Thursday, March 31, 2011

Tragedi (KISAH 3) - Peristiwa di Feri

    Sampai bila-bila , aku pasti tidak akan melupakan kisah ini.  Kisah ini berlaku ketika aku melanjutkan pelajaran Sijil Khas Matematik KBSR di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang pada tahuin 1994.  Aku masih lagi menyewa rumah di Kampung Paya Keladi , Seberang Perai Pulau Pinang.  Ketika itu suamiku mengajar di Sekolah Menengah Dato' Onn, Butterworth.
   Oleh kerana kami berempat dari seberang , kami berkongsi kereta.  Tiga orang lelaki dan dua orang perempuan kawan semaktab.  Masing-masing dari Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Perak , Johor dan Melaka.  Guru lelakilah yang membawa kereta .  Aku menumpang dari Butterworth kerana suamiku mengajar di sekolah itu.  Aku bertolak dari rumah seawal 5.00 pagi kerana perjalanan dari rumah ke Sekolah Dato' Onn memakan masa 45 minit setelah menghantar kedua-dua anakku ke rumah pengasuh.  Pukul 5.45 pagi, kami berempat mesti sampai ke pengkalan kerana feri bergerak pada pukul 6.00 pagi atau 6.30 pagi.  Kuliah akan bermula pada pukul 7.30 pagi tetapi sebelum itu kami terpaksa berhimpun di padang Maktab 4P  sebelum kehadiran diambil.  Bagi kami yang jauh lebih kurang 25 km merasakan penat kerana terpaksa menaiki kereta dan feri untuk sampai ke maktab.
   Satu hari, tak diingat tarikhnya, feri yang kami naiki terpaksa terapung di dalam laut selamat 25 minit kerana laut bergelora dan feri ketika itu berbuai-buai bagaikan diayun. Aku berasa kecut perut.  Bagaimana kalau feri ini terbalik.  Aku rasa, akulah yang akan lemas dahulu kerana tidak tahu berenang walaupun di dalam feri itu tersedia pelampung dan jaket keselamatan.  Namun aku bersyukur kerana akhirnya feri tersebut dapat berlabuh di pengkalannya di Pulau Pinang.
  

No comments:

Post a Comment