Wednesday, August 8, 2012

Ramadhan 1433

  Bersyukurlah kerana dipanjangkan umur dapat melihat sinar Ramadhan dan semoga dapat melaksanakan rukun Islam ketiga iaitu berpuasa.  Tahun ini puasa pertama pada 21 Julai 2012.
  Buat kali pertama, sembahyang terawih di Masjid Kampung Sungai Apung, Sabak Bernam.  Berbeza dari  2 tahun yang lepas, aku berterawih di masjid Felda Wilayah , Sabah di mana dapatlah berkenalan dengan kakitangan felda, guru-guru dan pekerja felda.  Masjidnya pula besar dan sesuai dengan kemudahan serta imam -imam yang berkelulusan dari luar negeri.  Keselesaan yang sempurna dilengkapi dengan penghawa dingin tetapi sayangnya kebisingan kanak-kanak yang kurang mengerti tentang ibadah ini mengganggu ketenangan dan keharmonian .
  Masjid di Kampung Sungai Apung besar juga tetapi maklumlah keadaan kampung.  Tempat sembahyang muslimahnya amat kecil.  Walaupun ada kemudahan kipas angin namun keadaan amat panas .  Aku pula merasa amat dahaga setiap kali selepas sembahyang kerana kami sembahyang terawih sebanyak 23 rakaat termasuk sembahyang witir.  Timbul pula keresahan di hati apabila penduduk kampungnya amat sedikit berbanding dengan besarnya masjid tersebut.  Apakah anak-anak muda akan kembali sembahyang ketika Hari  Raya sama seperti Masjid Kampung Lendu di kampungku sendiri.  Masjid hanya meriah ketika Hari Raya kerana anak-anak muda pulang dari perantauan.
  Berbeza pula dengan sembahyang terawih di surau SBPI, Sabak Bernam.  Suraunya dipenuhi dengan pelajar-pelajar dan guru-guru SBPI terutama warden asrama.  Keadaan yang selesa tidaklah panas.  Meriahnya hanya waktu persekolah Isnin hingga Jumaat  manakala Sabtu dan Ahad mereka dibenarkan pulang ke kampung.
  Sempena cuti Nuzul Quran, kami sempat balik dan berterawih di Masjid Kampung Lendu.  Wah, ada perubahan rupanya. Imam muda yang bersuara lunak dan syahdu membuatkan aku begitu terharu.  Dia dari sekolah tahfiz berbeza dengan pendidikan imam kampung.  Baguslah ada perubahan.
   Beginilah kehidupan yang kulalui , entah berapa lama harus ku tempuhi begini? Semoga Allah mengizinkan aku kembali ke tanah kelahiranku sendiri dan rumah kediaman yang tersergam di Melaka.


No comments:

Post a Comment