Sunday, March 1, 2015

Nostalgia - lingkaran hidup di Pulau Pinang

Aku mula berpindah di rumah ini pada awal hujung bulan November 1989 sebab seingatku, persekolahan pada masa itu bermula pada awal Disember 1989.  Aku baru sahaja melangkah ke alam baru kerana baharu memulakan kehidupan berumahtangga pada 29 Julai 1989.  Suamiku berulang alik dari Butterworth ke Kampung Kerinchi kerana pada masa itu aku mengajar di Sekolah Sri Subang Jaya 2, Petaling Jaya.
   Aku mengajar di Sekolah Kebangsaan Bagan Jermal sementara suamiku mengajar di Sekolah Datuk On, Butterworth.  Jarak dari rumah ke sekolah lebih kurang 18 km.  Dengan kehidupan yang serba kekurangan , kami menggunakan sebuah kereta.  Pertama, aku mengikuti suami ke sekolah awal pagi, kemudian aku balik ke rumah dan akan melalui jalan yang sama ke sekolah semula dengan pertambahan 1 km ke sekolahku.  Setelah balik dari sekolah, suamiku akan mengambil kereta itu untuk pulang ke rumah.  Dengan kereta itu juga, suamiku akan mengambil aku semula.  Begitulah perjalananku  ke sekolah selama setahun.
  Aku memulakan hidup baharu bersama suamiku terdampar di perantauan dari bumi Melaka .  Aku bernasib baik kerana dapat menjalani hidup bermasyarakat dengan penduduk kampung Paya Keladi.  Kebetulan seorang rakan guru suami menyewa di situ. Aku menyewa di rumah ini selama hampir12 tahun dari November 1989 hingga pertengahan Disember 2001.
  Rumah sewa ini berhadapan dengan padang  Sekolah Kebangsaan Paya Keladi. Oleh kerana tidak sanggup berulang alik , aku memohon pertukaran .  Nasib aku baik kerana permohonanku diluluskan.  Hanya setahun, kini aku ke Sekolah Kebangsaan Pinang Tunggal yang jaraknya  18 km dua hala.
Sekolah ini merupakan sekolah di pedalaman.  Susahnya hendak mengajar, almaklumlah muridnya kurang membaca dan taraf ekonominya rendah.  Tetapi aku bersyukur kerana kehadiranku dihargai.
   Aku hanya mengajar matematik dan subjek sampingan Alam dan Manusia ketika itu. Namaku dipuji oleh seorang guru lama yang mengagumi tentang pengajaran dan pembelajaranku.  Aku juga berjaya menaikkan prestasi subjek Matematik UPSR.  Pada masa itu hanya straight A, hanyalah 4 subjek iaitu Bahasa Melayu Pemahaman, Penulisan, Bahasa Inggeris dan Matematik.  Di sekolah ini aku hanya bertahan 2 tahun sahaja.  Kemudian aku mohon bertukar lagi.  Aku bernasib baik kerana setiap permohonanku diluluskan.
  Kini, aku berhijrah lagi ke Sekolah Paya  Keladi, sekolah yang berhadapan dengan rumahku.  Kiranya aku dapat menjimatkan belanja, hanya beberapa langkah sahaja aku ke sekolah dengan berjalan kaki. Menjejakkan kaki ke sekolah ini, aku ditugaskan mengajarnya  tahun 6 Lagi. Prestasikedudukannya ke- 10  bawah tangga peratusan lulus UPSR, sekolahku menjadi perhatian pihak PPD.   Masalah utamanya ialah peratus kelulusan Bahasa Inggeris yang meragut peratusan lulus keseluruhan .  Kami bernasib baik dapat group guru yang muda dan barisan guru yang rajin.  Dengan usaha gigih kami golongan  guru muda dapat menaikkan peratus lulus UPSR. Aku masih ingat lagi, sebelum keputusan keluar, guru besar selalu menyelia dan memantau pdp guru.  Beliau akan masuk ke kelas dan mengambil alih pdp .  Perkara ini menyebabkan aku tidak suka akan sikap guru besar yang agak kurang mempercayai kebolehan guru, mungkin pada pendapat beliau ingin membantu, maklumlah beliau memang pakar matematik dan beliau perlu tahu aku juga seorang guru matematik yang baik.
Gambar ini tatkala aku sudah mempunyai dua buah kereta secondhand , sebuah Nissan Sentra  dan Mitsubishi Galant dan sebuah motosikal Yamaha.  Garaj kereta ini ku bina sendiri dengan upahnya RM180 manakala zink , batu, simen dan kayu dibeli berasingan , aku pun tak ingat berapa kos semuanya.
      Selama 12 tahun , sewa rumah dari RM70 sebulan , dinaikkan RM80, dan akhirnya RM120 setelah aku menyatakan bahawa tiada pembangunan yang dilakukan ke atas rumah ini tambahan pula kadang-kala kerosakan kami baiki sendiri .  Akhirnya sewa dinaikkan kepada RM180 sebulan.
  Sepeninggalanku, rumah ini disewa oleh orang lain dan khabarnya rumah ini terbakar kerana litar pintas, Syukurlah tidak  ada kemalangan jiwa dan sehingga ke hari ini tinggal tapaknya yang dah berhutan......terima kasih kepada empunya rumah Cikgu Ismail,  halalkan segala-galanya semasa kami menyewa rumah ini dari tahun Disember1989 hingga Disember 2001.


1 comment:

  1. Banyaknya kenangan di sini semua anakku lahir dan membesar sehingga berumur 11 tahun yg suung. Kedia 20 thn dan bongsu berumur 5 tahun.Selama 12 tahun aku tinggal di sini.

    ReplyDelete