Sunday, March 31, 2013

Episod cuti 23/3-31/3/2013

Cuti bermula 23/3 -31/3/2013 selama seminggu.  Bermula cuti sibuk dengan majlis pertunangan anak buahku di Kuala Lumpur.  Berjumpa saudara-mara adalah peluang dan kesempatan yang sungguh bererti.
   24/3/2013 setelah selesai majlis , betolak balik ke sabak Bernam.  Operasi membasuh pakaian, mengemop lantai dan bersiap pulang ke kampung. Pukul 3.30 petang 25/3/2013 , dari SBPI Sabak Bernam memandu kereta bersama ibu dan anak bongsuku menuju ke Melaka.  Sampai di Melaka pukul 7.45 malam.
  26/03/2013 melawat sepupu yang bersalin anak keenam di  rumah sewanya di Cheng. Bertemu dan berbual-bual adalah rutin apabila lama sudah tidak bertemu.  Bercerita pengalaman melahirkan anak tatkala usia 40 tahun adalah berisiko terutama kewujudan darah tinggi kerana sebelum ini dia tidak ada penyakit itu.  Anaknya pula terlebih hari, 9 bulan 2 minggu.
  27/03/2013 menziarahi biras pula di Hospital Besar Melaka.  Dia dibedah kerana sakit kanser usus. Pertama kali dibedah di Hospital Putra , sebanyak RM30,000 terpaksa dibayar, malangnya doktor tidak boleh berbuat apa-apa seperti sekadar membelah perut ikan, kemudian jahit semula.
  Pembedahan tersebut dibuka semula untuk melihat ketumbuhan tersebutdi Hospital Besar  Melaka.  Doktor mendapat ketumbuhan itu sebesar bola rugbi berhampiran dekat pembuluh darah dan di sebelah luar usus juga ada. Kali ketiga pembedahan memakan masa dari pukul 2.00 petang hingga 9.00 malam.  Darah perlu dimasukkan 6 pain. Itu yang ku dengar daripada suamiku.  Dia  belum sedar sepenuhnya pada hari Sabtu  sejak pembedahan pada hari Jumaat. Semoga Allah melindungi-Nya dan cepat sembuh.  Dengar kata, terpaksa dibedah semula kerana ketumbuhan kecil di luar usus  tetapi tidak tahu bila.
  30/3/2013 bertolak balik ke Sabak Bernam, singgah di Kuala Lumpur hantar ibuku, kemudian ke Shah Alam menghantar GPS kepada anakku. Syukurlah selamat sampai ke Sabak Bernam pukul 8.40 malam.
  31/3/2012 mengemas rumah , memasak dan mengisi borang isytihar harta sambil menonton televisyen.
  Esok, 1/4/2013 pastinya memandu lagi ke sekolah ....hehehe . Semga Allah memberikan aku kesihatan yang baik demi melaksanakan tugas yang sedia menanti....aamiin.

Thursday, March 28, 2013

seharian bertangas nampaknya!

Setelah dua hari , akhirnya aku mengumpul semangat untuk mengemas dedaun kering di sekeliling rumahku.  Inilah rutin cuti sekolah.
  Selain bersemut, dah dispray ubat semut di sekeliling rumah, kini dedaun pula mengganggu .  Sudahlah jiran sebelah rumahku membuang sampah pokok ubinya di kebunku, sakit mataku.  Namun apa dayaku! Pak Imam gelarannya!, mahu ku maki sumpah seranah, namun orang kampung katakan.  Simpan sahaja kemarahanku, semoga Allah membalasnya.
  Pagi tadi menyapu daun kering halaman di sebelah kanan rumahku, petang ni halaman  di sebelah kiri pula.  Dedaun pokok jambu dan pokok kelapa dah banyak yang kering dan bertaburan.  Sedang aku menyapu pula , hujan hendak  turun.  Sempat menarik pelepah kelapa kering dan membakarnya manakala dedaun jambu menyapu sebahagian sahaja.  Hujan dah turun.  Terpaksalah berhenti. Kira-kira bertangaslah aku hari ini, menyimbah peluh dek menyapu daun dan bertangas terkena bahang  api yang membakar daun.
 
      menyapu dedaun kering pokok mangga sebelah pagi dan membakarnya
                    sebelah petang pula halaman  di sebelah kiri rumahku, jambu madu ini manis buahnya sayang sekali suka diserang ulat.
hujan dah turun terpaksa berhenti.

