Monday, June 8, 2015

Terbongkar Rahsia- akhirnya aku pesakit diabetes

Bermula dengan kad hijau dan appointment setiap bulan, aku akur sebagai pesakit diabetes.  Rasa yang amat malas dan tidak bertenaga, cepat letih membuatkan aku rasa hendak berhenti kerja.  Tambahan pula bebanan yang banyak yang ku hadapi seperti setiap kali berpindah-randah, memunggah dan menyimpan barang seperti perpindahan dari Melaka ke Sabah 2010-2011, dari Sabah ke Sabak Bernam 2011- 2012, kemudian dari Sabak Bernam ke Melaka mungkin menambah stress kepadaku. Dengan memandu sejauh 121km dari Sabak Bernam ke SK Sungai Sireh selama 2 tahun dan lain-lain dugaan yang perlu ku alami, menjadi penyebab kepada penyakit ini atau inilah dugaan yang perlu ku hadapi.  Aku cuma mencari sebab dan akibat atau punca sebenar penyakitku.
   Tak apalah terima sahaja dan redha sebagai dugaan kepadaku.  Mungkin ada baiknya, Allah memberikan aku peringatan yang lebih awal supaya menjaga pemakanan dan kesihatan.  Bagaimana hendak aku  terima kenyataan sedangkan pemakananku agak terhad.  Aku kurang menikmati makanan yang manis dan nasi pun dalam kuantiti yang sedikit. Rasa haus yang teramat dan ketika berpuasa suatu hari dulu menyebabkan aku seakan-akan kanak-kanak kecil mengeliut kehausan dan mengharapkan agar cepatlah waktu berbuka puasa. Simpton-simpton tersebut membuatkan aku mengalah dan pasrah sebagai  pesakit diabetes.
  Kini aku harus membuktikan kepada doktor Cina tersebut bahawa aku seorang yang berdisiplin dengan menyukat pemakananku.  Semua pesakit diabetes diberi taklimat tentang pemakanan, ciri-ciri pesakit diabetes, senaman. dan cara mengekalkan kesihatan. Seminar tersebut diadakan pada 20/5/2015 selama 3 jam dengan doktor diabetes, pakar pemakanan dan fisoterapi .  Agak bermanfaat juga diberi penerangan tentang pemakanan pesakit diabetes kerana selama ini aku mengambil susu pekat manis, nesvita 3 in-one.  Menurut pakar pemakanannya kalau usia muda lagi makanan dihadkan sebanyak RM12, kalau dah berusia lebih  lanjut terhad kepada RM10. Pesakit diabetes diberi panduan pemakanan yang sihat seperti mengambil banyak mengambil sayur-sayuran  dan buah-buahan serta menjadikannya  sahabat baik
    Sekarang ini,  bermulalah hidupku dengan mengira had jumlah pemakanan, kalau melebihi bermakna melanggar disiplin atau peraturan.  Aku bersyukur dapat banyak info daripada doktor muda Miss Tan yang sudi mengongsikan carta pemakanan pesakit diabetes dengan mengemelkan maklumat tersebut dan meminta aku tidak kongsikan kepada orang lain.  Aku akan memegang amanah tersebut.
   Mungkin ada baiknya Allah menguji aku supaya menerima kenyataan dan menjaga pemakanan serta menerima hakikat kebenaran.  Selain itu, aku juga berusaha menurunkan bacaan gula dengan membuat jus epal + peria katak atau jus kacang panjang + tomato.  Apabila gandingan kedua-dua jus ini , bacaan gula dalam darah mulai turun dan aku juga sudah memberhentikan beberapa ubat-ubatan tradisional seperti ubat resdung, kacip patimah, pil blue berry untuk mata dan pil tambahan untuk kalsium.  Semua ini menjadi bahan uji kajiku supaya bacaan gula dalam darah berkurangan.
   Yang pastinya apabila minum jus kacang hijau + tomato adalah amat berkesan sekali teutama kadar bacaan gula dalam darah akan berkurangan dengan cepat.  Semoga aku menjadi orang yang lebih berdisiplin dalam menangani diabetes.

