Friday, December 28, 2012

Takdirnya Nasib ibuku.

Perkahwinan dengan suami pertamanya memang begitu tragis buat ibuku.  Sebaik-baik selepas majlis bersanding, dia pun berasa bagai ada mencucuk-cucuk di badannya.  Bermula dari situ, sakitnya berpanjangan.  Memang menjadi adat  orang dahulu kala, sekiranya ditimpa penyakit begini, tentulah bomoh menjadi pengubatnya.
  Mengikut cerita mak saudaraku dan saudara-maraku, ibuku telah dibuat atau dianiaya orang.  Dia dibuat dengan ditanam benda di dalam longkang kerana    dendam dan marah kepada suami ibuku yang tidak berkahwin dengan anaknya.  Penyakit ibuku semakin melarat apabila tiga orang anaknya yang masih kecil meninggal dunia satu persatu.  Ekoran peristiwa itu menekan hidupnya tambahan pula suaminya seorang polis ingin membawanya berpindah.  Arwah datukku menghalang kerana penyakit misteri ibuku ini.
   Sebenarnya orang yang menganiaya ibuku ini adalah jiran sebelah rumah datukku.  Dia tidak mahu melihat kebahagiaan ibuku.  Seingatku berbagai-bagai bomoh dan dukun dipanggil oleh arwah datuk dan nenekku dan kami juga pernah berusaha untuk mengubatnya tetapi sehingga sekarang penyakit ibuku masih lagi belum sembuh.
  Mungkin tekanan hidup masih kecil , sebagai anak sulung yang terpaksa menjaga adik, membuat kerja-kerja rumah dan membantu ibu bapa seperti membelah pinang untuk dijual , menjaga kerbau dan sebagainya.  Ditambah pengalaman hidup susah pada masa zaman Jepun yang memaksa menanam ubi kayu dan sentiasa melarikan diri kerana orang Jepun akan memperkosa anak dara dan menyeksa dan membunuh.  Keadaan ini menambah penderitaannya kerana kadang-kala beliau hilang ingatan.
   Bercakap sendirian dan dunianya penuh dengan kenangan silam yang berputaran di ingatannya. Ibuku pernah dimasukkan ke Hospital Tanjung Rambutan dan beliau  juga boleh menceritakan pengalaman bagaimana otaknya 'dikaran' .  Kasihan juga aku mendengarnya .  Memang aku masih ingat peristiwa itu kerana arwah bapa saudaraku sendiri yang memanggil pihak hospital kerana ibuku mengamuk ketika itu.  Mungkin fikirannya runsing kerana ketiadaan wang untuk menanggung perbelanjaan hidup kami sekeluarga.
   Sehingga kini sudah habis daya dan upaya kami mengubati ibu , pernah juga ke Darul Syifa' malangnya masih juga gagal.  Kini kami tawakal sahaja dan mengambil menerima bahawa beliau  sakit psikiatri yang memerlukan ubat penenang , kalau tidak beliau akan terus memikirkan peristiwa lalu dan kenangan zaman silam.
  Kepada insan yang pernah menganiaya ibu, memang malang buatmu kerana tidak sempat memohon maaf kepada ibuku kerana ketika itu berada  di Pulau Pinang sedangkan kamu di Melaka.....terpulanglah kepada Allah s.w.t
dan kami pun tidak tahu apakah sebabnya ibu tidak boleh sembuh seperti dahulu....kasihan hidupnya..  wallahu 'alam bissawab.

1 comment:

  1. Akhirnya ibuku bercerai dengan suami pertamanya, kemudian berkahwin pula dengan ayahku yang ketika itu lebih tua daripada bapa mertua.

    ReplyDelete