Wednesday, March 27, 2013

Menyirap Darahku.

Selalunya cuti sekolah aku balik kampung jenguk rumah dan tanah sekangkang kera.  Di belakang rumah ku tanam pokok buah-buahan. Adalah sepokok dua, rambutan, cempedak, pulasan, mata kucing, durian dan mangga.  Pokok manggaku ini tidak berbuah.  Jadi , kepada penyewa tanah ku harapkan ditebang sahaja.
   Tetapi kali ini berlainan pula.  Kalau dahulu , pokok petaiku disodoknya, kali ini pokok cempedakku pula.  Menyirap darahku! tengok pula ni, setelah jadi padang, ada pula lembu dilepaskan dalam kebun.  Dahulu , aku ada juga membela kerbau, tetapi tidaklah kerbauku merempat makan rumput di kebun orang.  Tuan lembu pun macam lembu!.
  Kalau anda bagaimana? Inilah manusia cakap tak serupa bikin.  Kekadang hendak kudoakan sahaja yang buruk-buruk kepada penyewa tetapi aku manusia biasa, tanah ini milik Allah, aku hanya pemilik sementara.  Memang tanah ini banyak rahsianya...

Sayang pokok cempedakku berbuah lebat, isinya tebal dan rapat.  Rasanya pula manis.

Aku ibarat kiambang di air

Aku ibarat kiambang di air, akar tak jejak ke tanah dan terapung di air.  Mengapa? Semuanya ini gara-gara mencari rezeki dan ,mungkin telah ditakdirkan.
  Hidup umpama dilambung ombak. Kalau dulu hidup dalam kemiskinan. Rumah kayu peninggalan ayah semakin usang. Kemudian rumah kayu arwah bapa saudara ditukarkan dengan mesin jahit dan basikal, mungkin kasihan kepada kakaknya (ibuku) dan anak-anak yatim (aku dan adik -beradik) maka dibenarkan kami mendiami rumahnya.  Tambahan pula bapa saudaraku tinggal di felda Gemas dan berjaya membina kehidupan di situ.
  Kini , aku  mendirikan rumah batu di tanah pusaka ayahku.  Namun aku perantau.  Baru mendiami 8 tahun, bertugas di Sabah 2 tahun , kini di Selangor.
  Bagaimana dengan rumahku sendiri di Melaka? Dua orang anak masih menuntut  di UiTM dan seorang masih lagi sekolah, semuanya di Selangor, walaupun berlainan daerah. Mungkin takdir juga berkumpul di Selangor.
  Aku tidak kisah kalau tinggal di Selangor tetapi yang bermasalah aku umpama kiambang.  Di mana kariahku ? Aku tinggal menyewa di Sabak Bernam,mengajar di Sungai Sireh, Tanjung Karang manakala rumahku sendiri di Melaka ditinggalkan.  Tiga tempat yang berlainan,  aku semakin jadi terasing.  Entah bila dapat kudiami rumah sendiri atau dengan kata lain tempat lahirku.  Kekadang rumahku umpama kera di hutan disusui anak di pangkuan kebuluran... rumah sewa dijaga, rumah sendiri berkaparan...dengan pokok bunga mati kelayuan dan yang sakitnya telingaku apabila kedengaran suara -suara rumahku tidak berseri lagi.