Patutlah selama ini aku rasa tidak bersemangat dan selalu mengantuk serta tidak berdaya untuk membuat kerja-kerja rumah dan rasa ingin pencen lebih awal.  Tetapi memandangkan banyak tanggungjawab yang belum ku lunaskan , maka hendak tak hendak , aku perlu melangkah dan bergerak ke hadapan demi memenuhi impian dan harapan yang belum tercapai.  Semoga Allah memberikan aku semangat untuk terus berdiri dan berlari........aamiin .

sukarnya ku menerima kenyataan bhgn 2

Semangat kentalku semakin luntur.  Ingin ke sekolah terasa berat hati, dan rasa penat yang teramat. Kemudian aku beralih buat fully check up di Hospital Alor Gajah pula.  Pertama kali buat check up sama sahaja prosedurnya, dan keputusan gula dalam darah 13 mmol/L dan kolesterol tinggi. Aku diberi setengah biji ubat kolesterol dan sebiji glumet DC makan dua kali sehari  sebagai pesakit diabetes.
   Walaupun diberi ubat tersebut, aku masih tidak mengubah cara pemakananku.  Pagi-pagi minum nesvita 3 in-one dan minum kopi susu pekat manis bervitamin , serta kuih manis. Setelah sebulan diambil darah lagi dan doktor ingin melihat perubahan bacaan gula dalam darah. Keputusan sama, akhirnya aku dimarahi doktor berbangsa Cina itu. Dengan marahnya, dia meminta aku mengambil insulin secara suntikan.  Lagilah aku tidak boleh terima. Beliau pun menerangkan bahawa ubat yang aku makan itu tidak berfungsi  tambahan pula beliau menerangkan bahawa aku masih muda, kalau tidak buah pinggang dan jantung akan rosak.  Aku mendengar sahaja leterannya.  Aku memintanya memakan ubat tablet sahaja.
  Dengan nada marah , beliau menulis dalam buku pesakit bahawa sepatutnya aku dapatkan suntikan  insulin.  Walaupun demikian, beliau masih memberikan aku tablet, ditambah dengan tablet Gliclazide 2 biji 2 kali makan ,Gumet DG 2 biji 2 kali makan sehari dan   ubat kolesterol sebiji pada waktu malam.  Aku diminta mengambil bacaan gula dalam darah sehari 4 kali selama 6 hari.
  Oleh kerana terlalu banyak sangat omelannya, maka aku mengambil keputusan untuk membeli alat menguji gula dalam darah.  Pada mulanya aku berjanji untuk beli daripada juru rawat yang bertugas di bilik rawatan Diabetes itu tetapi kehabisan, aku menyatakan lain kali aku beli.
  Dengan rasa tidak puas hati, aku terus ke Farmasi Saiza untuk  membeli susu diabetik dan alat menguji gula dalam darah itu. Kebetulan pula ada beberapa jenama mesin atau alat menguji glokus dalam darah di Klinik Saiza,  aku memilih yang paling murah, dan  diskaun atau tawaran murah dengan harga RM49.90 dengan syarat menjadi ahli. Kalau tidak harganya RM120 sebuah.
  Akhirnya , aku terpaksa terima hakikat bahawa aku seorang pesakit diabetes. Nasihat si pekerja di Farmasi Saiza itu membuatkan aku ada semangat ....."Tak apa, jangan susah hati, kita lawan penyakit tu,". Sejak hari itu aku mula menyukat makanan seharian dan bermulalah kehidupanku sebagai pesakit diabetes........bersambung.

