Tuesday, March 1, 2011

Rumahku

  Tahun 2010 merupakan tahun yang mendugakan keimananku.  Suamiku telah mendapat arahan bertukar ke Sabah.  Keputusannya adalah muktamad.  Bagiku, berita itu seolah-olah menduga kesabaranku kerana persekolahan 2010 barupun bermula.
  Bukannya aku tidak mahu, banyak yang perlu disediakan.  Setelah berkahwin, aku terpaksa mengikutnya berpindah ke Pulau Pinang.  Aku memang selesa tinggal bersama keluarga di Kuala lumpur walaupun  mengajar di Selangor. Jarak di antara rumahku dengan sekolah  tidaklah jauh.  Pada tahun akhir tahun 1989, aku akhirnya berpindah ke Pulau Pinang dan memulakan hidup baru.  Tak banyak barang yang dibawa hanya seset pinggan mangkuk dan pakaian sahaja.  Di Pulau Pinang, kami mulai hidup.  Kami membeli perkakas rumah sedikit demi sedikit.  Pendek cerita, aku telah berusaha untuk membina sebuah rumah di atas tanah pusaka arwah ayahku.
   Pada tahun 1999 rumah itu siap.  Kami terpaksa membuat pinjaman bersama kerana memandangkan pinjaman terhad.  Aku telah berusaha untuk berpindah ke Melaka walaupun pada mulanya suamiku enggan.  Pendirianku berpindah muktamad . Aku sebenarnya amat sayang akan rumah yang baru dibina.  Terpaksalah aku menyewakan kepada pelajar UiTM sementara aku memohon berpindah.  Mereka menyewa rumah baru itu selama 2 tahun.
  Peristiwa rumahku dimasuki pencuri ketika kami tinggal sementara pelajar-pelajar UiTM itu cuti amat mengejutkan aku.  Tak selamatkah aku di kampung sendiri? Sedangkan di perantauan selama 12 tahun, rumah orang lain  dimasuki pencuri,  rumah sewa kami selamat.  Ini bererti betapa amannya hidup kami di Kampung Paya Keladi.  Peristiwa itu menyebabkan aku berfikir bagaimana nanti kalau suami tidak ada, maksudnya enggan berpindah.
   Tetapi peristiwa itu mendatangkan hikmah kepadaku.  Dengan diam-diam akhrnya suamiku memohon berpindah.  Perkara ini kuketahui hanya melalui desas-desus almaklumlah ketika itu aku masih lagi berkuliah , menyambung pelajaran PJJ di USM.  Memang jawatannya di Jabatan Pelajaran Pulau Pinang sebagai ketua Unit amat sibuk, selalunya tidak ada di rumah.  Dua tiga hari ke KL, Selangor, Johor dan entah apa-apa lagi kekadang aku tidak peduli. Pada akhir tahun 2001, kami berpindah ke rumah sendiri di Melaka .
   Sembilan tahun, kini terpaksa berpindah lagi.  Nasib baik kedua-dua anakku sedang belajar di  menara gading, bolehlah mereka menengok-nengokkan rumah itu.  Baru tujuh bulanku tinggalkann rumah itu sudah ada tikus dan semut.  Barang-barang antikku cadar crosstich dan kait yang disimpan di dalam almari sudah digigit tikus.  Sayangnya,   bukan mudah untukku  membuatnya , itulah hasil tanganku 27 tahun lalu.
  Hatiku sebenarnya berbelah bahagi antara rumah, anak, ibu dan suami.  Anak-anak yang kutinggalkan di Semenanjung, ketahuilah doa emak  agar kamu berdua sentiasa dalam Lindungan-Nya.  Baik-baiklah menjaga diri dan sentiasa ingatkan Allah dan mintalah Lindungan-Nya.  Ahli keluarga kita tidak ramai di kampung malahan saudara-mara ramai yang merantau.  Hanya doa emak agar Mak Ngah  dan Pak Long dapat membina rumah di sebelah rumah kita agar dapat juga kamu mengadu hal .  Seterusnya doakan agar emak dan ayah dapat berpindah balik ke Semenanjung dengan segera.



 

1 comment:

  1. Akhirnya perpindahan atau pertukaranku ke Sabah tidak lama hanya kurang sebulan dua tahun . aku pindah di sabah mulai 19.4.2010-4.3.2012 manakala suamiku bermula 10.2.2010- 4.12.2011.

    ReplyDelete