Monday, March 25, 2013

Majlis Pertunangan dan Perkahwinan

Pertunangan adalah hari yang dinantikan oleh seorang perempuan kerana dengan termeterai perjanjian antara dua pihak lelaki dan perempuan yang akan mendirikan masjid.  Memang fitrah manusia hidup berpasangan yang dituntut oleh Islam dengan ikatan pernikah.an.
  Semoga ikatan pertunangan akan disusuli dengan ikatan perkahwinan. Majlis pertunangan sekarang ini sudah berubah . Majlis ini seakan-akan majlis pernikahan pula kerana 'package nak andam' .
  Perbelanjaan majlis pertunangan pun memakan belanja yang banyak.  Apalagi majlis perkahwinan.  Diharap kita tidak membazirkan wang untuk majlis yang semakin 'grand' sekarang ini.  Kalau zaman dahulu, masyarakat Melayu akan bergotong-royong memasak untuk menyediakan lauk-pauk untuk sesuatu majlis.  Tetapi sekarang ini katering, khemah, mak andam dan pelamin serta fotografi adalah set lengkap dalam suatu majlis perkahwinan yang memakan belanja puluhan ribu ringgit.  Semakin besar majlis semakin banyak dapat pujian tetapi semakin sakit keluarga pengantin menanggungnya kecuali orang-orang berada. Tambahan pula hantaran perkahwinan semakin mahal kekadang mengikut taraf pendidikan atau perasaan ingin berlumba-lumba dan bangga dengan hantaran yang tinggi.
      Dengan adanya majlis seperti ini berkumpullah saudara-mara
   Majlis perundingan antara pihak perempuan dan pihak lelaki
                                      Pelamin untuk majlis pertunangan
                                     khemah untuk jamuan makan

                                ahli keluarga sempat merakam gambar
   Semoga kita tergolong dalam golongan bukan membazir seperti datuk nenek kita yang terpaksa bergolok gadai menjual tanah ketika hendak mengadakan majlis perkahwinan.
    Seperkara lagi, majlis sekarang ini kurang dilakukan di rumah.  Kebanyakan majlis dibuat di dewan atau di hotel-hotel atau tempat tertentu yang 'grand'.
Oleh itu marilah  kita renung-renungkanlah.

Friday, March 22, 2013

Kasihannya!

 Tahun ini 2013, aku dapati seorang muridku ini agak istimewa. Mengapa? tengoklah kertas jawapan Bahasa Melayu ini, bagaimana nak baca?  Ini adalah kali pertama murid tahun 4 yang tidak boleh baca menulis jawapan sebegini.
  Kalau dahulu selalu aku beritahu,kalau tak tahu tulis salin sahaja soalan.  Apanak buat dengan dia ni?  Aku dah buat 2 kali pemulihan  tetapi sayangnya selalu dia ponteng sekolah.  Aku kasihan juga kepadanya sebab baru-baru kehilangan ibu . (meninggal dunia).
  Apabila diajar bukanlah teruk sangat sampai tak kenal huruf.  Dia boleh mengeja 2 suku kata, kvkv atau vkv.  Malangnya dia tidak mahu berfikir.  memang agak sukar jugalah mungkin di rumah tak membaca buku.  Akan ku jadikan ia sebagai anak angkat(Mentor dan mentee) semoga dia akan terus berminat untuk belajar. Aku berharap dapat mengajarnya sekurangnya boleh membina ayat mudah.



Thursday, March 21, 2013

MInatnya mereka!

