Muridku seramai 14 orang,dalam kelas 6 Bestari. Mereka terdiri daripada 3 orang perempuan dan 11 orang murid lelaki. Aku mula mengajar mereka pada awal Januari hingga November 2014. Meskipun mereka tinggal di bandar Masjid Tanah, namun mentaliti terhadap pentingnya pelajaran masih lemah kerana latar belakang pendidikan ibu bapa, budaya hidup dan taraf ekonomi mereka.
Berdasarkan pencapaian dan kebolehan, mereka adalah dalam kategori sederhana kerana kurang membaca dan tidak konsisten dalam pembelajaran. Terdapat 3 orang murid yang belum menguasai kemahiran membaca dan menulis. Pada mulanya, mereka memang agak lambat menerima pelajaran kerana sikap mereka yang kurang bersungguh-sungguh atau tekun. Ada antara mereka yang selalu ponteng, telah kuambil tindakan dengan memberi surat peringatan. Akhirnya, ada juga kesedaran mereka untuk hadir ke sekolah. Seperkara yang boleh dibanggakan tentang anak muridku ringan tulang dalam membantu mengemas kelas dan tidak lokek memberi sumbangan tenaga membantu guru dalam sebarang kerja. .
Aku telah mengadakan kelas tambahan Bahasa Melayu pada setiap Sabtu dan kelas tengah hari sebanyak 2 kali sebulan. Untuk mengajar dan mendidik mereka bukanlah mudah kerana mereka tidak boleh menumpukan perhatian terhadap pembelajaran dan ingatan jangka pendek. Hari ini belajar , esok dah lupa .Tambahan pula mereka mempunyai kebolehan yang tidak digunakan sepenuhnya, maklumlah mereka umpama kanak-kanak yang belum matang . Mereka belum ada kesedaran tentang pentingnya pelajaran. Jadi, banyak perkara yang perlu diperbetulkan.
Syukurlah selama 8 bulan, dengan pendedahan teknik menjawab soalan, motivasi dan gerak gempur UPSR, akhirnya mereka berjaya juga dalam meningkatkan keputusan UPSR bagi subjek Bahasa Melayu. Pada jangkaanku tentulah 3 orang murid yang tidak menguasai kemahiran membaca dan menulis gagal dalam subjek Bahasa Melayu. Berdasarkan keputusan UPSR, Kertas Pemahaman 4 orang gagal. Aku merasa terkilan kerana seorang murid ini sepatutnya lulus. Disebabkan kecuaiannya, dia gagal UPSR hanya kerana subjek PEMAHAMAN sedangkan dia lulus bagi subjek Matematik , Penulisan, Sains dan Bahasa Inggeris ..
Bagi subjek Penulisan pula menunjukkan peningkatan dan hanya 2 orang sahaja yang gagal. Murid yang gagal Pemahaman itu dapat A Penulisan. Setakat ini sudah dua kali , aku mengajar murid gagal Pemahaman sedangkan dalam keputusan ujian peringkat sekolah mereka tidak gagal. Mungkin mereka terlalu yakin dan tidak membaca soalan dengan teliti.
Berikut adalah keputusan peperikasaan UPSR
Gred/Subjek A B C D E
Pemahaman 4 3 3 2 2
Penulisan 8 1 3 2
Berdasar keputusan tersebut, syukurlah semoga mereka dapat melihat kekuatan dan kelemahan mereka dan seterusnya berusaha dengan lebih gigih lagi pada masa akan datang. Tahniah kepada muridku yang telah berjaya mendapat 3A B C, walaupun di kelas yang hujung, namun berjaya mendapat keputusan yang lebih baik. Seramai 6 orang lulus dalam semua mata pelajaran. Kegagalan hari ini bukan bererti gagal buat selama-lamanya. Mereka perlu berusaha dengan lebih tekun. Kurang kejayaan kerana kurang usaha dan sepatutnya mereka berusaha secara konsisten, tidak mengharapkan sepenuhnya kelas tambahan di sekolah. Semoga muridku berjaya pada masa akan datang.....Doa seorang guru akan sentiasa berharap agar semua muridnya akan berjaya di dunia dan akhirat....ingatlah Bahasa Melayu yang dipertuturkan tuidak sama dengan Penulisan sebab itu kita mesti sentiasa membaca kerana membaca kunci ilmu.
No comments:
Post a Comment