Sunday, January 8, 2012

UPSR 2011- Prestasi BM

  Tahun 2011, merupakan cabaran bagiku.  Apa tidaknya, aku diberi amanah mengajar dua kelas tahun 6.  Sebenarnya aku mengajar murid-murid ini Matematik pada tahun 5.  Memang aku kenal benar mereka  tetapi melalui subjek matematik, kritikal  sungguh, maklumlah buku teks Bahasa Inggeris, terpaksa menggunakan terjemahan Bahasa Melayu.
  Aku begitu arif tentang perangai, disiplin dan prestasi pembelajaran mereka.  Mungkin kesilapan dari bawah atau sikap mereka, ibu bapa atau tiada kesedaran tentang pentingnya pelajaran atau keadaan sekitar menjadikan mereka seperti itu.
 Keputusan peperiksaan akhir tahun 5, memeranjatkanku maklumlah aku tidak pernah mengajar di Sabah.  Murid PROTIM sahaja 16 orang.  Kalau kita kelas pertama itu, mestilah kelulusan 100% tetapi ku dapati ada yang gagal Penulisan.
 Memang benar-benar mencabarku, kerja rumah tak pernah siap. Kalau dari 71 orang murid hanya 8 orang sahaja yang buat kerja rumah.  Belum lagi kerja sekolah yang tak siap, masalah disiplin terutama ponteng sekolah, bergaduh, mengolok, dan sebagainya.  Masalah tidak mahu mendengar nasihat guru dan tunjuk ajar menjadi cabaran bagiku.
  Berbagai-bagai pendekatan yang  kugunakan, kekadang rasa penat dan tak berbaloi.  Apa tidaknya, ajar hari ini, bila cuti sahaja, hilang, ajar semula, umpama masukkan air ke dalam baldi yang bocor dah selalu ku gelar tanah jerlus .  Aku terpaksa mengadakan kelas tambahan setiap Sabtu bermula bulan Februari hingga Julai .  Masa korikulum buan Mei, ku minta GPKokum beri laluan kelas tambahan.  Masa-masa yang cikgu lain pergi kursus atau mesyuarat, ku ambil sebagai kelas relief walaupun tidak ada arahan.  Aku ambil inisiatif sendiri walaupun kadang -kala nak termuntah mengawasi pembelajaran mereka. Ada masa sampai 3 jam aku bersama mereka dalam sehari, bayangkan lamanya. Apa tidaknya, pembelajaran 100% di sekolah.
   Akhirnya, aku berpuas hati juga dengan kenaikan Peratus kelulusan Pemahaman walaupun 2.3% dan Penulisan 12.9%. Aku kasihan juga kepada guru-guru lain kerana peratus kelulusan subjek lain merosot.  Memang kami dah jangka keputusan begitu berdasarkan pengalaman dan pemerhatian .  Kita sebagai guru dapat mentaksir kebolehan dan pencapaian anak-anak didik kita, cuma kita boleh mengawal, merancang, melaksana dan keputusannya Allah yang tentukan.  Walaupun kita telah berusaha tetapi pastikan usaha kita itu berterusan, bukan tahun 6 , baru nak buka langkah alamat bersilat kilat atau berkungfu pun tak dapat menampung keciciran 3 tahun penting pada Tahap 2, tahun 4 hingga 6.
  Buat guru-guru di sekolah tersebut telah kuminta pembantu teknik makmal komputer memasukkan perisian CD Bahasa Melayu Tahun 4, 5 & 6. Kajian Tempatan 4,5,6 dan Perisian Program PROMILL (Program Pemulihan Latihan Lanjut) khas untuk  PROTIM Bahasa Melayu sebagai bahan membantu guru-guru untuk meningkatkan prestasi pembelajaran dan pengajaran.  Aku juga berharap gunakan satu masa daripada Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris untuk menggalakkan murid membaca dan meminjam buku di perpustakaan.
  Itu sahaja yang dapat ku kongsikan pengalaman dan pengetahuanku selama aku mengajar di situ bermula dari 19 April 2010 hingga 2011.  Selamat berjuang demi anak bangsa, SK Sahabat 4, Lahad Datu, Sabah.

No comments:

Post a Comment