Sukarnya ku terima kenyataan..begitulah ketentuan-Nya

Aku tidak ingat entah berapa botol aku telan ubat batuk Hurix, batukku tak juga sembuh.  Beralih kepada madu pula.  Kemudian aku demam disertai dengan  batuk dan selesema.
  Dengan keadaan yang melemaskan itu membuatkan aku ke Klinik Doktor Insan dan Siti, di Alor Gajah.  Semasa mendapatkan rawatan, Doktor Ihsan bertanyakan tentang jerawat di dahiku.  Kenapa di dahi tu, dah lamakah?.  Selamba aku menjawabnya," Baru tiga hari, " "Oh, begitu, tak mengapalah, kalau dah lama bahaya tu!".  Pertanyaannya menimbulkan seribu persoalan kepadaku.
  Kemudian, aku ke sekolah . Batuk dah beransur baik dengan memakan ubat antibiotik.  Kemudian aku disarankan buat fully check up oleh salah seorang guru memandangkan usia semakin meniti senja. Aku berpuasa untuk membuat fully check up seperti menguji kahak kerana batuk yang berlarutan, x-ray, ujian ambil darah dan air kencing.
  Untuk melakukan semua check up penuh ini, aku ke Poliklinik  Masjid Tanah. Setelah sebulan ada janjitemu dengan pihak doktor.  Keputusannya blood glucose memeranjatkan aku.  Keputusan 15.1 mmol/L dan bacaan kolestrol tinggi.   Aku tak tanya pula berapa bacaan kolesterol.
  Pada saat diberitahu,  aku agak terkejut dan rasa susah hati. Aku juga enggan menerima keputusan tersebut.  Akhirnya , aku dimarahi oleh doktor bangsa benggali tersebut. Oleh kerana aku enggan makan ubat, maka beliau menulis di kad tersebut sebagai pesakit diabetes.  Beliau terus menyimpan rekod tersebut tanpa memberi ubat kerana aku sendiri tidak mahu makan ubat dengan luahan katanya, " Nak buat apa saya bagi ubat kalau mak cik tak mahu makan ubat,".....hehehe ,   faham-fahamlah sikapku seboleh-bolehnya aku tidak mahu makan ubat dengan alasan sekali , dah makan seumur hidup bergantung hayat kepadanya....Wallah'ualam bissawab.

Saturday, May 16, 2015

Kejohanan Sukan Olahraga ke-44 , SKMT

Tahun kedua menyambut sukan di SKMT pada tahun 2015.  Tahun ini agak sibuk dengan beberapa program sekolah yang hadir  silih berganti tanpa henti. Semua pasukan rumah sebuk membuat persiapan sama ada latihan sukan, ujian tara dan  pertandingan  bagi acara-acara sukan serta lain-lain pertandingan seperti perbarisan dan khemah tercantik. Kami ahli Rumah Hijau /Hulubalang bersedia menggalas tanggungjawab.  Agak meriah  pertandingan  bagi acara perbarisan dan pertandingan khemah tercantik selain semangat kesukanan yang dipamerkan. Semangat berlumba dan sikap persaingan yang baik tercerna dalam setiap ahli pasukan rumah yang membara untuk menang dalam semua acara yang dipertandingkan.
  Kami membuat persediaan dengan perbelanjaan terhad.  Setiap pasukan rumah diberi RM50, maklumlah sekolah kami kecil, bajet pun kecil, kalau boleh semua dijimatkan.  Dengan peruntukan yang kecil itulah , pandai-pandailah  setiap guru menguruskan perancangan mereka .  Kami menetapkan setiap guru menyumbang RM15 untuk menampung makanan murid , minuman, dan keperluan lain seperti hiasan khemah dan perbarisan.  Murid-murid ditetapkan membayar RM5 untuk makanan dan air iaitu nasi lemak berlaukkan ayam dan air sunquick.
   Kami guru pasukan rumah Hijau atau Hulubalang bersepakat merancang untuk memenangi pertandingan dan cuba menjuarai kejohanan sukan pada tahun ini.  Beginilah perancangan kami tetapi yang  menentukan hanyalah Allah s.w.t.  Pada masa hari sukan pula hujan turun selebat-lebatnya dan kami bernasib baik dapat melaksanakan sukan tersebut setelah hujan reda.  Kami beruntung  kerana walaupun hujan  , acara dijalankan dan tidak ada petir dan kilat.  Sekiranya berlaku, tentulah kami terpaksa tunda sukan tahunan tersebut. Syukur Alhamdulillah , semuanya selamat .


