Thursday, October 4, 2012

episod 3 - Naluri Seorang Ibu

   Sebaik tiba di rumah kudapati anakku masih lagi belum bersiap ke Hospital, masih lagi tidur.  Apalagi membebellah aku.  Mana tidaknya dahlah aku ke sekolah, mengejar masa.
  Setelah bersiap , aku pun ke Hospital Alor Gajah, lebih kurang 6 km dari rumah. Dia diperiksa darah dan platletnya 175.  Menurut pembantu doktor tersebut  ,sekarang ini musim demam denggi. Dia menasihatkan agar minum b 100 plus dan air masak banyak-banyak.  Esoknya anakku terpaksa ke hospital lagi, kalau platlet darahnya turun, dia terpaksa ditahan di wad.
   Aku pun membeli beberapa botol 100 plus.  Aku ingat sepeningalanku ke sekolah, anakku minum air 100 plus itu tetapi air itu tak berusik pun.  Malahan kerjanya tidur sahaja. Pada keesokan harinya, kami ke hospital Alor Gajah lagi.  Kali ini platlet darahnya turun hingga 100. Jadi dia terpaksa ditahan di wad dengan serta-merta.
    Suamiku pula kebetulan akan berkursus ke Johor, tetapi sebelum itu sempat mencari ketam untuk dibuat sup.  Pada petang itu, sempatlah aku memberinya minum sup ketam dan dia menceritakan pesakit di sebelah katilnya meninggal dunia kerana demam denggi.  Sebaik balik dari hospital, pukul 7.00 petang itu, aku mendapat panggilan telefon mengatakan dia terpaksa dihantar ke Hospital Besar Melaka kerana bimbang platlet darahnya turun lagi dan bintik-bintik kecil merah sudah mula kelihatan.
  Aku bernasib baik kerana anak sulungku pada masa itu sedang menunggu keputusan SPM, maka dia boleh membantuku.  Oleh kerana kesuntukan masa, maka aku benarkan anakku pergi ke hospital Besar Melaka dengan menaiki ambulans sementara aku susuli dengan kereta .  Kuberitahu suamiku yang ketika itu akan pulang dari berkursus terus singgah ke Hospital Melaka.
  Sebelum mendapat surat GL , anakku ditempatkan di Wad kecemasan.  Sebenarnya pihak terlibat sepatutnya meminta GL daripadaku.  Oleh kerana surat itu, aku terpaksa berulang -alik 2 kali ke Hospitalpada petang dan malam itu, penatnya Allah sahaja yang mengetahui.  Suamiku pula menanti dari pukul 5.00 petang hingga 9.00 malam baru dapat katil di wad kelas pertama.
  Sebaik sahaja mendapat tempat, katil itu  terus dipasang kelambu.  Maka tinggallah dia di dalam kelambu.  Malam itu dia ditemani kakaknya.  Aku berpesan agar minum air 100 plus banyak-banyak dan sup ketam. Selama tiga hari dua malam, disuapkan sup ketam, sup cendawan , 100 plus serta masuk air entah berapa botol aku pun tak tahu , akhirnya terurailah demam dengginya hingga beberapa orang doktor datang bertanya apakah rahsianya.
   Dalam pada itu, untuk mengelakkan daripada merebaknya demam denggi, sepasukan kesihatan telah datang ke rumahku menyembur di sekeliling rumah dan juga di KISAS - Kolej Islam Alam Shah.
  Impak daripada peristiwa itu, rupa-rupanya barulah ku ketahui bahawa orang yang mengidap demam denggi rupanya lemah dan tak berdaya, sebab itu anakku tidur sahaja.  Sekiranya demam berpanjangan, berjumpalah doktor takut-takut diserang demam denggi berdarah sekiranya lambat diubati akibatnya boleh membawa maut.  Seperkara lagi diingatkan kepada warden atau mana-mana penjaga agar ambil berat terhadap kesihatan anak-anak .  Kepada suamiku, hakikatnya itulah naluriku sebagai seorang ibu .  Anakku juga popular apabila balik ke asrama KISAS  dengan gelaran "Budak Denggi".
 

No comments:

Post a Comment