenggarakan majlis tersebut.  Aku bernasib baik kerana suamiku dapat berpindah di Melaka, Kalau seorang di Melaka, seorang di Sabak Bernam lagi susah.  Syukurlah kami dah dapat mendiami rumah kami sendiri.
  Untuk memudahkan urusan, pernikahan, anakku sendiri berjumpa dengan pak imam.  Kebetulan Pak Imam sebelah rumah. Urusan surat-menyurat atau dokumen, mereka sendiri selesaikan. Kami mengambil keputusan untuk katering sahaja pada masa majlis pernikahan, tidak buat besar-besaran, setakat sanak-saudara terdekat dan tetamu sebelah besan.  Tetamu dianggarkan seramai 130 orang sahaja ,  termasuk saudara-mara.
  Sebanyak 2 buah khemah dipasang dengan 24 meja dan kerusi sebanyak 120 buah. Di rumahku ada dua meja panjang dan kerusi tambahan untuk tetamu di rumah.  Majlis pernikahan pada 25 Julai 2015, tepat jam 2.00 petang , Pak Imam dah datang .  Pihak rombongan lelaki pun tiba tepat pada masanya.  Alhamdulillah, majlis berjalan dengan baik dan teratur.  Makanan yang ditempah pula sampai pada jam 1.45 petang sesuai benar, masih lagi panas .  Majlis berakhir dengan jamuan dan tetamu diberikan goodies atau beg berkat yang mengandungi minyak wangi, Al-Ma'Thurat dan gula-gula serta cokat. Ramai pula yang suka akan haruman minyak wangi Al-Kauthar dan Sultan Berunai.
 Tempahan seramai 130 orang dengan harga RM1500 termasuk 2 khemah daripada pengusaha kantin sekolah MOZAK...SM Sekolah Muzafar Syah, Melaka ....yang membuat aku risau ialah setelah pukul 1.45 petang , catering tak datang lagi, hingga menimbulkan kerisauan takut mereka terlupa atau tersalah tempat...rupa-rupanya suamiku memang menempah makanan uintuk tetamu makan serentak pukul 2.00 petang, nasib baik aku ada sediakan minum pagi dan nasi impit makan dengan kuah lontong dan rendang. Kakak iparku pula memasak lauk tempoyak, kek gula hangus dan aku menempah kuih talam , seri muka serta karipap sumbangan keluarga . Goodies disediakan oleh besanku . Terima kasih buat Pn Faridah dan Encik Jamaludin atas sumbangan tersebut.
  Syukurlah akhirnya majlis berjalan lancar.

                                               Majlis akad nikah- suami menikahkan anak
                                           
                                              Pengantin lelaki dan kedua-dua ibu bapa

                                              Kawan-kawan anak saya , Nur Syarafina
                                      Di luar rumah , saudara-mara dan teamu yang hadir
               Kami sekeluarga anak sulung, anak kedua (pengantin perempuan dan anak bongsuku.

                                        kenangan bersama-sama dengan ahli keluarga terdekat
         Majlis pernikahan dibuat awal kerana tidak ada dewan untuk tempahan catering. Kalau buat di rumah pula, rumahku di tepi jalan raya, tiada tempat parking kereta dan kawasan di sekeliling rumah agak terhad untuk pasang khemah. Oleh itu, adalah lebih baik buat majlis resepsi di dewan.
...........bersambung untuk majlis resepsi pada 22 Julai 2015.




   
 