 










Hujan turun dengan lebatnya.




Persiapan khemah

                                                           Naib johan keseluruhan
                                                                  Johan perbarisan

Friday, May 15, 2015

Hadiah termahal buatku pada Hari Guru 2015

Orang lain gembira mendapat hadiah sempena Hari Guru tetapi berlainan dengan aku. Jam 4.30 petang 15/5/2015 terpapar kisah seorang guru mengikat tangan murid perempuan di sebuah sekolah rendah di Pulau Pinang,  Semut Harian membuat onak kepadaku, memviralkan gambarku yang diedit bersama -sama kecederaan murid budak tersebut.  Gambar itu di siarkan dalam facebook oleh Semut Harian.
   Nasib aku baik kerana  salah seorang daripada rakan yang sama mengajar di Sabah, mengetahui hal ini dan mentioned namaku di fb.  Bimbang diviralkan atau disharekan oleh orang-orang tertentu, maka aku share dahulu gambar tersebut di fbku.  Ramai kawan yang menyarankan agar aku membuat saman malu.  Dengan bertindak cepat , aku membuat aduan ke balai polis dan aduan kepada siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.  Aku pergi ke balai polis dan menghabiskan masa daripada pukul 5.30 hingga 7.15 malam,
  Dalam pada itu , aku masih membaca komen kawan-kawan.  Selang beberapa minit kemudian, ku dapati keratan gambarku telah  digantikan dengan gambar lain.  Pada jam 8.00 malam, mungkin Semut Harian dah kepanasan kot,  jadi dihilangkan gambarku.  Tahukah kamu gambar tersebut telah kurakam dan kuabadikan dalam fbku.  Sedihnya aku, Hadiah Hari Guru Tahun 2015 adalah kisah yang memalukan. Gambarku diviralkan seolah-olah akulah guru yang mengikat tangan murid perempuan itu.  Apakah kesilapanku maka diambil gambarku dan ditempelkan di situ?
 
Jika kuajukan kepada pembaca,apakah tindakan yang sepatutnya aku ambil.  Malas ku nak layan kerja-kerja yang membabitkan hal remeh-temah dengan siasatan dan turun naik mahkamah.  Memang mencemarkan nama baikku , kewibawaanku sebagai seorang guru telah tercabar, di manakah harus ku dapatkan keadilan, saman  memang baik, tapi tak berbaloi kot dah tercalar di hatiku , dah terpahat dan sukar dikikis malahan telah diviralkan kepada 51 share , dan mungkin diviralkan lagi.
  Diharap perkara ini menjadi pengajaran kepada semua yang suka mengambil kesempatan atas kelonggaran menuntut hak kita sendiri.  Wallahu'alam bissawab.

Friday, April 24, 2015

Pantun AntiDadah- Program AntiDadah 5 minit .

Selaku guru penyelaras , Program Antidadah SKMT, kami telah melaksanakan beberapa aktiviti mengenai antidadah , antaranya melafazkan sajak .  Program 5 minit tentang dadah telah dilaksanakan dengan melafazkan pantun yang bertemakan "Keluarga Bahagia".  Pantun ini dilafazkan oleh Amna Nafeesa dari tahun 5 Arif.  Guru bertugas pada 2 April 2015 ialah Pn Noorsafrina bt Hamdani , yang menerangkan maksud pantun tersebut.  Kami berharap murid-murid faham akan maksud yang tersurat dan tersirat dalam pantun tersebut.

Burung kenek-kenek,
Jatuh atas tanah,
Pesan datuk nenek,
Jangan hisap dadah.

Ikan gelama dikerat-kerat,
Untuk hidangan si burung camar,
Kerana dadah diri terjerat,
Maruah tergadai nama tercemar.

Melaka Bersejarah diberi nama,
Terkenal sudah di serata dunia,
hindarilah dadah musuh utama,
Tanpa dadah keluarga bahagia.

Terkenal bola kerana bulat,
Terkenal tukul kerana pahat,
Jika dadah dijadikan kiblat,
hidup merana sepanjang hayat.