Murid-muridku kelas hujung.  Tahukan di mana kelemahan mereka. Tulisan kurang cantik, tidak kemas dan banyak kesalahan ejaan selain membaca pun merangkak-rangkak.  Aku rasa serba -salah mengajar murid yang berbagai ragam dan kecerdasan yang berbeza.
  Kekadang mati akal dibuatnya.  Sudahlah tidak berapa pandai, banyak mulut ditambah tidak berapa rajin. Banyak kerja bertulis tidak disiapkan.  Memang perangai tak berubah, susahnya. Kerja semalam buat hari ini, kerja hari ini bila pula nak disiapkan, jadi p & p ku selalu tertangguh.
  Penggunaan pelbagai kaedah untuk menarik minat mereka bukanlah mudah.  Selain meminta mereka menyalin jawapan kerja-kerja latihan, aku  juga gunakan LCD projektor dan CD Rom Bahasa Melayu Tahun 4 .  Perisian interaktif menarik minat mereka.  Tetapi jangan terkejut, mereka ni suka menayangkan tangan-tangan di hadapan layar LCD.  Menyirap darah juga tetapi apabila mengenangkan mereka ini  ,apa nak kata mereka ini kurang pandai, tak apalah daripada mereka kurang fokus, biarlah.
  Lihatlah semoga dengan pelbagai kaedah yang ku gunakan dapat menarik minat mereka terhadap pembelajaran dan dapat mengubah sikap mereka sedikit demi sedikit.
  Laptop, pembesar suara, pemain cakera/ CD, LCD projektor adalah hak milik sendiri.  Hanya layar atau skrin sahaja hak milik sekolah.

                                       Kalau macam ini kan bagusnya!


               Minatnya mereka dengan soalan interaktif -soalan dengan animasinya serta bunyi.
    Wajah kelasku tahun 2013....penatnya nak menghias kelas sedangkan  biaya sendiri tanggung.  Aku tak tahu berapa kosnya...sebab beli peralatan sedikit demi sedikit.  Nampak macam senang, tetapi memakan masa untuk menghias kelas seperti mengecat, memasang langsir dan menampal bahan-bahan pembelajaran , "melaminate" dan melekatkan huruf-huruf bagi kata-kata motivasi.

Monday, March 18, 2013

Indahnya bahasa!.

Berdasarkan pemerhatian dan cara menulis murid-murid tahun 4 Tekun dan 4 Jaya, kudapati tulisan mereka agak kurang kemas, comot dan kadang- kala bersambung antara satu perkataan dengan satu perkataan yang lain.  Pening kepala memikirkan tulisan mereka tambahan pula  tulisan yang terlalu kecil dan sukar untuk dibaca.
   Untuk mengatasi masalah ini ku paksa semua murid menulis semula huruf abjad besar dan kecil kerana hampir kesemuanya tidak tahu membezakan huruf kecil dan huruf besar.  Aku tidak tahu di mana silapnya.  Mungkin mereka selalu menulis di dalam lembaran kerja yang tidak ada garis.  Oleh itu kebanyakan huruf j, y, g kebanyakannya tergantung (atas garisan) manakala huruf b dan b terbalik dan  kesalahan ejaan semakin ketara ditambah lagi dengan imbuhan "MeN".
  Mengapa sukarnya hendak mengajar Bahasa Melayu kepada murid Melayu? Semuanya terjawab kerana mereka anggap Bahasa Melayu itu mudah dan bahasa ibunda mereka sedangkan bahasa yang digunakan adalah bahasa pasar.
  Dengan sebab itu, aku sebagai guru BM berpatah balik mengajar teknik menulis huruf.  Kudapati ada yang menulis dari bawah ke atas dan menulis dari kanan ke kiri serta cara murid memegang pensel. Aku dah sediakan huruf Aa dengan ayatnya sekali contohnya Abang ada adik.  Cukup mudah, hanya salin semula dan pastikan ejaan serta tulisan cantik dan kemas.  Nah, beginilah balasan yang ku dapati!

