Thursday, October 27, 2011

Sok-Sek Episod Tragedi 25 Oktober 2011

     27 Oktober 2011, aku kembali ke sekolah seperti biasa.  Tetiba aku menjadi tukang pencerita dan disoal berulang kali.  Pagi-pagi lagi ramai rakan sejawatku tidak putus-putus ingin mengetahui dengan penjelasan yang lebih lanjut tentang  peristiwa kemalangan itu.
   Satu penyataan yang terpacul keluar dari seorang guru," Wah, hebatnya Cikgu Kalsom , pakai ilmu apa? tak luka pun bermaksud kebal." Seorang lagi berkata, " Wanita besi".  Manakala mereka berkata baru teringat akan kata-kataku," Nak ikut suami, tetapi suami bermesyuarat dari pagi hingga petang, buat apa nak ikut daripada menunggu begitu lama, baik aku pergi sendiri". Aku bernasib baik kerana cermin hadapan tidak pecah, keempat -empat cermin pintu masih elok, cuma cermin belakang sahaja yang pecah. Kalau cermin depan pecah tentulah serpihan itu masuk atau terkena pada muka.
            Melalui cermin yang pecah itulah  aku meloloskan diri keluar. Kedua-dua pintu sebelah pemandu masih elok, enjin masih elok.  Harapan dan doaku agar kereta itu dapat diperbaiki secepat mungkin agar sempat dibawa pulang ke Semenanjung.
       Sebenarnya itu adalah rintisan sesuatu perkara itu biarlah kita buat sendiri agar dapat merasai pahit manis atau asam garam dalam kehidupan.  Kita belajar menyelesaikan sesuatu masalah tanpa meminta atau menyusahkan orang lain.  Dalam pada itu banyak pengalaman yang berguna akan anda tempuhi.  Bersyukurlah kita kepada Allah kerana setiap kejadian itu mestilah Ujian daripada-Nya.

Wednesday, October 26, 2011

Sambungan Tragedi 25/10/2011 Di balai polis

Setelah  keretaku ditarik, aku pun meneruskan perjalanan ke IPD Lahad Datu untuk membuat laporan kemalangan.  Bertolak dari tempat kemalangan pukul 1.58 petang, sampai pukul 2.45 petang.  Di pejabat polis tidak ada inspektor Ismadi , kata seorang pegawai polis di situ, beliau ada di hospital kerana kemalangan .  Kami keluar sembahyang dan makan.  Mahalnya makan dua orang, aku dan suamiku nasi, sayur bendi dan ayam goreng seketul, air teh o lemon ais, suami air sirap,nasi, sayur kambas dan ayam goreng di Restoran Mubarak , harganya RM20.00.  Terkejut beruk, namun suami kata kalau kat sini jangan hairan kalau harga begitu.
  Kemudian kami ke kedai fotostat, salinan kad pengenalan, lesen memandu, lesen kenderaan, rotax dan geran kereta.  Aku mengikut sahaja kata suamiku fotostat 5 salinan tetapi dalam hatiku buat apa banyak-banyak 2 salinan  cukuplah.  Namun aku ikutkan sahaja.
  Setiba dibalai polis kali kedua, masih ada lagi pelanggan.  Aku kemudian masuk bersama suami untuk membuat laporan polis.  Mengikut Inspektor Ismadi banyaknya kemalangan sepanjang minggu ini.  Minggu ini kemalangan melibatkan guru.  Dia melihat kad pengenalanku, alamat Melaka, lesen Kepala Batas, lesen kenderaan Sabah.  Pening kepalanya.  Dahlah dia kata tidak rehat hari ini .  Pekerjaan? Guru, jawabku.  Guru lagi.  Minggu ini kemalangan yang melibatkan guru kali yang ke-7.
  Beliau pun bertanya lagi, lesen tahun berapa? . Tahun 1989, sama umur dia bekerja sebagai polis, bermakna 22 tahun.  Tempat kemalangan? suamiku kata tempat angin lintang, memang dia bawa kereta Unser pun bergoyang. Dia pun bertanya kepadaku, tiba-tiba sahaja kereta berpusing dan saya gagal kawal.  Maka jawab pegawai polis tadi,  " Dia nak makan, tapi tak dapat".  Bermaksud kawasan kemalangan itu nak makan orang kerana itulah laluannya.  Dalam hatiku entahlah, dah nasibku.
  Aku terpaksa bayar saman kerana gagal kawal kenderaan menyebabkan kemalangan.  Dalam pada itu , beliau berkata nasib baik tak berkaitan dengan  nyawa orang, kalau penjawat awan melibatkan nyawa orang , masuk rekod perkhidmatan. Oleh kerana kaunter bayaran sudah ditutup maka denda RM300 ditangguhkan.  Kelak aku terpaksa pergi lagi ke Lahad Datu.  Inilah sejarah pergi  balik ke bandar Lahad Datu , 2 kali pergi-balik. Selesai urusan pergi pula ke bengkel kereta.  Tergopoh gapah si pekerja itu, firasat hatiku selalunya benar, aku kata check betul-betul surat-surat ini, jangan ada tertinggal.  Buat kerja cincai-cincai aje.  Sebelum pulang ku beritahu lagi.  tiba-tiba aku teringat kunci keretaku.  Baru dia beritahu patutlah cari kunci kereta tidak jumpa. Pengajaran daripada peristiwa ini ialah kalau buat sesuatu kerja itu biarlah berhati-hati dan sempurna.