Sunday, February 7, 2016

Tahun Baru 2016

Selamat menyambut Tahun Baru 2016, saya demam pula pada bulan Januari, minggu kedua, 11 dan 12 Januari, mc dua hari.  Sebenarnya , sebelum buka penggal sibuk menjahit langsir kelas alaf ke-21, sakit-sakit urat dah, maklumlah umur semakin meningkat.
  Minggu pertama terasa agak tidak bersemangat ke sekolah kerana sakit-sakit urat.  Selepas itu dikuti dengan demam dan selesema. Rasa  demam pergi Hospital Alor Gajah, check darah, negatif, syukurlah, tidak kena demam denggi.
  Kemudian, ke Klinik Dr Ihsan dan Dr Siti di Alor Gajah.  Demam diberi cuti 2 hari. Macam-macam hal pula, dapat guru besar baharu.  tentulah pentadbirannya berlainan dengan guru besar sebelumnya,
Orangnya  dari  Putrajaya, desas-desus menyatakan pegawai khas dari Putrajaya.  Tentu pelbagai tanggapan dan persepsi yang timbul. Tahun 2016 perlu ku tempuhi dengan lebih tabah.
  Pada awal persekolahan banyak perubahan. Tetapi dalam pada itu, terdapat beberapa perkara yang menyinggung perasaanku.  Adalah seorang murid yang baharu bertukar ke sekolah ini dan masuk ke kelas tahun 6Bestari.  Kita tolong dia, dibalasnya tuba , begitulah umpamanya. Dalam dunia pendidikan banyak cabarannya dan agak terasa perit apabila menghadapi  kemelut demi kemelut di tempat sendiri, umpama luka di jari nampak di tangan, luka di hati tiada siapa yang tahu.
       Sabarlah hati dan teguhlah jiwa agar dapat ku menghabiskan sisa-sisa perkhidmatan yang berbaki 7 tahun lagi.  Semoga tahun ini membawa sinar dan harapan.
 Antara transformasi yang diinginkan berblazer pada setiap Isnin dan berbaju uniform mengikat badan unit uniform pada setiap Selasa.
 Memakai blazer tak ada masalah, yang masalahnya cuaca panas dan berpeluh, mungkin alah bisa tegal biasa

