Aku anak yatim semenjak 3 bulan dalam kandungan ibuku. Ibuku pula janda muda semenjak usia 27 tahun sehingga menjangkau 70 tahun usianya kini. Walaupun janda muda, dia perlu meneruskan kehidupan.
Dengan tulang empat kerat dan tenaga yang tak sekuat mana, hanya menoreh getah sekeping dua untuk menyara keluarga. Dengan anak tiga orang yang masih kecil , dia terpaksa membuat berbagai kerja seperti mengayam tikar terutama ketika musim hujan. Kami hanya makan apa yang ada.
Kebetulan arwah datuk ada mempunyai sedikit harta pusaka yang boleh dimakan bersama dengan arwah nenek. Kami pun rajin membantu nenek menjaga kedai runcitnya. Kekadang pula membantu membuat air batu Malaysia yang pelbagai rasa seperti milo, asam jawa, kacang dan sebagainya.
Arwah nenek juga ada membela kambing. Jadi kami menolong mencari daun-daun sena atau menyabit rumput untuk diberi makan kepada kambing.
Akhirnya nanti ada anak kambing itu akan diberi kepada kami. Jadi kami yang tidak berkemampuan bela kambing bawah rumah kerana rumah kami rumah kampung yang bertiang tinggi. Rumah itupun pemberian arwah adik ibu dengan pertukaran mesin jahit dan basikal . Penat juga bela kambing di bawah rumah kerana tahi kambing dan kencing kambing yang berbau, jadi kena rajin menyapu bawah rumah.
Zaman kecilku dan adik-beradik tidaklah sebebas mana dengan anak-anak lain yang berpeluang belajar. Kami bergelumang dengan kerja untuk menyara hidup. Sekiranya tidak bersekolah, kami membantu ibu mencabut sekerap di mangkuk getah dan mengangkat susu getah atau mengangkat air di perigi atau mencari kayu api di ladang getah. Kekadang kami mencari cendawan pada tunggul kayu getah yang mati ketika musim hujan untuk dibuat lauk atau mencari pucuk paku di tepi-tepi sungai berdekatan dengan kebun getah.
....bersambung..
No comments:
Post a Comment