Sambungan Tragedi 25/10/2011

Aku sudah sampai ke post pengawal Tungku.  Separuh perjalanan telah ku tempuhi.  Entah mengapa tiba-tiba fikiranku melayang apabila memandang ladang kelapa sawit.  Aku seakan-akan terpandang keretaku merempuhi ladang kelapa sawit.  Aku teringat, segeraku beristighfar.  Teringatku kepada Allah.
   Jalan yang akan kulalui seterusnya adalah jalan lurus yang kiri-kanannya kelapa sawit.  Kalau musim hujan, inilah kawasan banjir.  Semalam masih aku ingat , jalan yang dilalui inilah tempat angin lintang dan kawasan kemalangan.  Puas ku alihkan fikiranku, namun masih ke situ juga.  Aku ingin berhenti sebentar tetapi memandangkan kawasan kelapa sawit aku merasa takut. Ku pujuk hatiku sebentar lagi sampailah ke rumah.

   Dengan tidak semena-mena kereta yang ku pandu berpusing-pusing.  Aku tak sempat berbuat apa-apa.  Tersedar sahaja keretaku dah masuk longkang.  Aku pula masih elok duduk di kerusi dengan tali pinggang masih melekat manakala enjin kereta masih hidup.  Oleh kerana kereta itu telah melanggar tiang telefon dan berpusing menghadap jalan yang bertentangan. Aku pun membunyikan hon beberapa kali.  Namun tak seorang pun yang membantu. Aku pun cuba membuka pintu tetapi tidak boleh.  Aku matikan enjin, dan melepaskan diri keluar dari tali pinggang yang ketat itu kerena kereta ku dalam keadaan terjongkang kerusi pemandu di atas.
  Dengan cepat aku menyusur keluar melalui cermin belakang bonet kereta yang pecah.  Pada mula-mula ku tengok begitu kecil tetapi aku berjaya meloloskan diri.  Kemudian ku lihat ramai orang yang berhenti dan bertanya.  Aku duduk di atas tiang telefon yang patah itu.  Ramai orang dan cikgu yang datang melihat kerana kemalangan itu berlaku di jalan utama dan hampir 2 km sampai ke bandar Cenderawasih dan kira-kira 16 km lagi sampai ke rumah.
  Aku segera telefon suamiku.  Sebenarnya dia dah berasa tidak sedap hati. Maka mesyuarat pada petang itu digantikan dengan GPK HEM.  Tragedi itru memberi kesan kepadaku.  Malamnya aku tidak boleh tidur.  Sakit sebelah kakiku  mula terasa dan susah hendak rukuk ketika sembahyang.
  Sementara menunggu kereta ditarik, bermacam-macam cerita timbul.  Spekulasi yang agak terkejut juga di hatiku.  Ada cerita yang mengatakan dia sudah memotong keretaku, kemudian semasa hendak berpatah balik dia lihat keretaku sudah berada di dalam longkang.  Ada mengatakan ada orang nak buat cikgu, kerana tiba-tiba sahaja kereta berpusing.  Ada mengatakan kawasan itu kawasan kemalangan dan tempat angin lintang.  Walau berbagai andaian, firasatku selalu benar cuma Aku keliru dan Allah telah tetapkan begitu mengikut Qada dan Qadar.  Mungkin tragedi ini mengingatkan aku agar benar-benar khusyuk dan tawaduk.  Aku bersyukur walaupun keretaku nilainya dah berkurang namum aku selamat, masih lagi diberi nyawa dan peluang untuk melihat dunia ini.


