Memang pelik seorang muridku ini. Kehadirannya 14/90. Telah diberitahu melalui telefon kepada kedua-dua ibu bapanya. Telah diberi surat amaran pertama, datanglah ke sekolah lebih kurang 5 hari setelah menerima bantuan persekolahan RM100. Selepas itu, ghaib lagi sebelum cuti penggal pertengahan pertama sehinggalah ke cuti penggal pertama ini.
Surat amaran kedua telah dihantar sendiri olehku dan 2 kali telah kulawati rumahnya. Anehnya dan senangnya kedua ibu bapanya menyatakan generasinya anaknya memang begitu sebab kakaknya pun sama . Adakah kita sebagai orang tua akan menyerahkan kepada takdir atau Qada' dan Qadar? Menurut cerita ibu bapanya, si polan ini takut kepada guru yang mengajar Jawi dan Al Quran , guru Bahasa Inggeris dan mungkin aku kot sebab suaraku memang garang. Tetapi segarang-garang cikgu pun , tak makan orang, tak mencederakan orang. Semasa tahun 1, tahun 2 dan tahun 3 pun sama hampir setahun tak datang. Mungkin dah sedap tak datang ke sekolah, main-main di sawah padi.
Ada lagi yang tidak disukainya seperti perhimpunan pada hari Isnin, penat nak berdiri, Apalah banyak sangat kerenah si polan ni!. Aku dulu darjah satu masih ingat lagi, Cikgu Hashim (arwah) rotan aku sebab tulis angka 2 terbalik, sakit tahu! aku masih ingat raut wajahnya sehingga sekarang. Semasa darjah 6 , aku kena berdiri atas kerusi selama 1 jam sebab tidak bawa peralatan melukis, pernah kena denda dan marah tetapi masih pergi ke sekolah juga.
Aku anak yatim sejak dilahirkan dan ibuku janda muda 27 tahun hingga sekarang. Pernah ibuku meminta aku berhenti sekolah semasa aku darjah 2. Mengalir air matanya meminta aku berhenti sekolah kerana ibuku menyatakan kami hidup susah.
Aku terpaksa berjalan kaki sejauh 800 meter pergi dan balik, melalui jalan raya dan sawah padi, terpaksa berpanas dan berhujan. Aku ke sekolah hanya berbekalkan sebuku roti ban kosong . Walaupun aku tiga beradik anak yatim tak pernah pun dapat bantuan seperti sekarang susu 1 Malaysia, KWAMP, RMT dan sebagainya. Balik dari sekolah, biasanya aku campak beg, dan pergi memancing, mengambil upah menanam padi,(mengubah), menanam sayur di kebun orang Cina atau mengikat pokok timun/petola yang menjalar. Penatnya Allah sahaja yang tahu, turun ke sawah dari pukul 2- 6 petang, dapat upah sekadar RM1.20. Tetapi syukurlah ,aku sekarang menjadi seorang guru.
Tengoklah anak muridku ini dia mempunyai banyak kelebihan, ke sekolah ibu atau bapanya boleh hantar, rumahnya agak besar juga, kiranya sederhanalah, tidak sepertiku yang serba kekurangan.......tak tahu nak buat macam mana kalau tuan diri sendiri tak ada kesedaran...atau mahu hidup senang...bak kata orang berakit-rakit dahulu berenang-renang kemudian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian......wallahu 'alam bissawab.
No comments:
Post a Comment