LIhatlah bukan cikgu yang bodoh , bodohnya murid ini terserlah apabila tidak tahu menggunakan huruf besar pada kata nama khas dan kata berimbuhan MeN-

    Dalam kes begini, agak-agaknya apakah tindakan anda sebagai guru?  Senang sahaja tanya siapa tulis, mengapa , apa hubungan kita dengannya.  murid ini memberitahu bahawa abangnya yang menulis tetapi apa maksudnya!. Susahnya hendak mengajar murid yang bodoh sombong kerana tidak sedar diri sepatutnya siasat mengapa guru mereka terpaksa berpatah balik seperti mengajar murid pra atau tadika atau pelajaran tahun 1.  Pelik bin ajaib kan!.

Sunday, March 17, 2013

Kem Bestari Solat

Kem Bestari Solat telah dianjurkan oleh  Panitia  Pendidikan Agama Islam dan JQAF di sekolahku pada 16.3.2013.  Kem ini telah melibatkan semua guru yang beragama Islam.  Tujuannya untuk mengajar dan menguji murid agar tahu dan mengamalkan solat lima waktu.
  Pada mulanya semua murid didedahkan cara-cara mengangkat air sembahyang dengan tertib dan bacaan dalam sembahyang.  Semua murid kemudian dibahagikan mengikutkumpulan dan  fasilitator mereka.  Maka setiap murid akan datang kepada fasilitator untuk diuji kemahiran yang telah diajar.
  Murid-murid ini mungkin nak cepat dan tergesa-gesa hendak habiskan ujian itu.  Tetapi bagiku biarlah ujian ini dijalankan dengan betul .  Biar lambat asal sempurna.
  Ada sesetengah murid merungut kepada aku. "Alah , beri sahaja MS , menguasai sederhana kerana mereka ingat senang sahaja ....apabila bab fardu ain ini jangan main-main. " Teringat di SK Sahabat 4,  setiap orang bawa sebotol air 500 ml untuk demonstrasi mengambil wuduk.  Bagus juga idea Ustazah dan Ustaz tu.  Biarlah masing-masing dengan cara mereka menguji dan memastikan objektif tercapai dan diharapkan agar semua murid dapat menunaikan rukan Islam ke-2 ini.  Syukurlah kalau di rumah, di kampung telah diajar sekurang-kurangnya di sekolah diingatkan semula.
  Teringat aku semasa kecil-kecil dulu, kalau ceramah di surau di kampungku asyik-asyik ajar sembahyang sahaja sehingga jemu.  Kemudian barulah diajar bab-bab lain.




Kem bestari Solat diadakan ganti hari Khamis cuti ganti Hari  Raya Tahun Baru Cina masa dari pukul 8.30-12.30 tengah hari.

Saturday, March 16, 2013

Jom rewang - SKSS

15/3/2013 rewang lagi, kalau dulu gotong-royong  di sekolah yang pernah ku berkhidmat,  tetapi kali ini berlainan kerana lain padang lain belalang . Masih kuingat lagi ketika tahun 1991 di SK Pinang Tunggal, Pulau Pinang pernah mengadakan majlis seperti ini, memasak secara bergotong-royong untuk majlis Qiamulai dan sembahyang tahjud.
        Kini di kampung Sungai Sireh , Tanjung Karang Selangor,  kaum perempuan rewang mengupas dan kemudian menghiris nanas, timun, bawang untuk dibuat acar mentah.  Pada  pukul 2.30 petang ramai ibu bapa yang hadir.
  Kerja-kerja memotong daigng lembu untuk dimasak kari,  tulang lembu untuk dibuat sup dan malamnya pula menghiris perut lembu untuk dibuat kerabu.  Walaupun hanya membantu dari pukul 2.30 petang hingga pukul 4.50 petang, aku rasa aku perlu meninggalkan majlis ini kerana aku tak larat dari pukul 6.20 pagi bertolak dari Sabak Bernam hingga ke sekolah pada pukul 4.50 petang, apalagi untuk menunggu majlis kenduri pada sebelah malamnya sedangkan esok aku perlu ke sekolah lagi.
  Majlis kenduri kesyukuran ini disambut dengan tumbangnya seekor lembu khas untuk   warga SK Sungai Sireh dan semua penjaga SK Sungai Sireh. kerana bersyukur atas  peningkatan prestasi UPSR tahun 2012 dan mendapat baiah. Walaupun aku tidak menghadiri majlis bacaan Yasin, Solat Hajat dan ceramah motivasi bagi murid tahun 5 dan 6, namun ku doakan agar semuanya berjalan dengan jayanya.
  Cukuplah sekadar itu yang termampu aku lakukan kerana pada esoknya 16/3/2013 adalah sekolah ganti.  Sebaik balik ke rumah, terpaksalah masak juga kerana sang suami ke dapur mencari makanan .  Walaupun keletihan aku masak juga, ikan cencaru masak kicap dan ikan siakap dibuat sambal dan timun sebagai ulam di samping tempoyak dimakan dengan cili api.




