Monday, November 26, 2012

Anak-anak Felda, UPSR?

Aku baru saja diamanahkan untuk mengajar Tahun 6.  Murid-muridku dua kelas berjumlah 71 orang yang akan menduduki UPSR pada 13-15 September 2011 nanti. Bukan senang untuk mengajar mereka sementelah aku baru sahaja berpindah ke Sabah ini.  Aku mula berpindah ke sekolah ini pada 19 April tahun lepas.
      Semasa di sekolah lama aku telah berjaya mendidik murid PROTIM yang ku ikuti perkembangan mereka dari Tahun 4 hingga ke Tahun 6. Aku berjaya meningkatkan prestasi  keputusan UPSR Kertas 1 Pemahaman Bahasa Melayu 99% manakala kertas 2 Penulisan juga turut meningkat.  Aku terkilan juga kerana tugasku separuh jalan setelah berpindah ke Sabah. Kini tugas yang kupikul  amat berat memandangkan semua murid di sekolah ini mempunyai prestasi yang rendah ditambah dengan perangai mereka yang kurang memuaskan hatiku.
     Berdasarkan keputusan Peperiksan Akhir Tahun 5 mereka amat mendukacitakan aku. Tak seorangpun antara mereka yang berjaya mendapat A dalam kedua-dua kertas Pemahaman dan Penulisan.  Tambah mengejutkan aku lagi, kelas pertama pun ada yang gagal Kertas 1, manakala kelas kedua, markah Penulisannya bunga ros sahaja lebih kecut perut lagi markahnya sekitar 10-2 3markah. Hai ,anak-anak ke manakah arah tujuan nak kubawa kamu ni? Terlalu lemah, nak dibimbing bukan mudah, kerana sudah jauh ketinggalan.  Masih ada yang baru mengenal huruf, belum membaca lagi.  Aduhai, bukan miskin tegar lagi, daifnya.
   Bergalaskah pengalaman selama 26 tahun ni mampukan aku mengubah kamu? Terasa beratnya bahu memikul tanggungjawab ini. Di manakah sayangnya bahasa ibunda kamu? Bahasa Melayu sendiri tidak kamu kuasai apalagi bahasa asing Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.  Kekadang terfikir bagaimana kamu ke sekolah, tidak ada misi atau visi.  Apa tujuan kamu sekolah atau sekadar berjumpa kekawan atau menghabiskan wang ibu bapa kamu?.  Sedarlah anak bangsaku, bangunlah untuk menimba ilmu menjadi orang yang tinggi mertabatnya. Ubahlah sikap kamu dari yang negatif kepada positif.  Hormatilah guru, bacalah buku, buatlah kerja rumah dan ulang kaji pelajaran.
   Kuasailah kemahiran 4M, membaca, menulis, mengira, dan menaakul supaya ilmu tersebut bukan untuk menjadi pelajar cemerlang UPSR sahaja tetapi untuk bekalan hidup kamu di dunia dan akhirat kerana semua ilmu berpunca dari membaca.

No comments:

Post a Comment