Gambar kenangan awal tahun 2016 

Wednesday, December 2, 2015

Mahalnya harga kesihatan pesakit diabetis

  Perjumpaan dengan doktor bagi pesakit diabetis bagiku membebankan, namun untuk menjaga kesihatan aku dengan berat hati ku melangkah pergi.  Nasibku baik kerana peluang cuti jerebu pada 9 dan 10 Oktober ku gunakan sepenuhnya.  Walaupun penyelaras LINUS sibuk untuk membuat perjumpaan, aku hanya menghantar kertas LINUS ke sekolah.
  Malangnya, semasa check gula dalam darah, bacaannya meningkat .  Jadi , aku diberi lagi tambahan ubat  makan bersama-sama dengan nasi atau makanan lain.  Aku bersyukur berjumpa dengan doktor Melayu yang masih muda kerana beliau terus bertanya kepada mentornya. Nasib baik , aku tak disarankan ambil suntikan insulin. Jadi semakin banyak ubat yang perlu kumakan. Sebenarnya enggan menerima tambahan ubat itu tetapi aku diamkan sahaja.
  Aku sentiasa mencari alternatif baharu dalam mencari penyelesaian masalah. Aku mula mencatu makanan dan mencatat menu yang dimakan.  Selama ini telah banyak wang yangku habiskan.  Pertama tindakan membeli mesin 'onetouch'  test strips, jarum, susu diabetik, blender untuk buah-buahan- kacang hijau + tomato atau epal hijau + peria katak untuk buat jus. Kemudian ku beli teh peria katak. Semuanya ku usahakan sendiri.
  Selain itu, aku terbaca tentang Teh doktor Azlan yang efektif dalam menangani gula dalam darah khas untuk pesakit diabetis.  Aku pun memesan dan membelinya, kebetulan 2 kotak dengan tawaran diskaun RM170. Pada mulanya, aku minum teh itu dua kali sehari , dua sachets setiap hari. Aku minum tanpa memakan ubat.  Bacaan gulanya tetap 10, kalau begitu , tak berkesanlah. Jadi , oleh kerana terlalu mahal, bayangkanlah 28 sachets , bermakna 14 hari, kalau sebulan belanjanya RM200 untuk teh sahaja, belum lagi susu diabetik, huh,,,,mahalnya makanan kesihatanku.
  Jadi, aku beralih sahaja kepada teh peria yang sekotak baharu RM30, boleh minum 10 hari, bermakna sebulan teh peria RM90 . Aku amalkan pemakanan diet dan senaman 2-3 jam seminggu iaitu dengan bersauna, berjalan atas treadmill dan kayuh basikal ' CadioCrossTrainer' . Aku perlu menjaga kesihatan dengan menjaga diet yang betul serta makan ubat mengikut masa yang ditetapkan.
Syukur, Alhamdulillah dengan amalan ini, bacaan gula dalam darah setiap pagi menjadi 7 atau 8, kekadang terbabas hingga 9.
  Aku juga ada menanam pokok belalai gajah dan pokok sabung nyawa yang diberikan oleh seorang tauke emas yang berbangsa Cina. Katanya , daun pokok sabung nyawa elok dimakan 3 helai sehari untuk kurangkan bacaan gula dalam darah. Katanya lagi, kurangkan gula boleh, hilangkan pesakit diabetis mustahil.  Apa-apa pun berusahalah mencegah sebelum parah.
  Pada 1/12/2015 , aku ke Hospital Alor Gajah untuk check gula lagi.  Kali ini aku tak berani sarapan pagi, Pada 6/10, aku sarapan pagi ,minum susu diabetik dan biskut hi-fiber sahaja , apabila check naik 12. Bacaan gula dalam darah semasa di rumah 7.3 dengan 'onetouch"  tetapi semasa check di hospital 7.8. Jadi senyumlah doktor tu, aku takut nak beritahu beliau bahawa aku sebenarnya tak makan sebiji pun pil tambahan itu.  Doktor tersebut hanya bertanya kepadaku, ada check gula di rumah.  Aku hanya memberitahu aku check malam dan pagi.  Sebenarnya ,aku check sebelah pagi sahaja.   Kalau check 2 kali , maka bertambahlah bebanan belanja bulananku.  Test Strips sekotak ada 25 dangan harga RM45. Kalau setiap hari 2 kali bayangkanlah berapa pertambahannya.