 
Berbagai juadah disediakan sementara menunggu makan malam.  Bukan semua amalam gotong-royong atau rewang ini masih diamalkan kecuali  di kampung-kampung atau di taman yang kebanyakannya penghuni masyarakat Melayu.
 

Saturday, March 9, 2013

keceriaan kelas 4 Jaya

Papan kenyataan telah pun dibeli dan dipasangkan di kelasku.  Tetapi papan itu masih kosong lagi sekosong hatiku untuk menghias kelas.  Bukan tak mahu tetapi kesibukan membuat soalan dan mesyuarat RMT dan Kantin, tambahan pula sibuk menyiapkan fail borang pemantauan kendiri kantin sekolah.
  Malam semalam 8/3/2013 sibuk buat label sudut pembelajaran untuk papan kenyataan.  Tengoklah sibuknya aku ini! Kekadang rasa malas pula kerana setiap kali tukar sekolah , setiap kali buat ABM/BBM baru. Banyak kos pula yang perlu kubiayai sendiri.


 Buat sampah dan terpaksa mengemas lagi, esok pula nak melekatkan di papan kenyataan dan terpaksa fikir bahan p & p yang hendak dilekatkan pula.  Fikir dan cari lagi.......!

Gara-gara mengajar Karangan -UPSR?

Khamis 7/3/2013 semasa mengajar karangan, terkejut aku dengan seorang muridku ini.  Sudah 4-5 kali aku mengajar karangan.  Tetiba aku suruh mereka murid tahun 4 Jaya menulis karanganyang  bertajuk, "Aku Sebiji Bola", tiba-tiba seorang murid bertanya,"cikgu, apa itu karangan?".  Sabar sahajalah.
  Kekadang naik angin juga dengan muridku ini, sudahlah kurang pandai tetapi mulut ringan sangat.  Asyik bercakap dan kurang fokus semasa aku mengajar . Ku perhatikan begitu juga sikap mereka dengan guru-guru lain.  Kesimpulannya selama dua bulan seminggu ini bersama mereka, boleh ku katakan mereka kategori pemulihan dan teramat kurang rajin .  Mengapa aku berkata demikian kerana hampir semua kerja yang aku berikan tidak dibuatnya.  kerja semalam sambung hari ini, kerja hari ini bila pula nak disiapkan, akhirnya semua perancangan pengajaran tertangguh.
   Aku baru nak perkenalkan buku karangan ini, lain pula dipersoalkannya,"  Cikgu, itukan bukankah buku  untuk  UPSR?".  "Yalah kamu akan menghadapi UPSR tahun 6 nanti ", jawabku.  Susah betul nak fahamkan mereka.  Nasib akulah dapat murid seperti ini.

Disuruh beli buku-buku contoh karangan agar mereka boleh baca dan dapat idea supaya mudah untuk menulis karangan.  Kalau susah sangat tiru sahaja cuma ubah format karangan.

