Sunday, February 20, 2011

Muridku 2009

 Kesimbungan tugasku pada tahun 2009 pula, aku masih lagi mengajar tahun 6 Mawar. Menurut guru besarku, murid tahun ini lebih bijak dari murid tahun 2008.  Padaku itu tidak menjadi hal tetapi yang lebih menarik kali ini muridku termasuk anak bongsuku . Memang keputusan Peperiksaan Akhir Tahun mereka lebih baik daripada  kumpulan yang lepas sementelah mereka kebanyakannya terdiri daripada anak-anak guru tak terkecuali  Sekolah Kebangsaan Dato' Naning, Sekolah Menengah Dol Said dan sekolah yang berdekatan.
   Sebenarnya murid yang boleh dibanggakan hanya seorang, yang mana dia berjaya membolot hadiah mata pelajaran yang paling banyak.  Aku tidak nafikan, walaupun dia bukan Melayu tetapi dia berjaya mengatasi kertas 2 Penulisan daripada budak-budak Melayu.  Aku dapati budak-budak Melayu ini sebenarnya bukanlah tidak pandai tetapi usaha mereka sedikit berbanding dengan yang seorang itu.  Dia tidak berkawan walaupun ada murid yang sebangsa dengannya.
  Sikapnya ego, walaupun seorang pengawas tetapi selalu datang lewat ke sekolah terutama pada hari Jumaat kerana Bacaan Yasin.  Sebenarnya, di sekolahku, pada masa Bacaan Yasin, murid yang bukan Islam dipantau oleh guru yang sebangsa dengan mereka.  Panas darahku melihat keegoannya.  Seorang pengawas yang tidak mendengar arahanku, tidak hadir kokurikulum dan jika ada majlis sukan atau acara-acara yang melibatkan sekolah .
  Namun, aku sebagai guru kelas hanya melaporkan sahaja.  Ketidakhadirannya membuatkan aku membakar semangat murid-murid lain agar dapat mengatasinya kepandaiannya. Rupa-rupanya keatidakhadirannya ke sekolah, dia belajar  sendiri. Menurut ibunya, anaknya memang pandai .  Pada aku kalau dipaksa dari kecil tentulah pandai.  Bagaimana pula interaksinya dengan murid lain?  Kekadang aku kasihan melihatnya, dia tidak membawa wang, makan bekalan yang dibawa.  Aku marah sebab dia pengawas makan di hadapan bilik komputer, alasannya agar sempat belajar nanti. Menurut cerita murid yang tinggal berdekatan dengan rumahnya, dia mesti dapat markah tertinggi, kalau tidak siaplah...... kena denda.
  Berbalik kepada kisahku tadi, muridku ini ada yang tidak sedar diri.  Mereka ingat duduk di Kelas 6 Mawar tidak payah belajar kerana mereka tergolong dalam murid pandai.  Bukan kelas yang menentukan kepandaian sebaliknya usaha.  Sesetengah mereka ada yang culas, tidak buat kerja.  Bilaku nak masuk kelas dari jauh ada tukang beritahu maka mereka pun berpura-pura membaca buku atau membuat kerja. Anakku sendiri masih ingat lagi kataku,"Janganlah hipokrit, cikgu tahu ". Murid-muridku ini agaknya dah remaja cepat kot, ada yang ramai makwe kalau lelaki dan yang perempuan ada pakwelah.  Pakaian ke kelas tambahan malam kalah aku, bajunya berkilat,gemerlapan dan kasut bertumit.
  Kalau tahun 2008 muridku seramai 30 orang, tahun 2009 bertambah ramai pula 34 orang.  Pernah aku naik angin kerana mereka tidak membuat kerjaku terutama murid lelaki. Aku tinggalkan kelas dan ku perhatikan dari jauh. Bukannya mereka takut.  Terkejut aku apabila mereka yang terdiri daripada ketua pengawas dan beberapa orang murid lelaki mencari aku di Bilik Guru . Dengan linangan  air mata , mereka meminta maaf namun aku buat tak tahu.  Semua guru terpinga-pinga.  Rasakan mereka bagaimana kalau cikgu buat tak tahu.  Semenjak hari itu, mereka baru serius untuk belajar namun ada segelintir yang masih tidak sedar lagi.  Di akhir cerita,  hanya 31 orang sahaja berjaya mendapat A dalam kedua-dua kertas Bahasa Melayu UPSR.  Aku sebenarnya dapat mengesan lebih awal namun mereka tidak berubah, apa nak buat.  Kepada murid yang berjaya mendapat 5A syabas dan kepada yang  tidak,  harap usaha lagi.  Perjalananmu masih jauh ke hadapan. Moralnya terimalah teguran guru anda kerana seseorang guru akan berpuas hati apabila muridnya dapat mengubah sikap .

No comments:

Post a Comment