Pada 4 Januari 2015, kami menghadiri majlis perkahwinan anak Pengetua Sekolah Sains di Kompleks Belia Sukan di Paroi , Negeri Sembilan. Seperti biasa kalau dapat berjalan, ada tujuan lain. Sebelum itu aku meminta anak bongsuku mencari maklumat tempat pelancongan yang menarik di Negeri Sembilan. Dalam pada mencari tempat yang paling hampir ialah Jelita ostrich Farm. Maka selepas menghadiri majlis tersebut kami terus menuju ke tempat tersebut.
Kami tiba pada saat tiada pelancong lain, hanya kami bertiga . Tiket masuk RM9.00 untuk dewasa dan RM7 kanak-kanak. Kami membeli tiga tiket RM27 dan membeli 3 paket jagung RM3.00, memang agak mahal juga sepaket kecil sahaja.
Kami diberi penerangan yang baik kerana pemandu pelancong pandai berjenaka, tak kering gusi kamu dibuatnya. Sepanjang penerangan kami dari satu kandang ke satu kandang burung unta atau ostrich, manakala burung kasawari pula lebih kecil. Jadi jangan salah pula burung unta dikenali katwari atau ostrich. Menurutnya sebanyak 200 ekor burung ostrich telah dibawa dari Afrika ke ladang Jelita Ostrich ini pada mulanya. Kini tinggal lebih kurang 30 ekor sahaja. Ada yang dah mati dan ada yang dah dijual, Anak burung ostrich susah hendak dijaga kalau bawah umur setahun. Selepas itu, mudah dijaga dan tidak boleh kenal antara jantan dan betina. Setelah bertelur dalam umur 2 tahun lebih, baharulah tahu jantan atau betina, kalau betina bertelur dan burung yang jantan akan bertukar bulu berwarna hitam. Burung jantan akan menjaga telur.
Sepanjang penerangannya kami diikuti oleh beberapa ekor kambing yang meminta jagung. Kambing beor ini memang jinak dan cantik bulunya. Kemudian, kami dibawa memijak telur burung unta. Nasib kami baik telur -telur itu tidak pecah. Burung unta itu sangat marah kalau telurnya diusik atau dipijak. Oleh kerana si penjaga telur itu sentiasa ada galah , maka burung unta itu takut. Burung unta atau ostrich akan lari pecut ikut garisan lurus dan takut kepada galah yang panjang. Kami bergilir-gilir memijak telur tersebut. Kulit telurnya keras dan sebesar bola sepak raga tetapi telurnya bujur sedikit .
Kemudian kami dibawa ke tempat menunggang burung unta. Ada dua orang pekerja yang biasa menunggang burung unta ini. Salah seorang daripada pandai memacu burung unta itu berlari dengan pantas.
Selepas itu kami diberi peluang menunggang burung unta tetapi dalam kawasan yang telah ditentukan dengan kawalan dua orang pekerja di situ. Suami saya menunggang sekejap sahaja kerana tidak berani menanggung risikonya, manakala aku dan anak bongsu naik sahaja di atas belakang burung itu kerana pakaian kami tidak sesuai. Keistimewaan burung unta ini boleh membawa beban seberat 200 kg.
Setelah puas mengelilingi Jelita Impian kami ke kedai cenderamata . Ada banyak kegunaan burung unta ini. Semakin berusia semakin mahal nilainya. Harga sekilo daging burung unta ini ialah RM99.00 sekilo. Bulu burung unta amat mahal dan berharga. Kulit telur boleh dibuat hiasan manakala kulitnya dibuat beg tangan, kasut dan dompet . Terdapat ubat-ubatan, sabun dan krim yang diperbuat daripada burung unta ini.
Burung yang paling tua berusia 22 tahun di Jelita Ostrich Farm ini. Burung unta boleh hidup sehingga 70 tahun lebih. Kami dapati ada dewan kecil , meja dan kerusi tempat pelancong diberi penerangan dan taklimat sebelum dibawa melawat ke ladang ini, kalau pelancong dalam kumpulan yang ramai. Ada juga mahasiswa yang membuat penyelidikan tentang burung unta ini. Guru-guru dari maktab juga ada yang melawat .
Setelah mengelilingi ladang yang seluas 4.2 hektar ini, kami berpuas hati dengan layanan dan gurau senda si pemandu pelancong yang telah bekerja di ladang ini lebih kurang 23 tahun dengan kepekatan loghat nogori Sembilannya.
Pemandu pelancong memberi penerangan, kami diiringi oleh ,si kambing yang jinak, meminta jagung
Kami bergilir-gilir memijak telur burung unta, tengok tu dia marah tetapi takut akan galah
Aku memegang telur burung unta, kambing-kambing turut mengikut kami.
Suami menunggang burung unta dengan kawalan dua orang pekerja
Dua orang pekerja menunggang burung unta, kalau anda berani, cubalah tunggang.
barang-barang di kedai cenderamata burung ostrich
Terdapat ayam piru dan ayam kampung serta ayam sirama
Kami memberi jagung kepada kambing
Kuda ini pun makan jagung
Di kolam itu terdapat angsa
burung unta betina berbulu kelabu dan jantan berbulu hitam
Kepada sesiapa yang ingin mengunjungi burung unta ini hubungilah Jelita Impian Sdn Bhd, LOT1584, Batu 6,Mukim Pantai, Jalan Jelebu,71770 Seremban, Negeri Sembilan,
Tel : 06-7670707, 763 2214, 7632168 atau Fax 06-767 3445,
Email: jelitaostrichshowfarm@yahoo.com
No comments:
Post a Comment