  Oh, rupa-rupanya mahal sungguh harga kesihatanku.  Tetapi syukurlah Allah beri aku masa untuk hidup lagi.
     Perbelanjaan setiap bulan
 1. susu diabetik RM99.00 setin - 2 minggu
2. Mesin onetouch seset - RM 50.00 kebetulan ada tawaran (harga sebenar RM120) sekali beli sahaja
3. Test Strips sekotak RM45 - ada 25
4. Jarum sebatang 40 sen - boleh guna 3- 4 kali
5. Teh peria RM30 - ada 20 sachets
4. Lain-lain seperti jus epal + peria katak atau kacang panjang + tomato. (ikut Harga pasaran) seminggu dua kali.
                                                    susu perasa vanila, teh peria dan onetouch
  Ubat gliclazide yang terpaksa ditelan 2 biji sebelum makan pagi dan sebelum makan malam dan ubat Glumet DC 2 biji selepas makan tengah hari dan 2 biji selepas makan malam.  Tambahan ubat Carbose tu sebiji pun aku tak makan, takut nak beritahu doktor , nanti doktor tu marah aku pula ...nanti dikatakan sku lebih pandai daripada doktor, lebih baik diam sahaja.
   


Friday, November 27, 2015

Menanam semula pokok bunga kertas

Tahun 2010-2014, aku tidak sempat menjaga pokok bunga, kebanyakan pokok bungaku dah mati, maka pasu-pasu tersusun rapi. Untuk sementera , aku pindahkan pokok bunga lidah jin dan lidah buaya.  Mudah , pokok tersebut tak perlu baja yang banyak dan senang hidup.  Jemu dengan pemandangan hijau sahaja tanpa bunga, aku mula menanam semula pokok bunga kertas.
  Cuti sekolah dan masa terluang , aku membeli sedikit demi sedikit pokok bunga kertas.  Aku beli pun yang murah sahaja. Beli sepuluh batang, percuma sepokok, harga pun dah meningkat dari 3 batang RM10, menjadi RM5 sepokok.  Aku beli pokok bunga kertas yang pelbagai warna, putih, merah, ungu, oren, dan warna ais krim.  Selain itu , aku terpaksa membeli tanah baja, rasa-rasanya dah seratus lima puluh ringgit, dan pokok bunga pun dah seratus lima puluh ringgit.  Nak cepat dan dapat pokok bunga instant, begitulah caranya.
  Aku juga teringin hendak menanam pokok bunga daisy, kerana pokok ini mudah dijaga.  Dahulu, aku memang banyak menanam pokok bunga ros jepun dan pelbagai warna pokok bunga daisy. Aku beli pun dua pasu, sepasu RM8, kemudian , ku agihkan supaya menjadi 6 pasu.  Selain itu , aku perlu membeli pokok bunga, baja bunga dan baja pokok serta racun.
  Aku juga membeli pokok belimbing buluh dan pokok limau kasturi dan pokok limau purut. Malangnya pokok limau purut yang ku beli bulan lepas telah dimakan dan diserang penyakit, Pokoknya masih hidup tetapi terdapat seperti kulat putih pada batang pokok itu.
  Aku sebenarnya , bukanlah pakar atau arif tentang pokok bunga, tanam sahajalah untuk menceriakan rumah, Aku perlu melihat panorama warna-warni pokok bunga-bungaan.  Semoga Allah memberikan aku kesihatan yang baik untuk terus berbakti kepada tanah.
   Selain menanam pokok bunga, aku juga menanam pokok pandan, kunyit dan serai.  Ada hati juga untuk menanam daun selom dan daun kesom. Tumbuhan ini memudahkan aku memasak dan menjimatkan wang kerana tanah di  sekeliling rumahku masih luas.