Hendak berkelah di Tanjung Bidara,
Janganlah lupa membawa celana,
Hilang keluarga hilang saudara,
Pengaruh dadah diri yang merana.





Saturday, April 18, 2015

pertandingan catur

Pada 14/4/2015, pertama kali aku membawa murid menyertai pertandingan catur di SK  Demang Taha, bagi kawasan Alor Gajah.  Memang berasa keterberasingan kerana aku tidak mengenali sesiapa pun guru yang menghantar murid  di situ.
  Walau bagaimanapun aku masih bersikap ingin mencari kawan.  Setibanya, aku di sekolah itu , murid-muridku bukanlah asing bagi mereka kerana mereka berjumpa dengan kawan-kawan mereka yang bersekolah di situ.
   Pada awalnya, keempat-empat muridku ok sahaja.  Mereka masuk ke dalam dewan dan mengambil tempat di papan paring mengikut nombor giliran yangtelah ditetapkan,  Dewan yang luas terbentang dan meja disusun dengan memanjang tiga baris  untuk peserta lelaki dan perempuan  bawah 12 tahun, lelaki dan perempuan bawah 15 tahun serta lelaki dan peempuan bawah 18 tahun.
   Setelah mendengar taklimat kesemua peserta yang kubawa mengambil tempat.  Setelah diumumkan semua peserta  masuk ke dewan semula, tiba-tiba salah seorang muridku keluar semula.  Dia memberitahuku bahawa dia takut.  Hairannya aku bagaimana seorang murid lelaki berbadan besar dan pengawas takut untuk bermain catur.  Kalau di sekolah dan di hadapan rakan-rakannya boleh juga dia bermain catur.  Mungkin dewan yang besar dan suasana pertandingan yang melibatkan ramai peserta membuatkannya berasa gerun. Tambahan pula mungkin pihak lawannya pernah menyertai pertandingan catur tersebut. Walaupun dipujuk oleh pengerusi teknik dan arbiter agar jangan takut dan mereka sedia duduk di sebelahnya, namun muridku enggan.  Keras hatinya, dah dipujuk berkali-kali , dia tetap dengan keputusannya.
  Setelah kawan-kawannya bertanding mengikut paring yang telah ditetapkan, mereka berjaya memungut 2 mata bagi enam pusingan, akhirnya aku membuat keputusan balik lebih awal kerana tidak ada gunanya menunggu lebih lama .  Pemenang pertama hingga kedua belas akan diberikan sijil manakala yang kalah tidak diberikan sebarang sijil penyertaan.  Hanya pemenang pertama hingga kelapan sahaja layak menyertai pertadingan peringkat negeri.
   Pengajaran daripada peristiwa ini ialah kekadang kita tidak menjangka sesuatu perkara akan menimpa kita.  Kita sebagai guru ingin membawa murid kita ke pertandingan bukan sahaja hendak menang tetapi biarlah mereka tahu situasi dan undang-undang permainan selain dapat berkenalan dengan rakan-rakan dari sekolah lain.
      Malangnya anak muridku berhati kecil , takut berdepan dengan lawan dan mengalah sebelum bertarung.  Maka, ku sampaikan berita ini kepada  semua guru di SKMT, "kalah tanpa bertanding" membuatkan sesetengah guru di sekolahku menyatakan bahawa aku tersalah taip. Memang aku malu dengan peristiwa ini tambahan pula sekali lagi guru pasukan diminta datang ke dewan.  Pengerusi teknik menyatakan seorang lagi muridku enggan bertanding.  Puas ku cari, rupa-rupanya murid lain yang tidak hadir sedangkan muridku menunggu di papan paring sehingga masa berlalu 20 minit.
Nasib baik aku memberikan jawapan yang tepat dan muridku ada  seperti yang ku n yatakan.
   Peristiwa ini mengingatkan aku agar berhati-hati memilih peserta.  Walaupun hakikatnya peserta tersebut sukarela  ingin menyertai pertandingan tersebut.

Syabas kepada peserta yang lain biarlah kita kalah asalakan mempunyai semangat dan jiwa yang ketal untuk bertanding.