Saturday, March 2, 2013

Ladap- wanita menghadapi krisis dalam pekerjaan

Rabu, 27/2/2013 kami guru dan kaki tangan /staf SKSS menghadiri kursus Ladap di pusat sumber sekolah pada pukul 2.30 -4.00 petang.  Penceramah diketuai oleh Encik Syed Daud bin Rahman dari RNP Training And Management Institution Consultant yang beralamat di No 1A-A , Jalan Seri Muka 36, Taman Menegun Indah, Seksyen 36, Shah Alam, Selangor.
  Dalam pada mendengar ceramah itu, aku terpegun apabila beliau menerangkan saka dan sihir, salah satu daripada  9 elemen /cabaran yang mengganggu ketenangan jiwa.  Mula-mula ceramahnya sekitar, apa itu erti hidup, cara-cara menjaga kesihatan dan 9 cabaran dalam kehidupan sebagai pekerja.  Memang  seronok sahaja mendengar ceramahnya.
 Dengan bersungguh-sungguh beliau menerangkan kepentingan menjaga kesihatan tetapi pada akhir ceramahnya menjual produk makanan kesihatan seperti kopi, Acai Berry Collagen, Sinuscare. set produk kecantikan dan sebagainya.  Tidak kurang pula boleh  merawat penyakit daripada gangguan saka dan sihir.
   Impak daripada ladap ini sebenarnya, si penceramah ingin memprosmosikan produk jualannya dengan cara moden dan terkini melalui jelajah sekolah dengan ceramah 'Ujian mengenal masalah diri' dan bercita-cita ingin mendirikan sebuah universiti pada tahun 2017 berdasarkan ilmu saka atau sihir yang melanda semua manusia tak kira apa bangsa sekalipun.  Semoga cita-cita dan wawasan beliau akan tercapai hendaknya. Jika ada sesiapa berminat tel 03-333711921/FAx 03 33711823

                     Pn Patimah  model langsing walaupun dah berusia 40-an    memperkenalkan produk makanan kesihatan

Pemberian sijil penghargaan kepada wakil RNP Empire

                                                                                                                        




Jualan Amal Badan Kebajikan Guru SKSS 2013

  Sempena Perkhemahan Pengakap Derah Kuala Selangor, badan kebajikan SKSS telah mengadakan jualan bagi menambah tabung kebajikan.  Pada hari Sabtu 2/3/2013, aku bertugas pada mulai jam 4.00 -7.00 malam.  Jualan diadakan berdekatan dengan Kelas Prasekolah.
    Jualan secara kecil-kecilan air oren, air asam boi, keropok lekor, jambu batu dan kacang rebus.  Ramai juga pembelinya, terutama keropok lekor.  Jualannya laris dan air asam boi adalah lebih sedikit,  tidak laku.  Tepat pukul 6.00 petang, aku meninggalkan jualan tersebut dan beralih bertugas meyendukkan budak-budak pengakap yang terdiri daripada murid sekolah rendah dan menengah yang berjumlah 300 orang yang menyertai perkhemahan tersebut.
  Murid sekolah rendah mudah sahaja.  Yang peliknya dalam menyendukkan makanan untuk makan malam , ramai yang tidak suka makan sayur.  Menu pada malam ini ialah ayam masak kicap, kangkung goreng dan taugeh campur kubis goreng serta air sirap.  Tepat pukul 7.20 malam, aku pun beredar untuk pulang.  Aku Singgah sebentar di Petronas Sungai Besar untuk sembahyang maghrib, kemudian meneruskan perjalanan sampai ke rumah pada  pukul 8.40 malam.
  Semasa dalam perjalanan ke sekolah pukul 3.40 petang terserempak dengan kemalangan dan dalam perjalanan balik pun ada kemalangan. Aku memandu kereta anakku dengan  berhemah kerana agak kekok juga dan menjajau mencari pendingin hawa dan kekadang tersilap signal yang biasanya di sebelah kanan , kini di sebelah kiri.  Syukurlah ......selesai satu episod.