Aku ibarat si nomad. Walaupun bersuamikan seorang guru, hidup kami berpindah - randah umpama askar. Penghijrahan ku bermula daripada kecil sehinggalah berumur 50-an. Sehingga berumur 52 tahun , banyak negeri yang telah kusinggah . Sepanjang 30 tahun berkhidmat sebagai guru , sudah 9 sekolah di empat buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Melaka dan Sabah.
Bermula dengan kehidupan di tempat lahirku, Melaka , kemudian berhijrah ke Kuala Lumpur , mengikut ibu saudara dan bapa saudara, kembali ke Melaka seterusnya menamatkan pelajaran di sekolah menengah iaitu Sijil Tinggi Pelajaran di Sekolah MenengahTengku Ampuan Rahimah, Klang. Aku memasuki Maktab Perguruan Kuala Trengganu Batu Rakit , Terengganu pada 1982-1984.
Posting pertama di Sekolah Kebangsaan Sri Subang Jaya pada tahun 1985 Setelah 5 tahun mengajar, aku berkahwin dan mengikut suami ke Pulau Pinang. Di Pulau Pinang aku mengajar di Sekolah Kebangsaan Bagan Jermal 18 km dari rumah sewaku. Kemudian berpindah ke Sekolah Pinang Tunggal yang jaraknya 9 km, akhirnya sekolahku semakin dekat depan pintu rumah iaitu Sekolah Kebangsaan Paya Keladi. Aku hanya berjalan kaki dengan sepuluh langkah memasuki pintu pagar belakang sekolahku , Pada tahun 1996, aku menerima APC buat kali pertamanya. Di sekolah ini banyak kemelut dan kenangan pahit yang menyebabkan aku bertukar ke sesi petang seterusnya menyambung pelajaran secara PJJ walaupun hati amat teruja apabila mendapat tawaran program berkembar 2 tahun di UPSI dan 2 tahun di Universiti Malaya, ..kukuburkan hasratku kerana suamiku tidak mengizinkan, sementelah anak-anak masih masih kecil berumur 4 dan 5 tahun.
Sementara itu, aku telah berusaha untuk membina rumah di atas tanah pusaka ayahku. Memang aku bercita-cita untuk membina rumah di situ disebabkan beberapa hal yang tidak boleh dinyatakan di sini. Biarlah ianya menjadi rahsia di hatiku.
Akhirnya , pada tahun 2002 , aku berjaya bertukar ke Melaka. Sekolah Kebangsaan Lendu,adalah sekolah yang paling singkat perkhidmatanku , selama 4 bulan, kemudian aku ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Dato' Naning. Di sini, bintangku bersinar. Selama 8 tahun berkhidmat, akhirnya aku mendapat APC Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kali kedua pada tahun 2009, dan pada tahun 2010 aku memohon guru cemerlang.
Kemudian , aku bertukar ke Sabah mengikut suami . Aku mendapat keputusan Guiru Cemerlang Bahasa Melayu DG44 (KUP) di Sekolah Kebangsaan Sahabat 4, Lahad Datu, Sabah.. Bermula dari sini , aku mendapat sambutan hangat dalam menyampaikan ceramah Teknik Menjawab Soalan Kertas 2 Penulisan Bahasa Melayu UPSR kerana di Daerah Lahad Datu tidak ada guru cemerlang Bahasa Melayu. Seronoknya dapat peluang melihat sekolah-sekolah di daerah Lahad Datu , namun khidmatku hanya 2 tahun sahaja apabila aku mengikut suamiku berpindah balik ke Semenanjung.
Di Sekolah Kebangsaan Sungai Sireh, aku berulang-alik dengan jarak 121km dua hala . Selama 2 tahun , aku memohon pindah ke Sabak Bernam, namun permohonanku gagal. Akhirnya, dengan beraniku buat keputusan untuk memohon kembali ke Melaka. Anehnya, permohonan pertukaranku tidakku ketahui dan surat pertukaran tidak sampai ke sekolahku sebaliknya sampai di Sekolah Kebangsaan Masjid Tanah. Rasa nak terkilan dan perasaaan yang amat marah apabila tuan badan tidak tahu, sebaliknya sekolah baru yang ketahui terlebih dahulu tahu , maka terdapatlah salah faham antara aku dengan pentadbir sekolah baru.
Dengan deraian air mata ku melangkah pergi dan mendaftar diri ke sekolah baru tanpa pertukaran suami. Berat sungguh dugaan ketika itu, hanya Allah sahaja yang tahu. Ketika tinggal berasingan dengan suami, banyak juga kata-kata usikan nakal dari rakan-rakan setugas. Dalam hatiku menahan marah dan terpaksa menelan semua usikan mereka..
Syukurku panjatkan kepada Allah s.w.t, akhirnya pada 1 Oktober 2014, suamiku dapat bertukar Ke Melaka .Dia terpaksa menangguhkan tugas selama 2 bulan dan terpaksa berulang alik di antara Selangor dan Melaka Kini penantianku telah berakhir dengan kata lain akhirnya kami umpama sireh pulang ke gagang, semoga perjalanan hidup kami umpama nomad berhenti di sini . Perkhidmatan kami cuma tinggal 7- 8tahun sahaja sebelum pencen. Begitulah percaturan hidup kami yang belum kami ketahui lagi pada masa akan datang, Semoga Allah memberikan kami kesihatan yang baik dan diberkati....aamiin.
No comments:
Post a Comment