Thursday, November 26, 2015

Episod 2- permohonan DG 48 EXPPPLD

Sebelum mengisi borang, banyak perkara yang perlu ku persiapkan. Nasib baik segala maklumat ada dalam fail seperti gambar-gambar, surat-surat dan dokumen mengenai sumbangan -Bahagian P d P, kokurikulum dan tugas khas .  Almaklumlah penilaian dari tahun 2012-2014, bermakna ketika aku bertugas di SK Sungai Sireh dan SK Masjid Tanah.
 Markah LNPT tidak menjadi masalah kerana aku masih ingat lagi markah tersebut ketika memohon guru cemerlang. Cuma markah LNPT di SKMT tidak kuketahui. Masalah utamanya ialah untuk mendapatkan penilaian daripada guru besar SKMT.  Mantan guru besar perlu menjadi pegawai penilai pertama kerana pada tahun 2014 dan 2015 aku adalah pegawai di bawah penilaiannya. Oleh kerana itu, aku terpaksa ke rumahnya untuk melengkapkan Borang Penilaian Tahap Kecemerlangan Guru Tahun 2014. Aku bernasib baik kerana telah menelefon pihak jabatan dan kerani sekolahku mendapatkan pengesahan bahawa mantan guru besar adalah pegawai penilai pertama walaupun telah bersara dua bulan.
  Setelah melengkapkan borang tersebut , ada beberapa borang lain yang perlu diisi termasuklah 3 tahun markah LNPT.  Markah 2012 - 94.30%, 2013 -  95.60 % dan 2014 - 93.25%. Markah tersebut akan dijumlahkan  100%  , diambil kira  20%,  35%  dan 45%. bagi turutan tahun tersebut. Aku sebenarnya kurang berpuas hati dan terdetik di hatiku , terdapat kesilapan terhadap pengiraan markah tersebut.  Oleh kerana , borang tersebut telah lengkap dan aku hendak cepat , maka ku matikan hasrat untuk menyemaknya.
   Maka aku menghantar sendiri borang tersebut ke JPM . Di pejabat Pendidikan pula , tersentap hatiku, apabila kerani yang bertugas itu mempertikaikan markah prestasiku.  Akhirnya,  dengan memandang wajahnya, dia terasa seolah-olah aku merenungnya.  Aku pun tak tahu bagaimana roman mukaku apabila dia menyatakan , "Tingginya markah cikgu ni , hebat sangatkah? ". Agak berasa bersalah,dia pun bertanya kepadaku, ni cikgukah?". "Ya, saya " , jawabku. Maka dipendekkan cerita dia meminta aku menyerahkan surat-surat lampiran supaya PAR menghantar ke PPD.
  Setelah balik ke rumah, baharu aku mengira semula markahku.  Aku tidak berpuas hati lalu menelefon keraniku dan ke sekolah untuk menunjukan cara pengiraan  markah tersebut serta meminta dia membetulkan kesilapannya. Dengan segera dia menelefon kerani di jabatan dan kerani tersebut menyatakan borang penilaian tersebut akan dibuat semula mengikut kiraan mereka. Aku ingat tugasku dah selesai , rupa-rupanya tidak.
 Pada keesokan harinya, aku pun mula bergerak untuk ke Kelantan bersama suami dan anakku menghadiri majlis resepsi anak buah suamiku ke rumah pengantin lelaki  . Kami baharu bergerak , ketika sampai di Maybank Alor Gajah, aku mendapat panggilan telefon. Keraniku pula meminta salinan surat isytihar harta pula.  Dari dahulu aku dah beritahu kerani, apakah dokumen yang perlu ku isi dalam fail peribadiku. Nah, ternyata menyukarkan aku. Aku terpaksa berpatah balik dan menghantar salinan tersebut ke sekolah.  Nasib baik, mood suamiku ok, kalau tidak memang , tak tahulah aku.  Sebenarnya , dulu dia pantang berpatah balik.  Ni , memandangkan permohonanku terlewat, maka dia memberikan kerjasama yang baik walaupun dia mempertikaikan kerani tersebut kerana sepatutnya butiran tersebut boleh didapati daripada data  HRMIS, mungkin salinan surat isytihar harta itu perlu dilampirkan. Syukurlah aku masih menyimpan semua surat -surat dan dokumen dalam fail, jadi tak bermasalah.
  Dengan kemelut ynag kulalui, akhirnya terlerailah sudah.  Syukur Alhamdulillah apabila pada 11/11/2015 aku terbaca keputusan naik pangkat. Sebelum itu, kerani sekolahku menyatakan keputusan permohonanku agak lewat. Tetapi aku tidak mempercayainya. Terbaca keluhan -keluhan guru-guru dalam FB, maka aku pun menyatakan ketidakpuasan hatiku,  Dengan tak semena-mena, aku terbaca komen seorang guru, dia pun menyuruhku menyemak dalam portal semakan kenaikan pangkat secara online.
   Walaupun meraguinya, dalam diam-diam aku menyemaknya.  Syukur Alhamdulillah, namaku ada tersenarai dan keputusan terbentang di hadapan mataku. Tarikh kenaikan pangkat sama dengan tarikh lantikan  GC, 24/08/2015 dan tarikh  Lembaga Bersidang pada 27/10/2015 serta tarik muat data 03/11/2015 dan tarikh kusemak online pada 11/11/2015.  Syukurlah ....sehingga kini 27/11/2015, aku belum dapat surat kenaikan pangkat....masih menunggu .  Semoga Allah mempernudahkan urusanku....aamiin.