  Suamiku berkata kepada anakku ,"Hari ini mak kau jadi stuntwomen, keluar kereta melalui cermin belakang".

Tragedi 25/10/2011

 Pagi itu hujan gerimis, kata orang hujan panas.  Kalau hujan panas bermakna ada orang yang akan ....... Aku pada masa itu akan ke bandar Lahad Datu untuk urusan perpindahan dan urusan kereta Vios untuk mendapatkan geran dan pelepasan kastam .
    Sebenarnya, sehari sebelum itu tangan kiriku begitu gatal.   Firasatku berlegar, apakah maksudnya?  Selalunya kalau begini alamat duitku akan terbang atau keluar. Malamnya pula sudah ku beritahu  suamiku, aku begitu takut. Buklan apa perjalanan yang jauh pergi balik lebih kurang 220km.  Maklumlah  aku bukan biasa sangat memandu untuk perjalanan yang jauh.  Namun suamiku kata, tiada apa-apa.
   Sebenarnya pada petang hari Isnin, aku dan suami ke bandar Lahad Datu untuk urusan perpindahan.  Malangnya surat iringan sekolah tidak ada disertakan dengan surat pertukaran antara negeri itu.  Berita pertukaran suamiku begitu mendadak.  Dek kerana tarikh pertukaran antara negeri sudah ditutup, mahu tidak mahu aku terpaksa mengisi borang secara off line. Bila buat kerja tergesa-gesa tambahan pula pihak pentadbir ..... sepatutnya mengarah kerani membuat surat iringan tersebut maka aku terlepas pandang.  Firasatku selalunya benar.  Dalam hatiku ada sesuatu yang tak kena. Aku pergi bank pula ingatkan boleh selesai masalah, rupa-rupanya mereka yang bertugas tiada, tetapi surat permohonan itu diambil .  Seterusnya tunggu tindakan daripada pihak bank .  Maka urusan perpindahan dan permohonan geran dan pelepasan kereta tertangguh.
    Di PPD, pula Pn Aishah Hj Hassan , pegawai yang bertugas minta surat iringan dari sekolah pada esok, Selasa kerana beliau akan membawa  surat tersebut ke Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, di Kota Kinabalu . Beliau dengan tegas menyarankan kepada aku supaya meminta sesiapa sahaja di pejabat supaya membuat surat pada masa itu juga.  Telefon sekarang, baru pukul dua petang sempat buat surat, suruh sesiapa GPK tanda tangan.  Aku memegang telefon, dalam hatiku berbisik dan dahiku berkerut.  Sebenar beliau tidak tahu, jawapannya tentu ada dalam kepalaku.
   Dalam perjalanan pulang pula, pihak bank telefon lebih kurang  pukul 7.00 malam, En Fong dari CIMB ," bila kita senang mahu tanda tangan borang?".  Dalam hatiku berkata masa aku datang dia tiada, sekarang sibuk pula nak tanda tangan.  Itulah susahnya.  Aku secara tak langsung telah berjanji akan datang pada pukul 10.00 pagi.  Aku pun bertanya kepada suamiku, bagaimana? Suamiku berkata dia boleh pada hari Khamis.
    Setelah mendapat surat dari pejabat, aku pun memohon keluar sekolah daripada Cik Najeerah GPK Koku kerana dia sahaja yang ada di sekolah.  Seperti biasa aku pun merekodkan masa keluar dari sekolah,  Entah apa yang berdetik dari hatiku, aku pun buat tak tahu,  memang benar entah-entah ada berlaku di tengah jalan nanti.
   Selasa 25/10/2011 ,Aku bertolak ke LD setelah mengisi minyak kereta tepat pukul 8.00 pagi,  Aku sampai ke PPD lebih kurang pukul 9.40 pagi.  Aku hantar borang dan berbual dengan pegawai di sana.  Sempat juga mereka mengusik, "Ai, baru sahaja datang dah nak balik, tunggulah dua tiga bulan lagi."  Tambah berkerut lagi dahiku.  Senang-senang sahaja suruh aku tinggal lebih lama, biar suamiku balik dahulu.  Tetapi ku pujuk hatiku, bergurau agaknya.
  Selepas itu aku ke bank dan tandatangan borang seperti yang dikehendaki.  Dalam hatiku ingin membeli-belah atau cuci mata.  Tetapi hatiku berkeras , balik sahaja.  Aku pun meneruskan perjalanan, terasa ingin membuang air kecil pula, maka aku singgah di Lapangan Terbang Lahad Datu. Aku pun meneruskan perjalanan.....bersambung