Sunday, November 22, 2015

Kemelut permohonan kenaikan Timebased berdasarkan kecemerlangan expppld ( bahagian 1)

Setelah gagal dalam permohonan guru cemerlang, aku memohon timebased DG48 berdasarkan 5 tahun pengalaman DG44 dan 3 tahun expppld .  Aku bernasib baik kerana berjaya dalam permohonan  Guru Cemerlang pada tahun 2010 kerana kenaikan DG pada masa itu memerlukan perkhidmatan 10 tahun, jadi aku belum gunakan lagi expppld itu.
  Biarlah ku ceritakan rentetan peristiwa yang terpaksa kulalui.  Pertama , aku baru sahaja di sekolah ini. Memang ada guru yang menyatakan aku terlalu awal memohon guru cemerlang kerana aku baru 6 bulan berpindah di sekolah ini.  Permohonanku walaupun disokong tetapi pada masa pemantauan terlalu banyak perkara yang perlu kuhadapi dengan persediaan kelas, buku-buku latihan, fail-fail, kelas tambahan tahun 6 dan tahun pertama aku mengajar tahun 1 (pengalaman mengajar banyak tahun 4 hingga 6) serta aku sendirian menghadapi masalah perpindahan bersama-sama anakku yang bongsu tingkatan 5.  Aku juga terkilan atas pengakuan status guru besar yang menyatakan, aku guru baharu di sekolah ini. Dia tidak kenal denganku. Ah, biarkanlah bukan rezekiku! Tambahan pula penyataan nazir yang menyatakan akan ada pertambahan gc di sekolahku.  Namun hampa, mungkin kuota guru cemerlang semakin mengecil dan terhad ditambah lagi dengan bilangan SIC +....
  Permohonanku ini pun agak kontroversi.  Aku terpaksa menghadapi pelbagai cabaran. Memang kusedari , aku sepatutnya memohon lebih awal tetapi tawaran permohonan itu agak tak berapa jelas, maka ku diamkan sahaja.  Aku sering bertanya kepada kerani sekolahku. Entah mengapa, perkara ini ada kubincangkan kepada suamiku. Memandangkan dalam surat tawaran itu berdasarkan kenaikan pangkat fasa 1, maka ku biarkan berlalu.
  Aku pula sibuk membaca fb tentang guru-guru yang memohon kenaikan pangkat melalui web KGM. Aku juga mencari maklumat daripada beberapa web PPD.  Tersentak aku apabila aku membaca web PPD Kulai Jaya, yang menyatakan tarikh permohonan tutup ke Kementerian tinggal 2 hari lagi.  Berdasarkan surat tersebut aku pun mendesak suamiku mencetaknya. Selepas mencetak syarat permohonan , aku pun mengemukakan surat tersebut kepada kerani sekolahku.
  Sudah kunyatakan , permohonan ku mesti secara manual tetapi keraniku masih ingin memohon secara online, apabila dia mengakses namaku tidak muncul.  Puas dicubanya, tak boleh dan namaku tidak ada , Hampanya aku , mengapa dia tak percaya kepadaku. Selepas itu , aku menyatakan rasa tidak puas hati kepada suamiku. Suamiku pula menyatakan mengapa dia bersikap begitu, dah terang dan nyata , permohonan tersebut mesti dibuat secara manual.
  Sekali lagi aku berjumpa dengan  keraniku. Pada mulanya, dia akui.  Kemudian timbul pula permohonan baru, katanya lambat lagi tarikh tutup permohonan tersebut. Bengang dengan keengganannya, maka ku telefon JPM.  Kerani JPM pula dengan tegasnya menyatakan permohonan itu dah tutup , maka dia pun menelefon keraniku.  Entah betul atau tidak ,aku pun tak tahu.
  Kali ini , kerani sekolahku mengikut kehendakku.  Borang-borang permohonan ku cetak sendiri.  Aku bernasib baik suamiku memang arif tentang komputer dan memuat naik ke dalam word. Jadi mudahlah aku mengisi atau melengkapkannya.
 - Bersambung bahagian 2.




Friday, July 3, 2015

Aku bukan Diabetes Tegar

Kali ini aku mahu membuktikan bahawa aku bukan diabetes tegar.  Aku mahu menunjukkan kepada doktor Cina itu , aku bukanlah seorang yang tidak berdisiplin .  Aku kawal pemakanan seperti yang disarankan dalam ceramah , had limitnya RM12.00 buat usia sepertiku,
  Aku juga membuat perbandingan dan catatan senarai pemakananku.  Mungkin memakan masa,  Selain itu juga aku minum jus kacang hijau bersama tomato dan jus epal bersama peria katak.  Tetapi dengan minum jus epal dengan peria katak , ku rasakan pedih perut pula seakan-akan gastrik pula.  Maka aku beralih kepada minum susu diabetik dan makan quacker oat .
  Keputusan  catatan pemeriksaan glukose darah diambil dari 8/6 hingga 13 /6 menunjukkan perkembangan positif.  Begitu juga dengan keputusan ujian darah yang menunjukkan ada sedikit kencing manis. Kali ini bertemu dengan doktor Melayu pula.  Beliau bertanya kepadaku sejak bila menghidap diabetes.  Aku nyatakan baharu 6 bulan . Beliau juga menyoalku mengapa doktor sebelum ini memberikan aku ubat diabetes paling maksimum .  Malas hendak ku jawab.  Aku cuma berdiam diri.  Malangnya, beliau tidak mengubah dos ubat tersebut, malah membuat catatan di buku pesakit diabetes.  Kali ini aku sendiri akan mengawal dos ubat tersebut dengan  mengamalkan pemakanan yang betul.
 Syukurlah, patutlah selama ini aku dapati aku cepat penat dan rasa mengantuk yang teramat sangat di samping tiada motivasi ke sekolah. Mata pula rasa berat dan penglihatan semakin berkurang.  Kini , penglihatanku semakin elok dan ada semangat untuk ke sekolah atau mencari rezeki, semoga Allah memberikan aku kesihatan yang elok.....aamiin.